Persiapan Dan Persediaan Awal Mental Dan Spiritual Sebelum Pergi Menunaikan Ibadat Haji Dan Umrah Ke Tanah Suci*
Banyak yang perlu disedia dan dilakukan sebelum berangkat menunaikan ibadah Haji dan Umrah. Persiapan awal mental dan rohani terutamanya mesti dititikberatkan supaya pemergian ke tanah suci benar-benar dapat menyucikan jiwa dan menguatkan akidah.
Dalam usaha meraih Haji Mabrur, maka para bakal haji diharapkan dapat melakukan pematangan sikap, ikhlas, sabar, saling membantu dan amalan beragama. Hendaklah difahami betul-betul segala perkara yang berkaitan dengan pelaksanaan ibadah haji dan umrah mahupun persiapan rohani dan jasmani (spiritual dan fizikal).
Persiapan Awal Mental Dan Spiritual
Membersihkan dan mensucikan diri secara rohani atau spiritual boleh dilakukan dengan cara seperti bertaubat dan memohon ampun kepada Allah سبحانه وتعال, memperbaiki kekhusyukan solat, mengeluarkan zakat dan mohon kemaafan orang lain. Iaitu memperbaiki hubungan dengan Allah سبحانه وتعال dan antara sesama manusia sebagaimana huraian ringkas di bawah ini:
1. Syahadah
Perbetulkan iktikad dalam memaknakan syahadah. Biar setiap urat dan saraf kita benar-benar merasai getarannya apabila melafazkan kalimah ‘lailahaillallah muhammadur rasulullah’ kerana Syahadah itu janji hati kepada Allah سبحانه وتعال.
Allah Azza wa Jalla berfirman:
إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ آمَنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ ثُمَّ لَمْ يَرْتَابُوا وَجَاهَدُوا بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنْفُسِهِمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ۚ أُولَٰئِكَ هُمُ الصَّادِقُونَ
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya kemudian mereka tidak ragu dan berjuang di jalan Allah dengan harta dan dirinya, merekalah orang-orang yang benar.” (Surah Al-Hujuraat: Ayat 15)
2. Ikhlas Niat
Dalam menunaikan tuntutan Allah سبحانه وتعال untuk mengerjakan Haji dan Umrah yang diwajibkan ke atas diri seseorang muslim, perlulah dibersihkan hati dari segala cacat cela dengan berniat ikhlas kerana Allah سبحانه وتعال. Jadi niat ini semestinya diselidiki selalu dan diperbetulkan supaya jangan terpesong.
Niat sebenarnya pergi menunaikan ibadah Haji dan Umrah hanya melaksanakan perintah Allah سبحانه وتعال dan mengharapkan keredhaanNya semata-mata. Dengan itu haruslah ditanamkan semangat dengan perasaaan tulus dan ikhlas serta belajar bebaskan diri dari segala tekanan duniawi yang akan memberatkan fikiran sepanjang perlaksanaan haji.
.
Dari Amirul mu’minin Umar bin Al-Khotthob rodiallahu’anhu, ia berkata, “Aku mendengar Rasulullah ﷺ bersabda, “Sesungguhnya amalan-amalan itu berdasarkan niatnya dan sesungguhnya bagi setiap orang apa yang ia niatkan, maka sesiapa yang berhijrah kepada Allah dan RasulNya maka hijrahnya adalah kepada Allah dan RasulNya, dan sesiapa yang hijrahnya kerana untuk menggapai dunia atau wanita yang hendak dinikahinya maka hijrahnya kepada apa yang dihijrahi.”(Hadis Riwayat Al-Bukhari r.a.)
3. Tingkatkan Amalan
Jika sebelum ini amat jarang atau belum pernah melakukan amalan-amalan seperti berzikir, membaca Al-Quran, qiamullai, bertafakkur, bersedekah (wang, harta, tenaga, lisan) dan sebagainya. Maka perlulah dipertingkatkan semua amalan tersebut dengan harapan dapat melakukannya dengan mudah di tanah suci kelak. Jika ketika di Makkah dan di Madinah baru hendak lakukan, maka akan menjadi suatu bebanan dan keterpaksaan yang akhirnya memaksa diri melakukannya juga.
Amalan yang dilakukan kerana terpaksa, apabila balik ke tanah air, sukar untuk diteruskan. Maka tiadalah penambahbaikan yang berlaku. Oleh yang demikian latihlah diri sebelum berangkat ke tanah suci kerana latihan ini memerlukan kecekalan dan masa yang panjang.
4. Muhasabah Diri
Dekatkan diri kita kepada Allah سبحانه وتعال seperti perbanyakkan istighfar dan sentiasa melakukan Qiamullai seperti melakukan solat-solat sunat seperti Solat Sunat Tahajud, Taubat dan Hajat untuk membantu kita bermunajat kepada Allah سبحانه وتعالى .
Mengetahui sikap negetif dan pupuklah diri dengan sifat-sifat yang terpuji dan berusaha membuang sifat-sifat yang buruk dan tercela.
5. Taubat Nasuha
Bertaubat atas kesemua dosa dan kelalaian kita terhadap suruhan Allah سبحانه وتعال serta meninggalkan segala yang makruh dan perbuatan-perbuatan mungkar. Bersihkan diri dari segala dosa dan perbuatan lampau yang telah banyak kita lakukan dengan melakukan Solat Taubat dan memohon keampunan kepada Allah سبحانه وتعالى.
Jika seseorang itu bertaubat daripada dosa kepada Allah سبحانه وتعال, maka hendaklah memenuhi syarat-syarat Taubat Nasuha :
Menyesal atas segala perbuatan dosa.
Segera meninggalkan perbuatan dosa tersebut.
Berazam tidak akan melakukan lagi dosa-dosa itu.
Jika berdosa kepada sesama insan, maka hendaklah memohon maaf dari orang tersebut dan jika dia mengambil hak seseorang, maka hendaklah dia memulangkan hak mereka itu.
Segera meninggalkan perbuatan dosa tersebut.
Berazam tidak akan melakukan lagi dosa-dosa itu.
Jika berdosa kepada sesama insan, maka hendaklah memohon maaf dari orang tersebut dan jika dia mengambil hak seseorang, maka hendaklah dia memulangkan hak mereka itu.
6. Perbaiki Kualiti Solat
Jika tahap solat kita masih sama seperti ketika belajar di sekolah dahulu, kita perlulah memperbaiki dan meningkatkan kualiti solat terutama mutu bacaan dan tajwid agar lebih khusyuk dan betul.
Rasulullah ﷺ bersabda: “Bersolatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku bersolat.”
Memperbanyakkan solat sunat adalah antara langkah memperbaiki kualiti dan menambah kekhusyukan solat fardhu kita. Dalam solat juga terdapat zikir dan doa yang kita pohonkan, maka berdoalah dengan khusyuk dan yakin, bukan dengan sambil lewa.
7. Banyakan Berpuasa
Puasa dapat menundukkan nafsu dan menjadi perisai nafsu manusia, maka perbaikilah kualiti puasa fardhu kita dan banyakkanlah berlatih dan melakukan puasa sunat. Sekiranya ada puasa yang belum diqadha atau dikeluarkan fidyahnya, tunaikanlah semampu mungkin. Begitu juga dengan puasa nazar yang belum ditunai, maka laksanakanlah secepat mungkin.
8. Belajar Bersabar
Sifat sabar amat diperlukan dalam melaksanakan ibadah haji, Sikap ini bahkan mulai diuji sebaik seseorang memutuskan untuk berangkat ke tanah suci. Semua urusan memerlukan kesabaran, baik pada menunggu giliran haji, pemeriksaan kesihatan, pendaftaran, mengikuti manasik haji dan sebagainya.
Di tanah suci sendiri, ketika berkumpulnya jutaan jemaah dengan pelbagai ragam, tabiat dan kebiasaan yang berbeza dan akan ada saja perilaku yang boleh menimbulkan kemarahan jemaah. Bersabarlah demi ketaatan kita kepada Allah سبحانه وتعال.
9. Kawal Perasaan
Kesabaran juga berbentuk hubungan kita dengan suami atau isteri atau anak atau sahabat kita sendiri. Ada kalanya pertengkaran antara suami atau isteri dan sebagainya akan sering berlaku apabila tidak dikawal dengan rasa sabar dan syukur.
Adakalanya di tanah suci, hati kita terdetik berkenaan sesuatu, ia akan berlaku tanpa disedari, maka belajarlah sejak di tanah air lagi agar mengawal perasaan, sentiasa berfikiran positif dan bersifat husnuzon.
Jauhilah sikap suka mengkritik segala perkara atau sering merungut akan sesuatu yang berlaku. Anggaplah ia sebagai ujian dari Allah سبحانه وتعال yang mahu melihat akan tahap amarah dan kesabaran kita.
10. Jihad Kasih Sayang
Bagi seorang wanita menunaikan haji menuntut pengorbanan tinggi kerana fitrah mereka yang dianugerahi sifat pengasih dan sensitif dengan jarak perpisahan terutama terhadap anak dan keluarga. Pengorbanan besar terpaksa dilakukan demi mendekatkan diri kepada Allah سبحانه وتعال.
Rasulullah ﷺ bersabda: “Jihad orang tua, kanak-kanak, orang lemah dan orang perempuan ialah haji dan umrah.” (Hadis Riwayat Muslim r.a.).
Oleh itu, wanita Islam hendaklah berusaha dan berikhtiar bersungguh-sungguh untuk menunaikan haji. Cita-cita untuk menunaikan haji mestilah dekat di hati kita.
11. Tolong-Menolong
Kerap berlaku suatu keadaan kita diminta untuk memberikan pertolongan kepada orang lain yang memang perlu dibantu khususnya bagi mereka yang selalu uzur. Lakukan bantuan dengan segera. Jangan ragu-ragu kerana dengan pertolongan yang diberikan, maka nescaya Allah سبحانه وتعال akan membalasnya dengan membantu anda. Percayalah bahawa orang-orang yang banyak membantu orang lain dengan ikhlas, segala urusannya akan menjadi mudah dan lancar, dan ajaibnya dia akan terhindar dari pelbagai kesukaran. Yang penting niat menolong dengan ikhlas, tanpa mengharapkan balasan kecuali redha Allah سبحانه وتعال semata-mata.
Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya orang yang paling baik di antara kamu adalah orang yang paling baik budi pekertinya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari r.a.).
12. Berinfak Dan Bersadaqah
Lakukan infak dan sedekah dengan hati yang ikhlas. Bersedekah bukan terhad kepada harta dan wang ringgit sahaja, anggota badan, tenaga empat kerat, lisan dan senyuman turut boleh disumbangkan dalam kehidupan seharian. Bersedekahlah membantu orang-orang miskin dan mereka yang memerlukan yang ditemui ketika dalam pejalanan atau jiran-jiran kita bagi melatih diri menjadi pemurah dan melembutkan hati.
Allah سبحانه وتعال juga berfirman:
يَسْأَلُونَكَ مَاذَا يُنفِقُونَ ۖ قُلْ مَا أَنفَقْتُم مِّنْ خَيْرٍ فَلِلْوَالِدَيْنِ وَالْأَقْرَبِينَ وَالْيَتَامَىٰ وَالْمَسَاكِينِ وَابْنِ السَّبِيلِ ۗ وَمَا تَفْعَلُوا مِنْ خَيْرٍ فَإِنَّ اللَّـهَ بِهِ عَلِيمٌ
“Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): apakah yang akan mereka belanjakan (dan kepada siapakah)? Katakanlah: “Apa jua harta benda (yang halal) yang kamu belanjakan maka berikanlah kepada: Kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan orang-orang yang terlantar dalam perjalanan. Dan (ingatlah), apa jua yang kamu buat dari jenis-jenis kebaikan, maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahuiNya (dan akan membalas dengan sebaik-baiknya).” (Surah Al-Baqarah: Ayat 215)
Hadis riwayat Asma binti Abu Bakar ra., ia berkata: Rasulullah ﷺ bersabda kepadaku: “Berinfaklah atau memberilah dan jangan menghitung-hitung, kerana Allah akan memperhitungkannya untukmu.” (Hadis Riwayat Muslim r.a.)
13. Hindari Riyak
Elakkan diri dari perasaan riak, ingin dipuji, takbur, sombong merasa hebat, ingin bergelar dan dipanggil haji atau hajah. Berserahlah sepenuhnya kepada Allah سبحانه وتعال dan lakukan semuanya itu dengan taqwa.
Allah سبحانه وتعال berfirman:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُبْطِلُوا صَدَقَاتِكُم بِالْمَنِّ وَالْأَذَىٰ كَالَّذِي يُنفِقُ مَالَهُ رِئَاءَ النَّاسِ وَلَا يُؤْمِنُ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ۖ فَمَثَلُهُ كَمَثَلِ صَفْوَانٍ عَلَيْهِ تُرَابٌ فَأَصَابَهُ وَابِلٌ فَتَرَكَهُ صَلْدًا
“Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan ia pula tidak beriman kepada Allah سبحانه وتعال dan hari akhirat. Maka bandingan orang itu ialah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi).” (Surah Al-Baqarah: Ayat 264)
14. Memahami Sifat-Sifat Mahmudah Dan Mazmumah
Mengetahui dan memahami sifat-sifat yang terpuji dan sifat-sifat yang tercela. Pupuklah diri dengan sifat-sifat yang terpuji dan cuba buangkan sifat-sifat yang tercela.
Jaga tiga perkara; Mulut, Telinga dan Mata selalu ingat amalan kerana Allah سبحانه وتعال, Bukan untuk riak, ujub dan sombong, jujur dalam perbuatan dan kata-kata.
Dan dari Wabishah bin Ma’bad rodhiallohu ‘anhu dia berkata: “Aku datang kepada Rasulullah ﷺ, Baginda bersabda, “Apakah kamu datang untuk bertanya tentang kebajikan?” Aku berkata, “Ya.” Baginda bersabda “Bertanyalah kepada hatimu. Kebajikan adalah apa yang menjadikan tenang jiwa dan hati, sedangkan dosa adalah apa yang menggelisahkan jiwa dan menimbulkan keraguan dalam hati, meskipun orang-orang terus membenarkanmu.” (Hadits hasan yang kami riwayatkan dari Musnad Imam Ahmad bin Hambal dan Musnad Imam Ad-Darimi dengan sanad hasan).
15. Meminta Maaf
Mohon maaf kepada orang ibu bapa, suami isteri, anak-anak, saudara-mara, keluarga dan kaum kerabat. Bermaaf-maafan sesama kaum muslimin tidak kira saudara, sahabat atau jiran tetangga samada ada berbuat salah atau tidak dan minta maaf daripada semua orang yang pernah kita lakukan kesalahan terhadap mereka.
Begitu juga, jika kita ada menzalimi orang, terambil harta orang, hendaklah dipulangkan harta tersebut, atau kita minta supaya dihalalkan.
Rasulullah ﷺ bersabda: “Sesiapa yang ada sebarang kesalahan dengan saudaranya maka hendaklah diselesaikan sekarang, kerana sesungguhnya di sana (di akhirat) tiada lagi wang ringgit untuk dibuat bayaran, (yang ada hanyalah) diambil hasanah (kebaikan) yang ada padanya, kalau dia tidak mempunyai kebaikan, diambil keburukan orang itu lalu diletakkan ke atasnya.” (Hadis Riwayat Bukhari r.a.).
16. Keredhaan Ibu Bapa & Suami
Berusaha untuk mendapatkan keredhaan ibu bapa dan suami, walaupun tidak sewajarnya ibu bapa atau suami melarang anak/isterinya daripada ibadat haji yang wajib.
Rasulullah ﷺ bersabda: “Keredhaan Allah سبحانه وتعال terletak pada keredhaan ibu bapa dan kemurkaan Allah سبحانه وتعال terletak pada kemurkaan ibu bapa.” (Hadits Riwayat At-Tirmidzi r.a.).
17. Teman Perjalanan
Bagi kaum wanita pula ditambahkan syarat iaitu mestilah mendapat izin suami atau walinya dan mesti ditemani mahram. Harus mendapatkan mahram atau teman yang soleh yang dapat menasihati dan membantu kita ketika dalam kesusahan atau melakukan kesilapan.
Mencari teman dan rakan yang baik dalam perjalanan. Sebab kadang-kadang ada teman ketika di sini baik, tetapi di Makkah berbalah. Ada juga insiden suami isteri berbalah atau bermasam muka. Kadang-kadang perkara tersebut tidak masuk akal tetapi berlaku. Sebagai contoh, ada suami isteri yang bercerai selepas melakukan ibadah haji.
18. Bersangka Baik Kepada Allah
Baik sangka, menurut Abu Muhammad al-Mahdawi, adalah membuang prasangka buruk (qath’ul wahm). Dari Abu Hurairah r.a., ia berkata : Rasulullah ﷺ bersabda : “Allah سبحانه وتعال berfirman : “Aku menurut sangkaan hambaKu kepadaKu.” (Hadis Riwayat Bukhari r.a.).
Dari Jabir bin Abdillah ra bahwa ia mendengar Rasulullah ﷺ berkata tiga hari sebelum wafatnya : “Jangan seorang di antara kamu mati kecuali dia berbaik sangka kepada Allah.” (Hadis Riwayat Muslim r.a.)
Orang yang beriman hendaklah meyakini setiap perkara yang berlaku ke atas dirinya sama ada baik atau buruk, semuanya telah ditentukan oleh Allah سبحانه وتعال. Jika kita bermohon kepada Allah سبحانه وتعال, maka hendaklah bersangka baik jika apa yang diharapkan tidak terlaksana. Mungkin Allah سبحانه وتعال mahu beri yang lebih baik lagi.
Firman Allah سبحانه وتعال :
وَعَسَىٰ أَن تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ ۖ وَعَسَىٰ أَن تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَّكُمْ ۗ وَاللَّـهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, pada hal ia amat baik bagimu dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, pada hal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 216)
19. Istiqamah
Perjalanan suci yang di redhai Allah tidak terlepas daripada berbagai cabaran yang hanya akan dapat di atasi oleh semangat yang tinggi, bersabar, tidak berputus asa dan beristiqamah.
Rasulullah ﷺ telah bersabda: “Amal kebaikan yang disukai Allah ialah yang sentiasa dilakukan walaupun sedikit.” (Hadis Riwayat Bukhari r.a.)
Istiqamah sangat penting dalam semua hal. Rasulullah ﷺ menyuruh kita istiqamah dalam membuat kebaikan, juga dalam melihat kecacatan dan membaikinya. Beristiqamah dalam melakukan sesuatu perkara amar makruf nahi mungkar haruslah dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan niat itu hendaklah ikhlas kerana Allah سبحانه وتعال.
20. Bekalan Taqwa
Segala persediaan dari kelengkapan “material” seperti wang ringgit, tempat penginapan, makan-minum jika tidak disertai dengan bekalan taqwa, maka dibimbangi ibadah haji dan umrahnya itu akan hilang dari matlamat asalnya iaitu kerana Allah سبحانه وتعال.
Pastikan para jemaah membawa bersama-sama bekalan taqwa sebagaimana firman Allah سبحانه وتعال :
وَتَزَوَّدُوا۟ فَإِنَّ خَيْرَ ٱلزَّادِ ٱلتَّقْوَىٰ
“Dan hendaklah kamu membawa bekal secukupnya, sesungguhnya sebaik-baik bekalan ialah taqwa.” (Surah Al-Baqarah 2 : Ayat -197)
Abdullah bin Umar r.a. apabila melihat rombongan haji sedang melalui satu jalan, beliau berkata: “Pada hari ini, para jemaah haji menjadi semakin berkurangan dan pengembara-pengembara semakin bertambah ramai.”
Maksud beliau adalah, kekasih Allah سبحانه وتعال yang sebenar semakin berkurangan sementara mereka yang tidak ikhlas telah bertambah dengan ramainya. Beliau menyeru ke arah sederhana dan menjauhkan segala kemewahan dan keseronokan.
Setiap jemaah haji hendaklah menunjukkan tanda keghairahan mencintai Allah سبحانه وتعال dan bukannya tanda cinta kepada kecantikan yang dihiaskan. Rasulullah ﷺ bersabda:
“Akan datang kepada manusia suatu masa, di mana naik haji umat aku kerana 4 perkara:
Orang kaya naik haji kerana melancong.
Orang pertengahan naik haji kerana beniaga.
Orang miskin naik haji kerana meminta-minta.
Orang Qari dan Ulama naik haji kerana riya’dan nama.”
(Hadis Riwayat Ad Dailamy)
21. Tawakal
Tawakal adalah penyandaran hati dan menyerah diri sepenuhnya kepada Allah سبحانه وتعال. Amat perlu ditanam dalam diri dengan sifat bertawakal sebelum berangkat ke tanah suci bagi menghadapi pelbagai kerisauan, kemaslahatan dan menghilangkan bahaya dalam urusan ibadah Haji dan Umrah, menyerahkan semua urusan kepadaNya serta meyakini dengan sebenar-benarnya bahawa tidak ada yang memberi, menghalangi, mendatangkan bahaya dan mendatangkan manfaat kecuali Allah سبحانه وتعال semata.
Menurut pendapat Imam Ghazali r.a: “Tawakal membawa erti bahawa kita menyerahkan diri kepada Allah sewaktu menghadapai kesusahan atau ketika menghadapi waktu yang sukar dan genting dalam hidup ini. Pada ketika ini, hati perlu di teguhkan seteguh-teguhnya sehingga ia mencapai satu titik ketenangan dan ketenteraman di dalam jiwa.”
Penutup
Tujuan sebenar kita menunaikan Haji atau Umrah ialah untuk memperbaiki jiwa. Maka kita perlulah membuat persediaan awal yang mantap agar kita mendapat suatu kebaikan yang amat besar daripada ibadat Haji dan Umrah tersebut.
Setiap hari, keadaan diri kita mestilah lebih baik daripada yang sebelumnya. Hari ini lebih baik dari semalam dan begitulah seterusnya, iaitu pembaikan yang berterusan. Oleh itu jemaah perlu secara sedar untuk berniat melakukan persiapan rohani, mental dan spiritual kerana ianya akan membersihkan diri dari segala cacat dan cela.
Dengan demikian kita dapat berangkat dalam keadaan bersih dan suci. Terlepas dari segala beban duniawi yang akan membebankan fikiran sepanjang perjalanan menunaikan ibadah haji.
Usahakan agar perjalanan rohani ini boleh berjalan dengan baik dan lancar serta berharap ibadah hajinya mendapatkan redha Allah سبحانه وتعال dan menjadi haji yang mabbur sebagaimana sabda Rasulullah ﷺ: “Haji yang mabrur tiada ganjarannya yang sesuai melainkan syurga.” (Hadis Riwayat Tabrani dari Ibnu Abbas)
والله أعلم بالصواب
Wallahu A’lam Bish Shawab
(Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)
No comments:
Post a Comment