Thursday 16 June 2016

TARAWIH BERSAMA IMAM SEHINGGA SELESAI ( Fadilatnya begitu besar Seumpama kita mengerjakan solat sepanjang malam).

Jika berlaku khilaf di antara dua masalah dalam Islam perlu dijadikan al-Quran dan sunnah sebagai pemutus dalam menentukan kesahihan dalam sesuatu masalah. Umpama dalam masalah khilaf jumlah rakaat terawih yang sahih samada 11 rakaat atau 20 rakaat, maka perlu diselesaikan masalah khilaf ini dengan panduan sunnah Nabi saw.
Jika diteliti masalah jumlah rakaat solat terawih maka telah jelas banyak daripada hadis Nabi saw yang menunjukkan Nabi saw mendirikan solat terawih pada bulan Ramadhan sebanyak 11 rakaat. Aisyah RA isteri Nabi saw telah mengatakan bahawa Nabi tidak pernah solat malam melebihi 11 rakaat samada di dalam bulan Ramadan atau di luar bulan Ramadhan iaitu bulan-bulan yang lain.
Kata Aisyah RA : “Rasulullah SAW tidak pernah menambah jumlah rakaat dalam solat malam di bulan Ramadhan dan tidak pula dalam solat lainnya lebih dari 11 rakaat”. (HR. Bukhari, hadis no. 1147 dan  HR Muslim, Hadis no. 738)
Hal ini juga telah disokong dengan hadis daripada Jabir bin Abdullah, kata Jabir : “ Rasulullah saw mengimami solat kami pada malam bulan Ramnadhan sebanyak lapan Rakaat diikuti dengan  solat Witir.. “.( Hadis Hasan, Hadis Riwayat  at-Tabarani).
DALIL 20 RAKAAT LEMAH
Adapun Hadis dan dalil yang menunjukkan solat tarawih berjumlah 20 rakaat semuanya boleh dikatakan dhaif dan lemah. Ibnu Hajar al-Asqalani mengatakan : “Adapun riwayat Abi Syaibah daripada hadis Ibnu Abbas yang mengatakan Rasulullah saw solat pada bulan Ramadhan sebanyak 20 rakaat  dan solat witir, sanadnya lemah. Ia bercanggah dengan hadis Aisyah dalam riwayat Bukhari dan Muslim yang mana Aisyah lebih tahu tentang amalan Rasulullah saw pada waktu malam berbanding orang lain”. (lihat Fathul Bari, jilid ke 4, ms 205-206))
Walaupun hakikat rakaat terawih yang sahih itu 11 rakaat, namun realitinya di negara kita masih terdapat sebahagian masjid dan surau mendirikan solat terawih dengan 20 rakaat.
Tetapi para jemaah yang hadir ke masjid sebahagian mereka hanya mendirikan solat terawih sebanyak 8 rakaat bersama imam kemudian terus pulang ke rumah tanpa menghabiskan solat terawih seterusnya atau witir bersama imam.
Mungkin kita mengetahui bahawa mereka ingin menambah dengan solat malam bersendirian di rumah atau melaksanakan solat witir tersebut sendirian di rumah. Persoalanya Apakah perbuatan seperti ini menepati sunnah?
AFDAL BERJEMAAH BERSAMA IMAM
Telah sahih daripada Nabi saw mengatakan: “ Siapa yang solat bersama imam sampai dia (imam) selesai, maka ditulis untuknya pahala qiyam satu malam penuh.” (HR. an-Nasa i , hadis  no. 1605,dan HR at-Tirmidzi, hadis  no. 806, Imam Tirmidzi mensahihkan hadis ini. Syeikh al-Albani dalam al-Irwa’ hadis  no. 447 mengatakan bahawa hadis ini sahih)
Perkataan Nabi saw “solat bersama imam sampai ia selesai” jelas menunjukkan bahawa yang menjadi anjuran dan sunnah Nabi adalah solat terawih bersama imam dari awal sehingga imam selesai solat witir yang terakhir.  Hadis ini datang bersama fadilat yang besar dengan memberi khabar gembira kepada makmum yang solat bersama imam sehingga selesai dengan mendapat pahala sepanjang malam.
Adapun  mereka yang yakin dan cerdik dalam meraih pahala yang Allah mahu berikan pasti akan solat terawih berjemaah bersama imam sehingga rakaat yang terakhir. Hadis ini juga memberi kefahaman, seandainya imam mendirikan solat 20 rakaat maka makmum juga perlu menyelesaikan kesemua rakaat tersebut bersama imam sekiranya ingin mendapat fadilat pahala solat sepanjang malam.
AFDAL BERJEMAAH AWAL MALAM
Mungkin ada yang berhujah bahawa solat terawih secara bersendirian di akhir malam itu lebih afdal. Ya, secara umum  begitulah hakikat untuk mendirikan solat terawih sekiranya didirikan pada akhir malam secara sendirian. Hal ini kerana di zaman pemerintahan khalifah Abu Bakar, para sahabat masing-masing mendirikan solat terawih secara sendirian.
Namun, apabila tiba zaman pemerintahan khalifah Umar al-Khattab, beliau melihat solat terawih dilakukan secara sendirian dan berpecah-pecah maka beliau mengambil keputusan di atas sunnah yang mana Nabi saw pernah menjadikan solat terawih secara berjemaah, maka bermula dalam sejarah Islam solat terawih itu dilakukan secara berjemaah dengan satu imam di awal malam.
Jadi, mana satukah  waktu yang terbaik untuk mendirikan solat terawih ini? Apakah pada awal malam atau pada akhir malam?
Imam Ahmad bin Hanbal apabila ditanya soalan : “Adakah lebih baik dilewatkan solat terawih sehingga hujung malam?, maka Imam Ahmad menjawab  : “ Tidak, amalan kaum muslimin (diawalkan jemaah diawal malam) lebih aku sukai”. ( Masaa’il Imam Ahmad oleh Imam Abu Daud)
Jadi yang terbaik dalam kita mengikut sunnah Nabi dan sahabat, adalah dengan memilih mendirikan solat terawih 11 rakaat bersama imam kerana ianya paling rajih, kemudian dilakukan berjemaah di awal malam disebabkan ianya lebih afdal dan seterusnya menyelesaikan solat tersebut bersama- sama dengan imam untuk mendapat pahala sepanjang malam.
Jika ini yang kita pilih mudah-mudahan kita telah menghimpunkan sunnah Nabi dan sahabat dalam kita bersolat terawih di bulan Ramadan ini.

No comments:

Post a Comment