Wahai Allah ,Aku bersyukur kepadaMu ,Kerana Engkau telah menjemputku,Menjadi tetamu AgungMu, Walaupun aku sebenarnya tidak layak. Wahai Allah, Dalam ramainya manusia di rumahMu, Akulah yang paling berdosa,Akulah yang paling hina, Akulah yang paling tiada apa, Akulah yang paling banyak melakukan maksiat. Wahai Allah, Ampunkan segala dosaku Walaupun sebanyak buih dilautan, Walaupun sebanyak pasir dipantai, Walaupun sebesar Gunung Uhud, Walaupun memenuhi antara langit dan bumi
Tuesday, 10 September 2013
5 Golongan orang yang menunaikan ibadat Haji
Golongan Pertama: Haji di Hujung Usia
Golongan ini menunggu hingga usia lanjut untuk mengerjakan haji kerana menganggap apabila telah mengerjakan haji nanti tidak boleh lagi untuk berfoya-foya, meninggalkan solat dan terlibat dengan maksiat. Kalau boleh biarlah hujung usia itu dipenuhi dengan “husn al-khatimah”.
Risiko golongan ini ialah kadangkala Allah s.w.t. menjemputnya terlebih awal sebelum sempat mengerjakan haji. Kalaupun sempat, mereka mengerjakan haji dalam keadaan yang tidak sihat dan tidak lagi dapat mengecapi nikmat badan yang cergas untuk beribadah.
Golongan Kedua: Haji Penghapus Dosa
Golongan ini mengerjakan haji setiap tahun untuk meminta ampun kepada Allah s.w.t. di hadapan Kaabah atas segala dosa yang dilakukannya selama setahun yang berlalu. Golongan ini selalunya terdiri daripada warga korporat yang berkemampuan untuk mengerjakan haji setiap tahun namun sering terlibat dengan dosa-dosa yang susah untuk dielakkan dalam dunia korporat seperti dosa riba, pergaulan bebas, rasuah, majlis maksiat, meninggalkan solat dan seumpamanya.
Golongan Ketiga: Haji Melancong
Golongan ini memilih musim haji di Makkah dan Madinah untuk melancong atau berehat di luar negara dari destinasi popular dunia yang lain. Kalau bukan musim haji mereka akan mengerjakan umrah.
Golongan Keempat: Haji Status
Golongan ini sering mengira kekerapan mereka mengerjakan haji untuk mengukur status dan menghiasi tajuk perbualan harian.
Golongan Kelima: Haji Ikut-Ikutan
Golongan ini ialah yang terpaksa mengerjakan haji kerana mengikut suami, ibu bapa, keluarga, majikan, kelab, kumpulan pengajian atau jemaah tertentu.
Dalam golongan mana pun kita termasuk, kita harus membetulkan niat dan matlamat kita mengerjakan haji iaitu untuk menuju jalan Allah. Kita harus bersyukur kerana kita telah dipilih oleh Allah s.w.t. menjadi tetamuNya dengan mengunjungi Baitullah untuk menunaikan fardu haji. Paling penting ibadah haji yang akan dikerjakan itu menjadi satu ibadat yang boleh memberikan satu pengajaran dan pedoman untuk meningkatkan iman dan amal kita seterusnya bagi menuju jalan yang diredhai Allah untuk kebahagiaan kita di dunia dan akhirat.
Semoga kita semua mendapat haji yang mabrur, amin.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment