Wednesday 15 April 2015

HUKUM DAN SYARAT-SYARAT IBADAT HAJI YANG KITA PERLU TAHU

Bulan Syawal, Zulkaedah dan Zulhijjah ialah bulan-bulan Haji. Dan saya percaya bakal-bakal jemaah Haji pastinya sudah teruja dan dan tidak sabar untuk ke Tanah Suci bagi menunaikan Haji. Sebelum berangkat ke Tanah Suci, ada baiknya kita ulang kaji semula ilmu berkenaan Haji supaya ibadah Haji yang dilakukan dapat disempurnakan sebaik mungkin. Kepada pembaca yang belum pernah menunaikan Haji dan mungkin ada yang sudah mahu berangkat ke Tanah Suci, moga-moga entry ini dapat membantu memahami ilmu mengenai Ibadah Haji yang bakal dilaksanakan nanti.


Pertama, kita kena ketahui apakah syarat-syarat yang mewajibkan seseorang itu menunaikan Fardhu Haji, selain dari tertakluk kepada syarat Kouta Haji yang ada.
Syarat Wajib Haji
Ibadah Haji jadi wajib ke atas kita apabila telah memenuhi kelima-lima Syarat Wajib Haji. Jika kita tiada salah satu dari 5 syarat ini bermakna kita tidak wajib menunaikan Haji.
Syarat Wajib Haji tersebut ialah mestilah beragama Islam, sudah baligh, berakal (tidak gila), merdeka dan mampu atau berkuasa. Takrifan mampu atau berkuasa ialah bukan setakat kemampuan kewangan iaitu cukup wang belanja sahaja tetapi anggota  tubuh badan mesti sihat dan cergas.
Kerana itu Tabung Haji mengkategorikan jemaah yang sudah ada Dialisis ditakrifkan sebagai tidak mampu atau berkuasa.  Malah sudah ada Perjanjian atau MOU antara negara iaitu antara Kerajaan Arab Saudi dan Kerajaan Malaysia bahawa jemaah yang sudah ada “dialisis” tidak dibenarkan menunaikan Haji kerana ditakrif tidak mampu atau berkuasa.
Syarat Haji Badal
Mereka yang masih hidup tetapi uzur dibolehkan bagi mereka dibuat Haji Badal iaitu diupah seorang individu lain melakukan Haji untuknya. Takrifan uzur ini ialah mereka yang sakit dan tiada harapan untuk sembuh, tertalu tua dan mustahil untuk melakukan sendiri kerja haji untuk dirinya. Di samping itu mereka yang sudah meninggal dunia juga dibolehkan untuk dibuat Haji Badal untuk mereka.
Syarat wajib untuk melakukan Haji Badal ialah sipelaku mestilah terlebih dahulu sudah melakukan ibadah Haji untuk dirinya. Di samping itu seorang individu yang telah Haji hanya dibolehkan untuk melakukan Badal Haji untuk seorang Penama sahaja dan tidak boleh lebih dari itu.
Ajwa juga ada mengambil Upah Perkhidmatan Haji Badal ini pada harga RM2500 seorang. Yang melaksanakan Haji Badal ini terdiri dari Guru-guru Maahad Tahfiz Al-Quran di Makkah.
Mahram bagi Wanita
Manakala bagi wanita pula mestilah ditemani oleh mahram lelaki semasa menunaikan Haji. Mahram bagi seorang wanita terdiri dari suaminya sendiri atau adik beradik lelaki yang berumur 18 tahun ke atas, datuk ataupun bapa saudara sebelah bapa atau sebelah ibu.
Hukum Hakam dalam melaksanakan Haji
Seperti ibadah Umrah  yang ada 4 perkara pokok yang perlu kita fahami, ibadah Haji pun begitu juga. Malah dalam Ibadah Haji ada banyak Perkara atau Hukum atau Terma yang perlu kita fahami supaya kita lebih yakin semasa melaksanakannya.
Hal Hukum Hakam yang perlu jemaah Haji ketahui ialah :-
a. Apakah Rukun Haji ?
b. Apa pula Wajib Haji ?
c. Wukuf di Arafah ?
d. Maksud Tahalul Awal dan Tahalul Thani ?
e. Maksud Nafar Awal dan Nafar Thani ?
f. Dan yang paling penting ialah Pergerakan Haji itu sendiri. Entry mengenai Pergerakan Haji ada saya jelaskan dalam entry terdahulu yang dipecahkan mengikut Fasa. Pembaca boleh baca dalam entry mengenai Haji itu sendiri.
Rukun Haji
Rukun Haji ialah perkara yang mesti dilakukan dan jika tidak melakukan salah satu darinya Haji jadi tidak sah. Bagi Rukun Haji ada 6 iaitu Niat Haji, Wukuf di Arafah, Tawaf, Saie, bergunting atau bercukur dan juga Tertib. Beza dengan Umrah ialah penambahan Wukuf di Arafah.
Wajib Haji
Manakala bagi Wajib Haji pula selain dari Niat Haji dan meninggalkan Pantang Larang dalam Ihram ada lagi tambahannya iaitu bermalam (mabit) di Muzdalifah, melontar Jamrah Kubro, bermalam di Mina dan melontar ketiga-tiga Jamrah pada Hari Tasyiq. Perkara Wajib Haji ini jika ditinggalkan ibadah Haji masih sah tetapi dikenakan Dam. Malah jika ditinggalkan secara sengaja dihukumkan berdosa.
wukuf arafah
Maksud Wukuf di Arafah
Dari segi syara’ ialah berada di bumi Arafah walau seketika bermula dari gelincir matahari 9 Zulhijjah (masuk waktu Zohor) sehingga terbit fajar hari 10 Zulhijjah (menjelang Subuh).
Tidak sah Haji tanpa Wukuf di Arafah. Wukuf itu Haji dan Haji itu Wukuf di Arafah. Kerana itu bagi jemaah Haji yang sakit terlantar di Hospital, dalam apa cara sekalipun pasti pihak berwajib akan berusaha sedaya upaya membawa jemaah sakit ini untuk berada di bumi Arafah sehingga terpaksa dibawa dengan ambulan pada hari Wukuf.

Pilihan Haji untuk Jemaah
Jemaah Haji mempunyai pilihan samada mahu melaksanakan Haji Tamattuk atau Haji Haji Ifrad ataupun Haji Qiran.
Haji Tamattuk
Jemaah melakukan Umrah dahulu dalam musim Haji dan kemudiannya baru melakukan Haji. Kebiasaannya jemaah Haji yang mengambil penerbangan Awal masuk Madinah dahulu yang berniat Haji Tamattuk. Bagi jemaah Haji Penerbangan Akhir yang masuk Makkah dahulu pun boleh melakukan Haji Tamattuk iaitu berniat Umrah di dalam Kapal Terbang dan kemudiannya berniat Haji ketika mahu berangkat ke Arafah.
Haji Ifrad
Jemaah melakukan Haji dahulu dan kemudiannya baru melakukan Umrah. Kebiasaannya jemaah Haji yang mengambil Penerbangan Akhir masuk Makkah dahulu yang berniat Haji Ifrad. Namun saya pernah bersua dengan Jemaah Haji Wanita Penerbangan Awal yang berniat Haji Ifrad dari Madinah lagi. Lamanya mereka ini dalam Ihram Haji.
Ketika sampai di Makkah, jemaah berkenaan hanya melakukan Tawaf Qudum (Tawaf Selamat Datang) dan boleh melakukan Saie Haji jika mahu. Cuma tidak boleh bergunting kerana belum sampai masa yang dibenarkan.
Peringatan
Ada 2 orang jemaah di mana seorang Jemaah Haji Ifrad dan seorang Jemaah Haji Tamattuk. Masing-masing turun melakukan Tawaf.  Jemaah Haji Tamattuk melakukan Tawaf Umrah (kerana ia melakukan Umrah dahulu kemudian Haji), manakala jemaah Haji Ifrad melakukan Tawaf Qudum (kerana berniat melakukan Haji dahulu kemudian Umrah).
Kemudian mereka melakukan Saie pula. Jemaah Haji Tamattuk melakukan Saie Umrah, manakala jemaah Haji Ifrad melakukan Saie Haji (dibolehkan melakukan Saie Haji selepas Tawaf Qudum). Dan ketika jemaah Haji Tamattuk bergunting untuk bertahalul, jemaah Haji Ifrad tidak boleh bergunting seperti rakannya Haji Tamattuk kepada belum masanya untuk ia bertahalul.
Haji Qiran
Ialah melakukan Haji dan Umrah serentak dalam musim Haji. Haji Qiran juga boleh berlaku kepada jemaah yang awalnya berniat Haji Tamattuk tetapi ketika sampai di Makkah, ia tidak sempat melakukan Tawaf Umrah kerana didatangi Haid. Dan menjelang berangkat ke Arafah, haidnya belum kering lagi bagi menyempurnakan Tawaf Umrah. Maka jemaah berkenaan harus kena berniat Haji pula ketika nak bergerak ke Arafah. Dalam hal ini jemaah berkenaan berniat Haji dan Umrah serentak.
Ketika melakukan Tawaf nanti, itulah Tawaf Haji dan itulah juga Tawaf Umrah. Begitu juga dengan Saie. Itulah Saie Haji dan itulah juga Saie Umrah.

Tahalul Awal
Tahalul Awal bermaksud jemaah Haji telah melakukan 2 perkara dari 3 perkara di bawah  iaitu :-
1. melontar Jamrah Aqabah 10 Zulhijjah,
2. bergunting atau bercukur dan
3. Tawaf dan Saie
Sesiapa yang telah bertahalul Awal akan bebas dari Pantang Larang dalam Ihram kecuali 3 yang akhir iaitu yang ada hubungan suami isteri serta hal nikah dan kahwin. Jemaah yang telah bertahalul Awal bebas untuk memakai Pakaian Biasa dan berwangi-wangi.
Kebiasaanya bagi jemaah Haji Tabung Haji, mereka akan Tahalul Awal di Mina iaitu dengan melontar Jamrah Aqabah pada 10 Zulhijjah dan bergunting atau bercukur.
Tetapi ada juga jemaah yang mengambil pendekatan lain iaitu Tahalul Awal mereka disempurnakan di Makkah. Iaitu jemaah kembali ke Makkah pada malam 10 Zulhijjah dengan melakukan Tawaf dan Saie (dikira 1 perkara) serta bergunting atau bercukur. Kedua-dua kaedah ini dibenarkan.
Tahalul Thani
Tahalul Thani pula apabila jemaah telah menyempurnakan ketiga-tiga perkara tersebut. Bagi yang telah Tahalul Awal di Mina kebiasaannya jemaah menyempurnakan Tahalul Thani mereka dengan melakukan Tawaf dan Saie sebaik kembali ke Makkah pada 13 Zulhijjah atau selepas dari itu.
Manakala bagi jemaah yang telah Tahalul Awal di Makkah pula, Tahalul Thani mereka disempurnakan sebaik sahaja mereka kembali semula ke Mina dari Makkah untuk membuat Lontaran di Jamrah Aqabah.Perlu diingat jemaah Haji ini telah “complete” Rukun Haji mereka sungguhpun belum lagi selesai melaksanakan Perkara Wajib Haji iaitu melontar 3 Jamrah di Mina pada malam ke 11, 12 dan 13 Zulhijjah.
Nota
Ada juga kes Jemaah yang kembali ke Makkah selepas Tahalul Awal di Mina disebabkan oleh hal tertentu. Biasanya Jemaah berkenaan dari KT Awal (Penerbangan Awal) yang bimbang tidak dapat menyempurnakan Tawaf dan Haji mereka sebaik kembali ke Makkah pada 13 Zulhijjah disebabkan kedatangan Haid mereka. Untuk makluman biasanya Penerbangan Awal KT1 berlepas ke Tanah Air sekitar 5 hari selepas 13 Zulhijjah.
Nafar Awal
Nafar Awal bermaksud Jemaah Haji yang bermalam di Mina mengambil keputusan untuk keluar dari Mina pada masa sebelum tengelam matahari 12 Zulhijjah dan berazam tidak akan kembali semula ke Mina selepas itu. Maknanya jemaah berkenaan hanya bermalam di Mina dan membuat lontaran 3 Jamrah pada 11 dan 12 Zulhijjah sahaja.
Nafar Thani
Bermaksud jemaah Haji telah menyempurnakan bermalam di Mina dan membuat lontaran di 3 Jamrah pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah. Kebanyakkan jemaah Haji Tabung Haji membuat Nafar Thani. Tetapi bagi jemaah Haji dari negara-negara Arab dan Hindi membuat Nafar Awal. Jemaah Haji boleh saksikan sendiri pada 13 Zulhijjah keadaan Mina yang telah semakin lengang kerana saya yakin lebih dari 50 % jemaah Haji melakukan Nafar Awal.
pergerakan haji
Pergerakan Jemaah Haji ke Arafah (8 Zulhijjah)
Semasa di Tanah Suci kita kena biasakan diri dengan Kalendar Islam dan bukannya Kalendar Masihi. Kalendar Islam peralihan tarikh baru ialah bermula pada waktu Maghrib. Manakala bagi kalendar Masihi peralihan tarikh baru selepas jam 12 tengah malam.
Jemaah Haji Malaysia biasanya bergerak ke Arafah pada 8 Zulhijjah bermula pada sebelah pagi. Dan semasa sudah berada di Arafah pada waktu Maghribnya sudah masuk tarikh baru 9 Zulhijjah. Tetapi yang dikira Waktu Wukuf ialah keesokkan harinya bermula dari waktu Zohor sehingga Subuh 10 Zulhijjah.
khemah arafah
Kerana itu Jemaah Haji dinasihatkan supaya mendapatkan rehat yang cukup pada waktu malam pertama di Arafah. Kerana waktu yang terpenting yang dinanti-nanti mungkin seumur hidup sekali itu ialah bermula pada waktu Zohor keesokkan harinya.
arafah ke muzdalifah
Pergerakan dari Arafah ke Muzdalifah
Biasanya bermula menjelang Maghrib 10 Zulhijjah sehingga Trip bas yang terakhir. Jemaah digalakkan membawa tikar, bekalan air minuman yang memadai kerana di Muzdalifah tidak ada khemah penempatan seperti di Arafah atau Mina. Semua jemaah di Muzdalifah akan ditempatkan di satu kawasan lapang yang berpagar.
Waktu yang dikira bermalam (mabit) di Muzdalifah ialah selepas pertengahan malam 10 Zulhijjah. Jemaah Haji digalakkan mengutip anak-anak batu untuk persiapan lontaran Jamrah Aqabah nanti.
muzdalifah 2

Maksud Pertengahan Malam

Bermaksud dikira jumlah masa malam dari permulaan Malam iaitu waktu Maghrib hingga akhir malam iaitu waktu Subuh esok hari nya. Contohnya, jika waktu Maghrib pada jam 7 malam dan Subuh pada jam 5 pagi, maka jumlah masa malam ialah 10 jam. Yang dikira pertengahan malam ialah (10 jam tadi dibahagi 2 iaitu 5 jam). Maka dicampur waktu bermula malam 7 malam dan 5 jam maka pertengahan malam ialah pada jam 12 tengah malam (7 + 5).
jamrah
Pergerakan dari Muzdalifah ke Mina
Bermula selepas waktu Pertengahan Malam 10 Zulhijjah. Jemaah akan dibawa menaiki bas menuju ke Khemah Mina pula. Semasa di Mina, jemaah Haji akan dibawa melakukan Tahalul Awal mereka iaitu dengan membuat Lontaran Jamrah Aqabah 10 Zulhijjah dan bergunting mengikut Jadual Waktu Melontar yang diputuskan oleh pihak Muasasah. Biasanya pada waktu sebelah malam.
Namun begitu bermula pada waktu pertengahan malam 10 Zulhijjah, jemaah Haji sudah boleh melakukan Tahalul Awal. Tetapi Jemaah Haji Malaysia dinasihatkan supaya mematuhi arahan Tabung Haji mengenai Jadual Waktu Melontar. Dibimbangi jika pergi secara sendiri boleh menyebabkan jemaah tersesat dan tidak jumpa jalan pulang ke Khemah. Al-maklum kita bukannya biasa sangat dengan kawasan Mina.
Tahalul Awal
Semasa di Mina
Sebaik tiba di Mina biasanya jemaah Haji akan menginap di Khemah sehingga 13 Zulhijjah, kecuali yang ambil keputusan untuk Nafar Awal. Semasa di Mina jemaah Haji akan menyempurnakan Wajib Haji iaitu bermalam di Mina dan melontar 3 Jamrah pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah.  Maknanya Jemaah Haji melakukan Nafar Thani.
Kembali ke Makkah
Kebiasaannya Jemaah Haji Tabung Haji akan kembali ke Makkah dari Mina pada 13 Zulhijjah. Dan sebaik tiba di Makkah, Jemaah Haji akan menyempurnakan Tawaf dan Saie Haji mereka. Tetapi jangan pula selepas itu Jemaah Haji bergunting atau bercukur seperti kebiasaan semasa melakukan Umrah. Ini kerana jemaah Haji telahpun berbuat demikian semasa di Mina lagi.
Kesimpulan
Kesemua perkara yang saya utarakan di atas perlu difahami dengan sebaiknya  oleh setiap jemaah Haji. Jangan jadi seperti ikut-ikutan kerana tiadanya ilmu. KIta perlu set dari awal samada mahu buat Haji Tamattuk atau Haji Ifrad atau Haji Qiran ? Sebab pernah terjadi apabila ditanya kepada Jemaah Haji mengenainya siempunya diri sendiri tidak tahu Haji apa yang ia niatkan semasa di tempat Miqat.
Begitu juga semasa Kes Lontaran Jamrah. Ada Jemaah Haji yang awal lagi dah “declare” dirinya uzur kerana tidak mampu berjalan kaki melontar Jamrah. Al-maklum jarak pergi balik dari Khemah Mina Muasem ke kawasan Jamrah dianggarkan 6km – 7km. Maka ia buat keputusan sendiri untuk diupah sahaja Lontaran untuknya.  Yang lucunya pada 13 Zulhijjah ketika jemaah Haji sudah selesai melakukan perkara Wajib Haji, jemaah berkenaan mahu pula berjalan kaki dari Khemah di Mina ke kawasan Jamrah atas alasan ingin melihat-lihat Kawasan Jamrah. Mahu pula ia berjalan kaki. Akhirnya Guru Agama Tabung Haji mentakrifkan Lontaran Jamrah yang diupah tidak sah kerana Empunya diri berkemampuan dan bukannya Uzur.
Saya doakan Jemaah Haji Malaysia yang berangkat ke Tanah Suci dapat melaksanakan Haji dengan sebaik mungkin dan memperolehi Haji Mabrur. Sesungguhnya Haji Mabrur tiada balasan lain kecuali Syurga. Berbahagialah kepada mereka yang tekun melaksanakan ibadah di Tanah Suci dan berjaya menjaga akhlak dan adab sebagai Tetamu Allah.

No comments:

Post a Comment