Penyembelihan hewan untuk dam di Pasar Kakiyah Mekah
Dam ialah denda yang dikenakan kepada Jemaah yang mengerjakan umrah kerana meninggalkan perkara-perkara yang wajib, melakukan perkara-perkara yang dilarang, sama ada dilakukan secara sengaja, tidak sengaja atau kerana tidak tahu.
Mengikut pendapat ulama Mahzab Syafie, satu dam bersamaan dengan seekor kambing dan hendaklah disedekahkan dagingnya atau berpuasa selama 3 hari ataupun memberi makanan kepada 6 orang miskin, setiap seorang diberikan sebanyak setengah gantang.
Terdapat tiga bentuk hukuman mengikut tahap-tahap pelanggaran:
Sekiranya melanggar larangan secara sengaja, tanpa keuzuran atau bukan di bawah paksaan, hukumnya berdosa dan Jemaah diwajibkan membayar dam.
Sekiranya melanggar larangan kerana terpaksa, hukumnya tidak berdosa dan Jemaah wajib membayar dam.
Sekiranya melanggar larangan kerana sebab jahil, uzur, lupa atau semasa tidur, maka hukumnya tidak berdosa dan tidak wajib membayar dam.
Jenis-jenis Dam
Terdapat empat jenis dam, iaitu:
1. Dam Tertib Takdir
Maksud tertib iaitu melakukan satu dam yang ditetapkan dan jika tidak mampu, lakukan dam berikutnya yang ditetapkan. Manakala takdir pula iaitu kadar dam yang telah ditetapkan oleh syarak. Contohnya, seseorang yang tidak berihram di Miqat, hendaklah ia melaksanakan dam iaitu menyembelih seekor kambing. Jika tidak mampu hendaklah berpuasa 10 hari (iaitu 3 hari di masa haji dan 7 hari apabila ia pulang ke tempatnya), sekiranya tidak mampu juga disebabkan tua, hendaklah dikeluarkan satu cupak tiap-tiap satu hari (sebanyak 10 cupak). Jika tidak berdaya juga, maka tertanggunglah zimmah ke atasnya.
2. Dam Tertib dan Takdil
Maksud takdil apabila seseorang tidak berkuasa mengeluarkan makanan, hendaklah ia ganti dengan berpuasa. Contohnya, seseorang yang melakukan persetubuhan, maka si suami dikenakan dam iaitu menyembelih seekor unta, jika tidak mampu hendaklah ia menyembelih seekor lembu, jika tidak mampu hendaklah digantikan dengan tujuh ekor kambing. Jika tidak mampu hendaklah membeli makanan dengan nilai seekor unta dan dibahagikan kepada fakir miskin di Tanah Haram. Jika tidak mampu, hendaklah ia berpuasa beberapa hari sebanyak bilangan cupak makanan yang dapat dibeli dengan nilai seekor unta.
3. Dam Takhyir dan Taqdir
Maksudnya ketetapan kepada barang yang boleh diganti. Contohnya seseorang yang memakai pakaian yang dilarang dalam ihram atau memotong kuku, maka dam yang dikenakan menyembelih seekor kibas (atau kambing atau 1/7 unta). Sekiranya tidak mampu, bersedekah kepada 6 orang fakir miskin sebanyak 2 cupak makanan tiap-tiap seorang. Sekiranya tidak mampu, berpuasa tiga hari.
4. Dam Takhyir dan Takdil
Takhyir ertinya boleh memilih satu daripada perkara-perkara yang ditetapkan. Contohnya, memburu binatang yang halal dimakan atau mencabut pokok dan dam yang dikenakan iaitu menyembelih binatang mengikut binatang yang diburu. Jika rusa, bandingannya ialah lembu, jika kijang, bandingannya ialah kambing dan seumpamanya. Jika tidak mampu, hendaklah membeli makanan dengan nilai harga binatang sebagai bandingan dan dibahagikan kepada fakir miskin di Makkah. Sekiranya tidak mampu hendaklah berpuasa beberapa hari sebanyak bilangan cupak makanan yang dapat dibeli dengan harga nilainya iaitu satu cupak satu hari. Wallahua’lam
Cara Membayar Dam
Bagi membayar dam, Jemaah bolehlah berbincang dengan mutawwif tentang cara bayaran dam. Bayaran dam dan fidyah adalah urusan sendiri dan Jemaah bolehlah membayarnya kepada fakir miskin Makkah pada kadar 5 rial.
Bayaran dam ini bergantung kepada jenis-jenis kesalahan larangan dan ianya tidak sama antara satu kesalahan dengan kesalahan yang lain.
Perlu diingat yang dam hanya boleh dibayar di Makkah sahaja kecuali dam ihsar bagi Jemaah yang gagal meneruskan umrah.