Seruan ke Baitullah wajib dilaksana tanpa bertangguh sekiranya telah menenuhi syarat-syarat Haji. Menurut catatan sejarah, suatu ketika Rasulullah SAW ditanya oleh sahabatnya, “Ya Rasulullah, mana antara amal yang banyak itu yang lebih utama? Rasulullah menjawab: Iman kepada Allah dan Rasul-Nya. Kemudian ditanya lagi: Apa lagi, ya Rasulullah? Dijawab lagi: Berjihad di jalan Allah. Kemudian ditanya lagi: Apa lagi, ya Rasulullah? Dan Baginda SAW menjawab: Haji yang mabrur.” - (Hadis riwayat Bukhari)
Musim
haji datang lagi dan Kota Makkah akan menerima kunjungan jutaan umat
Islam seluruh dunia untuk mengerjakan ibadat haji bagi tahun 1430
hijrah. Jemaah haji negara kita yang terpilih mengerjakan ibadat haji
sudah mula berangkat ke Tanah Suci Makkah untuk menyempurnakan Rukun
Islam kelima itu. Ibadat haji wajib dilakukan umat Islam yang
berkemampuan dari segi kewangan serta sihat tubuh badan. Mereka yang
akan pergi mengerjakan haji tahun ini pasti sudah siap sedia dengan
persiapan fizikal serta mental, tentu tidak sabar untuk segera berada di
Tanah Suci Makkah sebagai tetamu Allah. Menjadi tetamu Allah adalah
sesuatu yang cukup bermakna dalam hidup seseorang Muslim. Tidak semua
insan dijemput Allah sebagai tetamu-Nya. Mereka yang terpilih adalah
hamba-Nya yang dikira beruntung dan sewajarnyalah mereka itu berasa
bersyukur kepada Allah.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan
Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji (dengan) mengunjungi
Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu dan berkuasa sampai kepadanya dan
sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat haji itu) maka
sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajat sesuatu pun) dari sekian
makhluk.” - (Surah Ali-Imran, ayat 97)
Firman Allah lagi yang bermaksud: “Dan sempurnakanlah ibadat haji dan umrah kerana Allah.”
- (Surah al-Baqarah, ayat 196) Ibadat haji diwajibkan kepada umat Islam
pada tahun kelima atau keenam Hijrah, akan tetapi mula dilaksanakan
pada tahun kesembilan Hijrah. Pada tahun itu, Rasulullah SAW mengarahkan
Saidina Abu Bakar al-Siddiq mengetuai rombongan 300 umat Islam supaya
mengerjakan haji.
Imam Qurthubi
mengisahkan riwayat daripada Ibnu Abas bahawa ketika Nabi Ibrahim
selesai membangunkan Kaabah, beliau memperoleh perintah langsung dari
Allah supaya melaksanakan perintah menunaikan haji kepada manusia. Nabi
Ibrahim menjawab, “Bagaimana suaraku didengar oleh manusia? Maka
Allah berfirman: Serulah mereka, maka Aku yang akan menyampaikannya.”
Nabi Ibrahim lalu naik ke Jabal Abu Qubais dan menyeru dengan suara
keras: “Wahai manusia! Sesungguhnya Allah SWT memerintahkan kamu untuk
berhaji ke rumah ini (Baitullah), nescaya Allah akan memberi pahala
syurga dan menjauhkan kamu daripada api neraka.” Saat itu seluruh
manusia menjawab, baik yang ada di dalam sulbi lelaki mahupun yang ada
dalam rahim wanita, dengan jawapan talbiyah yang bermaksud, “Aku siap melaksanakan dan memenuhi perintah-Mu, ya Allah.”
Kelebihan
bagi mereka mengerjakan haji dapat dilihat melalui Ali bin Abi Talib
yang mengatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang
siapa menghendaki (kebaikan) dunia dan akhirat, maka hendaklah dia
mengunjungi Baitullah sebab setiap orang yang mendatanginya seraya
memohon kepada Allah akan (kebaikan) dunia, nescaya Allah akan
mengurniakannya dan setiap orang yang memohon kepada-Nya akan (kebaikan)
akhirat, nescaya Dia akan menyimpan sebahagiannya untuknya. Ingatlah
wahai manusia, kerjakan olehmu haji dan umrah, perturutkanlah antara
keduanya, sebab keduanya akan mencuci dosa, ibarat air mencuci kotoran
yang melekat pada baju. Keduanya juga akan menghilangkan kefakiran,
ibarat api menghilangkan kotoran besi.”
Mengerjakan
haji tidak hanya bergantung kepada tubuh badan yang sihat, cergas dan
bertenaga, tapi ketahanan minda juga perlu kuat. Jika tubuh badan saja
sihat serta mampu melakukan rukun dan wajib haji tetapi minda sakit dan
lemah, maka dibimbangi jemaah tidak mendapat haji mabrur. Justeru,
persediaan fizikal, mental dan spiritual perlu diberi perhatian jemaah
yang akan ke Tanah Suci. Mengerjakan ibadat haji nampak mudah, tetapi
oleh kerana ia dilakukan di tempat berlainan, maka semuanya itu
memerlukan kekuatan fizikal kerana ibadat tawaf di Baitullah, sa’ie pula
di Safa dan Marwah, wukuf di Arafah, mabit di Mudzalifah dan melontar
jamrah di Mina. Semuanya itu memerlukan tenaga dan sekali gus menguji
ketabahan serta kesabaran jemaah. Sepanjang mengerjakan ibadat haji,
seseorang itu sentiasa diuji Allah dengan pelbagai ujian yang boleh
mencacatkan ibadahnya kepada Allah seperti cepat marah, tidak sabar,
riak, sombong, bermegah-megah, berkata dusta, umpat dan mengata, hasad
dengki dan sifat tercela lain. Semuanya boleh berlaku jika jemaah tidak
ikhlas melakukan ibadat semasa berada di Makkah dan Madinah. Apa yang
baik seharusnyalah diamalkan jemaah sewaktu berada di Makkah dan Madinah
sepanjang mengerjakan ibadat haji, hendaklah sentiasa bersikap sabar
dalam apa juga keadaan yang mereka hadapi. Selain sabar, hendaklah
selalu ikhlas melakukan serta reda serta perlulah rajin, amanah, jujur,
tolong menolong, bersedekah, penyayang dan yang penting hendaklah
sentiasa mengucap syukur kepada Allah atas nikmat yang diberikan-Nya
selama ini.
Diriwayatkan daripada Abi Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang
siapa yang menunaikan haji ke Baitullah sedangkan ia tiada melakukan
persetubuhan dan perkara yang dilarang maka bersihlah ia daripada
dosanya seperti pada hari ia dilahirkan oleh ibunya.” - (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Sabda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud: “Dosa
yang berlaku di antara umrah adalah dihapuskan dan tidak ada balasan
bagi haji yang mabrur (haji yang diterima) melainkan syurga.” - (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Melihat
kepada ganjaran diberikan Allah kepada mereka yang pergi mengerjakan
ibadat haji seharusnyalah seruan mengunjungi Baitullah itu disambut
secepat mungkin tanpa bertangguh. Jika ada kemampuan bersegeralah
menyempurnakan Rukun Islam kelima itu tanpa memberi alasan belum sampai
seru, usia masih muda atau sibuk dengan tugas. Yang penting adalah niat,
kemahuan dan azam untuk menziarahi Baitullah walaupun sekali dalam
hidup. Oleh demikian, mulai saat ini tanamkan niat, kemahuan dan azam
yang bulat dalam hati untuk mengunjungi Baitullah secepat mungkin
sebelum datangnya kesulitan
No comments:
Post a Comment