Wahai Allah ,Aku bersyukur kepadaMu ,Kerana Engkau telah menjemputku,Menjadi tetamu AgungMu, Walaupun aku sebenarnya tidak layak. Wahai Allah, Dalam ramainya manusia di rumahMu, Akulah yang paling berdosa,Akulah yang paling hina, Akulah yang paling tiada apa, Akulah yang paling banyak melakukan maksiat. Wahai Allah, Ampunkan segala dosaku Walaupun sebanyak buih dilautan, Walaupun sebanyak pasir dipantai, Walaupun sebesar Gunung Uhud, Walaupun memenuhi antara langit dan bumi
Thursday, 16 June 2016
Solat dan Implikasinya pada kita
Solat adalah tiang agama Islam. Tidak dapat berdiri agama seseorang kecuali dengan istiqamah mengerjakan solat. Ia adalah rukun kedua dalam agama Islam sebagai merealisasikan rukun pertama iaitu persaksian Lailahaillallah, MuhammadurRasulullah. Solat adalah ibadah pertama yang akan dihisab di Hari Perhitungan bagi orang-orang yang mengucapkan dua kalimah Syahadah.
Jika seseorang mengabaikan solat, sudah pasti akan lebih mengabaikan ibadah-ibadah yang lain. Ini kerana ibadah-ibadah lain bergantung kepada solatnya. Maka tidak hairanlah solat menjadi amalan pertama yang akan dihisab. Jika baik solatnya, maka baiklah ibadah-ibadah lain. Jika buruk solatnya, akan buruklah seluruh amalannya.
Dukacitanya pada hari ini kita lihat masih ramai kaum muslimin yang menyia-nyiakan solat. Ada yang solat sekadar melangsaikan kewajipan, ada yang solat di akhir waktu atau di luar waktu, ada yang solat tetapi tidak cukup lima kali sehari, ada yang solat sekali seminggu, ada yang tidak solat sama sekali. Sedangkan solat adalah kewajipan paling utama dalam syariat Islam.
Rasulullah SAW bersabda, “Istiqamahlah dalam segala sesuatu, dan janganlah kamu menghitung amal, ketahuilah bahawa sebaik-baik amalan adalah solat, dan hanya orang mukmin mampu memelihara wudhu.” (Sahih Ibn Majah)
Mencintai solat, bersegera mengerjakannya dengan sebaik-baiknya merupakan bukti dan tanda cinta seorang kepada ALLAH, dan bukti rasa rindunya kepada Allah. Solat adalah tanda syukur dan terima kasih seorang hamba atas nikmat-nikmat yang ALLAH kurniakan kepadanya.
Adapun merasa berat dalam mengerjakannya, menangguh-nanguh, atau mengerjakannya sendirian di rumah iaitu tidak mengerjakannya di masjid (bagi lelaki) tanpa uzur, itu merupakan tanda kekosongan hati dari rasa cinta kepada ALLAH SWT, dan tidak merasa perlu kepada kurnia yang ada di sisi Allah. ALLAH SWT berfirman tentang hal ini, “Maka datanglah sesudah mereka generasi yang mengabaikan solat dan mengikuti hawa nafsu, mereka kelak akan sesat.” (Surah Maryam: 59)
Imam Al-Hasan Al-Basri berkata tentang generasi yang buruk ini, “Mereka mengosongkan masjid dan menyibukkan diri dengan pekerjaan, mereka condong kepada pelbagai kesenangan dan maksiat.” Na’uzubillahi min zalik. Jika demikianlah keadaan orang yang mengabaikan solat berjamaah di masjid, lalu bagaimana pula keadaan orang yang langsung tidak solat sama sekali?
ALLAH TIDAK MEMINTA REZEKI BAHKAN ALLAH MEMBERI REZEKI
Ummu Aiman radhiyallahu ‘anha berkata, Rasulullah SAW telah berpesan agar jangan sesekali meninggalkan solat dengan sengaja, kerana barangsiapa meninggalkan solat dengan sengaja, maka terlepaslah perlindungan Allah dan RasulNya dari dirinya. (Hasan, riwayat Ahmad)
Allah telah memudahkan urusan solat dengan mewajibkannya secara berjemaah di masjid (bagi lelaki). Apabila dikumandangkan azan, wajib bagi mereka menyahut seruan tersebut. Mengerjakan solat berjemaah sebenarnya lebih mudah dan lebih menambah semangat. Maka Allah yang Maha Pemurah dan Maha Penyantun kepada hambaNya menjadikan amalan ini sebagai amalan yang terbaik dan mewajibkannya ke atas manusia.
Bahkan ALLAH memuji hamba-hambaNYA yang mendirikan solat berjemaah di masjid. “Hanyalah yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, serta tetap mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut selain kepada Allah, merekalah orang-orang yang diharapkan termasuk golongan orang-orang yang mendapat petunjuk.” (Al-Taubah: 18)
Tirulah Abu Bakr Al-Siddiq, Omar bin Al-Khattab, dan khalifah-khalifah agung yang lain radhiyallahu ‘anhum ajma’in, di mana mereka adalah pemimpin yang memberi perhatian dan menekankan aspek ibadah solat dan memerintahkan pegawai-pegawai mereka supaya mendirikan solat. Ini kerana barangsiapa mengabaikan solat, dia pasti lebih mengabaikan amalan yang lain. Orang yang tidak solat, amalannya yang lain akan lebih rosak lagi.
Adapun orang yang menjaga solat, dia akan menjaga amanah, akan terjaga lisannya, pandangannya, dan hatinya dari perbuatan yang keji dan munkar. Ironinya, ada majikan yang mencegah dan menyulitkan pekerja-pekerjanya untuk solat. Lalu muncullah khianat, korupsi dan sebagainya, kerana para pekerja tidak dididik untuk menjaga solat, iaitu hubungan hamba dengan ALLAH SWT.
Maka pemimpin yang bijak, baik pemimpin di rumah, di pejabat, pemimpin masyarakat atau sebagainya, mereka berkewajipan menyeru orang yang dipimpin itu untuk istiqamah mendirikan solat. “Dan perintahkanlah ahlimu mendirikan solat dan sabarlah dalam mengerjakannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, bahkan Kamilah yang memberi rezki kepadamu. Dan kesudahan baik adalah bagi orang yang bertakwa.” (Surah Taha: 132)
Solat sama sekali tidak akan membuat rezeki terhalang, bahkan solat adalah bukti ketakwaan, dan dengan takwa, Allah akan memberi rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka. Tidak ada satu kesibukan pun yang menggugurkan kewajipan solat pada waktunya sehingga seseorang itu dibolehkan menunda solat hingga keluar dari waktu. Sebaliknya solat adalah ibadah yang wajib dikerjakan pada waktunya.
SOLAT DALAM SYARIAT UMAT TERDAHULU
Ibadah solat tidak dapat ditandingi oleh ibadah-ibadah lain. Setiap agama yang ALLAH turunkan kepada seluruh Rasul tidak terlepas dari syariat solat. Ini kerana solat adalah penghubung antara hamba dengan ALLAH. Di dalam solat kita dibimbing untuk ittiba’ (mencontohi) Nabi SAW dalam setiap gerakan dan ucapan. Ini seperti mana sabda Nabi SAW, “Solatlah kalian seperti kalian melihat aku solat.” (Riwayat Al-Bukhari)
Komitmen seseorang dalam mengikuti sunnah Rasulullah dapat dilihat dari bagaimana cara dia mengerjakan solat. Kita diperintahkan solat mengikuti cara solat Nabi SAW, sejak dalam persediaan untuk solat iaitu berwudhu dan menyediakan tempat solat, sehinggalah setelah selesai solat iaitu membaca zikir-zikir yang diajarkan oleh Nabi SAW.
Solat tidak boleh dilakukan secara sembarangan tanpa mengetahui petunjuk dalil dari Nabi SAW. Nabi telah mengajarkan cara solat dengan sebaik-baiknya mengenangkan ini adalah ibadah terpenting dalam agama. Sampai Baginda pernah solat di atas mimbar dan selesai solat Baginda berkata kepada sahabatnya, “Aku melakukan ini agar kalian mengikutiku, dan agar kalian mengetahui solatku.” (Al-Bukhari & Muslim)
Betapa besar pengaruh solat dalam pembentukan jiwa seseorang dan dalam mendekatkan diri kepada ALLAH SWT, sehingga tidak wajar bagi seorang Muslim melakukan solat secara ikut-ikutan tanpa mempelajarinya dari hadis-hadis yang sabit dari Nabi SAW. Para ulama bertungkus lumus mengumpulkan hadis-hadis berkaitan cara solat Nabi, antara yang terbaik dan telah diterjemahkan adalah kitab berjudul ‘Sifat Shalat Nabi’ karangan Syaikh Muhammad Nashiruddin Al-Albani.
Dalam Al-Quran, ALLAH SWT menceritakan tentang doa Nabi Ibrahim ‘alaihissalam, “Wahai Tuhanku, jadikanlah aku dan zuriat keturunanku sebagai orang yang tetap mendirikan solat” (Ibrahim: 40). Allah juga menceritakan tentang Nabi Ismail ‘alaihissalam, “Dan ceritakanlah (Muhammad), kisah Ismail di dalam kitab (Al-Quran). Dia benar-benar seorang yang benar janjinya, seorang Rasul dan Nabi. Dia menyuruh keluarganya untuk mendirikan solat dan menunaikan zakat.” (Maryam: 54-55)
Allah juga berkata kepada Musa ‘alaihissalam, “Sesungguhnya Aku adalah ALLAH, tidak ada Tuhan selainKu, maka sembahlah aku dan dirikanlah solat untuk mengingati Aku” (Surah Taha: 14). Para Malaikat juga menyeru ibu Nabi Isa, iaitu Maryam untuk mengerjakan solat seperti yang disebutkan di dalam Al-Quran, “Wahai Maryam, taatilah Tuhanmu, sujud dan rukuklah bersama orang-orang yang rukuk” (Surah Ali Imran: 43)
ALLAH juga memerintahkan Bani Israil mengerjakan solat, “Dan (ingatlah) ketika Kami mengambil perjanjian dari Bani Israil, ‘Janganlah kamu menyembah selain Allah, dan berbuat baiklah kepada kedua orang tua, kerabat, anak-anak yatim, dan orang-orang miskin. Dan berkatalah yang baik kepada manusia, laksanakanlah solat dan tunaikanlah zakat’. Tetapi kamu berpaling kecuali sebahagian kecil dari kamu.” (Al-Baqarah: 83)
Akhirnya Allah juga memerintahkan Nabi kita Muhammad SAW, “Dan perintahkanlah keluargamu mendirikan solat dan sabarlah dalam mengerjakannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, bahkan Kamilah yang memberi rezki kepadamu. Dan kesudahan yang baik adalah bagi orang yang bertakwa.” (Surah Taha: 132)
PEMISAH ANTARA IMAN DAN KUFUR
Siapa saja yang memandang remeh solat bererti dia telah meremehkan agama Islam. Kadar kecintaan seseorang terhadap Islam diukur dengan kadar cintanya terhadap solat. Ada orang yang solat kerana terpaksa dan berat hati, dan ini adalah ciri-ciri kemunafikan, tanda-tanda bahawa hatinya telah tertutup sehingga dia membenci ibadah solat.
Adapun orang mukmin melihat solat itu suatu kesenangan dan kesejukan dalam hati, seperti sabda Nabi SAW kepada Bilal, “Wahai Bilal, iqamahkanlah solat, tenangkanlah kami dengannya” (Sahih, Abu Daud). Juga Nabi SAW bersabda: “Dicintakan kepadaku dari dunia, wanita dan wangian, dan dijadikan penyejuk mataku di dalam solat”. (Sahih, riwayat Ahmad)
Maka janganlah sampai kita bertemu ALLAH dalam keadaan tidak ada sedikit pun Islam pada diri kita. Ini kerana tiang kepada kalimah syahadah yang kita ucapkan adalah solat. Apa jua bangunan akan roboh jika tidak ada tiangnya. Tidak ada gunanya amalan-amalan lain jika tidak ada solat. Sabda Nabi SAW, “Sesungguhnya jarak pemisah antara seseorang dengan kesyirikan dan kekufuran adalah meninggalkan solat.” (Riwayat Muslim)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment