Wednesday 24 June 2015

GAMBAR DIDALAM KA'ABAH



1 Syaaban pintu ka'abah dibuka  bagi tujuan membersihkannya.






GAMBAR DARI DALAM SUDUT RUKUN YAMANI



IBADAT HAJI LAMBANG TAUHID


Ibadah haji lambang tauhid paling unggul. Zulhujjah bermaksud bulan haji. Pada bulan ini umat Islam menunaikan ibadah haji, rukun Islam yang kelima. Berbahagialah mereka yang terpilih untuk menjadi tetamu Allah pada bulan ini.Banyak kelebihan disediakan untuk mereka yang membelanjakan harta, meninggalkan keluarga dan keselesaan di tanah air semata-mata menyahut seruan Allah menuju ke Tanah Suci bagi mengerjakan haji. Justeru, haji dikatakan sebagai puncak pengabdian dan lambang ketauhidan yang paling unggul.
Kelebihan paling utama ibadah haji adalah terhapusnya segala dosa. Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda maksudnya: “Sesiapa yang mengerjakan haji di rumah ini (Baitullah), ketika mengerjakan haji itu dia tidak mencarut dan tidak melakukan perkara-perkara yang dilarang, dia terkeluar daripada dosanya seperti hari dia dilahirkan oleh ibunya.”
Di samping itu, ada kelebihan lain ketika berada di Tanah Suci seperti solat di Masjidil Haram yang ganjarannya 100,000 kali ganda dan solat di Masjid Nabawi pula 10,000 kali.Bagi umat Islam yang tidak terpilih untuk menjadi tetamu Allah pada tahun ini, tetap berpeluang untuk menikmati kelebihan Zulhijah.
Allah berfirman maksudnya: “Demi waktu fajar. Demi 10 malam. Demi hari yang genap dan hari yang ganjil...” (Surah al-Fajr, ayat 1-3)Menurut Ibn ‘Abbas, Ibn az-Zubayr, Mujahid dan ramai dari kalangan mufassirin salaf dan khalaf, 10 malam yang disebut di dalam ayat itu ialah 10 malam pertama Zulhijah.Pendapat itu diperkuatkan dengan hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada Ibn ‘Abbas bahawa Rasulullah bersabda maksudnya: “Amal salih yang paling disukai Allah adalah amalan yang dilakukan pada hari-hari ini (10 hari pertama Zulhijah). Sahabat bertanya: “Apakah lebih disukai daripada jihad fi sabilillah?” Baginda menjawab: “Ya. Lebih disukai daripada berjihad fi sabilillah, kecuali seorang lelaki yang pergi berjihad dengan jiwa dan hartanya kemudian dia tidak membawa pulang sedikit pun kedua-duanya itu (semua harta dan jiwanya dikorbankan untuk jalan Allah).”
Hari yang ganjil adalah hari Arafah iaitu hari ke-9. Hari yang genap adalah Hari Nahar (Aidiladha) yang jatuh pada hari ke-10 Zulhijah.Demikian pendapat Ibn ‘Abbas, ‘Ikrimah dan adh-Dhahhak.Ayat al-Quran dan hadis di atas menjelaskan betapa mulianya bulan ini di sisi Allah, khususnya 10 hari pertamanya sehingga dikatakan amalan hamba yang paling Allah suka adalah amalan yang dilakukan pada hari itu.Apakah amalan yang sebaiknya dilakukan? Terlalu banyak kebaikan yang boleh difikir dan di senaraikan.
Antaranya ialah berpuasa sunat, lebih-lebih lagi pada hari Arafah (hari ke 9). Dalam hal ini Nabi bersabda maksudnya: “Berpuasa pada hari Arafah menghapuskan dosa selama dua tahun, setahun yang lalu dan setahun yang akan datang. Dan berpuasa pada hari Asyura’ (10 Muharam) menghapuskan dosa setahun yang lalu.” (Hadis riwayat Muslim)
Kedua, ibadat korban yang disunatkan pada hari ke-10, 11, 12 dan 13.Korban adalah sunnah muakkadah. Ada ulama yang menyebut sebagai sunnah wajibah bagi mereka yang mampu. Cukup satu korban bagi satu keluarga.Antara dalil berkaitan dengan korban adalah firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu nikmat yang banyak. Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berkorbanlah.” (Surah al-Kauthar, ayat 1-2)
Kamu sekali-kali tidak akan mencapai kebajikan yang sempurna sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu cintai. Apa-apa yang kamu nafkahkan itu, sesungguhnya Allah Maha Mengetahuinya.” (Surah Ali Imranm, ayat 92)
Dalil hadis: “Barang siapa yang memiliki kemampuan (untuk membeli haiwan korban), lalu tidak melakukannya (tidak berkorban), maka janganlah mendekati tempat solatku.” (Hadis riwayat Ahmad)Daripada Ummu Salamah, Rasulullah bersabda: "Apabila kalian telah melihat hilal bulan Zulhijah dan ada di antara kalian yang akan berkorban maka hendaklah dia tidak memotong rambut dan kukunya." (Hadis riwayat Muslim)
Amalan anak Adam yang paling Allah sukai pada Hari Nahar adalah menyembelih haiwan ternakan. Sesungguhnya haiwan itu akan bangkit pada hari kiamat nanti bersama tanduk, kuku dan bulunya. Sesungguhnya darahnya akan sampai kepada Allah sebelum ia menitis ke bumi. Maka, laksanakanlah korban dengan sepenuh hatimu.” (Hadis riwayat Ibn Majah dan at-Tirmizi)
Sahabat bertanya Nabi: “Apa maksud ibadah korban ini?” Baginda menjawab: “Ini sunnah bapa kamu Ibrahim.” Mereka bertanya lagi: “Apa yang kita peroleh daripadanya?” Baginda menjawab: “Dengan setiap helai bulunya satu kebaikan.” Mereka berkata: “Bulu yang halus itu?” Baginda menjawab: “Ya. Dengan setiap helai bulu yang halus itu satu kebaikan.” (Hadis riwayat Ibn Majah dan at-Tirmizi)
Amalan adalah solat sunat, tilawah al-Quran, bersedekah, menuntut ilmu, berbakti kepada ibu bapa, menziarahi orang sakit, mengajak orang berbuat baik dan melarang berbuat jahat.Yang penting tanamkan azam di dalam diri untuk melakukan kebaikan di mana juga dan pada bila-bila masa. Apabila tersemat keazaman, muncullah ilham, terhasillah amalan.

HAJI YANG MABRUR MUDAH DISEBUT TAPI SUKAR UNTUK MENGEKALKANYA



Kebanyakan orang berfahaman bahawa setiap mereka yang menunaikan ibadat haji di Tanah Suci terjamin mendapat haji mabrur, terhapus dosa serta masuk syurga.
Haji mabrur mudah disebut, tetapi untuk mendapatkannya begitu sukar kerana syaitan dan iblis sentiasa menggoda, menghasut dan mendorong kepada sesuatu yang tidak diredai Allah. Sepanjang di Tanah Suci, kita sentiasa terdedah kepada ‘Jidal’. Persekitaran banyak membantu kita ke arah itu.Jidal, pertengkaran atau perbalahan atas pelbagai sebab, boleh berlaku di mana-mana, di bilik penginapan, dalam perjalanan ke masjid, ketika berjual beli, malah ketika beribadat di Masjidil Haram juga boleh berlaku. Pertengkaran atau sesuatu yang boleh menyakiti menyebabkan pelakunya berdosa, sedangkan haji mabrur tidak seharusnya dikotori dengan sebarang dosa.
Selepas mendapat haji mabrur, maka usaha untuk mengekalkan mabrur itu perlu dilakukan sebaik mungkin. Ternyata mengekalkan mabrur haji jauh lebih sukar, berbanding usaha kita bagi meraih haji mabrur.Rata-rata kita melihat jemaah haji tekun mengerjakan solat jemaah, membaca al-Quran di Masjid Nabawi. Amalan itu dikekalkan lagi di Masjidil Haram ditambah pula dengan tawaf sunat dan umrah silih berganti sehingga selesai menunaikan ibadat haji sepenuhnya.
Kehidupan selepas pulang dari Tanah Suci adalah titik tolak amat bererti kerana mereka ibarat bayi yang baru dilahirkan, bagi yang mendapat haji mabrur. Apa juga amalan yang dilaksanakan di Tanah Suci perlu diteruskan secara iltizam dan istiqamah antaranya:
  • Amar ma’ruf nahi mungkar. Kerjakan perintah Allah dengan penuh ketaatan dan menjauhi kemungkaran serta maksiat secara berterusan.

  • Mengerjakan solat di masjid secara berjemaah diteruskan secara istiqamah. Jika sebelum haji suka solat secara bersendirian, cuba pertingkatkan langkah berikut seperti meninggalkan tugas apabila mendengar azan, sedang dalam perjalanan ke masjid apabila azan berkumandang.
  • Beriktikaf dalam masjid ketika azan diperdengarkan oleh muazzin.
  • Membaca al-Quran sebagai program harian dan meneliti serta mempelajari ilmu al-Quran. Menjadikan tabiat membaca al-Quran setiap kali selesai solat walaupun beberapa ayat.
  • Menghadiri majlis ilmu yang boleh mendekatkan diri mengingati Allah. Dapat beramal segala ilmu yang dipelajari mengikut cara yang betul. Apa lagi jika ilmu dipelajari dapat dimanfaatkan kepada orang lain sebagai pembelajaran berterusan. Bagi tujuan merealisasikan hasrat itu, hendaklah suka hadir ke majlis ilmu, mendengar dan mengambil nota serta menyampaikan ilmu itu kepada orang lain.
  • Solat malam penting dalam kehidupan dan diteruskan. Pengisiannya seperti solat hajat, solat taubat, solat tasbih serta solat tahajud membantu ke arah pembentukan sahsiah individu Muslim yang unggul, ampuh dan sejati.
  • Sentiasa menghiasi diri dengan akhlak yang mulia selaras sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya aku diutuskan bagi menyempurnakan akhlak yang mulia.” Sesuai dengan mereka yang baru pulang dari Tanah Suci, pulang seperti bayi baru dilahirkan, pulang dengan membawa kejayaan, memperoleh haji yang mabrur.Memperlihatkan peribadi yang menarik dan boleh diteladani, dari segi percakapan, tingkah laku, pergaulan, cara berpakaian dan sebagainya. Menjadi rujukan masyarakat setempat khususnya berhubung dengan kekeluargaan sebagai khidmat nasihat.
  • Bergaul dengan masyarakat setempat sebagai pergaulan yang sihat, hormat menghormati, tolong menolong khususnya perkara bermanfaat, mengikut sunnah, bertemu dan berpisah kerana Allah.
  • Belajar ilmu, khususnya ilmu agama daripada guru yang mursyid, bukan sekadar mengajar tetapi lebih daripada itu iaitu yang mampu membimbing, mendidik dan mentarbiah ke arah pembentukan sahsiah diri yang unggul, beriman dan bertakwa.Ramai antara yang berpelajaran tinggi, tetapi tidak berakhlak luhur, kerana mereka hanya belajar bagi tujuan mendapatkan sijil semata-mata, tanpa membuat pengisian yang berupa wadah kepada keterampilan diri dalam usaha menjana insan kamil, masyarakat sihat dan berharmoni.
  • Peribadi manusia 90 peratus tertakluk kepada sikap. Hanya 10 peratus saja pengetahuan dan kemahiran. Daripada 90 peratus itu banyak sikap negatif dan untuk melakukan perubahan mengambil masa agak panjang.Gantikan sikap negatif kepada positif, daripada sifat mazmumah kepada mahmudah. Allah berfirman yang bermaksud: “Demi masa, manusia semuanya dalam kerugian kecuali empat golongan iaitu orang beriman, beramal salih, berpesan di atas kebenaran dan berpesan di atas kesabaran.” (Surah al-Asr)
  • Doa adalah senjata bagi orang mukmin. Doa adalah satu cara kita dapat berhubung terus dengan Allah. Basahkan lidah dengan sentiasa berzikir. Jadikan berdoa dan berzikir sebagai amalan harian. Antara zikir yang baik ialah zikir munajat. Wirid yang besar fadilatnya ialah Al-Ma’thurat.
  • Allah dan Rasulullah SAW menjanjikan tidak akan menjadi fakir kepada orang yang pergi menunaikan haji sekembalinya mereka daripada Tanah Suci nanti. Secara umumnya apabila kembali daripada haji rezeki mereka lebih murah, paling kurang hati menjadi tenang. Bekerja keras dan tekun bagi mendapatkan rezeki halal dituntut dalam Islam. Ahli fikir mengatakan, “Beramallah untuk dunia ini seolah kamu akan hidup selamanya dan beramallah untuk akhirat seolah kamu akan mati esok hari.” Punca pendapatan untuk menyara dan membiayai keluarga mestilah datangnya daripada sumber rezeki yang halal dan diberkati Allah, walaupun dalam kadar sedikit, daripada rezeki banyak melimpah ruah, tetapi daripada sumber haram dan syubhah yang mengundang kemurkaan Allah.Antara peluang keemasan bagi mendapatkan rezeki halal adalah melalui perniagaan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sembilan persepuluh rezeki datangnya daripada perniagaan.”Dengan perniagaan kita bukan saja membantu diri dan keluarga, malah dapat melebarkan peluang pekerjaan kepada umat Islam lain. Zakat yang dikeluarkan adalah sebagai zakat perniagaan, bukan saja membersihkan dan menyuburkan harta, malah sekali gus dapat menghapuskan dosa pemiliknya sekiranya dalam berhati-hati tetapi masih terkena tempias bunga riba dan syubhah.

Tuesday 23 June 2015

HAJI-PENGUKUH KEIMANANAN, PENINGKAT KETAQWAAN

Menjadi kewajipan setiap Muslim untuk memahami dan menghayati setiap amalan yang disyariatkan Allah S.W.T. Begitu jugalah halnya dengan ibadah haji. Sesungguhnya, salah satu di antara Rukun Islam yang menjadi pedoman setiap Muslim menghendaki mereka menunaikan ibadah haji di Tanah Suci Mekah sekurang-kurangnya sekali dalam hayat mereka untuk membuktikan ketaqwaan terhadap Yang Maha Esa.
Tuntutan terhadap pelaksanaan ibadah haji dinyatakan dengan jelas di dalam Al-Quran melalui Surah Al-Baqarah, Ayat 196. Allah berfirman yang bermaksud :
“.. dan sempurnakanlah ibadat haji dan umrah kerana Allah.”
Dari sudut bahasa Arab, perkataan ‘haji’ membawa maksud ‘datang’ (قََدِمَ) atau ‘menuju ke suatu tempat’ (قَصَدَ). Manakala dari sudut istilah pula, ia bermaksud menuju ke tempat-tempat yang khusus (iaitu Baitullah Al-Haram dan padang Arafah) pada waktu yang dikhususkan (iaitu bulan-bulan manasik haji) untuk melaksanakan amalan-amalan khusus seperti wukuf di padang Arafah, tawaf, Sai’e dengan pematuhan terhadap syarat-syarat yang tertentu.
Selain merupakan refleksi diri manusia terhadap tanggungjawab sebagai Khalifah Allah di muka bumi, setiap amalan yang disyariatkan dalam ibadah haji mempunyai simbolik tersendiri dan merupakan platform bagi para jemaah untuk meningkatkan keimanan kepada Allah S.W.T. Seharusnya para jemaah memahami dan menghayati setiap satunya dan mengambil iktibar di sebalik pengajaran yang diperolehi melalui pelaksanaan amalan-amalan ini. Oleh yang demikian, persediaan dari aspek jasmani dan rohani sebelum berangkat ke Tanah Suci Mekah untuk menunaikan haji perlu dititikberatkan oleh setiap jemaah supaya dapat menunaikan ibadah ini dengan sempurna.
Ihram yang dipakai oleh jemaah haji sewaktu melaksanakan ibadah ini melambangkan kesamaan taraf semua jemaah di sisi Allah S.W.T. Tidak kira dari mana asal mereka dan apa jua pekerjaan yang dilakukan, kesemuanya tidak terkecuali dari memakai ihram. Ini dijelaskan dalam Al-Quran di mana semua umat manusia adalah sama di sisi Allah S.W.T. Hanya mereka yang taat menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan sebagai Khalifah di muka bumi ini akan mendapat rahmat dari-Nya. Oleh yang demikian, seharusnya tidak wujud perbezaan di antara orang yang miskin dengan yang kaya, golongan bangsawan mahupun golongan marhaen, kerabat Diraja mahupun biasa dan sebagainya. Semuanya akan diadili dengan sama oleh Allah S.W.T. kelak.
Ibadah melontar di Jamrah pula melambangkan kebencian umat manusia terhadap musuh utamanya iaitu Syaitan dan Iblis. Simbolik ibadah ini iaitu dengan melontarkan batu-batu kecil ke arah Jamrah yang diibaratkan seperti para Iblis dan Syaitan dengan jelas menunjukkan kebencian manusia terhadap semua kemungkaran yang berlaku di dunia akibat godaan Syaitan dan Iblis.
Tidak dinafikan, manusia cenderung untuk memilih jalan mudah sebagai penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi tanpa mengambilkira pandangan agama terhadapnya. Tidak kurang juga yang selalu mengambil mudah mengenai perkara-perkara berkaitan agama Islam dalam kehidupan seharian. Realitinya, kita lebih mementingkan kesenangan kehidupan duniawi semata-mata, seringkali tewas dengan godaan duniawi dan mengabaikan perintah Allah S.W.T. dalam mengejar kesenangan hidup di dunia. Justeru, melalui pelaksanaan ibadah melontar Jamrah ini, Islam mendidik kita supaya membenci musuh utama manusia (Syaitan dan Iblis) dan sentiasa mengambil berat mengenai perkara-perkara yang dilarang dalam agama Islam. Justeru, kita hendaklah mencegah sebarang bentuk penyelewengan dan mengelakkan salah laku yang boleh menjejaskan keimanan kepada Allah S.W.T.
Sesungguhnya, musim haji adalah waktu yang istimewa kepada umat Islam. Pada waktu inilah, umat Islam dari seluruh pelusuk dunia akan berhimpun di Tanah Suci Mekah dengan azam dan matlamat yang sama iaitu menunaikan kewajipan dan mencapai keredhaan Allah S.W.T. dengan mengerjakan ibadah haji sebaik yang mungkin. Mereka tetap bersatu walaupun hakikatnya mempunyai latar belakang dan budaya yang berbeza di antara satu dengan yang lain. Kesemuanya adalah sama, melaungkan tarbiyah “LabbaikaAllah”, mengakui kewujudan Tuhan Yang Maha Esa, Yang Mencipta dan Mentadbir seluruh muka bumi ini.
Pada musim haji, umat Islam turut berpeluang berkunjung ke tempat-tempat bersejarah di Kota Mekah dan sekitarnya. Ia bukanlah perjalanan ziarah biasa, namun ianya bertujuan menggambarkan kesusahan dan cabaran yang dihadapi oleh Junjungan Besar Rasulullah S.A.W. dalam usaha Baginda menyebarkan ajaran agama Islam suatu ketika dahulu. Penghayatan terhadap kisah-kisah perjuangan Baginda Rasulullah S.A.W. dalam meningkatkan syiar agama Islam akan meningkatkan rasa kasih kepada Baginda walaupun hakikatnya tidak pernah bertemu. Sebagai umat Muhammad S.A.W., sunnah Baginda hendaklah dijadikan panduan dalam menjalankan urusan kehidupan seharian.
Sesungguhnya, ibadah haji mendidik kita menjadi insan yang lebih baik untuk mencapai kesempurnaan. Seorang Muslim yang baik bukan sahaja mematuhi segala perintah Allah S.W.T., tetapi pada masa yang sama ia akan membawa kebaikan kepada persekitarannya. Pastinya ia akan menjadi seorang insan yang berkualiti dan menjalankan tanggungjawab sebagai seorang anak, ibu, bapa, majikan, pekerja dan sebagainya dengan baik.
Akhirnya, matlamat pelaksanaan ibadah haji ialah untuk mengubah seseorang menjadi insan yang lebih baik. Seseorang yang menunaikan semua amalan yang disyariatkan dalam ibadah haji dengan sempurna akan beroleh keampunan Allah S.W.T. walau sebanyak mana kekhilafan yang dilakukan pada masa lampau. Golongan inilah yang dianugerah haji mabrur iaitu tingkat haji yang paling tinggi di mana balasannya ialah syurga