Thursday 19 March 2015

BERSEDIAKAH KITA MENJADI TETAMU ALLAH?

Musim haji datang lagi. Para tetamu Allah yang telah disenaraikan semakin berdebar menanti waktu penerbangan ke tanah suci. Namun telah bersediakah kita untuk menunaikan sebuah ibadah hebat ini? Persiapan utama yang perlu disempurnakan dan difahami oleh seseorang yang bakal menjadi tetamu Allah yang terpilih dan dipilih ialah dengan mengetahui, kenapa ibadah haji menjadi keutamaan dalam proses kesempurnaan hidup insan di dunia ini?
            Hakikat nyata, kesedaran diri sebagai manusia jahil, hina dan kerdil di sisiNya tidak menghalang untuk kita berfikir dan tidak melakukan perkara tanpa memahami sebab ia perlu dilakukan. Maksud tersirat apabila kita mahu melaksanakan ibadah haji, kita perlu melakukan dengan cara yang terbaik supaya dapat meninggalkan kesan yang mendalam pada diri sendiri terutamanya dalam konteks hubungan dengan Pencipta. Ia memerlukan pemahaman sepenuh hati dan perasaan.
            Namun untuk mengetahui dan memahami persoalan ini ianya tidak memungkinkan kita memperolehi jawapannya dalam ceramah-ceramah kursus asas haji sahaja kerana di sana ia lebih menitikberatkan persoalan tatacara perlaksanaan haji. Sebenarnya, kita perlu lebih menekuni beberapa aspek daripada falsafah ibadah haji melalui pembacaan dan perbincangan dengan mereka yang mempunyai latarbelakang pendidikan agama yang baik khususnya dalam bab ibadah haji.
            Hakikatnya, falsafah dan hikmah daripada segala sesuatu tidak semua dapat dilihat oleh pandangan mata kepala, tetapi dengan mata hati. Allah SWT tidak mencipta segala yang wujud di dunia ini kecuali mempunyai falsafah dan hikmahnya. Ada sebab dan tujuannya. Sama ada diketahui oleh manusia ataupun tersembunyi daripadanya.
            Begitu juga Allah SWT tidak memerintahkan untuk melakukan sesuatu perbuatan atau melarang daripada sesuatu amalan, melainkan kerana hikmah yang ada disebaliknya. Semuanya itu tidaklah sia-sia, bagi yang mahu berfikir pasti akan menjumpai jawapannya sebagaimana firman Allah SWT:
“Wahai Tuhan kami! tidaklah Engkau menjadikan segalanya ini dengan sia-sia, Maha suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.”
(Surah ali-Imran: 191)
Alhamdulillah, jika kita terpilih sebagai tetamu Allah SWT. Jika menjadi tetamu kepada manusia atau orang besar, kita sudah pasti berasa sangat gembira. Oleh itu, kita perlu lebih gembira lagi jika terpilih menjadi tetamu Allah. Namun, persoalannya, bersediakah kita untuk menjadi tetamu Allah?
Musafir untuk mengerjakan haji atau umrah adalah tidak sama seperti musafir untuk pergi melancong. Setiap pergerakan, perbelanjaan kita adalah ibadah dan akan diberi ganjaran pahala oleh Allah SWT. Antara persiapan yang perlu dilakukan ialah daripada segi fizikal, mental dan rohani. Daripada segi fizikal, kita perlu menjaga kesihatan dan kecergasan. Daripada segi mental pula, kita perlu bersedia menghadapi ujian-ujian yang bakal menimpa. Daripada segi rohani pula, kita perlu meningkatkan ketaqwaan kepada Allah kerana itulah sebaik-baik bekalan.
Secara ringkasnya, antara persiapan mengerjakan haji ialah:
Jaga akidah daripada perbuatan syirik. Contoh mudah – ada orang yang menganggap hajar aswad, kaabah dapat memberi syafaat/mudarat kepada seseorang. Kita perlu berhati-hati kerana Allah tidak akan menerima amalan orang yang ada syirik kepada-Nya.
Kita perlu bersiap daripada sudut kewangan dan memastikan yang sumbernya halal. Sahabat pernah bertanya Rasulullah SAW, “Apakah yang mewajibkan haji?” Nabi SAW menjawab, “Bekalan dan kenderaan”. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a., Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Jika seorang keluar untuk menunaikan fardu haji dengan nafkah yang baik (halal) dan ketika meletakkan kakinya pada tali sandang maka menyerulah dia – Labbaikallah hummalabbaik. Maka disambut oleh yang menyeru dari langit yang maksudnya: “Seruan kamu diterima dan berbahgialah kamu, bekalan kamu itu halal, kenderaan kamu itu halal dan haji kamu haji mabrur(tidak ditolak). Sebaliknya jika seorang keluar menunaikan fardu haji dengan perbelanjaaan yang haram dan kotor. maka ketika meletakkan kakinya ditali sandang atau kenderaan ,manakala dia bertalbiah , disambut oleh yang menyeru dari langit: "Tidak diterima seruanmu dan tidak ada kebahagiaan bagi kamu, bekalan kamu haram, perbelanjaaan kamu haram,haji kamu ditolak, tidak ada pahala dan tidak ada ganjaran bagi kamu”.
Oleh itu, pastikan sumber rezeki kita tiada unsur riba, khianat atau perkara-perkara haram yang lain. Seterusnya keikhlasan kita perlu dijaga dalam setiap amalan kebaikan yang ingin dilakukan.
Persiapan fizikal dan mental perlu juga diberi perhatian. Kita akan berpisah dengan keluarga untuk jangkamasa yang panjang (lebih kurang 40 hari). Dalam perjalanan juga kita akan diberi ujian-ujian oleh Allah. Oleh itu, kita perlu tingkatkan kesabaran dan ingat bahawa permusafiran itu juga merupakan satu bentuk ujian daripada Allah.
Dalam mengerjakan rukun-rukun haji, kita akan mengalami kesesakan kerana jumlah orang yang ramai. Oleh itu , kita perlu banyak bersabar dan bertolak-ansur. Segala kepayahan dan kesukaran yang dialami adalah sebagai satu jalan mujahadah kepada jalan Allah. Seterusnya, kita perlu mempersiapkan diri dengan ilmu, terutamanya ilmu mengerjakan haji.

No comments:

Post a Comment