Friday 16 January 2015

PINCANGLAH IBADAT HAJI JIKA TIADA ILMU


MENJELANG bulan haji, individu yang bakal ke Tanah Suci hendaklah menyiapkan diri dengan segala keperluan dan bekalan yang diperlukan. Sesungguhnya ilmu adalah antara bekalan paling mahal di sisi manusia apabila ingin melakukan sebarang bentuk ibadat termasuk ibadat haji. Semua silibus, latihan, kertas perbincangan muzakarah dan fatwa mengenai haji seelok-eloknya dibaca supaya difahami dengan baik demi mencapai haji yang diterima di sisi Allah.
Berbekalkan semua latihan, khususnya di Malaysia yang dilengkapi dengan kronologi dan perjalanan ilmu secara berkursus kepada jemaah, diharap dapat dimanfaatkan sebaiknya ketika menunaikan ibadat itu di Tanah Suci nanti. Walaupun pelbagai persediaan dilakukan, tidak dapat dinafikan masih ada segelintir jemaah yang tidak lepas daripada melakukan kesilapan hingga mencacatkan ibadat mereka. Sedangkan, ibadat haji sukar untuk diulang kerana memerlukan perbelanjaan besar. Tambahan ibadat haji adalah wajib sekali seumur hidup dan dalam keadaan negara kita, keutamaan mengerjakan haji diberi kepada jemaah yang baru pertama kali hendak pergi menunaikan Rukun Islam kelima itu.
Beberapa kesilapan dan kesalahan utama sering dilakukan saban tahun disebabkan salah faham terhadap beberapa perkara dalam ibadat haji ialah:
  • Tidak mengambil berat kepentingan talbiah. Talbiah adalah antara topik perbincangan ulama mengenai hukum hakamnya. Walau bagaimanapun, jumhur ulama mengatakan ia adalah perkara paling dituntut bagi orang mengerjakan ibadat haji dan umrah. Perbualan yang sia-sia serta tidak mengambil berat perkara talbiah jelas bertentangan dengan panduan pernah ditunjukkan Rasulullah SAW. Pandangan jumhur ulama mengatakan bahawa talbiah diucapkan bermula daripada ihram sehingga tiba di tempat lontaran jamrah. Adakah talbiah dengan menguatkan suara? Syeikh ‘Atiah Saqr menjawab dengan membawa pendapat Imam Malik (salah seorang guru Imam Syafi’e) dalam fatwanya bahawa Imam Malik berkata: “Tidak boleh mengangkat suara di masjid, bahkan untuk didengari oleh dirinya saja. Adapun di Mina dan Masjidil Haram, maka hendaklah dia mengangkat suaranya. Ini adalah (khusus) untuk lelaki, manakala bagi perempuan, tidak digalakkan mengangkat suaranya melainkan untuk didengari oleh dirinya saja” (Fatawa al-Azhar, halaman 361)
  • Mengucup kain Kaabah (kain kiswah), makam Nabi Ibrahim dan tiang. Ada segelintir jemaah yang menganggap mencium kain Kaabah adalah amalan yang sangat dituntut dan mendapat berkat. Sebenarnya ia bukanlah dituntut, malah Baginda Rasulullah SAW tidak pernah mengajar dan melakukan perkara itu. Ia secara tidak langsung terkeluar daripada ciri sunnah Baginda SAW ketika melakukan ibadat haji. Yang disunatkan secara jelas adalah mencium Hajar Aswad dan melambainya jika tidak berkemampuan menciumnya, manakala, mengenai sudut Kaabah pula, berlaku peristiwa Abdullah Ibn Abas bersama Muawiyah. Muawiyyah yang duduk di bahagian hujung Kaabah ditegur oleh Abdullah Ibn Abas, Muawiyyah menjawab bahawa tiada sebarang sudut yang boleh dipersiakan. Abdullah Ibn Abas membacakan firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya bagi kamu pada diri Rasulullah SAW itu contoh teladan yang baik.” (Surah al-Ahzab, ayat 21) Ibn Abas menambah: “Aku hanya melihat Rasulullah SAW menyentuh dua sudut ini iaitu Rukun Yamani dan Hajarul Aswad.” Akhirnya Muawiyyah bersetuju dengan kata-kata Ibn Abbas. Inilah perbezaan antara orang mempelajari ilmu secara terperinci dan orang yang menganggap remeh dan mudahnya ibadat haji.
  • Mengundur ketika keluar dari masjid. Apabila selesai, jemaah mula berpusu-pusu keluar dari masjid. Malangnya, ada beberapa kumpulan yang mempercayai bahawa sunat keluar dari masjid secara mengundur. Jikalau ia adalah sunnah, tentu Rasulullah SAW yang mempelopori perbuatan itu. Tiada nas dan sahabat tidak pernah melakukan perkara berkenaan. Sesungguhnya inilah antara kejahilan kita mengenai ilmu ibadat haji. Pendapat yang mengatakan ia perlu untuk penghormatan dengan tidak membelakangkan Kaabah adalah batil dan tertolak kerana Kaabah hanya simbol penyatuan umat Islam dan tidak lebih daripada itu. Keluarnya secara biasa sudah menjelaskan bahawa umat Islam bukan menyembah Kaabah, tetapi penciptanya iaitu Allah. “Mereka yang keluar dari masjid di dalam keadaan mengundur kerana berpendapat ia adalah salah satu cara memuliakan Kaabah adalah bercanggah dengan sunnah. Bahkan ia termasuk perkara rekaan yang dilarang oleh Rasulullah.” (Manasik al-Haj wal Umrah, halaman 135)
  • Mentaqdiskan bukit daripada pencipta. Jabal Rahmah antara mangsa kejahilan segelintir jemaah yang menganggapnya sebagai bukit yang memberi keajaiban, mustajab doa pemintanya. Ia satu tanda parahnya luka iman di dalam diri. Secara jelas, tiada nas menunjukkan Nabi Muhammad SAW pernah berdoa khusus dengan mengambil keberkatan bukit itu, manakala, ada beranggapan menaiki Jabal Rahmah adalah syarat sah wukuf di Arafah. Imam Nawawi menjelaskan, “Apa yang masyhur di kalangan orang awam ialah menganggap menaiki Jabal Rahmah antara syarat wukuf. Ia adalah kesalahan. Yang sebenarnya, boleh wukuf di merata tempat dalam kawasan Arafah.” Sementara jemaah berebut-rebut menaiki Jabal Rahmah seolah-olah menganggapnya keramat dari tempat lain. Inilah penyelewengan daripada golongan yang tidak bertanggungjawab. Persidangan Fatwa pada 13 Muharam 1392 menjelaskan beberapa perkara penting antaranya: Tiada nas yang jelas Baginda SAW menggalakkan umatnya menaiki bukit Arafah yang dikenali sebagai Jabal Rahmah. Malah, ia adalah satu perkara baru dan direka-reka. (Ini pendapat Imam Nawawi, Ibn Taimiyyah, Siddiq Hasan Khan) Tiada nas Baginda SAW melakukan solat sunat di atas bukit itu kerana jelas Baginda tidak melakukan sebarang solat sunat, bahkan mencukupi solat Zuhur dan Asar secara jamak dan qasar di sebuah masjid (Masjid Namirah).
  • Meremehkan ibadat haji kerana beranggapan haji boleh ditunaikan setiap tahun. Pemergian ke Makkah tanpa diisi dengan ilmu dan pengetahuan adalah sesuatu yang sia-sia dan merugikan apatah lagi kewajipan haji adalah hanya sekali seumur hidup. Ia jelas dalam riwayat Imam Muslim, “Seorang lelaki bertanya kepada Baginda, “Adakah ia diwajibkan setiap tahun wahai Rasulullah?” Kemudian, Rasulullah SAW mendiamkan diri sehingga ditanya tiga kali oleh pemuda itu. Kemudian Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Jika aku katakan ya, pasti diwajibkan kepada kamu. Ikutilah apa yang aku tinggalkan kepada kamu dan sesungguhnya orang terdahulu menjadi binasa lantaran terlalu banyak bertanya dan berbeza pendapat dengan nabi mereka. Jika aku menyuruh kamu lakukan sesuatu, lakukanlah dan jika aku melarangnya, maka jauhilah.”
Oleh itu, tidak timbul soal semakin kerap ke haji semakin diterima hajinya melainkan orang yang dikenal pasti batal hajinya, maka dia boleh menunaikannya lagi jika berkemampuan. Semoga haji yang akan tiba ini membolehkan kita mempraktikkan sepenuhnya apa yang diajar pengkursus ibadat haji, ataupun bahan yang diperoleh daripada pembacaan ilmu secara tidak langsung. Jika tidak tahu, rujuklah alim ulama atau dapatkan sumber rujukan yang muktabar. Semoga haji kita diterima Allah.

No comments:

Post a Comment