Monday, 13 January 2014

SEJARAH IBADAT SAIE DAN JUGA TELAGA ZAM-ZAM


Didalam ibadat Haji dan Umrah Ibadat Saie adalah salah satu rukunnya yang mesti dilakukan oleh para jemaah.jika tidak dilakukan hukum umrahnya tidak shah. (wajib) Saie dilakukan dengan berulangalik berjalan kaki dari bukit Safa ke bukit Marwan sebanyak tujuk kali pusingan dengan jaraknya sekitar 405 meter (Disunatkan berlari-lari anak bagi lelaki kletika melintasi Bathnul Wadi-lampu berwarna hijau sekitar 50 meter jaraknya) tidak bagi jemaah wanita.Ibadat Saia ini Masih shah dilakukan jika tampa Wuduk.

Allah telah mewajibkan ibadah Saie kepada hamba-hambaNya ketika menunaikan ibadah Haji dan Umrah, sebagai lambang bukti kesabaran dan keteguhan iman seorang wanita Muslimah yang bertaqwa kepada Allah. Ketika kita melakukan ibadah Saie antara Sofa dan Marwah, sepatutnya kita mengenang betapa kesusahan yang dialami oleh Hajar ketika mula-mula menerokai bumi Makkah dulu. Dan, kini kesulitan-kesulitan itu telah diganti dengan seribu satu macam nikmat kurniaan Ilahi.  Tidakkah kita mahu bersyukur ?
Apabila mengenang kesusahan yang dialami oleh orang-orang terdahulu seperti yang dialami oleh Hajar dan keluarganya, maka sudah tentu kesulitan yang kita hadapi pada hari ini adalah tersangat kecil. Tidak wajar seandainya kesulitan yang kecil itu kita mengeluh dan berdukacita sehingga lupa akan nikmat Allah yang tidak terhingga banyaknya yang telah kita terima. Sebagaimana firman Allah dalam surah Ibrahim ayat 34 maksudnya :
Demi jika kamu hendak menghitung nikmat Allah, pasti kamu tidak dapat menghitungnya (satu persatu).


TELAGA ZAM-ZAM
Atas perintah Allah, Nabi Ibrahim meninggalkan isterinya Hajar dan putera kecilnya Ismail di suatu lembah yang tiada berpenghuni di sisi Kaabah. Bayangkan betapa sedih dan pilu seorang insan untuk berpisah dengan isteri dan anak yang disayangi. Tetapi, Nabi Ibrahim a.s kerana ketaatannya kepada Allah, maka Nabi Ibrahim meninggalkan kedua insan yang dikasihi di sisi Kaabah dengan dibekalkan doa dan harapan semoga Allah memelihara mereka berdua dan zuriat-zuriatnya yang akan datang.
Bagi Hajar pula sebagai wanita Mukminah yang bertaqwa kepada Allah, dia rela ditinggalkan suaminya pada hal Makkah waktu itu tiada berpenghuni, tiada air dan tiada tumbuh-tumbuhan. Hajar yakin terhadap Tuhannya Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, tentu Dia tidak akan mensia-siakan dirinya dan puteranya yang masih kecil.
Setelah ditinggalkan, beberapa hari kemudian bekalan makanan telah habis. Ismail menangis kelaparan dan kehausan. Sedang susu di badan Hajar telah kering. Hajar sebagai seorang ibu dengan azam yang kuat berusaha mencari air. Ismail diletakkan di sisi Kaabah, lalu dia berlari menuju ke Bukit Sofa yang tidak jauh dari situ. Di sana dia melihat sekeliling kalau-kalau ada air. Dilihat di Bukit Marwah, bayangan seolah-olah ada air di sana.
Hajar lari pula ke Bukit Marwah dengan harapan bertemu dengan air.  Tetapi rupanya hanya ”fatamorgana” kerana cuaca yang panas terik menimbulkan bayangan seperti air. Berlari semula Hajar ke Bukit Sofa. Demikian dilakukan oleh Hajar berulang-alik di antara Sofa dan Marwah sebanyak tujuh kali. Begitu solid iman Hajar yang masih penuh harapan dan tidak putus asa atas rahmat Allah.
 Akhirnya ketika Hajar di atas puncak Bukit Marwah, tiba-tiba dia terpandang semacam kilauan air dekat Kaabah. Hajar pun meluru ke sana. Dan dia mendengar teriakan malaikat menyebut: “ Zamzam ! Zamzam !!! (Kepung ! Kepung !!!). Betapa gembiranya Hajar apabila benar-benar menyaksikan mataair sedang memancut-mancut di sisi puteranya Ismail, lalu ia dikepung oleh Hajar dengan pasir dan batu-batu mengikut arahan malaikat tadi. Air pun bertakung dalam keadaan jernih. Hajar menceduk air itu dan diberikan kepada puteranya Ismail.

Alhamdulillah, telaga Zamzam wujud hingga kini sebagai bukti betapa seorang insan (Hajar) yang benar-benar beriman dan bertaqwa kepada Allah, maka dia tidak disia-siakan. Sebaliknya mendapat limpah kurnia yang tidak terduga sesuai dengan firman Allah bermaksud :
dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah akan mengadakan untuknya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkan) serta memberi kepadanya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan sesiapa yang bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah mencukupkan kehendakNya. Sesungguhnya Allah itu melaksanakan kehendakNya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ukuran segala sesuatu.”
Ketika minum air zamzam, sepatutnya darjat iman kita akan meningkat naik kerana mengingat kekuasaan Allah, yang memakbulkan doa hambaNya yang beriman dan bertaqwa kepadaNya. Dengan kekuasaan Allah dan sifat kasih sayang Allah telah wujud telaga Zamzam di bumi tandus yang dikelilingi deretan bukit batu. Mataair terus mengalir tidak putus-putus  dan ianya dinikmati bukan sekadar keluarga Nabi Ibrahim a.s dan zuriat-zuriatnya tetapi umat Islam dari seluruh pelusuk dunia.
Dalam saat-saat yang demikian (yakni iman meningkat) apabila kita berdoa, maka doa kita akan dimakbulkan oleh Allah, kerana beriman kepada Allah adalah salah satu syarat terpenting makbulnya sesuatu doa. Firman Allah dalam surat al-Baqarah ayat 186 bermaksud :
Apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang Aku maka sesungguhnya Aku hampir. Aku memperkenankan permintaan orang yang meminta, apabila dia meminta kepadaKu. Oleh itu, perkenankanlah seruanKu (yakni patuh titah perintah Allah dan menjauhi laranganNya) dan beriman kepadaKu, semoga mereka berjalan lurus.

No comments:

Post a Comment