IBADAT haji, rukun Islam yang wajib dilaksanakan setiap Muslim yang berkemampuan sekali seumur hidup. Allah berfirman yang bermaksud: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan barang siapa yang kufur (ingkar kewajipan ibadat haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajat kepada sesuatu apapun) dari sekalian makhluk.” (Surah Ali Imran, ayat 97)
Menyedari
kewajipan ibadat haji yang terpikul pada bahu setiap Muslim di samping
kemampuan yang melayakkannya menyahut seruan Ilahi ke Tanah Suci, maka
sewajibnya setiap Muslim yang berkemampuan bersegera untuk menunaikan
rukun Islam yang kelima ini. Dalam hal ini, Rasulullah SAW pernah
berpesan kepada umatnya supaya bersegera menunaikan ibadat haji sebaik
memenuhi syarat yang ditetapkan sebelum berlakunya sesuatu ke atas
dirinya, keluarganya dan harta bendanya yang boleh membantut niat serta
azam ke Tanah Suci.
Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Hendaklah kamu bersegera menunaikan ibadat haji iaitu haji fardu kerana sesungguhnya seseorang itu tidak mengetahui apakah rintangan yang akan menghalang kamu (pada masa akan datang jika dilewatkan).” (Hadis riwayat Ahmad) Sabda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud: “Sesiapa yang mempunyai bekalan dan kenderaan yang boleh menyampaikannya ke Baitullah, tetapi dia masih tidak menunaikan haji (dengan ketiadaan uzur syarak sehingga dia meninggal dunia), maka tiada halangan baginya mati sebagai seorang Yahudi atau Nasrani.” (Hadis riwayat Tirmizi dan Baihaqi)
Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Hendaklah kamu bersegera menunaikan ibadat haji iaitu haji fardu kerana sesungguhnya seseorang itu tidak mengetahui apakah rintangan yang akan menghalang kamu (pada masa akan datang jika dilewatkan).” (Hadis riwayat Ahmad) Sabda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud: “Sesiapa yang mempunyai bekalan dan kenderaan yang boleh menyampaikannya ke Baitullah, tetapi dia masih tidak menunaikan haji (dengan ketiadaan uzur syarak sehingga dia meninggal dunia), maka tiada halangan baginya mati sebagai seorang Yahudi atau Nasrani.” (Hadis riwayat Tirmizi dan Baihaqi)
Jelas
daripada hadis itu, Rasulullah SAW memberi peringatan keras berkaitan
kesudahan dan akibat yang akan diterima orang yang sengaja
melengah-lengahkan dan mencuaikan daripada menunaikan ibadat haji
biarpun sudah memenuhi segala syaratnya.
Oleh yang demikian, setiap Muslim yang berkemampuan dinasihatkan supaya tidak melengahkan membuat persiapan haji seperti menyimpan wang secukupnya, mendaftar dengan Lembaga Tabung Haji, menghadiri kursus dan menyelesaikan masalah berkaitan ketika ketiadaannya kelak. Amat mendukacitakan apabila ada sebahagian umat Islam yang sengaja melambat-lambatkan pemergian mereka ke Tanah Suci dengan pelbagai alasan tidak munasabah, kononnya belum sampai seruan atau kesibukan kerja seharian. Ada juga yang bimbangkan kepada siapa dan ke mana hendak ditinggalkan anak atau memikirkan siapa akan mengendalikan projek pertanian serta perniagaan yang sedang meningkat atau takut jika ditinggalkan akan mengakibatkan kerugian besar. Walaupun semua alasan yang dikemukakan adalah punca yang akan mendatangkan keuntungan besar di dunia ini, perlu diinsafi bahawa keuntungan itu amat kecil berbanding ganjaran pahala berlipat ganda yang diperoleh seorang Muslim melalui ibadat haji mabrur.
Bukankah Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: “Haji yang mabrur itu tidak ganjarannya melainkan syurga penuh kenikmatan.” (Hadis riwayat Bukhari). Sabda Baginda SAW lagi yang bermaksud: “Sesiapa yang menunaikan ibadat haji, tidak melakukan persetubuhan dan perkara-perkara yang fasik, nescaya dia akan kembali suci bersih daripada dosanya sebagaimana pada hari dia dilahirkan oleh ibunya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Selain
itu, ada juga kebimbangan sebahagian umat Islam terhadap pelbagai
kesusahan dan kesulitan yang akan dihadapi ketika berada di Tanah Suci,
terutama apabila kedengaran rungutan dan aduan daripada jemaah haji yang
sudah menunaikan ibadat haji. Maka, mereka terpengaruh dengan cerita
itu hingga membantutkan azam menjejakkan kaki ke Tanah Suci. Perlu
ditegaskan bahawa ibadat haji menyingkap pelbagai hikmah pengajaran dan
falsafah yang wajib difahami serta dihayati setiap Muslim yang bertakwa.
Oleh
itu, setiap Muslim seharusnya memahami dan bersedia menghadapi pelbagai
kemungkinan dan dugaan yang akan menimpa ke atas dirinya sejak dari
mula mendaftar di Lembaga Tabung Haji, menghadiri kursus bersiri haji,
menjalani pemeriksaan kesihatan, semasa di lapangan terbang, semasa
dalam perjalanan haji hinggalah sampai ke Tanah Suci. Sudah menjadi
suatu kebiasaan dalam setiap perjalanan bahawa seseorang akan berhadapan
pelbagai dugaan dan rintangan yang akan menguji kesabarannya.
Sehubungan itu, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Perjalanan atau pelayaran yang jauh itu adalah sebahagian daripada penderitaan.”
(Hadis riwayat Bukhari). Itulah sebahagian perkara yang perlu diingat
selalu oleh setiap Muslim, bukan saja dalam bab haji, bahkan sebagai
bekalan hidup untuk mendepani pelbagai ujian yang terhampar sepanjang
perjalanan menuju keredaan Ilahi.
Setiap
Muslim perlu bersedia dan bersabar menghadapinya kerana semua itu
mempunyai hikmah dan rahsianya yang tersirat. Malah perlu diinsafi
bahawa kesemua yang berlaku adalah kehendak Allah sebagai ujian kepada
hamba-Nya untuk memperoleh haji yang mabrur. Dalam hal ini, setiap
Muslim yang beriman akan menerimanya dengan penuh sabar dan reda di
samping berdoa ke hadrat Allah supaya dilimpahi kekuatan, keampunan,
keselamatan dan kejayaan dalam menjunjung titah dan perintah-Nya.
Barangkali
inilah hikmah dan pengajaran yang cukup sinonim dengan ibadat haji
iaitu kesabaran seseorang menunaikan ibadat haji dan ketenangannya dalam
menghadapi apa juga cabaran mendatang. Kesabarannya itu sebenarnya
hasil diperoleh daripada perjalanan spiritual menuju keredaan Ilahi.
Sehubungan itu, kesabaran akan menjadi neraca piawaian sama ada
seseorang itu memperoleh haji mabrur atau sebaliknya.
No comments:
Post a Comment