Monday 19 January 2015

BADAL HAJI @ UPAH HAJI

Ibadab haji merupakan rukun Islam kelima. Dari segi sejarah, ibadah haji ialah syariat yang dibawa oleh junjungan Nabi kita Muhammad s.a.w. sebagai menyambung ajaran Nabi Ibrahim a.s. Mula diwajibkan ke atas umat Islam pada tahun ke-6 Hijrah.
Persoalan yang sering berlegar dan sehingga kini menimbulkan kekeliruan atau keraguan di kalangan umat Islam, ialah berkaitan dengan badal haji atau upah haji. Adakah amalan mengupah haji bagi kaum keluarga yang telah meninggal dunia atau uzur dibolehkan di dalam agama Islam? Menjawab kepada persoalan ini, secara ringkasnya adalah seperti fakta berikut:-
1.
Haji adalah salah satu rukun Islam. Tersenarai bersama dengan ucapan dua kalimah syahadah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat dan berpuasa pada bulan Ramadan. Maksud Firman Allah dalam surah Ali Imran, ayat 97: “Dan menjadi kewajipanlah bagi manusia terhadap Allah untuk mengunjungi rumah itu bagi yang sanggup berjalan di antara mereka
 
2.
Kemampuan terbahagi kepada dua kategori;
Pertama, berkemampuan mengerjakan sendiri apabila mempunyai kemampuan kewangan dan tubuh badan yang sihat.
Kedua, berkemampuan dengan bantuan orang lain apabila mempunyai kemampuan kewangan tetapi ada halangan kesihatan. Upah haji atau badal haji adalah termasuk dalam kategori kedua. Iaitu tidak sempat melakukan ibadah haji kerana meninggal dunia atau tiada daya kerana mengalami keuzuran yang tidak memungkinkannya mengerjakan sendiri ibadah haji tersebut. Dalam keadaan sebegini, Islam mengharuskan ibadah hajinya dikerjakan oleh orang lain dengan pembiayaannya diambil daripada harta si mati atau orang yang mengalami keuzuran tersebut.
3.
Terdapat beberapa hadis yang menunjukkan keharusan mengerjakan haji untuk orang lain. Di antaranya:
1.
Abdullah Bin Abbas meriwayatkan bahawa seorang wanita dari Khas`am datang menemui Nabi s.a.w. dan berkata: "Wahai Rasulullah! Di antara amalan-amalan yang difardukan oleh Allah ke atas hambaNya ialah haji, yang dikenakan ke atas bapa saya yang sudah tua dan tidak mampu menaiki kenderaan untuk melakukannya, bolehkah saya berhaji untuknya?'' Jawab Rasulullah s.a.w.: ''Ya!''
(Riwayat Bukhari dan Muslim).
 
2.
Ibnu Abbas juga meriwayatkan bahawa wanita dari Juhainah datang menemui Rasulullah s.a.w. lalu berkata: "Ibu saya bernazar untuk mengerjakan haji dan dia tidak mengerjakannya sehinggalah meninggal dunia, bolehkah saya berhaji untuknya?'' Jawab Baginda: ''Ya! Tunaikanlah haji untuknya. Pada pendapat kamu andainya ibu kamu mempunyai hutang, bukankah kamu yang melangsaikannya? Tunaikanlah hak Allah yang wajib atas kamu kerana hutang kepada Allah itu lebih wajar ditunaikan."
(Riwayat Bukhari).
 
 
3.
Imam Ahmad dan Nasaie telah meriwayatkan daripada Abdullah Bin Zubair katanya: "Telah datang seorang lelaki dari Khas`am kepada Nabi s.a.w. dan berkata: "Bapa saya telah memeluk Islam, sedangkan usianya sudah lanjut dan tidak berupaya menaiki kenderaan sedangkan haji wajib ke atasnya, adakah boleh saya menunaikan haji untuknya?'' Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud: "Apakah kamu anaknya yang paling tua?'' Jawabnya: ''Ya!'' Rasulullah s.a.w. bersabda: ''Tunaikanlah haji untuknya.''
(Riwayat Ahmad dan Nasaie).
 
 
4.
"Dari Laqit bin Amir r.a bahawa dia telah datang kepada Rasulullah s.a.w dan berkata: "Bahawa bapa saya seorang yang telah tua, tidak berdaya menunaikan haji dan umrah, dan tidak berkuasa mengikuti rombongan atau berjalan untuk mengerjakan haji atau umrah" Rasulullah s.a.w. bersabda: "Tunaikanlah haji untuk bapamu dan umrahnya sekali".
(Riwayat - Abu Daud dan Tarmizi)
 
 
Hadis-hadis ini jelas menunjukkan keharusannya, malah wajib ditunaikan ibadah haji bagi sesiapa yang meninggal dunia, sakit yang tiada harapan sembuh atau tersangat lemah atau seumpamanya, jika ia telah memenuhi syarat-syarat wajib haji yang telah disebut. Andainya ia tidak mempunyai kemampuan kewangan, maka tidak wajib ia mewakilkan kepada orang lain.
 
4.
Jika ada pihak lain yang ingin mengerjakan haji bagi pihaknya walaupun ia tidak berkemampuan, hukumnya juga harus. Seperti seorang anak yang ingin membiayai ibadah haji untuk ibu bapanya atau salah seorang daripada mereka.
 
5.
Tidak disyaratkan bagi mereka yang ingin mengerjakan ibadah haji bagi pihak orang lain itu dari kalangan kaum kerabatnya atau berasal dari tempat kelahirannya. Malah ia boleh dilakukan oleh siapa sahaja yang boleh mengerjakannya. Malahan, seorang anak digalakkan melakukan haji untuk kedua-dua ibu bapa. Samada dilakukan sendiri oleh si anak atau mengupah orang lain. Hal ini termasuk dalam perbuatan ihsan terhadap kedua-dua mereka sesudah kematian mereka, kerana berbakti kepada kedua-dua ibu bapa itu bukan sahaja semasa mereka masih hidup sahaja, malahan berterusan selepas kematian mereka.
 
6.
Faktor jantina juga tidak diberi perhitungan. Malah jelas daripada hadis diatas wanita telah diizinkan menunaikan haji menggantikan lelaki.
 
7.
Menyentuh aspek perbelanjaannya pula, adakah diambil daripada peninggalan si mati atau sumber keluarga yang terdekat? Kewajipan mengerjakan adalah ke atas mereka yang memenuhi syarat dan berkemampuan. Sekiranya mereka tidak sempat atau terhalang mengerjakannya kerana faktor kesihatan, dengan itu perbelanjaan hendaklah diambil daripada harta mereka. Bagi kes yang melibatkan si mati, sebelum harta peninggalannya diagihkan kepada ahli waris, hendaklah dikeluarkan dahulu kos untuk ibadah haji si mati.
 
8.
Syarat mengerjakan upah haji bagi sesuatu roh, orang itu telah pun menunaikan fardu haji untuk dirinya sendiri dengan sempurna, Sebagaimana Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:- "Dari Ibnu Abbas r.a bahawa Rasulullah s.a.w mendengar seorang lelaki berkata ketika mengerjakan haji: " Aku sahut seruan mengerjakan haji menggantikan Syubrumah". Lalu Rasulullah s.a.w. bertanya kepadanya: "Sudahkah engkau mengerjakan haji untuk diri engkau sendiri" ? Jawab lelaki itu, "Belum". Rasulullah s.a.w berkata kepadanya, kalau begitu hendaklah engkau kerjakan haji untuk diri engkau sendiri dahulu, kemudian engkau kerjakan haji untuk Syubrumah pula"
(Riwayat-Abu Daud dan Ibnu Majah)
 
9.
Syarat lain hendaklah melakukan fardu haji untuk seorang sahaja bagi satu musim haji dan dia cukup mahir bagi mengerjakan ibadat haji itu dengan sempurna seperti dia mengerjakan haji untuk dirinya sendiri

No comments:

Post a Comment