Tuesday, 11 February 2020

CARA ZIARAH WADA' KEPADA RASULULLAH ﷺ



Terdapat adab-adab yang perlu diperhatikan jika seseorang ingin keluar meninggalkan Madinah :
1. Pertama adalah dengan melakukan 2 rakaat solat sunat wida' (selamat tinggal) , sebaiknya ditunaikan didalam Rawdhah. Jika tidak dapat maka di dalam kawasan masjid Nabi yang lama. Jika masih tidak dapat maka boleh dilakukan dimana-mana kawasan masjid. Niatnya ialah "Sahaja aku solat sunat wida' kerana Allah Ta'ala".
2. Berikutnya ialah menziarahi maqam Rasulullah SAW, mengucapkan salam perpisahan kepada Baginda(as-Salamu alayka ya Rasulallah) dengan penuh kerendahan hati dan sedih ingin meninggalkan Baginda, yang terbaik adalah didalam masjid betul-betul dihadapan maqam Baginda, jika tidak dapat maka boleh dilakukan diluar bangunan masjid dengan menghadap kepada Kubah Hijau.
3. Berdoalah dengan bertawassul kepada Nabi Muhammad (Ya Allah, daku mohon kepadaMu dengan keberkatan Kekasih-Mu, tunaikanlah hajatku ini...). Mohonlah penerimaan Allah terhadap ziarah ini. Antara cadangan doa ialah seperti berikut:
"Ya Allah, janganlah Engkau jadikan ziarahku ke tempat mulia ini sebagai kali terakhir..
Janganlah jadikan pertemuan ini sebagai hari terakhir kami dengan Rasulullah .. untuk menziarahinya ataupun berada disisinya.
Semoga Allah mengurniakan kebajikan sihat wal'afiat dan selamat..
Selamat tinggal ya Rasulullah. Salam perpisahan wahai Nabi Allah.. insyaAllah kami akan datang menziarahimu, wahai Habibullah..
Namun jika kami mati dulu, maka sekarang kami tinggalkan disampingmu ikrar sumpah setia kami dari hari ini hinggalah hari kiamat - pengakuan kami yang sungguh sungguh,
لا إله إلا الله محمد رسول الله
Maha Suci Allah yang mempunyai kemuliaan dari segala yang mereka sifatkan... "
4. Biarkanlah air mata mengalir di saat perpisahan. Jika ikhlas, air mata ini akan menjadi tanda penerimaan. Jikalau air mata tidak dapat mengalir keluar, maka sekurang kurangnya ikutilah gaya orang yang menangis atau berbuat-buat menangis.
5. Berjalan keluar dari sisi Rasulullah SAW dan bersedekahlah kepada orang orang yang berada di sekitar masjid Nabawi.

1 comment: