Fahamilah bahawa ibadah umrah juga adalah ibadah utama bagi yang mampu dan telah terpanggil untuk menunaikannya. Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda: “Orang-orang yang menunaikan haji dan umrah adalah tetamu Allah. Apabila mereka memohon kepadanya, pasti diperkenankan. Dan apabila mereka memohon keampunan kepadaNya, pasti diampunkan.” (Riwayat Nasa’i, ibnu Hibban dan Hakim).
Orang-orang yang menunaikan haji dan
umrah adalah para tetamu Allah. Manakala kedudukan dan tahap
kesempurnaan jemputannya pula dapat ditentukan berdasarkan kepada
ciri-ciri keutamaan dan keadaan persiapan seseorang jemaah sebelum
terpilih dan dipilih untuk menunaikan ibadah haji dan umrah. Secara
umumnya para tetamu Allah tergolong kepada tiga kategori;
- Tetamu yang dijemput dengan rahmat dan keredhaanNya
- Tetamu yang diterima dalam keadaan kemurkaanNya.
- Tetamu yang diterima tetapi tidak jelas kedudukannya.
Ketiga-tiga golongan ini termasuk dalam
jaminan Allah SWT, iaitu doa dan taubat mereka akan dikabulkan Allah SWT
jika mereka memohon bersungguh-sungguh kepada-Nya serta memenuhi segala
syaratnya. Namun terdapat perbezaan dari segi layanan Allah SWT kepada
mereka setelah mana mereka tersenarai dalam jemputan-Nya itu.
a. Tetamu yang dijemput dengan rahmat dan keredhaanNya
Golongan pertama ialah tetamu yang dijemput dengan rahmat dan keredhaanNya
adalah dikalangan mereka yang telah membuat persiapan seawal niat dan
azam untuk menunaikan haji serta umrah lagi. Antara persiapan yang telah
mereka persiapkan;
- Membersihkan jiwa batiniah melalui taubat yang bersungguh-sungguh disamping memperbanyakkan doa-doa khusus supaya dijemput sebagai tetamu-Nya.
- Mempersiapkan diri dengan ilmu amali ibadah haji dan umrah seawal mungkin agar jelas difahami dengan rasa penuh keyakinan di dalam hati pada perlaksanaan dan penghayatan serta hikmahnya.
- Memberi tumpuan dan meningkatkan kualiti ibadah fardu seperti solat, zakat serta puasa malah diperkemaskan dan ditunaikan berserta amalan sunat dengan sebaik mungkin.
- Hubungan sesama manusia diperbaiki, jika ada dosa dan pernah membuat kejahatan kepada sesama insan maka ia akan bersegera memohon kemaafan kepada mereka.
- Dilangsaikan segala hutang yang mampu dijelaskan disamping membuat perancangan dengan teliti agar tidak membebankan mereka yang ditinggalkan.
- Mempersiapkan semua keperluan yang patut bagi meringankan segala bebanan dan tanggungjawab yang bakal ditinggalkan dengan secara yang halal. Mereka ikhlas melakukan yang demikian demi mencari redhanya Tuhan.
Keikhlasan mereka itu adalah antara
penyebab kepada segala urusan mereka dipermudahkan Allah SWT. Malah
sepanjang menunaikan ibadah haji dan umrah juga akan berada dalam
ketenangan dan dilimpahi bantuan daripada Allah SWT. Mereka ini telah
benar-benar menghayati dan mempraktikkan suruhan Allah SWT sebagai
bekalan menuju kepada keredhaan-Nya, sebagaimana firman Allah SWT:
“Dan hendaklah kamu membawa bekal dengan secukupnya, kerana sebaik-baik bekal itu ialah Takwa (memelihara diri), dan bertakwalah kepada-Ku wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya).”(Surah al-Baqarah: 197)
Bekalan takwa mereka ialah pemeliharan diri daripada sifat-sifat mazmumah
yakni sifat-sifat keji, memiliki ilmu serta praktikal ibadah yang
sempurna. Disamping itu juga, mereka mempunyai kefahaman dalam ertikata
yang sebenarnya dalam meningkatkan penghayatan pada ibadah dengan
belajar untuk memperbaiki diri dalam setiap praktik amalan haji dan
umrah. Memperelokkan hubungan mereka dengan Allah SWT melalui
penyempurnaan iman dan kecintaan yang hakiki kepada Ilahi, serta
menyantuni manusia dalam semua keadaan sebagai pelengkap keindahan
akhlak dan adab melalui hablum minannas, hubungan mereka semasa manusia.
b. Tetamu yang diterima dalam keadaan kemurkaanNya.
Manakala golongan kedua iaitu tetamu yang diterima dalam keadaan kemurkaan Allah SWT
ialah mereka yang sebaliknya. Ada yang pergi ke Makkah dengan niat
hanya untuk berziarah atau melancong dan mengalami sendiri pengalaman
sebagaimana yang digembar-gemburkan oleh kebanyakkan orang yang telah
menziarahinya.
Ada juga yang dalam keadaan terpaksa
mengerjakan ibadah haji kerana mengikut suami, ibu bapa, keluarga,
majikan, kelab atau jemaah tertentu. Ada juga yang merasai kewajipan itu
pada dirinya lantas ia berusaha melayakkan dirinya, namun pelbagai niat
dan persepsi yang dilahirkan hanya sekadar ‘melepaskan batuk di tangga
sahaja’ tanpa membuat persiapan yang menyeluruh merangkumi niat, bekalan
ilmu, iman dan amalan. Kebanyakkannya benar-benar berharap mendapat
yang terbaik tetapi tidak menepati syarat. Tidak kurang juga yang hanya
tangkap muat, asal terlaksana ibadah haji dan umrah sudah dianggap
memadai.
Satu ketika seorang sahabat Nabi
SAW, Abdullah Bin Umar RA apabila melihat rombongan haji sedang melewati
satu jalan, beliau berkata: “Pada hari ini, para jemaah haji menjadi semakin berkurangan dan pengembara-pengembara semakin bertambah ramai.”
Ungkapan beliau itu bermaksud, para
kekasih Allah SWT yang sebenar semakin sedikit. Iaitu mereka yang pergi
menunaikan ibadah haji kerana Allah SWT disamping untuk mengambil faedah
dan tarbiah daripadanya semakin berkurangan. Sementara dikalangan
mereka yang tidak ikhlas telah bertambah dengan hebatnya. Justeru ia
menyeru ke arah kesederhanaan dan menjauhkan segala kemewahan dan
keseronokan.
Mana tidaknya, jemaah haji sekarang ini
lebih didedahkan kepada segala kemudahan yang tersedia bermula dari
bimbingan ibadah haji sehinggalah kepada pakej-pakej yang ditawarkan.
Malah persekitaran dan aktiviti di tanah suci juga telah menampakkan
kemewahan dan bersifat keduniaan. Perkara ini sedikit sebanyak akan
mempengaruhi sikap dan tindakan dalam persiapan dan keadaan sebagai
tetamu Allah.
Inilah cabaran terbesar di zaman
kita ini. Justeru, para jemaah haji hendaklah menunjukkan tanda
keghairahan cinta kepada Allah SWT, dan bukannya tanda cinta kepada
kemewahan, kesenangan atau kecantikan yang bersifat keduniaan.
Membuktikan bahawa pemergiannya untuk menunaikan ibadah haji itu
semata-mata mencari keredhaan Allah SWT agar tidak tergolong dalam salah
satu daripada golongan yang telah disabdakan oleh Rasulullah SAW:
“Akan datang kepada manusia suatu masa, umatku melakukan haji kerana empat perkara: Orang kaya melaksanakan ibadah haji kerana melancong. Orang pertengahan menunaikan haji kerana berniaga. Orang miskin menunaikan haji kerana meminta-minta. Orang qari dan para ilmuaan menunaikan haji kerana riya’ dan nama.” (Riwayat al-Dailamy)
Ujian adalah kifarah
Namun sifat pengampunnya Allah SWT masih
memberi ruang dan peluang untuk para hamba-Nya bertaubat dan menginsafi
diri. Walaupun hadirnya mereka mengundang kemurkaan Allah SWT disebabkan
sikap yang ada pada diri mereka iaitu memberi keutamaan kepada nafsu
dan bukannya untuk menyatakan ketaatan kepada Allah SWT. Tetapi Maha
Pengasihnya Allah SWT masih membuka tawaran keampunan untuk
hamba-hamba-Nya bertaubat dan menginsafi diri.
Justeru kepayahan, kesakitan, tekanan yang wujud semasa, sebelum atau selepas menunaikan haji dan umrah adalah kifarat
serta ujian Allah SWT untuk para hamba-Nya. Sebagaimana yang terdapat
dalam sebuah hadis sahih daripada Abu Hurairah dan Abu Said Al-Khudri,
bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
“Tidaklah seorang mukmin dilanda kecemasan, kelelahan dan kesedihan, melainkan Allah SWT akan menghapuskan segala kesalahannya.”(Riwayat Muslim)
Inilah hakikatnya komunikasi tanpa suara
antara Tuhan dengan para hamba-Nya. Ujian terkecil malah yang terbesar
adalah takdir Allah SWT. Ia mempunyai maksud tertentu untuk dibuat
penilaian. Bagi para tetamu Allah khususnya, ia adalah sebagai ingatan
atau kifarat daripada dosa moga hamba-Nya itu akan segera
bertaubat, menyedari segala kesilapan sama ada dengan Allah SWT ataupun
sesama manusia. Ujian juga bermaksud qisas (pembalasan) ke atas
dosa-dosa kita. Setiap perbuatan dosa mesti dihukum, sama ada di dunia
ataupun di akhirat, kecuali jika kita telah bertaubat bersungguh-sungguh
sehingga Allah SWT mengampuni dosa-dosa tersebut.
Ujian sebenarnya melatih kita untuk
mengubah ketrampilan diri bagi mendapat sifat-sifat terpuji. Sabar,
redha, tawakal, baik sangka, mengakui diri sebagai sebagai hamba yang
lemah, mendekatkan diri kepada Allah SWT, harapkan pertolongan Allah
SWT, merasai dunia hanya nikmat sementara dan sebagainya. Semuanya ini
tidak dapat kita bezakan melainkan melalui ujian yang disediakan Allah
SWT mengikut tahap keimanan kita bagi mencetuskan segala sifat mahmudah dalam diri.
Natijahnya apabila mampu membuat diri
terasa berdosa ianya juga adalah hasilan dari sifat terpuji yang telah
kita miliki. Kadang-kala Allah SWT dedahkan dosa yang dilakukan hingga
ramai orang tahu. Bukannya untuk menghina tetapi untuk memberi ingatan
agar kita segera bertaubat dan tidak meneruskan dosa itu sampai
bila-bila.
Banyak kisah pengalaman dari para jemaah
haji atau umrah yang bertemu dengan pelbagai keadaan manusia yang
dibukakan keaibannya oleh Allah SWT. Mungkin itulah dia kifarat
yang kadang-kala sehingga mencederakan perlaksanaan ibadah haji dan
umrahnya. Bagaimana pula status haji atau umrahnya itu? Hanya Allah SWT
sahaja yang mengetahuinya. Kita hanya mampu bersangka baik dan menilai
dari lahiriah perbuatannya sahaja. Bila sah pada syarak maka sahlah
hajinya. Terpulanglah kepada Allah SWT untuk menentukan nilai
penerimaannya berdasarkan keikhlasan yang telah ditunjukkan sepanjang
proses perlaksanaan ibadah tersebut.
Bagi mereka yang dikasihi Allah SWT, di
dunia lagi Allah SWT hukum, tidak di akhirat, dengan didatangkan
kesusahan, penderitaan, kesakitan dan sebagainya. Sekiranya kita boleh
sabar dan redha, tentulah ada ganjaran pahala untuk kita. Sebaliknya
kalau kita tidak boleh bersabar dan tidak redha malah merungut-rungut,
mengeluh dan memberontak, ianya hanya akan menambah dosa pada diri kita.
Begitulah Allah Yang Maha Pengasih kepada para hambaNya, tidak mahu
menghukum kita di akhirat kerana penderitaan di akhirat yakni di neraka
berpuluh-puluh kali ganda lebih dahsyat daripada penderitaan di dunia.
Ujian juga adalah untuk menilai
sejauhmana keyakinan kita kepada Allah SWT. Semakin diuji sepatutnya
semakin bertambah iman, dan semakin hampir kita dengan Allah SWT. Firman
Allah yang bermaksud;
“Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, pada hal belum nyata bagi Allah orang yang berjihad di antara kamu dan belum nyata orang-orang yang bersabar.”(Surah ali-Imran: 142)
Namun begitu, kegagalan dalam menghayati
hikmah ini menyebabkan kita bertambah jauh dengan Allah SWT; mengeluh
dan menyesali takdir Allah SWT. Apatah lagi ianya akan menjauhkan kita
untuk mengapai kesempurnaan haji dan umrah yang mabrur lagi bertadabbur.
c. Tetamu yang diterima tetapi tidak jelas kedudukannya.
Seterusnya golongan ketiga iaitu tetamu yang diterima tetapi tidak jelas kedudukannya.
Mereka dalam kategori ini pergi menunaikan haji dan umrah hanyalah
sekadar kebetulan. Sekadar memenuhi kehendak semasa ataupun dalam
keadaan terpaksa apabila sering disapa orang, rakan-rakan atau sanak
saudara yang telah pergi menunaikannya. Seolah-olahnya hanya sebagai
menyahut cabaran.
Suatu ketika saya pernah ditanya
berkenaan dengan adanya dikalangan jemaah haji yang datang ke Makkah
untuk menunaikan haji dan umrah sedangkan sebelum itu dia telah banyak
melakukan dosa. Malah setelah pulang dari menunaikan haji pun ia masih
lagi meneruskan amalan-amalan dosa yang pernah dilakukannya malah lebih
hebat lagi. Bila ditanya, dia seolah-olah mempermain-mainkan saja
teguran tersebut.
Ada antara mereka yang menjawab dengan angkuh;
“Kau tengok aku. Aku nampak Kaabah, tak terasa panas, tak pernah sesat
macam orang yang aku selalu dengar kisah-kisah aneh di Makkah tu. Itu
menunjukkan aku okeylah. Tuhan merestui aku. Kalau aku jahat tentu aku
ditimpa macam-macam insiden malang seperti yang diceritakan dalam
kisah-kisah aneh tu. Ini tidak. Aku okey, okey saja..’”
Tidak mustahil, ada juga jemaah haji
setelah pulang ke tanah air dengan keadaan selamba berterusan membuat
dosa seperti membeli nombor ekor atau ramalan (loteri), mendedahkan
aurat, menipu, rasuah, khianat dan sebagainya. Inilah sebuah realiti
yang berlaku dikalangan para jemaah yang tidak memahami tujuan kefarduan
ibadah haji dan umrah yang terdapat padanya latihan, hikmah serta
pengajaran.
Perlu diingat, kisah-kisah misteri atau
bala kesusahan bukanlah satu kemestian berlaku kepada setiap orang yang
berdosa atau yang tidak betul niat dan tujuannya. Ia hanyalah tarbiah
Allah SWT untuk mendidik para tetamu-Nya yang datang serta memiliki
keazaman dan niat mengabdikan diri kepadaNya. Kadang-kala ianya
bermanfaat sebagai pengajaran supaya hamba-hamba-Nya yang ikhlas itu
sedar dan ingat untuk kembali bertaubat.
Namun hanya Allah Yang Maha Mengetahui
segala tujuan yang tersirat di dalam hati-hati manusia, ikhlas ataupun
tidak. Boleh jadi Allah SWT akan membiarkan orang yang penuh dengan dosa
dan leka akan terus lalai dengan kehidupannya. Na’uzubillahi min zalik. Sebagaimana firman Allah SWT:
“Katakanlah (Wahai Muhammad): “Sesiapa yang berada di dalam kesesatan, maka biarlah (Allah) Ar-Rahman melanjutkan baginya satu tempoh yang tertentu, hingga apabila mereka melihat apa yang dijanjikan kepada mereka, – sama ada azab sengsara dunia ataupun azab kiamat.”(Surah Maryam: 75)
Kesan dari pengabaian kepada dosa
mengakibatkan akalnya sudah tidak mampu lagi membezakan antara ibadah
dan adat. Biasanya apabila akal tidak berfungsi dengan sempurna
sebagaimana sepatutnya, ingatan serta nasihat sudah tidak berguna lagi.
Akal pada saat itu telah diseliputi nafsu yang akan membinasakan dirinya
sendiri. Keadaan beginilah yang seharusnya kita takuti dan berusaha
menjauhinya. Bila dosa sudah dianggap nikmat serta mengaburi pandangan
mata hati maka Allah SWT akan membiarkan kita terus leka dengan
kehidupan di dunia ini tanpa hidayah-Nya.
Tanpa mengenali baik dan buruk yang
terdapat dalam diri, akan menyebabkan kita hanyut dalam khayalan sendiri
tanpa petunjuk dan bimbingan daripada Ilahi. Inilah pentingnya “Tazkiyatul Nafs”
yakni membersihkan hati dan jiwa dari sifat-sifat keji dan dari segala
penyakit serta keaiban yang akan menyebabkan kita buta dari mengenali
Allah SWT dan perkara-perkara kebaikan dalam kehidupan.
Justeru jika tidak dibendung dan
diperbaiki, mereka yang termasuk dalam golongan ketiga ini mungkin akan
menjadikan amalan haji atau umrah ini hanya sekadar kebanggaan untuk
ditunjuk-tunjuk bahawa mereka juga bertaubat serta beribadah. Namun
hakikat sebaliknya, taubat mereka hanyalah kepura-puraan, tagis mereka
hanyalah kemunafikan lantas mereka pulang ke tanah air dalam keadaan
angkuh dengan Allah SWT dan riak sesama manusia.
Mereka kekal menjadi manusia yang derhaka kepada Allah SWT.
Ibadah haji dan umrah dapat dilaksanakan dengan sempurna tetapi
kewajipan menutup aurat masih diabaikan, segala perintah dan hukum Allah
SWT masih dipertikai, malah segala perkara yang merupakan ibadah masih
dicuai. Sesungguhnya mereka ini adalah insan malang yang tersungkur di
hadapan pintu syurga. “Ya Allah selamatkanlah kami dari keadaan ini.”
Sesungguhnya tidak ada ibadah yang paling buruk melebihi ibadahnya seorang yang fasiq
(pelaku dosa besar dan dosa kecil yang terus menerus) tanpa taubat
sebelumnya. Adakah kita berharap rahmat dan redha-Nya sedangkan kita
tidak menjauhi larangan-Nya? Ketahuilah, bahawa syarat daripada ibadah
yang diterima Allah SWT semestinya diawali dengan taubatan nasuha,
taubat yang bersungguh-sungguh lahir dari hati yang penuh penyesalan,
berhenti daripada segala kelakuan yang jahat, tinggalkan segala bentuk
maksiat, sedangkan perkara itu semua merupakan penghalang kepada ibadah
kita.
Kesimpulan
Saudaraku, layakkah bagi kita melakukan
perjalanan panjang menuju Baitullah al-Haram untuk memenuhi
panggilan-Nya sedangkan kita masih dalam keadaan zalim pada diri sendiri
dan orang-orang di sekitar kita? Tidakkah kita malu sebagai pelaku
maksiat mendatangi Baitullah al-Haram hanya untuk diusir dan ditolak
amalan serta doa? Maka jika kita ingin diterima atas panggilan ibadah
haji atau umrah, bersihkanlah diri dari noda dan dosa, serta penuhilah
perintah dan jauhi larangan-Nya sebelum keberangkatan kita menuju tanah
yang Allah SWT muliakan.
Dengan membuang semua perkara yang dapat
menghalangi ibadah haji dan umrah kita, bererti kita telah mempersiapkan
diri untuk memenuhi panggilan-Nya, maka bersiaplah sebagaimana
persiapan orang yang akan meninggalkan dunia ini untuk selamanya.
Tinggalkan wasiat kepada keluarga, anak dan isteri, kerana seorang
musafir sangat dekat dengan musibah kecuali bagi orang yang mendapat
perlindungan Allah SWT sahaja.
No comments:
Post a Comment