Sunday 9 February 2020

FAKTA TENTANG KAABAH


Allah SWT berfirman dalam al-Quran secara terjemahannya :-
Sesungguhnya Rumah Ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah yang di Makkah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia. [Ali Imran : 96]
Kaabah merupakan binaan agung yang mulia di sisi umat Islam. Allah SWT telah memilih binaan ini dengan hikmah kebijaksanaanNya sebagai mercu ketundukan dan kepatuhan kita terhadapNya. Sejarah membuktikan bagaimana Allah SWT memelihara binaan suci ini walau berkali-kali berhadapan dengan bencana serta ancaman manusia yang dengki dan berniat jahat ke atasnya. Maha suci Allah yang mengurniakan nikmat kebenaran kepada kita dan memelihara kesan-kesan keagungan agama ini sebagai sebab untuk kita terus mensyukuri dan mentaati aturanNya.
Kaabah yang sudah sekian lama terbina sejak zaman-berzaman ini sudah tentu mengandungi pelbagai nilai penting dalam lipatan sejarah. Ayuh kita cuba singkapi beberapa fakta penting berkenaan binaan yang penuh keberkatan ini.
1) Nama-nama Kaabah.
Al-Quran telah menggunakan lebih daripada satu nama ketika merujuk kepada binaan ini. Antara nama-nama yang disebut di dalam al-Quran adalah seperti berikut :-
– Kaabah (Al-Maidah : 297)
– Al-Bayt (Ali Imran : 97)
– Al-Bayt Al-Atiq (Al- Hajj : 29)
– Al-Bayt Al-Haram (Al-Maidah : 3)
– Al-Bayt Al-Ma`mur (At-Tuur : 4)
– Al-Bayt Al-Muharram (Ibrahim : 37)
2) Nama Penjuru-Penjuru (Rukun) Kaabah.
Kaabah mempunyai empat penjuru yang mana setiap satunya diberi nama berpandukan arah dan sebab
tertentu.
Berikut adalah nama-nama penjuru Kaabah :-
– Penjuru Hajarul Aswad : Penjuru ini menghala ke arah timur dan Hajarul Aswad ditempatkan pada penjuru ini.
– Penjuru Iraqi : Penjuru ini menghala ke arah negara Iraq. Di penjuru inilah terletaknya pintu Kaabah dan Multazam.
– Penjuru Syami : Penjuru ini pula menghala ke arah Syam dan di sini terletaknya Hijir Ismail yang dibina oleh Nabi Ibrahim a.s.
– Penjuru Yamani : Penjuru yang menghadap ke arah negara Yaman.
3) Pintu Kaabah.
Pintu Kaabah dahulunya dibuka kepada umum bagi sesiapa yang ingin melaksanakan ibadah di dalamnya namun setelah pertambahan bilangan jemaah yang terlalu ramai pintu ini ditutup bagi mengelakkan berlakunya sebarang perkara yang tidak diingini. Hari ini pintu Kaabah dibuka dua kali sepanjang tahun bagi tujuan pembersihan dan ketika proses menggantung kiswah yang baru.
Pintu ini juga dibuka secara khusus kepada orang-orang kenamaan.
4) Pemegang Kunci Kaabah.
Ketika peristiwa Pembukaan Kota Makkah, Rasulullah SAW telah menyerahkan kunci Kaabah kepada Uthman bin Talha daripada Bani Syaibah untuk meneruskan legasi amanah menjaga kunci binaan tersebut sejak daripada penyerahan amanah yang disempurnakan oleh moyang baginda Nabi SAW yang bernama Qusai bin Kilab kepada anak sulungnya, Abd al-Dar.
Sehingga ke saat ini, amanah menjaga kunci Kaabah ini diteruskan menuruti apa yang telah dilaksanakan oleh Nabi Muhammad SAW di mana anak kunci ini diserahkan kepada kaum kerabat Bani Syaibah. Pemegang kunci Kaabah pada hari ini adalah Dr. Saleh bin Zain al-Abidine al-Shaybi. Beliau merupakan Ketua Jabatan Dakwah dan Asas Agama Universiti Umm Al-Qura.

No comments:

Post a Comment