Kelebihan
Hari Arafah tidak hanya terhad kepada jemaah haji yang berada di Tanah
Suci, malah kelebihan itu turut dapat dinikmati umat Islam yang tidak
mengerjakan ibadat haji.
Sehubungan
itu, umat Islam dianjurkan berpuasa pada sembilan hari pertama dalam
bulan Zulhijah, terutama pada Hari Arafah. Tidak diragui lagi bahawa
puasa adalah amalan yang afdal di sisi Allah SWT berdasarkan sabda
Rasulullah s.a.w,
“Berpuasa
pada Hari Arafah dinilai di sisi Allah sebagai penghapus dosa bagi
setahun yang sebelumnya dan yang selepasnya”. (Hadis Muslim).
Selain
berpuasa, umat Islam digalakkan memperbanyakkan amalan salih seperti
solat sunat tahajud, bersedekah, membaca al-Quran dan menyeru kepada
makruf dan mencegah kemungkaran. Perlu diinsafi bahawa setiap amalan
yang dilakukan pada hari-hari berkenaan akan digandakan ganjaran
pahalanya oleh Allah SWT.
Ibnu Abbas pernah menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda,
“Tiada
suatu hari pun amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan
pada sepuluh hari pertama bulan Zulhijah. Sahabat bertanya, “Adakah itu
termasuk juga berjihad pada jalan Allah?”. Jawab Baginda, “Tidak
termasuk berjihad pada jalan Allah melainkan orang yang keluar dengan
seluruh jiwa raganya dan tidak membawa pulang apa-apa pun”. (Hadis
Bukhari)
Dalam hadis lain, Rasulullah s.a.w. juga bersabda,
“Tiada
suatu hari pun dalam setahun yang amalan kebaikan padanya mempunyai
kelebihan melainkan pada sepuluh hari pertama bulan Zulhijah. Oleh itu,
hendaklah kamu memperbanyakkan zikir, tahlil, takbir dan tahmid”. (Hadis
Ahmad).
Pada
hari Arafah, setiap jemaah haji dari seluruh pelusuk dunia akan
melaksanakan satu rukun haji iaitu berwukuf di Padang Arafah. Amalan
wukuf adalah satu perhimpunan besar manusia dengan bahang terik mentari
di Padang Arafah, tiada daya dan upaya melainkan mereka semuanya
mengharapkan keredaan Ilahi. Perhimpunan jutaan manusia itu melambangkan
perhimpunan besar yang bakal dihadapi setiap manusia untuk dihisab
segala amalan diri di Padang Mahsyar kelak.
Oleh
itu, setiap insan wajib muhasabah diri dan juga bertaubat terhadap
segala dosa sebelum Allah pamerkan segala dosa tersebut di hadapan
jutaan manusia di Padang Mahsyar itu.
Dari
sudut sejarahnya, ada pendapat yang mengatakan bahawa perkataan Arafah
itu berasal dari pertemuan kembali Nabi Allah Adam dan isterinya Siti
Hawa yang diturunkan ke bumi secara berasingan dan akhirnya mereka
bertemu kembali di lembah yang dikenali sekarang dengan Padang Arafah.
Ada juga ulama yang me-nyatakan bahawa ia berasal dari peristiwa
pertemuan Nabi Allah Ibrahim dengan isterinya Siti Hajar dan anaknya,
Nabi Allah Ismail AS yang lama berpisah.
Sebahagian
ulama pula berpendapat perkataan Arafah itu adalah hasil pemahaman Nabi
Ibrahim yang menghayati perintah Allah SWT yang tersirat di dalam
mimpinya untuk menyembelih puteranya Nabi Ismail. Oleh kerana itulah,
hari Wukuf di Arafah juga dikenali sebagai hari Tarwiyah yang bermaksud
hari renungan. Dikisahkan, Nabi Ibrahim sentiasa merenung dan mengimbas
kembali mimpinya berturut-turut dan akhirnya Baginda faham (Arafa)
maksud mimpi dan terus melaksanakan mimpi berkenaan.
Selanjutnya,
perhimpunan secara besar-besaran di Padang Arafah menyaksikan suatu
jalinan kemas persaudaraan Islam dan juga kesatuan ummah yang utuh agar
mereka bersatu teguh dan bersemangat padu dalam meneruskan kesinambungan
Islam untuk bertapak di atas bumi Allah ini, bahkan juga meneruskan
tradisi kecemerlangan Islam yang telah dirintis oleh generasi Rasulullah
s.a.w. dan sahabat-sahabat serta generasi selepasnya.
Tambahan
pula, jalinan yang terbina atas paksi ketakwaan ini dengan pakaian
ihram yang sama putih, tanpa mengira kedudukan dan pangkat seseorang,
umat Islam melupakan segala prejudis perkauman atau kebangsaan, warna
kulit, taraf kedudukan, kekeluargaan dan sebagainya.
Semuanya
ini adalah untuk menyedarkan umat manusia bahawa mereka semua pada
hakikatnya adalah sama rata di sisi Allah dan mereka semuanya pada
hakikatnya berasal daripada tanah.
Begitulah
antara kelebihan yang terhampar pada sepuluh hari Zulhijjah yang
sewajarnya direbut setiap Muslim yang benar-benar bertakwa kepada Allah
SWT. Muslim yang beriman akan sentiasa mengintai peluang keemasan yang
disediakan Allah SWT pada sepanjang masa dan seterusnya memanfaatkannya
demi meraih keredaan-Nya dan kebahagiaan abadi di akhirat kelak. Muslim
yang paling bijaksana di sisi Allah SWT ialah seorang Muslim yang
sentiasa bermuhasabah diri dan beramal untuk hari kemudian.
Kita
perlu menghayati ‘roh haji’ walaupun tidak ke Tanah Suci supaya beroleh
ganjaran yang disarankan pada 10 hari pertama bulan Zulhijjah. Allah
Yang Maha adil dan Maha Penyayang tetap mahu seluruh umat Islam dapat
manfaat di atas keutamaan jemaah yang telah dijemput khusus di Tanah
Suci.
Kepada
yang tidak dapat ke sana, Allah tidak pernah melupakan. Kita tetap
diberi keutamaan. Kita masih tetap dituntut oleh Allah SWT supaya
menghayati ‘roh haji’, kerana Allah tetap mahu mengurniakan pahala dan
rahmat-Nya dengan syarat kita kekal mematuhi perintah Allah dan menjauhi
larangan-Nya.
Bagaimana caranya?
Puasa
hari ‘Arafah ialah puasa sunat pada hari kesembilan Zulhijjah yang
disunatkan bagi mereka yang tidak melakukan ibadah haji. Kelebihan
berpuasa pada hari ini ialah ia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun
yang telah lalu dan dosa setahun yang akan datang, sebagaimana hadith
yang telah diriwayatkan daripada Abu Qatadah al-Anshari ra:
Dan
Rasulullah SAW ditanya tentang berpuasa di hari ‘Arafah. Maka Baginda
bersabda: “Ia menebus dosa setahun yang telah lalu dan setahun yang akan
datang.” (Hadith Riwayat Imam Muslim)
Manakala
bagi mereka yang melakukan ibadah haji pula adalah disunatkan untuk
tidak berpuasa pada hari ‘Arafah dan adalah menyalahi perkara yang utama
jika mereka berpuasa juga pada hari itu berdasarkan apa yang
diriwayatkan dari Ummu al-Fadhl binti al-Harith:
Ramai
di kalangan sahabat Rasulullah SAW yang ragu-ragu tentang berpuasa pada
hari ‘Arafah sedangkan kami berada di sana bersama Rasulullah SAW, lalu
aku membawa kepada Baginda satu bekas yang berisi susu sewaktu Baginda
berada di ‘Arafah lantas Baginda meminumnya. (Hadith Riwayat Imam
Muslim)
Juga daripada hadith yang diriwayatkan dari Abu Hurairah ra:
Sesungguhnya
Rasulullah SAW melarang berpuasa pada Hari ‘Arafah bagi mereka yang
berada di ‘Arafah. (Hadith Riwayat Abu Dawud dan an-Nasa’ie; at-Thabrani
dari Aisyah rha) [1]
Disunatkan
juga berpuasa pada hari ke 8 Zulhijjah di samping berpuasa pada hari
‘Arafah (9 Zulhijjah) sebagai langkah berhati-hati yang mana kemungkinan
pada hari ke 8 Zulhijjah itu adalah hari yang ke 9 Dzulhijjah (Hari
‘Arafah). Bahkan adalah disunatkan berpuasa lapan hari, iaitu dari hari
yang pertama bulan Zulhijjah hingga ke hari yang kelapan sama ada bagi
orang yang mengerjakan haji atau tidak mengerjakan haji, bersama-sama
dengan hari ‘Arafah.
Diriwayatkan dari Ibn Abbas ra:
Rasulullah
SAW bersabda: “Tiada amal yang soleh yang dilakukan pada hari-hari lain
yang lebih disukai daripada hari-hari ini (sepuluh hari pertama dalam
bulan Zulhijjah).” (Hadith Riwayat al-Bukhari)
Dalam hadith yang lain yang diriwayatkan dari Hunaidah bin Khalid, dari isterinya, dari beberapa isteri Nabi SAW:
Sesungguhnya
Rasulullah SAW melakukan puasa sembilan hari di awal bulan Zulhijjah,
di hari ‘Asyura dan tiga hari di setiap bulan iaitu hari Isnin yang
pertama dan dua hari Khamis yang berikutnya. (Hadith Riwayat Imam Ahmad
dan an-Nasa’ie)
Adapun
berpuasa pada hari Aidiladha (10 Zulhijjah) dan hari-hari Tasyrik (11,
12 dan 13 Zulhijjah) adalah diharamkan berdasarkan hadith yang
diriwayatkan dari Umar ra:
Bahawasanya
Rasulullah SAW melarang berpuasa pada dua hari, iaitu ‘Eid al-Adha dan
‘Eid al-Fitr. (Hadith Riwayat Imam Muslim, Ahmad, an-Nasa’ie, Abu Dawud)
Serta hadith yang diriwayatkan dari Abu Hurairah ra:
Rasulullah
SAW telah mengirimkan Abdullah Ibn Huzhaqah untuk mengumumkan di Mina:
“Kamu dilarang berpuasa pada hari-hari ini (hari tasyrik). Ia adalah
hari untuk makan dan minum serta mengingati Allah.” (Hadith Riwayat Imam
Ahmad, sanadnya hasan) [2]
[1]
al-Imam as-Syaf’ie rh berpendapat; “Disunatkan puasa pada hari ‘Arafah
bagi mereka yang tidak mengerjakan ibadah haji. Adapun bagi yang
mengerjakan ibadah haji, adalah lebih baik untuknya berbuka agar ia kuat
berdoa di ‘Arafah.” Dari pendapat Imam Ahmad rh pula; “Jika ia sanggup
berpuasa maka boleh berpuasa, tetapi jika tidak hendaklah ia berbuka,
sebab hari ‘Arafah memerlukan kekuatan (tenaga).”
Begitu
juga dengan para sahabat yang lain, lebih ramai yang cenderung untuk
tidak berpuasa pada hari ‘Arafah ketika mengerjakan ibadah haji
[2]
Ulama Syafi’iyyah membenarkan untuk berpuasa pada hari Tasyrik hanya
untuk keadaan tertentu seperti bersumpah, qadha puasa di bulan Ramadhan
serta puasa kifarah (denda). Puasa tanpa sebab tertentu pada hari-hari
ini (puasa sunat) adalah ditegah.
Doa
arafah bukan sahaja baik dibaca oleh jemaah haji tetapi untuk seluruh
manusia walaupun tidak berada di Padang Arafah. Berdoa-doalah di mana
jua, kita hanya menyatakan permohonan kita kepada Allah,hak menunaikan
adalah hak Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kita
nyatakan dan apa yang kita rahsiakan. Allah Maha Mengetahui segala hajat
yang ada dihati kita, maka mohonlah agar disampaikan hajat itu.
“Dan
apabila hamba-hambaKu bertanya bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Aku,
maka sesungguhnya Aku dekat. Aku kabulkan permohonan orang-orang yang
berdoa apabila Dia berdoa kepadaku. Hendaklah mereka itu memenuhi
perintahKu dan beriman kepadaKu, agar mereka memperoleh kebenaran.
(Surah Al-Baqarah ayat 186)
Satu-satunya
doa dimakbulkan Allah pada masa dan tempat tertentu adalah Padang
Arafah. Ketikanya ialah selepas gelincir matahari 9 Zulhijjah sehingga
sebelum terbit Fajar 10 Zulhijjah.
No comments:
Post a Comment