Thursday 19 March 2015

PULANGNYA DARI MENJADI TETAMU ALLAH

Saat perpisahan dengan Baitullah adalah merupakan detik yang amat mencengkam hati dan perasaan. Perasaan sedih yang bukan dibuat-buat, tetapi sebuah kepiluan yang sarat dengan pengharapan kepada Ilahi moga pertemuan ini bukanlah detik terakhir dalam sebuah perjalanan seorang hamba. Saya merenung kaabah buat kali terakhir setelah selesai melaksanakan tawaf wada’. Membetuli pintu kaabah saya memohon kepada Allah agar diri ini dijemput lagi menjadi tetamuNya di ketika yang lain. Air mata kesayuan laju mengalir membasahi pipi penuh pengharapan dan keazaman.
Menunaikan haji memerlukan pengorbanan yang bukan sedikit
Mengimbau saat pertama kali menjejakkan kaki ke tanah haram dan berpisah dengannya adalah suatu pengalaman yang sukar digambarkan walaupun peluang mengunjunginya masih lagi diberi oleh Yang Maha Esa namun perasaannya tetap sama.  Apa yang pasti setiap kita akan teruja kerana impian untuk melaksanakan tuntutan agama dalam rukun Islam yang kelima ini membawa pengertian yang cukup hebat kepada insan yang beriman kepada Yang Maha Esa dan merasai hikmahnya.
Setiap kita inginkan yang terbaik dalam beribadah, khususnya ibadah haji yang menjadi kemuncak pengabdian kita kepada Allah. Disebalik pensyariatan ibadah ini, Allah SWT ingin mendidik manusia beriman yang patuh serta memahami perjalanannya agar dapat mendidik rohani dan akhlak menjadi manusia sempurna dari segi penghayatan dan bersyukur dengan sebuah kehidupan yang dianugerahkan Allah kepadanya. Firman Allah SWT dalam surah ali-Imran ayat 96 dan 97:
Maksudnya: “Sesungguhnya rumah ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Allah) ialah baitulLah di Makkah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia. Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliaanNya, diantaranya ialah) Maqam Nabi Ibrahim. Dan sesiapa yang masuk ke dalamnya aman tenteramlah dia. Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadah haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepada-Nya. Dan sesiapa yang kufur (ingkar kewajipan ibadat haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekelian makhluk.”
Sesungguhnya segala ketaatan dalam beribadah yang dilakukan manfaatnya adalah untuk kita kerana Allah tidak berhajat kepada segalanya. Allah SWT tetap mulia, hebat dan agong walaupun seluruh makhluk kufur kepadaNya.
Justeru apakah yang perlu kita fahami dari ibadah ini agar ianya kekal menjadi momentum kecemerlangan diri yang seiring dari segi tindakan dan peningkatan keimanan dan ketaqwaan?.
Pulang dengan perubahan
Seseorang tetamu Allah akan beroleh keberhasilan dalam amalan hajinya samaada diterima Allah atau tidak. Bagi menilai status haji, adakah kita pulang dengan keuntungan dan keampunan dari Allah atau hanya sekadar sah perlaksanaannya tanpa apa-apa pahala atau tertolak terus haji kita? Kita seharusnya menilai semula tahap perlaksanaan ibadah tersebut. Menurut pandangan masyhur dikalangan ulama’ penerimaan ibadah haji di sisi Allah SWT mempunyai empat peringkat yang berbeza;
Pertama, Haji Mardud ialah haji yang tidak diterima oleh Allah SWT. Apakah sebab hajinya tidak diterima? Keadaan ini berlaku adalah kerana sewaktu melaksanakan ibadah tersebut terdapat kekurangan syarat-syarat dan rukunnya atau sebab-sebab yang lain seperti pelanggaran pantang larang semasa ihram yang menyebabkan hajinya tidak sah pada pandangan syarak maka secara lansung hajinya tidak diterima dan ditolak oleh Allah SWT. Bagi mereka yang berstatus ini wajib menqadakan hajinya pada tahun hadapan.

No comments:

Post a Comment