al-Quran yang berada di bahagian depan kiblat Masjid Nabawi. Usai menunaikan solat fardu Isyak, kami terus bergerak ke sana.
Setibanya di pintu masuk, kami disambut mesra oleh Syeikh Ahmad al-Misri, petugas muzium berkenaan yang merupakan seorang calon PhD dalam bidang Usul Fikah di Universiti Islam Madinah. Juga antara syeikh yang rapat dengan pelajar kita di sini.
Setelah bersalam-salaman, kami dipelawa masuk ke bilik tetamu terlebih dahulu. Peh, bukan calang-calang orang boleh masuk ke sini woih. Beberapa orang syeikh yang bertugas melayani kami dengan cukup istimewa. Dijamu dengan buah tamar bersama kopi Arab pahit yang amat dan air zamzam.
Sementara itu, para petugas bertanyakan khabar Abu Anas Madani memandangkan beliau juga merupakan lepasan PhD di universiti yang sama. Mereka turut memberikan penerangan ringkas berkenaan Muzium al-Quran ini. Fakta demi fakta disebut, dicerita dan dibentangkan kepada kami.
Kemudian barulah lawatan kami bermula, dipandu oleh Syeikh Ahmad. Beliau menjelaskan setiap keistimewaan yang dipamerkan di dalam sana.
Muzium ini dibahagi kepada 11 bahagian semuanya, iaitu:
1. Pendaftaran:
Para pengunjung akan dikumpulkan di sini terlebih dahulu mengikut bahasa pertuturan masing-masing. Kemudian para petugas akan datang memberikan khidmat menerangkan secara ringkas berkenaan muzium ini.
2. Kemuliaan al-Quran:
Kita akan didedahkan bagaimana proses turunnya al-Quran kepada Nabi SAW selama 23 tahun. Wujudnya beberapa nama lain bagi al-Quran. Berkenaan kitab-kitab lain yang diberikan kepada nabi-nabi terdahulu. Dan juga keistimewaan al-Quran berbanding kitab sebelumnya dari segi bahasanya, ilmu ghaib, ilmu sains, pensyariatan agama dan lain-lain.
3. Sejarah Penjagaan al-Quran:
Di sini, kita akan diterangkan berkaitan tulisan al-Quran pada zaman Nabi SAW yang ditulis pada tulang dan kulit binatang. Ketika itu, ia masih di lembaran biasa.
Proses pengumpulan dan penggabungan dimulakan oleh Saidina Abu Bakar pada zaman pemerintahannya. Kemudian disambung oleh Saidina Uthman lalu disalin sebanyak 5 salinan untuk dihantar ke 5 pusat penyebaran Islam pada ketika itu iaitu Syam, Kufah, Basrah, Mekah dan Madinah.
Juga ada dipamerkan beberapa contoh tulisan asal yang ditulis pada zaman dahulu. Bermula dengan huruf sahaja tanpa baris dan titik. Berkembang dan berkembang dari zaman ke zaman, sehinggalah terbentuk mushaf yang kita duk baca sekarang ini.
4. Pembacaan al-Quran:
Dijelaskan jenis-jenis bacaan al-Quran yang ada atas dunia ini. Bagaimana al-Quran harus diajar dan dipelajari berserta kelebihan yang ada dalam agama. Akhlak-akhlak seorang muslim berpandukan al-Quran dan bagaimana berinteraksi dengannya.
5. Manuskrip al-Quran:
Kita juga berpeluang untuk melihat sendiri manuskrip-manuskrip lama yang disimpan rapi di Perpustakaan Raja Abdul Aziz. Khas dipamerkan di sini. Daripada sekecil-kecil saiz, sampailah ke sebesar-besar saiz. Tulisan tangan yang sangat cantik, hampir tertukar dengan hasil teknologi komputer.
Ada yang berusia 900 tahun. Ada yang ditulis di atas kulit kijang. Ada juga ditulis menggunakan dakwat berasaskan emas, ini merupakan manuskrip paling mahal di dunia. Ada juga yang ditulis oleh bukan Arab, namun hasilnya sangat menakjubkan.
6. Tafsir & Penghayatan:
Pengenalan berkenaan tafsir al-Quran dan beberapa tokoh yang menjadi rujukan umat Islam pada zaman ini. Juga dikongsikan bagaimana seharusnya kita menghayati keagungan kitab suci ini yang mana menatijahkan hasil yang baik untuk dunia dan akhirat.
7. Tayangan Video:
Video lakon semula berdurasi 5 minit yang menggambarkan situasi kaum Jahiliyah di saat al-Quran belum diturunkan untuk memandu mereka kepada jalan yang lebih baik. Bagaimana Mekah dipenuhi dengan patung berhala yang besar. Dan akhirnya wahyu pertama dianugerahkan kepada Nabi Muhammad SAW ketika di Gua Hirak.
8. Penggunaan Teknologi al-Quran:
Disediakan skrin sentuh yang menyediakan satu software bagi membolehkan kita memuat turun pelbagai jenis tafsir, bacaan al-Quran dan terjemahan. Semuanya tersedia dengan kod bar untuk diimbas.
9. Keluarga & al-Quran:
Kesan penghayatan al-Quran dalam kehidupan kita berkeluarga sangat memainkan peranan. Bagaimana seharusnya tarbiyah itu bermula daripada rumah. Mereka juga ada sediakan skrin sentuh untuk anak-anak bermain aktiviti hafazan, melihat cerita, kuiz dan banyak lagi. Semuanya berkisar tentang al-Quran bagi menyemai rasa cintakan kitab agung ini.
10. Pameran Kompleks Percetakan al-Quran Raja Fahd:
Di sini, akan dipaparkan penglibatan Kerajaan Arab Saudi dalam usaha mereka meneruskan deligasi menjaga mushaf al-Quran dari segi tulisan dan ukirannya daripada manuskrip lama yang bertulisan tangan, sehinggalah dibukukan seperti sekarang ini. Sungguh banyak perubahan dan tambah baik yang dilakukan.
Juga dipamerkan alat-alat untuk menulis al-Quran berserta pelbagai jenis mushaf yang mereka keluarkan seperti terjemahan dan braille.
Kompleks ini telah mencetak kira-kira 10 hingga 12 juta mushaf bersaiz sederhana pada setiap tahun. Sebanyak 67 bahasa telah diterjemahkan untuk bacaan umat Islam di dunia ini.
11. Gerai Cenderahati & Hadiah:
Dijual pelbagai jenis al-Quran berserta terjemahan, sejadah, jam, minyak wangi dan macam-macam lagi.
Pada akhir lawatan, Dr. Abu Anas meluahkan hasratnya agar para jemaah yang hadir ke Madinah turut sama mengunjungi muzium pameran ini. Ilmu dan perkongsiannya sangatlah banyak. Ambillah manfaat yang ada di dalam sana sebagai bekalan dan mudah-mudahan dapat meningkatkan semangat untuk beramal.
Banyak lagi sebenarnya poin yang ingin aku tulis, namun tak mampu disebabkan terlampau banyak. Serius woih!
Oleh itu kawan, sebaiknya kalian pergilah ziarahinya sendiri nanti. Tiada apa-apa bayaran dikenakan. Muzium ini berada di pintu pagar Masjid Nabawi bernombor 5. Ia dibuka pada setiap hari. Begini jadualnya:
Pagi: Jam 6 pagi sehingga 12 tengah hari.
Petang & Jumaat: Jam 4 petang sehingga 10 malam.
Susunan poster dan barang-barang pameran sangat kemas. Kita boleh baca dan mentelaahnya satu persatu dengan tenang. Dan semestinya mudah untuk difahami.
Pihak mereka juga mempunyai petugas yang berkomunikasi dalam salah satu 7 bahasa dunia bagi memastikan segala penerangan dapat difahami sebaiknya. Ianya adalah bahasa Arab, Inggeris, Urdu, Melayu Indonesia, Turki, Perancis dan Malayalam. Lagilah mudah dan senang nanti ya, nak tanya-tanya apa semua.
Ajak rakan-rakan yang lain untuk ikut sama ke sana nanti. Jadikan kunjungan kita ke Madinah diisi dengan perkara yang berfaedah, bukan hanya bergambar saja. Moga-moga besarlah manfaatnya nanti.