Wednesday 18 December 2013

TAWAF

Tawaf merupakan salah satu daripada rukun-rukun haji dan umrah. Dalam bab Haji dan Umrah, istilah rukun merujuk kepada amalan yang wajib dilakukan ketika mengerjakan haji dan umrah. Jika ia tidak dilakukan, haji dan umrah menjadi tidak sah. Tawaf merupakan salah satu daripada kerja-kerja haji dan umrah yang wajib dilakukan sendiri oleh jemaah. Tidak sah mewakilkan orang lain melakukan tawaf bagi pihak dirinya. Jika uzur, jemaah boleh tawaf dengan menaiki kereta sorong. Bakal haji hendaklah mengetahui dengan baik perkara-perkara yang berkaitan dengan syarat-syarat tawaf dan sunat-sunatnya supaya mereka dapat melakukan tawaf dengan sempurna.


Jenis-jenis tawaf


Terdapat lapan jenis tawaf :
1- Tawaf Haji (Ifadah),
2- Tawaf Umrah,
3- Tawaf Qudum,
4- Tawaf Tahiyyatul Bait,
5- Tawaf Tahallul,
6- Tawaf Wadak,
7- Tawaf Nazar,
8- Tawaf Sunat.


Syarat-syarat tawaf

1- Suci daripada hadas besar dan kecil.
Sebelum melakukan tawaf, jemaah hendaklah mengambil wuduk dengan sempurna. Jika berlaku persentuhan kulit ketika tawaf dengan lelaki/wanita ajnabi (asing), jemaah hendaklah berpegang dengan satu pendapat dalam Mazhab Syafie yang mengatakan tidak batal wuduk jika berlaku persentuhan kulit dengan lelaki/wanita ajnabi melainkan jika ia berlaku dengan sengaja dan timbulnya syahwat. Bagi pasangan suami isteri yang tawaf bersama sambil berpegangan tangan dengan berlapik adalah sah tawaf mereka. Jika timbulnya syahwat, tawaf tersebut masih lagi sah melainkan apabila keluar air mazi kerana ianya membatalkan wuduk. Bagi wanita yang berada dalam keadaan haid, dia hendaklah menunggu sehingga haidnya kering. Apabila haidnya kering, hendaklah dia mandi wajib dan mengambil wuduk, maka bolehlah dia melakukan tawaf. Bagi jemaah yang selalu berhadath atau sentiasa berada dalam keadaan kotor seperti mengidap penyakit kencing yang sentiasa menitis atau istihadah, sebelum melakukan tawaf hendaklah membersihkan kotoran. Kemudian membalut tempat berkenaan dengan kemas, seterusnya berwuduk dan segera melakukan tawaf. Kadar segera yang dimaksudkan ini tidak termasuk persediaan untuk menutup aurat dan perjalanan ke masjid. Tetapi bukan kerana makan, berbual dan seumpamanya. Cara berniat ketika mengambil wuduk bagi kes sebegini adalah seperti berikut : "Sahaja aku berwuduk untuk mengharuskan tawaf".


2- Suci daripada najis pada pakaian, badan dan tempat tawaf.
Jemaah hendaklah mempastikan, pakaian dan badannya suci daripada najis. Jika jemaah terpijak tahi burung yang terdapat di kawasan tawaf, maka ianya dimaafkan dengan syarat tahi burung itu kering dan ianya berlaku tanpa disengajakan.


3- Menutup aurat sebagaimana di dalam solat.
Semasa tawaf, aurat hendaklah sentiasa ditutup. Bagi lelaki, sekurang-kurangnya antara pusat dan lutut. Bagi wanita pula seluruh tubuh badannya kecuali muka dan tapak tangan. Jika aurat terbuka semasa tawaf, jemaah hendaklah menutupnya dengan segera. Tawaf tidak batal kerana ianya tidak disengajakan dan segera ditutup. Bagi wanita yang tawaf dengan menaiki kereta sorong, hendaklah berhati-hati supaya kainya tidak terselak sehingga menampakkan betisnya.


4- Tawaf hendaklah dimulakan dan disudahi pada sudut Hajarul Aswad.
Jemaah hendaklah memulakan tawafnya pada sudut Hajarul Aswad. Apabila jemaah menghampiri untuk memasuki ke dalam kawasan penjuru Hajarul Aswad, maka hendaklah berniat tawaf jika tawaf tersebut selain tawaf haji (ifadah), umrah dan qudum. Bagi tiga jenis tawaf ini, hukum berniat sebelum memulakan tawaf adalah sunat.


5- Sewaktu berjalan melakukan tawaf, bangunan Kaabah hendaklah sentiasa berada di sebelah kiri bahu.
Jika jemaah ditolak akibat kesesakan ketika tawaf sehingga bahunya terpesong sedikit daripada bangunan Kaabah, maka hendaklah segera membetulkan bahunya itu menghala ke arah bangunan Kaabah. Bagi jemaah uzur yang tawaf di tingkat atas Masjidil Haram dengan berkereta sorong secara berupah, waris jemaah tersebut dinasihatkan hadir bersama-samanya untuk mempastikan syarat mengirikan Kaabah ini dilaksanakan dengan sempurna oleh orang yang mengambil upah menyorong itu.


6- Berjalan itu dengan tujuan tawaf.
Sepanjang berjalan melakukan tawaf, jemaah hendaklah mengekalkan niat perjalanannya itu adalah semata-mata kerana tawaf. Terdapat kes jemaah yang terpisah daripada kumpulannya atau pasangannya, lalu dia berjalan selepas itu bertujuan semata-mata untuk mencari kumpulannya atau pasangannya, maka batallah pusingan itu sahaja bukannya semua pusingan. Jika niat tawafnya masih ada tetapi dalam masa yang sama dia tawaf sambil mencari rakan-rakan sekumpulannya atau pasangannya, maka pusingan tawaf tersebut tidak batal.


7- Cukup tujuh keliling dengan yakin.
Jika jemaah ragu-ragu ketika tawaf pada menentukan bilangan pusingan tawaf, maka hendaklah mengambil jumlah yang terkecil. Contohnya, jika jemaah ragu-ragu antara 6 atau 7 pusingan, maka dikira masih 6 pusingan. Jemaah tersebut hendaklah mencukupkan satu lagi pusingan. Jikalau tawaf dilakukan secara berkumpulan, jemaah hendaklah memakai keyakinan pada diri sendiri dalam menentukan jumlah pusingan tawaf, walaupun bercanggah dengan pendapat rakan sekumpulan. Jikalau ragu-ragu berlaku selepas selesai tawaf, maka ianya tidak memberi mudarat.


8- Tawaf itu hendaklah dilakukan di dalam Masjidil Haram dan di luar daripada bahagian Kaabah seperti Hijir Ismail dan Syazarawan.
Semasa tawaf, jemaah tidak boleh menyentuh bangunan Kaabah, kelambunya, Hijir Ismail dan Syazarawan. Begitu juga jemaah tidak boleh memasuki ke dalam Hijir Ismail ketika tawaf. Bagi jemaah yang tersentuh perkara-perkara tersebut hendaklah mengulangi pusingan tawaf yang terbatal itu sahaja. Tetapi tidak mengapa tawaf melalui ruangan antara Maqam Ibrahim dan bangunan Kaabah.


Sunat-sunat tawaf


1- Tawaf dengan berjalan kaki tanpa memakai alas kaki serta memendekkan langkah.
Bagi jemaah yang sihat, harus tawaf dengan berkereta sorong tetapi makruh hukumnya.


2- Beridtiba’, iaitu memakai kain ihram dalam keadaan menutup bahu kiri dan membuka bahu sebelah kanan bagi lelaki sepanjang tujuh pusingan tawaf.
Beridtiba' ini sunat dilakukan pada tawaf yang diiringi selepas itu dengan saie seperti pada tawaf umrah, tawaf qudum bagi jemaah haji ifrad atau qiran yang berhasrat melakukan saie haji selepas melakukan tawaf qudum itu, dan pada tawaf haji (ifadah) bagi yang akan melakukan saie haji selepas itu (terutamanya jemaah haji tamattu') dan dia ketika itu dalam keadaan memakai pakaian ihram.


3- Berlari-lari anak bagi lelaki pada pusingan 1, 2 dan 3. Manakala pada pusingan ke 4 hingga 7, jemaah lelaki hendaklah berjalan macam biasa.
Berlari-lari anak ini juga dilakukan pada tawaf yang diiringi selepas itu dengan saie seperti pada tawaf umrah, tawaf qudum bagi jemaah haji ifrad atau qiran yang berhasrat melakukan saie haji selepas melakukan tawaf qudum itu, dan pada tawaf haji (ifadah) bagi yang akan melakukan saie haji selepas itu (terutamanya jemaah haji tamattu').


4- Tawaf berhampiran dengan bangunan Kaabah bagi lelaki, melainkan jika tidak dapat melakukan perbuatan berlari-lari anak. Maka dalam keadaan ini, hendaklah tawaf berjauhan sedikit daripada bangunan Kaabah. Bagi wanita adalah afdal bagi mereka tawaf berjauhan daripada bangunan Kaabah.


5- Melakukan istilam (sentuh) Hajarul Aswad kemudian mengucupnya, meletakkan dahi atasnya dan mengucup tangannya selepas itu. Jika tak mampu berbuat demikian terutamanya ketika kesesakan pada tempat tawaf, jemaah hanya disunatkan mengisyaratkan dengan tangan kanan dari jauh sambil menyebut "Bismillah Allahu Akbar" kemudian mengucup tapak tangan tersebut tanpa membunyikan suara. Begitu juga sunat istilam (sentuh) Rukun Yamani dan mengucup tangannya selepas itu. Jika tidak mampu, disunatkan isyarat dengan tangan kanan dari jauh sambil menyebut "Bismillah Allahu Akbar" dan mengucup kucup tapak tangan tersebut tanpa membunyikan suara. Namun begitu, pada kedua-dua tempat ini, jemaah hanya dinasihatkan melakukan isyarat sahaja dan mengucup tapak tangannya itu. Jika jemaah tetap mahu mengucup Hajarul Aswad, dinasihatkan melakukannya di luar masa tawaf. Ini kerana cara yang betul untuk mengucup Hajarul Aswad dan istilam Rukun Yamani tanpa membatalkan pusingan tawaf tidak dapat dilaksanakan terutamanya apabila berlaku kesesakan pada kawasan tawaf. Jikalau Hajarul Aswad dilumur dengan minyak wangi, maka haram mengucupnya dan menyentuhnya bagi jemaah yang berada di dalam ihram.


6- Membaca doa dan wirid serta menghadirkan hati.
Jika tidak dapat membaca atau menghafal doa-doa atau wirid-wirid yang tertentu semasa tawaf, maka bacalah ayat-ayat al-Quran, zikir-zikir atau doa-doa yang lain. Jika semua perkara tersebut tidak dapat dilakukan, maka tawaflah tanpa apa-apa doa dan wirid. Doa dan wirid ini sunat dibaca dengan perlahan kerana cara bacaan sebegini sangat membantu menghadirkan kekhusyukan semasa tawaf.


7- Berturut-turut (muawalat) pada tujuh pusingan tawaf tersebut.
Jikalau batal wuduk semasa tawaf, jemaah hendaklah berwuduk semula dan menyambung semula pusingan tawaf tersebut pada tempat dia berhenti tadi. Namun begitu, yang afdalnya dia menyambung semula pusingan tersebut pada penjuru Hajarul Aswad. Cara ini juga hendaklah digunapakai bagi jemaah yang berhenti rehat semasa tawaf kerana kepenatan.


8- Tawaf dengan tawaduk dan khusyuk.
Jangan bercakap-cakap ketika tawaf melainkan dalam keadaan yang sangat memerlukan. Elakkan daripada menyakiti orang lain dengan tolak-menolak ketika tawaf. Makan dan minum ketika tawaf makruh hukumnya.


9- Melakukan solat sunat dua rakaat setelah selesai tawaf di belakang Maqam Ibrahim. Pada rakaat pertama, selepas membaca al-Fatihah, baca surah al-Kafirun. Pada rakaat kedua, selepas membaca al-Fatihah, baca surah al-Ikhlas. Semasa melakukan solat sunat tawaf, jemaah lelaki hendaklah menutup semula bahu kanannya kerana idtiba’ ketika menunaikan solat sunat tawaf adalah makruh hukumnya. Pada musim haji, jemaah tidak dapat melakukan solat ini berhampiran dengan Maqam Ibrahim kerana kawasan belakangnya dilalui oleh orang-orang yang sedang bertawaf. Oleh itu, jemaah hendaklah mengundur ke belakang walaupun sampai ke pinggir kawasan tawaf. Jika kawasan tawaf dipenuhi dengan orang-orang yang bertawaf, maka naiklah ke dalam masjid. Selepas menunaikan solat sunat ihram, berdoalah di belakang Maqam Ibrahim dan juga di Multazam iaitu satu kawasan antara Hajarul Aswad dan Pintu Kaabah. Seterusnya sunat minum air zamzam sepuas-puasnya dan membaca doanya.


Pelbagai isu tawaf


1- Melakukan tawaf qudum bagi jemaah yang melakukan haji ifrad atau qiran adalah sunat. Mereka diharuskan melakukan tawaf qudum selama mana mereka masih belum lagi berwukuf. Selepas melakukan tawaf qudum, diharuskan bagi mereka melakukan saie haji. Jika tawaf qudum tidak dilakukan sehinggalah mereka berwukuf, maka saie haji tersebut wajib dilakukan selepas mereka melakukan tawaf haji (ifadah).


2- Sah tawaf bagi jemaah yang uzur dengan menaiki kereta sorong dengan mengikuti syarat-syarat tawaf. Begitu juga sah tawaf bagi yang menyorong kereta sorong tersebut dalam masa yang sama. Tetapi tidak sah tawaf bagi jemaah yang bertawaf serentak dengan anak kecil yang didukungnya. Maka dia hendaklah melakukan tawaf secara berasingan seperti meniatkan tawaf untuk anaknya terlebih dahulu. Lalu dilakukan tawaf untuk anaknya dengan didukung. Kemudiannya dia melakukan tawaf untuk dirinya sendiri pula.


3- Terdapat jemaah uzur yang mengerjakan haji dalam keadaan gangguan fikiran. Kadang-kadang sedar dan dalam masa yang lain tidak sedar pula. Maka hukum tawaf bagi jemaah ini dikira sah jika ia dilakukan dalam keadaan sedar.


4- Dalam keadaan yang lain pula, terdapat jemaah yang tawaf secara bersorong tertidur semasa tawaf. Berhubung dengan wuduk jemaah ini, ia dikira tidak batal jika ia tidur dalam keadaan tetap papan punggung. Bagi bilangan tawaf pula, orang yang menyorong disyorkan memaklumkan kepada jemaah yang disorongnya itu setiap kali sampai ke kawasan penamat tawaf. Ini adalah untuk memastikan dia menyakini tawafnya cukup tujuh pusingan walaupun semasa dalam perjalanan menuju ke tempat tamat pusingan tawaf dia dalam keadaan tertidur.


5- Bagi jemaah yang berulang alik antara penginapannya dengan Masjid Haram Makkah, mereka mempunyai pilihan sama ada melakukan solat tahiyyatul masjid atau tawaf tahiyyatul bait ketika masuk ke dalamnya. Jika dia mahu melakukan tawaf tahiyyatul bait, maka afdalnya dia berbuat demikian. Sekiranya dia melakukan solat sunat tawaf selepas itu, dia turut mendapat pahala sunat solat tahiyyatul masjid. Jika dia tidak mahu melakukan tawaf tahiyyatul bait, maka lakukanlah solat sunat tahiyyatul masjid.


6- Kadang-kadang ketika melakukan tawaf, muazzin menyeru untuk ditunaikan solat jenazah. Maka dalam masalah ini, adalah afdal jemaah meneruskan tawaf jika tawafnya itu tawaf wajib. Jika tawafnya itu tawaf sunat, adalah afdal dia turut sama menunaikan solat jenazah.


7- Dalam keadaan tertentu, terdapat jemaah wanita yang melaksanakan tawaf sunat. Belum cukup tujuh pusingan, beliau kedatangan haid dan tidak sempat melengkapkan tujuh pusingan kerana pulang ke Malaysia. Bagi kes ini, jemaah tersebut tidak perlu melengkapkan pusingan tawaf dan boleh pulang ke tanah air tanpa terikat dengan apa-apa hukum kerana ia adalah tawaf sunat. Ini juga terpakai bagi jemaah haji lelaki yang mengerjakan tawaf sunat dan tidak sempat menyempurnakan pusingan kerana terpaksa pulang ke Malaysia.


8- Pada masa kini, terdapat program ziarah ke bandar Jeddah termasuk Masjid Terapung di tepi Laut Merah. Bagi jemaah yang mahu mengikuti program ziarah ini, diwajibkan ke atas mereka melakukan tawaf wadak sebelum memulakan program ziarah ini kerana jarak perjalanan adalah lebih daripada dua marhalah iaitu 104km.


9- Sebelum jemaah keluar dari Tanah Haram Makkah selepas selesai kerja-kerja haji, wajib mereka melakukan tawaf wadak melainkan bagi orang-orang yang dikecualikan seperti wanita yang sedang berhaid. Tawaf wadak ini dilakukan setelah semua urusan sudah diselesaikan. Waktu melakukan tawaf wadak adalah seperti berikut :

i- Hari Jumaat (bagi bas yg akan bertolak antara pukul 2 hingga 3 petang)
Uruf selepas tawaf wadak ialah 4-5 jam. Contohnya, jadual bertolak keluar dari Makkah pada pukul 2 atau 3 petang, maka jemaah dibolehkan melakukan tawaf wadak pada pukul 10 pagi.


ii- Hari Sabtu hingga Khamis dan Jumaat (bagi bas yg bertolak selain waktu di atas)
Uruf selepas tawaf wadak ialah 2-3 jam. Contohnya, jadual bertolak keluar dari Makkah pada pukul 6 petang, maka jemaah dibolehkan melakukan tawaf wadak pukul 3 petang.


Sebaik sahaja melakukan tawaf wadak, jemaah terus meninggalkan Makkah kecuali jika ada hajat-hajat yang tertentu. Antara hajat-hajat yang boleh dilakukan selepas tawaf wadak adalah seperti berikut :

a- Sejurus selepas tawaf wadak :
i- Menunaikan solat sunat tawaf dan berdoa selepasnya.
ii- Berdoa di Multazam.
iii- Minum air zamzam dan berdoa.
iv- Mengucup Hajarul Aswad jika berkesempatan dan suasana mengizinkan.
v- Menunaikan solat jika bilal telah melaungkan iqamat, atau bilal sedang melaungkan azan sedangkan ia telah berusaha untuk keluar setelah melaksanakan tawaf wadak tetapi tidak sempat juga keluar dari Masjidil Haram dan kawasan sekitarnya yang bersambung saf kerana kesesakan yang amat ketara lalu iqamat dilaungkan.


b- Selepas tawaf (di maktab/penginapan)
i- Makan dan minum sekadar keperluan dalam bilik penginapan di hotel (maktab).
ii- Qada hajat dalam tandas bilik penginapan.
iii- mengambil beg atau barang yang diletakkan/ditinggalkan dalam bilik penginapan
iv- Mencari isteri, saudara, waris, rakan yang hilang
v- Mengangkat barang-barang yang hendak dibawa bersama.
vi- Melawat isteri, saudara, waris, rakan yang sakit di hospital/klinik/maktab (bagi kes kecemasan dan hajat)
vii- Sebarang urusan yg berkaitan dengan perjalanan sama ada ke Jeddah atau Madinah seperti membeli makanan atau minuman untuk kegunaan dalam perjalanan dan sebagainya.
viii- Menunggu kenderaan yang lewat tiba kerana kesesakan dan sebagainya.


Bagi wanita yang kedatangan haid, sunat baginya untuk meninggalkan kota Makkah pergi ke hadapan pintu Masjidil Haram, memandang Kaabah dan melambai-lambai tangan dengan perasaan yang sayu.

No comments:

Post a Comment