Wednesday 26 February 2020

RUKUN/PENJURU KAABAH



Terdapat empat rukun atau penjuru Kaabah yang mempunyai nama-nama tersendiri dan penanda bagi setiap sudut
P E N J U R U A S W A D
Hajar Aswad terletak pada penjuru yang menghala ke arah timur dan dikenali sebagai Penjuru Aswad. Ia merupakan tempat penanda permulaan dan penghabisan setiap pusingan tawaf. Di mataf yang sejajar dengan penjuru Aswad kelihatan lampu berwarna hijau yang boleh dijadikan penanda permulaan tawaf.
Jemaah akan beristilam sambil menyebut "Bismillahi Allahu Akbar x3 Walillahilham" ketika memulakan setiap pusingan tawaf.
Di penjuru Aswad juga kelihatan tulisan kaligrafi dengan lima kalimah الله أكبر bersulam emas pada kiswah. Bersebelahan dengan Hajarul Aswad terdapat satu bahagian yang merupakan tempat mustajab Doa iaitu Multazam. Ia terletak diantara Hajar Aswad dan pintu Kaabah. Seperti kebiasaannya kawasan ini menjadi sangat sesak kerana ada yang berasak untuk mencium Hajarul Aswad. Ada juga yang melakukan solat sunat di kawasan berhampiran pintu Kaabah dan Maqam Ibrahim.
Maqam Ibrahim bukanlah Maqam Nabi Ibrahim tetapi bekas tapak kaki Nabi Ibrahim ketika mengangkat batu sewaktu pembinaan kaabah.
Ketika melakukan tawaf umrah elakkan dari memegang Maqam Ibrahim, Kaabah, Hijir Ismail mahupun kiswah walaupun disunatkan mencium Hajarul Aswad kerana dikuatiri terlanggar larangan ihram.
P E N J U R U I R A Q I
Dinamakan sebagai Penjuru Iraqi kerana terletak diposisi yang menghala ke arah negeri Iraq. Maqam Ibrahim terletak antara Penjuru Aswad dan Penjuru Iraqi ini. Kiswah di penjuru ini kosong tanpa sebarang tulisan kaligrafi sulaman emas
Di sudut itu juga terdapat satu pintu Hijir Ismail yang jarang dibuka kepada jemaah dan kebiasaannya akan ada seorang askar untuk menjaga kawasan tersebut. Kenapa pintu ini ditutup tidak dapat dikenal pasti.
P E N J U R U S Y A M I
Penjuru Syami adalah sudut yang menghala ke arah negeri Syam. Diantara penjuru Iraqi dan Syami ini terletaknya Hijir Ismail dan diatasnya terletak pancuran emas yang juga salah satu tempat mustajab doa.
Ramai yang akan mencuba nasib untuk memasuki Hijir ismail kerana ia merupakan sebahagian daripada Kaabah seperti yang dipetik dari Hadis Riwayat Ahmad dan Abu Dawud:
Aisyah r.a. berkata: “Saya ingin memasuki Baitullah untuk mendirikan solat di dalamnya, maka Rasulullah S.A.W pun memegang tangan saya dan membawa saya masuk ke dalam Hijir serta bersabda: “Solatlah di dalam Hijir ini jika engkau ingin masuk ke dalam Baitullah kerana sesungguhnya ia adalah sebahagian daripada Baitullah.”
Kawasan Hijir Ismail ditandakan dengan 3 lampu hijau di kiri, kanan dan tengah lengkukan kepungan separa bulat berbatu marmar setinggi satu meter lebih. Terdapat 2 pintu di Hijir Ismail, bagaimanapun hanya pintu di Penjuru Syahmi sahaja yang dibuka untuk keluar dan masuk jemaah.
Jika melakukan tawaf sunat, dianjurkan agar melakukan solat sunat mutlak ketika berada di dalam Hijir Ismail atau pun cukup sekadar berdoa semahunya. Ramai juga yang mengambil kesempatan untuk mencium kiswah untuk menikmati kewangian kiswah tersebut tetapi dilarang keras untuk melakukan perkara bid'ah walaupun dapat dilihat ramai jemaah negara luar yang melakukan perkara yang melanggar syariat seperti mengusap wang kertas pada kain kiswah (mungkin untuk pelaris), melekapkan tangan ke kiswah sambil menangis dan merintih.
PENJURU Y A M A N I
Penjuru Yamani atau lebih sering dikenali sebagai Rukun Yamani kerana ia menghala ke arah negeri Yaman. Terletak di posisi sejajar dengan Hajar Aswad.
Mudah untuk mengecapnya kerana terdapat kaligrafi dengan sulaman emas bersambung lurus hingga ke atas. Sunnah menyentuh rukun Yamani sekiranya melakukan tawaf sunat. Kawasan ini juga dikatakan sebagai kawasan mustajab doa.
Bila melalui rukun Yamani, bacalah:
رَبَّنَاۤ ءَاتِنَا فِی ٱلدُّنۡیَا حَسَنَةࣰ وَفِی ٱلۡـَٔاخِرَة حَسَنَةࣰ وَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّارِ
"Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka".
[Surat Al-Baqarah 201].

No comments:

Post a Comment