Sunday, 6 August 2017

Tips Keselamatan Jemaah Haji 1438H

Tips Keselamatan Jemaah Haji 1438H
Sambungan tips seterusnya berkenaan dengan keselamatan yang perlu jemaah berwaspada ketika berada dalam kelompok jutaan duyufurRahman Haji seluruh dunia.
1. Tag Pengenalan Maktab
- Di setiap hotel penginapan / maktab Tabung Haji ada disediakan tag pengenalan yang tertera Nama Hotel / Nombor Maktab / Nombor Telefon Hotline Kecemasan.
Tag ini diletakkan di ruang lobi. Jemaah boleh ambil & simpan di dalam bag. Di bahagian belakang tag pengenalan diri juga tertera maklumat lengkap jemaah.
Tag pengenalan diri & buku kesihatan TH adalah sebahagian "nyawa" jemaah Haji & amat PENTING jika ditakdirkan jemaah pengsan / jatuh sakit di sekitar kawasan Masjidil Haram / Masjid Nabawi. Ini bagi memudahkan pihak Tabung Haji untuk mengesan jemaah yang dilaporkan "hilang" untuk proses pencarian di hospital-hospital sekitar Makkah / Madinah.
2. Sesat
- Jika ditakdirkan jemaah sesat untuk mencari laluan pulang ke hotel penginapan/ maktab, sila berhubung dengan pihak Polis disekitar kawasan Masjidil Haram. Tabung Haji juga ada menyediakan pegawai-pegawai rondaan. Usah ambil risiko untuk mencari hotel sendiri, jemaah akan tersasar lebih jauh dari laluan asal.
Kebanyakan masalah jemaah kita adalah sikap "adventurous" yang terlalu tinggi. Rendah kan hati & ringankan mulut untuk bertanya. Walaupun kita sudah beberapa kali mengerjakan Umrah berada di Makkah / Madinah tidak bermakna kita tahu segalanya.
3. Kecurian Wang / Telefon Bimbit
- Ketika jemaah solat berjemaah, melaksanakan tawaf sunat atau berada di tengah-tengah lautan manusia ketika hendak masuk / keluar dari Masjidil Haram / Masjid Nabawi pasti kan tidak membawa wang dalam jumlah yang banyak.
Simpan wang / telefon bimbit dalam poket baju yang berzip, atau jika ada bag kecil yang boleh digantung & dimasukkan ke dalam pakaian adalah lebih selamat.
Banyak kes "kecurian tanpa sedar" dilakukan oleh sindiket-sindiket di luar & di dalam Masjidil Haram / Masjid Nabawi. Jika perlu sling-bag hanya diisi dengan keperluan asas sahaja supaya tidak panik jika beg berkenaan hilang.
Pastikan sling-bag dipegang rapat ke bahagian depan badan jika jemaah dihimpit oleh beberapa orang secara tiba-tiba. Ini adalah modus operandi yang sangat biasa dilakukan oleh "pencuri profesional".
Kebiasaannya jemaah akan meletakkan sling-bag dibahagian kepala ketika solat, jangan letak dibahagian kaki sisi kanan / kiri jemaah. Bag akan hilang sekelip mata ketika jemaah sujud!
Jika berlaku kecurian / kehilangan, sila laporkan kepada Pegawai-Pegawai Tabung Haji di Kaunter Perkhidmatan Pelanggan yang tersedia di setiap Lobi Hotel Penginapan Tabung Haji maktab masing-masing. Mohon maklumkan juga kepada waris di Malaysia supaya waris tidak merasa bimbang jika tidak dapat menghubungi jemaah di Tanah Suci.
4. Teksi
- Jika jemaah hendak menaiki teksi pergi / pulang ke hotel penginapan, pasti kan jemaah wanita tidak menaiki teksi berseorangan atau berdua. Lebih baik jika dapat ajak bersama jemaah lain yang sedang menunggu teksi untuk penuhkan satu teksi ke Masjidil Haram / hotel.
Pastikan jemaah juga peka dengan laluan / landmark dari Hotel ke Masjidil Haram. Ini adalah untuk mengelakkan jemaah ditipu oleh pemandu teksi dengan membawa jemaah ikut laluan yang lebih jauh & dikenakan tambang teksi 2-3 kali ganda.
Tanya dahulu tambang ke Masjidil Haram / hotel. Biasanya harga satu teksi untuk jemaah Malaysia 10 riyal satu hala, boleh lah dibahagi sama rata antara jemaah yang menaiki teksi sama.
5. Sindiket Hajarul Aswad
- Ini adalah sindiket paling popular di kalangan jemaah Asia, bukan sahaja Malaysia. Jemaah mudah terpedaya dengan "bantuan" sindiket yang ditawarkan oleh segelintir "ustaz Indonesia / Pattani".
Bayaran yang dikenakan juga cukup tinggi di antara 300 riyal hingga mencecah 1000 riyal. Astaghfirullah Al'azim!
Untuk mengucup Hajarul Aswad saya cadangkan supaya elakkan dari mengambil jalan pintas dengan menggunakan agent. Ini bukan sahaja untuk tidak menyakiti jemaah-jemaah lain yang akan disinggung, ditolak, disiku oleh agent-agent berkenaan bagi membawa jemaah memenuhi hajat untuk mengucup Hajarul Aswad.
Peringatan lebih penting kepada jemaah wanita, kerana agent adalah lelaki. Jaga batas pergerakan kerana jemaah akan dikepung & diminta untuk memegang tubuh badan agent supaya tidak terlepas dari asakan & rempuhan menuju Hajarul Aswad.
Berbalik lah kepada niat kita berada di Tanah Suci dalam perjalanan ibadah Haji, usah lah terlalu mementingkan kehendak diri dengan berlaku kasar kepada jemaah lain.
Berusaha lah dengan kudrat & tawakal, ikut giliran, beratur lah dengan penuh sabar & disiplin, berdoa lah pada Allah SWT agar hajat kita untuk merasai setiap sudut syurga dunia di sekitar Kaabah itu dipermudahkan Allah, dibuka laluan & rezeki dengan Izin Allah.
6. Bagpack / Beg sandang
- Jemaah tidak dibenarkan membawa masuk bagpack bersaiz besar / sederhana, hanya bersaiz kecil sahaja boleh dibawa masuk ke Masjidil Haram/ Masjid Nabawi.
Jemaah akan ditahan & bag akan diperiksa di pintu-pintu masuk Masjidil Haram / Masjid Nabawi.
Sebaiknya guna kan sling-bag disediakan oleh Tabung Haji / travel agensi sudah cukup memadai. Bawa barangan yang sewajarnya agar tidak membebankan jemaah untuk berulang-alik ke Masjid.
7. Pembelian Barangan / Baki Wang
- Jemaah dinasihatkan untuk menyemak / memeriksa kembali baki wang yang diberikan oleh para peniaga jika membeli-belah. Jika boleh tawar kan harga pada nilai paling rendah untuk membeli barangan.
Timbul kekeliruan dengan wang kertas Riyal kerana warnanya lebih kurang sama. Semak semula harga & baki wang yang dikembalikan oleh peniaga untuk mengelakkan diperdaya.
8. Kasut / Selipar
- Rak kasut ada disediakan di dalam bangunan Masjidil Haram / Masjid Nabawi pada setiap laluan saf-saf solat. Untuk memudahkan pergerakan & mengelakkan kehilangan, bawa bag kanvas untuk menyimpan kasut / selipar yang telah disediakan oleh pihak Tabung Haji / travel agensi.
9. Tandas
- Andai jemaah hendak ke tandas & terpaksa keluar dari kumpulan ketika tawaf / saei, mohon maklumkan pada mutawif bertugas & bertanya meeting-point seterusnya agar jemaah dapat berjumpa semula dengan ahli kumpulan yang lain.
Terdapat tandas di sekitar dalam & luar Masjidil Haram & kemudahan untuk mengambil wudhu'. Jangan sesekali tinggalkan barangan di saf solat sebagai "penanda" bahawa saf tersebut sudah bertuan, tetapi bawa la bag ke mana-mana sahaja walaupun hendak mengambil air zamzam.
10. Peraturan & Prosedur
- Ikut peraturan serta prosedur seperti telah ditetapkan oleh pihak Tabung Haji / travel agensi terutama sekali ketika jemaah berada di Masyaer bagi melaksanakan rukun-rukun ibadah Haji.
Sentiasa bergerak dalam kumpulan, saling bantu-membantu, ingat-mengingati, berpesan-pesan & jaga kebajikan sesama jemaah untuk kemudahan & keselesaan bersama.
Saya doa kan agar semua duyufurRahman Haji pada tahun ini dilindungi & dijauhkan dari sebarang keburukan hendaknya. Ameen.

No comments:

Post a Comment