Monday 27 January 2020

Umrah yang Uzlah



Apabila tiba ke Makkah dan Madinah maka fokuskan kepada ibadah. Fokus kepada Umrah biar mencapai Umrah Maqbulah dan Tawaf sunat yang menjadi amalan yang disukai oleh baginda Rasulullah SAW. Tumpu kepada i'tikaf mencari diri di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. Ziarahlah makam Rasulullah SAW berulang kali tanda kasih kita kepada baginda selain Baqie tempat barakah bersemadinya jasad-jasad mulia kecintaan Rasulullah SAW. Rebutlah sebanyak peluang untuk berada di salah satu taman daripada taman syurga.

Sekadar satu teguran ikhlas dan tidak berasaskan rasa diri yang terbaik. Antara kesilapan yang tidak sepatutnya dilakukan dalam kalangan jemaah Umrah pada pandangan saya ialah;

a. Suka menonjolkan kedatangan mereka dengan syarikat ternama atau dibimbing oleh tokoh tersohor. 

b. Bangga dengan penginapan yang dekat dengan Masjidil Haram dan Masjid Nabawi sehingga setiap orang yang ditemui diberitahu.

c. Di satu pihak pula bertanya berapa kos kedatangan rakan-rakan lalu jika didapati ia lebih murah tetapi mendapat lokasi yang lebih dekat dengan masjid berbanding dirinya sendiri maka mulalah edisi protes kepada syarikat dan Mutawwif. 

d. Masih terbawa-bawa tabiat hidup di Malaysia, contohnya kalau sudah menjadi agen jualan langsung maka ketika berada di tanah suci pun maka hendak 'buka fail' lagi. Sedangkan masa di sana dipenuhi dengan agenda ibadah dan ziarah yang padat.

Sabarlah, tempoh kita di sana tidak lama. Sekitar 11-14 hari sahaja. Fokuskan kepada ibadah yang tulus dan murni kerana itulah tujuannya Allah SWT tentukan dua tanah suci tersebut sebagai tempat ialah dan mencari diri melalui lipatan sejarah yang terpahat di sana. Bayangkan kenapa ada jemaah Umrah yang mampu khatam Al-Quran satu atau dua kali sedangkan kita mungkin hanya beberapa juzu' sahaja atau tidak langsung tersentuh? 

Begitu juga kos yang telah dikeluarkan sama ada mahal atau murah itu semua adalah jalan atau wasilah untuk sampai ke tanah suci untuk kita Uzlah. Apabila sudah sampai di sana maka tidak perlu difikirkan lagi berapa kos atau berapa jarak masjid dengan hotel penginapan kita. Fokus sudah bertukar daripada hanya fikir untuk memenuhi  kos kepada  hanya fikir untuk manfaat masa Uzlah. 

Tentang kos, sebagai seorang Mutawwif yang sudah lalui  pengalaman jatuh bangun untung rugi sejak 10 tahun lalu saya amat faham situasi seorang Mutawwif bebas seperti saya. Pada peringkat awal kita ambil pakej melalui 'tangan ketiga' sebab itulah ia jadi mahal walaupun hotel yang dipilih jauh sekitar 400m. Sedang harga yang sama sudah boleh menginap di hotel yang hanya 50m dari Masjidil Haram. 

Bertahun-tahun, perlahan-lahan, daripada tangan ketiga saya merangkak ke tangan pertama,  lalu saya mampu tawarkan kepada jemaah saya pada hari ini harga yang sama pada suatu ketika dahulu saya tawarkan untuk menginap di hotel dekat. Semuanya adalah melalui hubungan dan pengalaman. Berilah peluang Mutawwif-Mutawwif baharu untuk meningkatkan pengalaman mereka. Mereka adalah anak-anak bangsa kita yang punya azam yang ikhlas untuk khidmat kepada umat. Jika ada teguran maka sampaikan melalui sebaik-baik cara. Janganlah dilemahkan semangat mereka.

Kepada Mutawwif generasi baharu, saya harapkan anda semua tabah dan sabar menjalankan tugas memberi khidmat. Ingat lagi catatan saya setahun yang lalu? Bahawa seseorang Mutawwif itu perlu mantap diri dengan tiga bidang utama; hukum hakam Haji dan Umrah, Sirah Rasulullah SAW dan motivasi ibadah termasuk Fadhail amalan dan lokasi.

Sekian, selamat beruzlah kepada para Mu'tamirin dan Mu'tamiraat. Kepada para jemaah Umrah saya 1-11 Disember 2017 yang selamat kembali ke tanahair semalam selamat meneruskan agenda Uzlah yang sudah tersemai di Haramain ke dalam kehidupan seterusnya dan semoga sihat walafiat sentiasa.

No comments:

Post a Comment