Tuesday 7 January 2014

UNTUK APA KITA MENUNAIKAN UMRAH ?


Satu soalan yang menarik..kita harus tahu untuk apa kita menunaikan umrah. Bukannya pergi melancung. Ke tanah suci menunaikan umrah bukan seperti kita melancong ke mana-mana destinasi di dunia ini. Ianya pasti tidak sama. Silap besar jika kita ke tanah suci mengharapkan mendapat layanan seperti kita melancong ke negara lain. Menunaikan Umrah bukan melancong, walaupun ada yang anggap ianya pelancongan ibadat. Bukannya seperti sesetengah orang yang melihat saudara terdekat ataupun sahabat menunaikan Umrah, maka ia pun tidak mahu ketinggalan sama. Walaupun niatnya baik untuk ke tanah suci, tetapi kita mesti tahu dan sedar apakah objektif kita ke tanah suci.
BERTAUBAT DAN MEMOHON AMPUN KEPADA ALLAH AGAR TERHAPUS SEGALA DOSA KITA YANG TELAH LALU
Kita ke tanah suci, wajib menyematkan dalam hati kita untuk bertaubat ke hadrat Allah swt. Berapa banyak dosa yang telah kita himpunkan bermula dari masa akhil baligh hingga sekarang? Ke tanah suci dengan catitan amal yang negatif, pulang ke tanah air dengan harapan segala dosa-dosa kita telah terhapus. Jadi kosong tak ada dosa. Apabila kita fokus dengan matlamat untuk bertaubat kepada Allah, insyaAllah pemergian kita ke tanah suci akan lebih bermakna. Kerana lagak orang yang ingin meminta maaf, pasti datang dengan penuh kerendahan diri. Hilang segala sifat sombong atau sentiasa merasa dirinya yang selalu betul. Kerana orang yang meminta maaf, pasti dalam hatinya datang dengan penuh rasa bersalah terhadap Allah.
PELUANG MELIPATKAN GANDAKAN PAHALA AMALAN
Jika di dunia ini kita fokus mencari harta kekayaan sebagai bekalan hidup kita, maka pemergian ke tanah suci adalah untuk mencari kekayaan akhirat. Di tanah suci Makkah dan Madinah adalah tempat untuk kita mendapat pahala amalan yang berlipatkali ganda. Solat 1 waktu di Masjidil Haram, ganjaran pahalanya adalah 100,000 kali berbanding solat di tempat lain. Maka hitung saja lah berapa banyak ganjaran pahala yang bakal kita perolehi jika kita solat sehari 5 waktu didarab dengan bilangan hari kita solat di Masjidil Haram. Pasti jika dihitung, ianya tidak dapat menyamai jika kita solat di tanah air, walaupun jika diberi peluang umur yang sangat panjang. Ini belum lagi jika kita tambah dengan amalan-amalan sunat yang lain yang pahalanya seperti amalan fardhu. Dan solat di Masjid Nabawi Madinah juga, ganjaran pahalanya ialah 1000 kali solat berbanding di tempat lain.
Jika kita tahu kelebihan beribadat di dua tanah suci ini, pasti kita tidak melepaskan peluang semasa kita berada di sana. Dan yang pernah ke tanah suci sebelum ini, pasti hatinya sentiasa merindui untuk ke sana lagi.
MEMOHON ALLAH MEMAKBULKAN SEGALA HAJAT DAN DOA KITA
Di tanah sucilah, segala doa kita dimakbulkan oleh Allah swt. Berdoalah apa sahaja yang baik-baik, pasti Allah akan memakbulkannya. Jangan doa yang tidak baik pula. Haram hukumnya. Walaupun kita mungkin pernah dizalimi, kita kena doakan yang baik-baik untuk sipenzalim supaya dia mendapat petunjuk dan hidayah dari Allah. Ada banyak tempat makbul doa di Makkah. Di Multazam (kawasan antara Hajar Aswad dan Pintu Kaabah), dalam Hijir Ismail, belakang Makam Ibrahim, ketika tawaf, ketika saie, Raudhah di Madinah,  malah dikatakan ada banyak lagi tempat-tempat dimakbulkan doa. Syaratnya, berdoalah dengan bersungguh-sungguh dan dengan penuh yakin Allah akan kabulkan permintaan kita. Ibarat seorang anak kecil yang menangis merengek meminta sesuatu dari ayahnya, yang akhirnya ayahnya kabulkan kerana kesian dan simpati dengan sianak. Begitu juga kita terhadap Allah.
Apabila kita sedar dan tahu objektif kita ke tanah suci, maka pemergian kita ke sana pasti akan memberi seribu makna. Datang ke tanah suci membawa banyak dosa, kembali ke tanah air dalam keadaan suci bersih, tiada lagi dosa seperti bayi yang baru lahir. Malah kita pulang dengan membawa banyak bekalan untuk akhirat nanti. Dan peribadi kita pula akan menjadi semakin bertambah baik selepas kembali ke tanah air. InsyaAllah.

No comments:

Post a Comment