Terdapat sekurangnya hampir 232 tiang-tiang di Masjid Nabawi. Di antara ratusan tiang tersebut, ada beberapa tiang yang memiliki sejarah dan kisah.
Meskipun beberapa kali mengalami perluasan, tukar ganti tiang lama. Dibina di tempat asal tiang-tiang dibina daripada batang pohon tamar di Zaman Rasulullah s.a.w. Alhamdulillah tempat tiang-tiang ini tetap terjaga. Sehingga kini tiang-tiang tersebut diberi tanda untuk dikenali para peziarah.
Para Ulama telah memberi tiga pendapat mengenai makna Raudhah (taman Syurga).
Pertama, tempat ini akan sentiasa dilimpahi rahmat Allah s.w.t sebagaimana taman syurga yang sentiasa penuh dengan rahmat.
Kedua, Ibadat di tempat ini adalah penyebab untuk mendapat taman syurga, yakni satu taman daripada taman syurga akan diberi kepada seseorang yang beribadat di tempat ini.
Ketiga, tempat ini pada hakikatnya adalah satu bahagian daripada syurga yang telah dipindahkan ke dunia. Nanti akan dibawa semula ke syurga sebagaimana keadaan asalnya.
Mengikut hadith dalam kitab sahih Bukhari, para sahabat r.a amat gemar bersolat berdekatan dengan tiang-tiang ini. Ada lapan tiang yang secara khususnya mempunyai sejarah dan dikenali
Berikut ini adalah nama-nama tiang (usthuwaanah) yang berada di dalam Raudhah Masjid Nabawi
اَلأُسْطُوَانَة المُخَلَّقَةُ tiang Wangi
Inilah tempat yang Rasulullah s.a.w selalu bersolat. Ianya juga dikenali dengan nama أسْطُوَنَة حَنَّاَنة. Tempat berlakunya peristiwa batang tamar sewaktu Rasulullah s.a.w berpindah menyampaikan khutbah di atas mimbar. Para sahabat selalu menyapu minyak wangi di tempat itu sebagai tanda tempat solat Rasulullah s.a.w. oleh sebab itulah wujudnya nama Tiang Wangi.
اَلأُسْطُوَانَة عائشة tiang Saidatina Aisyah
Dikenali juga sebagai الأسطوانة المهاجرين kerana kebiasaannya golongan Muhajirin mengadakan majlis mereka disitu. Pada mulanya di sinilah tempat Rasulullah s.a.w bersolat, kemudian baginda memilih tempat yang diceritakan diatas. Tiang ini adalah yang ketiga dari mimbar, ketiga dari makam Rasulullah s.a.w
Dalam sebuah hadith riwayat Saidatina Aishah r.a bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda “Ada satu tempat dalam masjid ini jika manusia tahu hal keadaannya, maka undian terpaksa dibuat kerana masing-masing akan berebut untuknya.” Orang ramai telah bertanya kepada Saidatina Aishah r.a “Tempat yang mana satu?” Pada mula beliau enggan memberitahu, akhirnya beliau memberitahu. Sebab itulah ia dipanggil Ustuwanah ‘Aishah kerana dengan petunjuk dan hadith daripada beliau tempat ini menjadi pilihan.
الأسطوانة التوبة tiang Taubat
Terkenal juga sebagai اسطوانة اأبي لبابة tiang ke empat dari Mimbar, yang kedua dari makam Rasulullah s.a.w dan yang ketiga dari kedudukan kiblat.
الأسطوانة السرير Tiang Katil
Diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w juga pernah beriktikaf di sini. Sebahagian Ulama berkata bahawa semasa beriktikaf, pada waktu malam Baginda akan berehat di sini. Sebab itulah nama ini diberikan, makna asal Sarir adalah katil. Sesuatu yang diperbuat daripada pelepah tamar telah diletakkan berdekatan tiang tersebut sebagai tempat rehat Baginda s.a.w.
الأسطوانة المحرس Tiang Pengawal
Terletak di sebelah utara tiang katil, juga dikenali dengan nama tiang Ali bin Abi Talib r.a kerana beliau selalu bersolat dan duduk di bahagiannya yang bersambung dengan rumah Rasulullah s.a.w untuk menjaga Baginda Rasulullah s.a.w.
الأسطوانة الوفود Tiang Utusan
Kebiasaannya para utusan datang untuk berjumpa Rasulullah s.a.w mereka akan duduk disini. Baginda akan datang ke tempat ini untuk bercakap mengenai hukum-hakam.
الأسطوانة تهجد Tiang tahajud
Tiang ini terletak dibelakang rumah saidatina Fatimah r.a di sebelah utarra. Kini, berada di dalam makam. Apabila kita berdiri di depannya, pintu Jibril berada disebelah kiri.
الأسطوانة مربعة القبر Tiang Empat persegi kubur
Juga dikenali sebagai tiang Jibril. Para Ulama menulis bahawa inilah tempat khusus yang didatangi Malaikat Jibril a.s, kini tiang ini tidak dapat dilihat dari luar kerana ia telah dimasukkan ke dalam binaan makam.
Menurut ahli sejarah, tiang –tiang ini dibina di tempat yang asal semasa pembaharuan binannya.
Sebenarnya tiada satu tempat pun di dalam masjid Nabawi yang tidak dipijak oleh tapak kaki Rasulullah s.a.w yang mulia dan juga tidak dijak para sahabat dalam solat mereka. Bukan hanya Masjid Nabawi bahkan tiada bahagian dalam kota Madinah yang tidak dipijak oleh insan-insan mulia seperti mereka. Oleh sebab itu, semua tempat di sana penuh keberkatan. Semoga Allah s.w.t memberi kita taufik untuk mengambil faedah daripada keberkatannya.
No comments:
Post a Comment