Wahai Allah ,Aku bersyukur kepadaMu ,Kerana Engkau telah menjemputku,Menjadi tetamu AgungMu, Walaupun aku sebenarnya tidak layak. Wahai Allah, Dalam ramainya manusia di rumahMu, Akulah yang paling berdosa,Akulah yang paling hina, Akulah yang paling tiada apa, Akulah yang paling banyak melakukan maksiat. Wahai Allah, Ampunkan segala dosaku Walaupun sebanyak buih dilautan, Walaupun sebanyak pasir dipantai, Walaupun sebesar Gunung Uhud, Walaupun memenuhi antara langit dan bumi
Tuesday, 7 January 2014
SIFAT TERPUJI YANG HARUS ADA PADA TETAMU ALLAH?????
Menjadi Tetamu Allah adalah pilihan dari Allah. Sewajarnya kita mengucapkan rasa syukur yang teramat sangat kerana Allah pilih kita. Bagaimana kita hendak zahirkan rasa syukur itu ? Sebelum berlepas ke tanah suci lagi, kita harus tanamkan sifat-sifat terpuji supaya ketika berada di tanah suci, kita mampu menangani sebarang ujian dan permasalahan yang boleh menghilangkan fokus kita untuk beribadah kepada Allah. Dan perlu diingat orang yang mempunyai sifat-sifat terpuji ini akan dikasihi oleh Allah dan RasulNya. Di bawah, disenaraikan beberapa contoh sifat-sifat terpuji yang boleh kita amalkan bersama-sama.
Taubat
Taubat bermaksud memohon keampunan kepada Allah atas dosa-dosa kita yang telah lalu. Bukan itu sahaja, taubat juga perlu diiringi dengan rasa kesal dan berazam untuk tidak mengulangi semula kesilapan yang lalu, malah benci kepada perbuatan dosa tersebut. Orang yang bertaubat dikasihi oleh Allah, lebih-lebih lagi taubat seorang Tetamu Allah.
Firman Allah maksudnya : “sesungguhnya Allah kasih kepada orang-orang yang banyak bertaubat dan Dia juga kasih kepada orang-orang yang membersihkan diri daripada dosa.” (Surah al-Baqarah ayat 222).
Taat
Iaitu taat kepada perintah Allah dan RasulNya. Sebagai Tetamu Allah sewajarnya kita kena taat dalam melaksanakan ibadah yang wajib dan juga yang sunat. Dalam al-Quran banyak ayat yang menekankan betapa pentingnya suruhan taat kepada Allah dan Rasulnya. Seperti firman Allah dalam surah an-Nisa ayat ke 59 maksudnya, ” wahai orang-orang yang beriman, taatlah kepada Allah dan RasulNya serta pemerintah dari kalangan kamu.”
Dan dalam konteks sebagai seorang jemaah Umrah, harus taat kepada arahan Ketua Rombongan. Ini kerana kegagalam untuk taat kepada arahan Ketua boleh menyebabkan kerugian bukan kepada diri jemaah itu sendiri tetapi kepada seluruh ahli rombongan atau kumpulan.
Sabar
Sabar ialah satu sifat yang terpuji. Sebagai hamba Allah, kita wajib bersabar atas 3 perkara iaitu sabar dalam mentaati perintah Allah, sabar dalam meninggalkan larangan Allah dan sabar ketika ditimpa musibah atau bala bencana dan kesusahan.
Banyak firman Allah dalam al-Quran yang menyebut ”Allah beserta dengan orang yang sabar”. ”Orang yang sabar itu bagi mereka keampunan dan rahmat daripada Tuhan mereka dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk. (Surah al-Baqarah ayat 157)
Syukur
Amat banyak nikmat Allah yang kita terima. Oleh itu wajib kita syukuri. Kita bersyukur kepada Allah menerusi 3 pembuktian iaitu pertama, lidah kita sentiasa memuji Allah dengan ikhlas atas segala nikmat pemberianNya. Kedua, nikmat Allah yang kita terima hendaklah dipergunakan dengan sebaik-baiknya kearah melakukan pengabdian kepada Allah, sesuai dengan firmanNya yang bermaksud : “Tuntutlah kebahagiaan di negeri Akhirat menerusi apa jua nikmat yang Allah kurniakan kepadamu, dan janganlah lupakan habuanmu di dunia. Buatlah kebaikan sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah melakukan kerosakan di muka bumi, kerana sesungguhnya Allah tidak suka orang yang membuat kerosakan.” (surah al-Qasas ayat 77)
Dan ketiga, kita hendaklah mematuhi segala titah perintah Allah dan menjauhi segala laranganNya. Firman Allah dalam surah Ibrahim maksudnya ” Jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan tambahkan nikmat kurniaKu kepadamu, tetapi ingat jika kamu kufur, siksaanKu adalah tersangat pedih. “
Ikhlas
Melakukan amal ibadah semata-mata kerana Allah, bukan kerana ria’ atau mengharapkan pujian dari manusia. Amal ibadah yang disertai dengan hati yang ikhlas pasti akan diterima oleh Allah. Satu tanda orang yang ikhlas itu ialah ia rajin beribadah dan dilakukan secara berterusan dan berkekalan. Konsisten istilah orang sekarang. Berbeza dengan orang yang tidak ikhlas, dia rajin beribadah apabila mendapat pujian dan jika tidak ada orang memujinya, dia akan malas beribadah.
Sesuai dengan firman Allah surah al-baiyinah ayat 5 bermaksud : ” Dan tidaklah mereka disuruh melainkan supaya beribadah kepada Allah dengan ikhlas “.
Redha
Menerima ketentuan Allah samada baik atau sebaliknya dengan senang hati. Redha adalah sifat orang beriman. Redha atas apa yang berlaku boleh memberi ketenteraman dan kedamaian jiwa. Dan ketenteraman dan kedamaian jiwa adalah satu kekuatan batin bagi meneruskan tugas dan kewajipan yang belum selesai.
Sebaliknya orang yang bersikap tidak redha selalu dalam keadaan sedih dan dukacita. Dia merasa dirinya dirundung malang dan melihat orang lain bernasib baik dari dirinya. Sifat begini akan membuatkan dirinya lemah. Yang dibimbangi akan timbul pula perasaan hasad dengki kepada orang sekitar yang dirasakan mendapat nikmat.
Lapang Dada
Orang yang memiliki sifat lapang dada, biasanya tidak mudah panik, bingung atau kelam kabut. Dia sentiasa bersikap tenang ketika menghadapi masalah. Boleh mengukir senyuman walau ketika menghadapi masalah. Dia juga berfikiran terbuka dan sedia menerima pendapat orang lain dan tidak fanatik dengan pendapatnya sendiri. Boleh bertolak ansur dan tidak keras kepala. Lazimnya individu yang berlapang dada juga mudah memberi maaf jika orang meminta maaf kepadanya. Ia tidak suka bermusuh atau berdendam. Hatinya sentiasa tenang tenteram.
Pemurah
Tidak kedekut. Suka memberi dan menderma. Orang yang pemurah dikasihi oleh Allah dan Rasul. Lawannya ialah sifat bakhil atau kedekut. Orang yang bakhil dibenci oleh Allah. Sabda Nabi s.a.w maksudnya : ” Pemurah itu ialah satu pohon yang tumbuh di dalam syurga. Maka tidak akan masuk ke syurga melainkan orang yang pemurah.”
Sebenarnya banyak lagi sifat-sifat terpuji yang perlu ada dalam diri seorang hamba Allah khususnya Tetamu Allah. Sifat-sifat terpuji ini hanya boleh diperolehi apabila kita mempunyai sekeping hati yang bersih dan bebas dari sifat-sifat yang dikeji. Mampukah kita melakukannya? InsyaAllah kita boleh memiliki kesemua sifat-sifat terpuji di atas, asal kita sentiasa berazam untuk menjadi hamba Allah yang terbaik dan sentiasa istiqomah dalam ibadah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment