Wednesday 20 March 2019

HAJAR ASWAD


 Hajar Aswad adalah batu berwarna hitam yang berada di penjuru/sudut tenggara Kaabah yang merupakan penjuru/sudut dimana tempat tawaf dimulai
• Hajar Aswad merupakan batu yang diturunkan Allah SWT dari Syurga melalui malaikat Jibril
• Dalam salah satu riwayat Bukhari-Muslim, diterangkan bahawa Saidina Umar RA, sebelum mencium Hajar Aswad mengatakan, "Aku tahu, sesungguhnya engkau hanyalah batu biasa. Andaikan aku tidak melihat Rasulullah SAW menciummu, sudah tentu aku tidak akan melakukan (Mencium Hajar Aswad)".
• Mencium Hajar Aswad bukanlah suatu kewajipan bagi unat Islam, tapi merupakan anjuran dan hukumnya sunnah.

Friday 1 March 2019

5 TIPS BERGUNA SEBELUM BERANGKAT MENUNAIKAN UMRAH. BACA DULU SEBELUM REGISTER. NO. 5 RAMAI YANG TERKENA.


Pengalaman membawa jemaah umrah Rarecation mengajar kami banyak perkara berkaitan tips dan trik serta bagaimana hendak menjaga keperluan diri jemaah. Sepanjang menziarahi Rasulullah di Madinah dan mengunjungi Baitullah di Mekah mendidik saya mengenali insan-insan yang mulia dari pelbagai latar, watak dan corak kehidupan. Semua itu adalah cabaran untuk memenuhi keperluan dan kehendak jemaah.

Ada yang baru kali pertama menjejakkan kaki mereka di Haramain. Ada juga yang sudah kali kelapan mendapat rezeki di jemput Allah. Tak kira usia, pangkat, nama dan status semuanya menjadi kerabat dan keluarga saya atas nama jemaah yang diseru Allah berkunjung ke sana.


Siapa pun kita, di bumi Mekah kita semua adalah sama. Tidak kira agensi apa atau pakej yang kita ambil itu murah, mahal atau sederhana sebenarnya kita pergi atas tiket dan tujuan yang sama. Yang membezakan antara satu sama lain adalah PENGISIAN yang dikongsikan sepanjang 12 hari kita berada di sana. Dan bagaimana kita mengambil pelajaran selama kita bermusafir sebagai tetamu Allah.

.

BERIKUT ADALAH TIPS MUDAH JIKA KITA SUDAH BERSEDIA MENJADI TETAMU ALLAH DAN RASUL. 

.

Sebaik sahaja kita membuat keputusan untuk ke tanah suci, kita hendaklah mengetahui beberapa perkara yang penting yang boleh membantu kita semasa di sana nanti.


Antaranya ialah waktu bila kita ke tanah suci samada musim sejuk ataupun panas ?

.

TIP 1 – KEADAAN CUACA DAN SUHU DI TANAH SUCI

.

Arab Saudi mempunyai 2 musim yang utama iaitu musim panas dan kering dan juga sejuk dan kering. Lazimnya musim sejuk bermula di antara bulan pertengahan bulan November hingga Mac atau April, manakala musim panas bermula antara bulan April hingga Oktober. Jadi pastikan kita memilih suasana yang sesuai dengan diri kita. Jangan ikut orang. 


Oleh kerana musim sejuknya kering dan musim panasnya juga kering, maka kulit kita dan bibir kita mudah untuk menjadi kering. Dan selalu juga tumit kaki kita pecah-pecah disebabkan olehnya. Apabila ini berlaku, ini boleh menyebabkan kesakitan yang amat sangat dan menyukarkan kita untuk berjalan jauh.


Sebagai persediaan bagi mengelakkan kita menghadapi masalah di sana nanti, kita hendaklah membawa “Cream Pelembab Kulit”atau “Losyen Pelembab Kulit” seperti berjenama Nivea atau Viseline. Sekadar menamakan beberapa produk yang biasa digunakan jemaah umrah. Hari ini ada banyak pilihan produk yang berjenama dan pilihlah yang sesuai dengan bajet masing-masing. 

.

Bagaimana pula pada musim panas?


Sekiranya kita ke tanah suci pada musim panas, jangan lupa membawa bersama cermin mata hitam, sebaiknya yang berjenama atau “original”. Suhu panasnya boleh mencecah sehingga 50’C dan untuk melihat ke hadapan begitu silau dan memeritkan sekali. Senang cakap, kita berjalan nak buka mata pun susah. Berpijar mata kita sampai terkebil-kebil hendak melihat pemandangan.


Paling perit jika peluh meleleh masuk ke mata. Yang pernah kena saja tau ‘nikmatnya’ macam mana!

.

Kalau musim sejuk?


Sekiranya kita ke sana pada musim sejuk, kita kena selidiki berapa suhu sejuknya. Suhu sejuknya boleh mencecah bawah dari 10’C. Suhu sejuk yang melampau ini boleh menyebabkan tulang-tulang pada jari-jari kita menjadi ngilu atau sakit-sakit. Jika suhu sedemikian, selain dari memakai baju sejuk atau jaket yang tebal, sarung tangan juga jangan ketinggalan. Stokin pun antara senjata yang mujarab melawan sejuk.


Biasanya suhu sejuk ini akan jatuh pada waktu malam dan subuh. Waktu siang ketika ada matahari, panasnya masih terik walaupun suhunya sekitar 20-25 C. Jika hujan turun pada siang atau malam hari, esoknya dijamin sejuk. Nasihat saya bagi yang mahu keluar bersiar-siar atau ke masjid di waktu malam, pastikan pakai pakaian tebal dan bawa duit lebih untuk beli shawarma dan kopi panas.

.

TIP 2 – PENGELUARAN WANG DAN TUKARAN WANG

.

Kita boleh menukar wang di Malaysia atau di Makkah/Madinah menerusi “kedai tukaran wang” yang banyak terdapat di sana. Kadar tukaran terkini ialah SR100 bersamaan RM104 ke RM107. Kadar tukaran ini tertakluk kepada perubahan semasa. Biasanya tukaran wang di Madinah lebih mendapat nilaian yang tinggi berbanding Makkah dan Malaysia. 


Antara lokasi money changer murah di Madinah di hadapan Hotel Fayroz Shattah. Atau boleh cari pintu 25. Sebelah hotel Bahauddin. Jemaah Rarecation jangan bimbang, turun lobi hotel terus boleh nampak kedainya.


Pada musim haji, Tabung Haji ada membuka kaunter pengeluaran di Maktab-maktab Haji Jemaah Malaysia. Tetapi pada musim umrah perkhidmatan ini tidak disediakan di Makkah dan Madinah.


Sekiranya kita takut untuk membawa wang tunai yang banyak, Ada banyak lokasi ATM Al-Rajhi di beberapa lokasi yang telah disediakan. Semasa di tanah suci, had pengeluaran maksima di mesin ATM Al-Rajhi ialah SAR5000 sahaja sehari. Jika kita ingin mengeluarkan lebih dari SAR5000, kita terpaksa menunggu selepas 24 jam pengeluaran pertama dibuat.

.

TIP 3 – PERBEZAAN WAKTU

.

Malaysia lebih awal 5 jam daripada waktu di Arab Saudi. Jika waktu Malaysia pada jam 10 pagi, maka waktu di Arab Saudi ialah jam 5 pagi. Jika kita ingin menghubungi keluarga kita di Malaysia, sebaiknya kita hubungi mereka selepas waktu Subuh atau pada waktu siang hari. Jika waktu selepas Subuh di Makkah jam 6 pagi, waktu di Malaysia ialah jam 11 pagi.


Bagi yang membawa anak-anak kecil, boleh jadikan panduan untuk tidurkan anak mengikut waktu Malaysia. Aturkan jadual berdasarkan kebiasaan masa anak-anak di tanah air. Waktu makan, berehat dan tidur penting dijaga sebab nak elakkan mereka meragam dan mengganggu masa ibadah kita. Jika datang dengan keluarga besar tambahan dengan anak-anak yang kecil, lagilah kena bijak merancang.


Apa pun jangan bimbang, itu semua boleh diatasi dengan mudah jika sudah bersiap sedia dari awal. Macam jemaah kami, beliau siap buat jadual waktu lagi. Bila nak menyusu, waktu bila nak bagi anak tidur dan masa bila nak turun ke masjid untuk tawaf sunat dan iktikaf. Ini semua adalah satu pengalaman yang indah jika kita sentiasa bersedia dan berlapang dada.

.

TIP 4 – ELAKKAN MEMBAWA PAKAIAN YANG BANYAK

.

Jangan bawa pakaian yang terlalu banyak, walaupun kita di tanah suci selama 2 minggu. Sebaiknya bagasi kita jangan lebih dari 15 kg. Ini kerana kebiasaannya jemaah akan membeli-belah semasa di sana, dibimbangi semasa balik nanti had muatan bagasi lebih dari sepatutnya yang memungkinkan dikenakan denda atau “caj lebihan bagasi”. 


Untungnya kita naik Saudi Airlines, seorang dapat 46kg dengan maksima 2 bag. 1 bagasi dengan had 23kg. Cukup sangat kalau nak beli belah dan bawa balik bekal untuk orang kampung.


Bagi lelaki memadai dengan 2 pasang baju yang sesuai untuk beribadah atau pakaian semasa solat. Kain ihram pula 3 helai atau sepasang setengah. Begitu juga bagi wanita, memadai dengan 2 pasang jubah 2 pasang telekung sahaja.


Bagi jemaah wanita, tips untuk masuk ke Raudah, siap sedia sepasang jubah warna hitam. Kadang kala jika jemaah kita terlalu nampak kemelayuannya, akan terpinggir ke bahagian belakang. Berbanding kita berpakaian ala wanita Arab. Lebih mudah nak menyelit dan masuk ke bahagian Raudah. 


Semasa di tanah suci, jemaah pasti akan membeli pakaian atau jubah baru kerana selain dari harganya yang lebih murah berbanding di Malaysia. Kalau di Mekah atau Madinah setiap pagi selepas subuh sudah ramai yang akan berniaga di depan hotel sepanjang jalan pulang dari Masjid.


Kualiti dan harga boleh nilai sendiri. Semua itu hanyalah sampingan sahaja. Jangan terlalu sibuk membeli belah sampai kita lupa tujuan asal datang nak beribadah.

.

Perkhidmatan Dobi?

.

Terlalu mahal. Upah dobinya ada pilihan bermula SAR5 hingga SAR10 sehelai. Jika kita menghantar 3-4 helai pakaian ke kedai dobi, jangan terkejut jika upahnya boleh mencecah sehingga SAR50 atau lebih dari itu. Bergantung di mana perkhidmatan dobi itu dibuat. Jika di hotel 5 bintang, boleh mencecah lebih dari SAR100. 


Kadang ada jemaah yang fikir beli baju baru lebih baik dari hantar ke dobi. Apa pun pilihan dan kemampuan sila umur di badan sendiri.


Kebiasaanya di hotel-hotel budget, pekerja-pekerja hotel (biasanya Bangladesh) ada menawarkan perkhidmatan dobi kepada jemaah dengan harga yang murah sedikit berbanding di luar. Bagi yang berkemampuan, bolehlah berlanggan dengan mereka. Ada yang datang kutip dari bilik ke bilik, siap hantar. Bayar kemudian. Boleh pilih nak lipat atau berpenyangkut.


Tetapi, jika kita ingin berjimat, bawalah sabun buku atau serbuk pencuci dari Malaysia. Di sana pun ada, tetapi sabun atau serbuk pencucinya biasanya kurang buih atau kurang ‘power’.

Oleh kerana di tanah suci cuacanya kering, maka pakaian yang dibasuh akan cepat kering. Biasanya jika kita basuh baju selepas Subuh, apabila dijemur di dalam bilik, waktu petang sudah kering. Jika dijemur di kawasan panas matahari lebih cepatlah kering pakaian kita.
.

TIPS 5 - NAK PAKAI SELIPAR ATAU KASUT

.

Mudahnya bawalah 2 pasang selipar. Satu yang sudah siap kita pakai dari rumah. Sepasang lagi stand by kalau-kalau selipar kita hilang di masjid. Nak panjat Gua Hirak, guna selipar yang sama pun boleh. Tak ada masalah. Jadi tidak perlu penuhkan bag dan beratkan muatan untuk bawa kasut hitam siap berkilat atau kasut sukan.


Sekecil-kecil ujian sabar adalah hilang selipar. Jadi sentiasa beringat untuk bawa kasut bersama ketika ziarah atau iktikaf di dalam masjid. Gunakan bag yang disediakan. Jangan tinggalkan kasut di tempat letak kasut sewenang-wenangnya. Takut keluar nanti dah lesap. Jadilah macam seorang jemaah saya sampai enam kali dia hilang selipar.


Apa pun ini semua hanya sebahagian dari tips yang mudah dan ringkas. Untuk kita jadikan persiapan dan persediaan diri sebelum memilih pakej atau menentukan waktu yang sesuai untuk pergi menunaikan ibadah umrah atau haji. Ada banyak lagi tips yang kena gali dan korek dari dari kawan-kawan yang sudah jejak kaki di Haramain.


Setiap individu mungkin berbeza pandangan dan pengalaman. Itu perkara biasa semasa kita mengerjakan umrah. Lain orang, lain ujiannya. Apa pun semua itu tidak ada yang sia-sia sama ada ianya baik atau buruk, yang penting ia akan memandaikan kita di masa hadapan. Paling berguna jika kita kongsikan pula tips pada yang baru pertama kali nak naik ke Tanah Suci.


Kongsikan jika anda rasa ianya bermanfaat untuk ibuayah, abang kakak dan keluarga yang akan berangkat pergi tunaikan umrah. Share dan tag kawan-kawan yang mungkin sedang mencari pakej yang sesuai dan tengah buat persiapan untuk beribadah di sana. 


Saya doakan kepada semua jemaah umrah dipermudahkan perjalanan ke sana. Setakat ujian material ini, hadapilah dengan senyuman. Enjoy ibadah kerana Allah. Jika ada yang terkurang atau diuji di mana-mana, itu semua sebahagian dari kifarah dan barakah di bumi Haramain. Semoga kita semua dijemput Allah lagi untuk menjadi tetamuNya. Amin.