Musim haji datang lagi.
Para tetamu Allah yang telah disenaraikan semakin berdebar menanti waktu
penerbangan ke tanah suci. Namun telah bersediakah kita untuk
menunaikan sebuah ibadah hebat ini? Persiapan utama yang perlu
disempurnakan dan difahami oleh seseorang yang bakal menjadi tetamu
Allah yang terpilih dan dipilih ialah dengan mengetahui, kenapa ibadah
haji menjadi keutamaan dalam proses kesempurnaan hidup insan di dunia
ini?
Hakikat nyata, kesedaran diri
sebagai manusia jahil, hina dan kerdil di sisiNya tidak menghalang
untuk kita berfikir dan tidak melakukan perkara tanpa memahami sebab ia
perlu dilakukan. Maksud tersirat apabila kita mahu melaksanakan ibadah
haji, kita perlu melakukan dengan cara yang terbaik supaya dapat
meninggalkan kesan yang mendalam pada diri sendiri terutamanya dalam
konteks hubungan dengan Pencipta. Ia memerlukan pemahaman sepenuh hati
dan perasaan.
Namun untuk mengetahui dan memahami persoalan ini ianya tidak
memungkinkan kita memperolehi jawapannya dalam ceramah-ceramah kursus
asas haji sahaja kerana di sana ia lebih menitikberatkan persoalan
tatacara perlaksanaan haji. Sebenarnya, kita perlu lebih menekuni
beberapa aspek daripada falsafah ibadah haji melalui pembacaan dan
perbincangan dengan mereka yang mempunyai latarbelakang pendidikan agama
yang baik khususnya dalam bab ibadah haji.
Hakikatnya, falsafah dan hikmah daripada segala sesuatu tidak semua dapat dilihat oleh pandangan mata kepala, tetapi dengan mata hati.
Allah SWT tidak mencipta segala yang wujud di dunia ini kecuali
mempunyai falsafah dan hikmahnya. Ada sebab dan tujuannya. Sama ada
diketahui oleh manusia ataupun tersembunyi daripadanya.
Begitu juga Allah SWT tidak
memerintahkan untuk melakukan sesuatu perbuatan atau melarang daripada
sesuatu amalan, melainkan kerana hikmah yang ada disebaliknya. Semuanya
itu tidaklah sia-sia, bagi yang mahu berfikir pasti akan menjumpai
jawapannya sebagaimana firman Allah SWT:
Alhamdulillah, jika kita terpilih sebagai tetamu Allah SWT. Jika menjadi tetamu kepada manusia atau orang besar, kita sudah pasti berasa sangat gembira. Oleh itu, kita perlu lebih gembira lagi jika terpilih menjadi tetamu Allah. Namun, persoalannya, bersediakah kita untuk menjadi tetamu Allah?“Wahai Tuhan kami! tidaklah Engkau menjadikan segalanya ini dengan sia-sia, Maha suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.”(Surah ali-Imran: 191)
Musafir untuk mengerjakan haji atau umrah adalah tidak sama
seperti musafir untuk pergi melancong. Setiap pergerakan, perbelanjaan kita
adalah ibadah dan akan diberi ganjaran pahala oleh Allah SWT. Antara persiapan
yang perlu dilakukan ialah daripada segi fizikal, mental dan rohani. Daripada
segi fizikal, kita perlu menjaga kesihatan dan kecergasan. Daripada segi mental
pula, kita perlu bersedia menghadapi ujian-ujian yang bakal menimpa. Daripada
segi rohani pula, kita perlu meningkatkan ketaqwaan kepada Allah kerana itulah
sebaik-baik bekalan.
Secara ringkasnya, antara persiapan mengerjakan haji ialah:
Jaga akidah daripada perbuatan syirik. Contoh mudah – ada
orang yang menganggap hajar aswad, kaabah dapat memberi syafaat/mudarat kepada
seseorang. Kita perlu berhati-hati kerana Allah tidak akan menerima amalan
orang yang ada syirik kepada-Nya.
Kita perlu bersiap daripada sudut kewangan dan memastikan
yang sumbernya halal. Sahabat pernah bertanya Rasulullah SAW, “Apakah yang
mewajibkan haji?” Nabi SAW menjawab, “Bekalan dan kenderaan”. Diriwayatkan
daripada Abu Hurairah r.a., Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Jika seorang
keluar untuk menunaikan fardu haji dengan nafkah yang baik (halal) dan ketika
meletakkan kakinya pada tali sandang maka menyerulah dia – Labbaikallah hummalabbaik.
Maka disambut oleh yang menyeru dari langit yang maksudnya: “Seruan kamu
diterima dan berbahgialah kamu, bekalan kamu itu halal, kenderaan kamu itu
halal dan haji kamu haji mabrur(tidak ditolak). Sebaliknya jika seorang keluar menunaikan fardu haji dengan
perbelanjaaan yang haram dan kotor. maka ketika meletakkan kakinya ditali
sandang atau kenderaan ,manakala dia bertalbiah , disambut oleh yang menyeru
dari langit: "Tidak diterima seruanmu dan tidak ada kebahagiaan bagi kamu,
bekalan kamu haram, perbelanjaaan kamu haram,haji kamu ditolak, tidak ada
pahala dan tidak ada ganjaran bagi kamu”.
Oleh itu, pastikan sumber rezeki kita tiada unsur riba, khianat atau
perkara-perkara haram yang lain. Seterusnya keikhlasan kita perlu dijaga dalam
setiap amalan kebaikan yang ingin dilakukan.
Persiapan fizikal dan mental perlu juga diberi perhatian.
Kita akan berpisah dengan keluarga untuk jangkamasa yang panjang (lebih kurang
40 hari). Dalam perjalanan juga kita akan diberi ujian-ujian oleh Allah. Oleh
itu, kita perlu tingkatkan kesabaran dan ingat bahawa permusafiran itu juga
merupakan satu bentuk ujian daripada Allah.
Dalam mengerjakan rukun-rukun haji, kita akan mengalami
kesesakan kerana jumlah orang yang ramai. Oleh itu , kita perlu banyak bersabar
dan bertolak-ansur. Segala kepayahan dan kesukaran yang dialami adalah sebagai
satu jalan mujahadah kepada jalan Allah. Seterusnya, kita perlu mempersiapkan
diri dengan ilmu, terutamanya ilmu mengerjakan haji.
No comments:
Post a Comment