Ibadat haji punyai sejarah dan simbolik perjalanan hidup manusia "AKU menyahutMu wahai Tuhanku! Aku menyahutMu! Tiada sekutu bagiMu, aku menyahutMu! Sesungguhnya kepujian dan kenikmatan itu bagiMu, juga kerajaan tiada sekutu bagiMu! Aku menyahutMu dengan haji yang benar-benar penuh dengan ibadat dan perhambaan!" Laungan syahdu 'talbiah' bergema di seluruh pelusuk kota Makkah setiap kali kedatangan Zulhijjah. Jemaah memenuhi kota Makkah bersama niat tulus ingin melengkapkan rukun Islam kelima, menunaikan ibadat haji.
Hati mereka bercampur baur - diasak sayu, insaf dengan kekhilafan diri, kagum dengan kebesaran Tuhan dan sebak gembira menjadi tetamu jemputan Allah SWT untuk menunaikan ibadat haji di kota suci-Nya. Demikianlah antara rentetan ibadat haji, ibadat terakhir yang melengkapi empat rukun Islam yang terdahulu iaitu mengucap dua kalimah syahadah, bersolat lima waktu sehari semalam, berpuasa pada Ramadan dan menunaikan zakat.
Sejak
zaman Nabi Adam AS lagi sudah ada ibadat haji, begitu juga pada zaman
Nabi Ibrahim AS tetapi tidak banyak ulama mengkaji kaedah pelaksanaan
pada zaman itu. "Pelaksanaan ibadat haji secara lengkap dan sempurna
seperti hari ini bermula pada tahun kesembilan Hijrah apabila turunnya
wahyu daripada Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW mengutuskan Abu Bakar
As-Siddiq dan Umar al-Khattab menunaikan haji pertama di Makkah.
Seterusnya
pada tahun ke-10 Hijrah, Nabi Muhammad SAW sendiri mengetuai rombongan
haji dan ia adalah haji tunggal dan terakhir Baginda sebelum wafat.
Pelaksanaan rukun dan wajib haji serta pelbagai amalan lain dalam ibadat
itu memiliki sejarah dan simbolik tertentu kepada perjalanan hidup
manusia dari dunia ini sehingga ke alam akhirat.
Mengelilingi
Kaabah atau tawaf adalah simbolik perjuangan manusia dalam pelbagai
lapangan untuk meneruskan kehidupan di dunia, namun matlamat akhirnya
tetap untuk mendapatkan keredaan Allah. Tawaf dilakukan
tujuh kali kerana ketika mula membina Kaabah, Nabi Ibrahim memastikan
kedudukan tegak binaan itu berpandukan bahu dan mata dengan
mengelilinginya tujuh kali. Selain itu, tawaf juga adalah amalan
malaikat di Baitul Makmur di langit yang terletak betul-betul di atas
Baitullah (Kaabah).
Wukuf
di Padang Arafah pada 9 Zulhijah bererti berhenti seketika di padang
itu. Berada di Padang Arafah dalam suasana hangat dan panas terik
memberi peringatan awal kepada umat Islam mengenai keadaan di Padang
Mahsyar di mana semua manusia - tanpa mengira bangsa, pangkat atau
kedudukan - akan dihimpunkan untuk menerima pengadilan berdasarkan
amalan makruf dan mungkar mereka semasa di dunia. Padang Arafah juga
adalah tapak bersejarah dalam kehidupan manusia kerana di Jabal Rahmah
yang terletak di kawasan itu, Nabi Adam dan isterinya, Hawa bertemu
kembali selepas diturunkan dari syurga. Di situ jugalah Nabi Muhammad
(SAW) menyampaikan khutbah terakhir kepada umat Islam.
Saie
yang menjadi satu daripada rukun haji pula bersempena peristiwa isteri
Nabi Ibrahim, Hajar berulang alik sebanyak tujuh kali antara Safa dan
Marwah untuk mencari air bagi anaknya, Nabi Ismail iaitu ketika Makkah
belum terkenal. Hajar mendaki satu tempat tinggi dikenali Safa dengan
harapan dapat melihat air, tetapi tiada. Kemudian dia turun dan menuju
ke tempat lain, iaitu Marwah, tidak ditemui air. Sampailah tujuh kali
dia berulang-alik antara tempat itu, akhirnya dia menghampiri Marwah dan
mendengar satu suara. Dia lalu menoleh dan mendapati malaikat menguis
tanah dengan sayapnya sehingga keluar air zam-zam. Sesetengah pendapat
mengatakan, Nabi Ismail yang menguis tanah dengan dua kakinya atau
kedua-dua tangannya ketika menangis kehausan, hingga keluar air zam-zam.
Saie secara simbolik memberi gambaran supaya manusia sentiasa berusaha
mencari rezeki di dunia selain berusaha mendapatkan pahala di sebalik
amal kebaikan untuk menjadi bekalan memperoleh syurga di akhirat kelak.
Melontar Jamrah pula
berkait dengan kisah ketika Nabi Ibrahim menerima wahyu supaya
menyembelih Nabi Ismail. Nabi Ibrahim mengajak Nabi Ismail ke sebuah
lereng gunung di Mina dan di situ, muncul iblis yang menyamar sebagai
manusia untuk menggoda Ibrahim supaya membatalkan niatnya. Nabi Ibrahim
kemudian mengusir iblis itu. Menerusi peristiwa itulah umat Islam
kemudian diwajibkan melontar Jamrah menggunakan batu kecil, sebagai
simbol mengusir syaitan dari dalam diri manusia selain simbolik lain
adalah 'melontar' jauh sifat kufur dan maksiat dari dalam diri.
Ibadah Qurban
merupakan wahyu daripada Allah kepada Nabi Ibrahim supaya menyembelih
puteranya itu juga menjadi titik tolak ibadat korban yang dilakukan
sempena haji atau Aidiladha. Seperti juga semangat dan keimanan Nabi
Ibrahim AS, ibadat korban memberi maksud simbolik betapa manusia itu
perlu mensyukuri nikmat Allah dan sanggup berkorban apa saja demi
menunaikan perintah-Nya.
No comments:
Post a Comment