Sunday, 12 June 2016

PUASA DALAM SEJARAH UMAT TERDAHULU DAN ISLAM

 
  Firman Allah yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa (al-Baqarah, 2:183).
Terdapat dua perkara yang disentuh di dalam ayat tersebut, pertamanya, puasa adalah ibadat lama. Ia diwajibkan ke atas umat-umat lampau. Justeru, jika merujuk kepada sejarah, kita akan dapati hampir setiap bangsa di dunia ini mengamalkan puasa di dalam kehidupan mereka, walaupun mungkin ianya berbeza dari segi tujuan dan niat masing-masing.
Dalam mentafsirkan maksud: orang-orang sebelum kamu, kita dapati ulamak telah berbeza pendapat, antaranya:
Ada yang mengatakan bahawa ia bermaksud: orang-orang Nasrani sahaja.
Ada pendapat mengatakan, mereka adalah Ahl al-Kitab (iaitu orang Nasrani dan Yahudi).
Ada pendapat lain mengatakan bahawa ia bermaksud seluruh umat terdahulu yang menjadikan puasa sebagai amalan dalam kehidupan mereka sama ada kerana tuntutan keagamaan, kemasyarakatan atau kerana menolak sesuatu bencana dan sebagainya.
Berdasarkan pembacaan saya, didapati bahawa bangsa-bangsa lama seperti India, China, Jepun, Parsi, Mesir Purba, Greek, Rom, Yahudi, Nasrani dan Arab Jahiliyyah, masing-masing telah mengamalkan puasa pada hari atau bulan tertentu dalam setahun.
Secara ringkasnya dapat kita lihat kepada beberapa fakta berikut:
India:
Dalam sejarah bangsa ini memang terdapat amalan puasa yang mempunyai pelbagai matlamat, antaranya  sebagai persembahan kepada bulan yang mereka puja.  Penganut kepercayaan ini, selain mempersembahkan makanan, minuman dan susu, mereka juga berpuasa selama setengah bulan dan berbuka ketika bulan mengambang pada waktu malam. Mereka akan berhenti amalan ini apabila muncul anak bulan baru (Dr. `Ali Al-Khatib, 62).
Puasa juga di kalangan bangsa India bertujuan melepaskan diri dari kesiksaan akidah tanasukh dan bercamtum dengan tuhan mereka yang disebut sebagai Brahma dan akhirnya  mencapai kebahagiaan sejati. Seseorang tidak akan sampai kepada Brahma kecuali apabila dia sudah sampai kepada hakikat dan melepaskan diri dari segala macam ikatan kebendaan. Dengan itu kehidupan secara zahid amat terkenal di kalangan bangsa India. Dalam konteks ini mereka akan berpuasa selama 14 hari tanpa memakan sebarang makanan, kecuali dengan diselang-seli  minuman air sahaja selama masa tersebut (Dr. A. Al-Khatib, h. 65).
Dalam pegangan kumpulan Sinata, ahli agama mereka dikehendaki berpuasa  setiap hari bermula sejak jatuh matahari sehingga ke waktu naik fajar merah, tanpa makan dan minum sepanjang-panjang masa itu (Dr. A. Al-Khatib, 66)
Selain dari ahli agama kumpulan Sanita, ahli agama secara umumnya dikehendaki berpuasa pada awal musim gugur dan sejuk, dan permulaan musim bunga dan panas, dan pada waktu berlaku gerhana matahari.
Puasa yang mereka amalkan ini kebiasaannya akan berpanjangan jika tujuannya untuk melepaskan diri dari kekuasaan tanasukh atau menghapus akidah ini dari menguasai roh mereka. Berdasarkan kepada akidah tanasukh ini, roh seseorang itu tidak akan mati selama-lamanya, tetapi ia akan berpindah dari satu jasad ke jasad yang lain atau akan berpindah ke jasad binatang, biasanya ia akan berpindah dari yang baik kepada yang lebih buruk. Sepanjang-panjang perpindahan ini mereka akan tersiksa, dengan itu mereka sanggup melepaskan diri mereka dari ikatan keduniaan dan berpuasa sehingga mereka bercamtum dengan tuhan mereka Brahma ataupun menamatkan hidup mereka supaya mereka terlepas dari kekuasaan tanasukh. Kepercayaan ini menyebabkan ramai rakyat India purba yang berpuasa atau mengkuburkan diri di bawah tanah semasa mereka berpuasa (op. cit, 67).
Kepercayaan Budha yang lahir di India tidak terlepas dari amalan ini. Kita lihat Budha sendiri mengamalkan cara hidup berpuasa selama 6 tahun. Dalam pegangan salah satu mazhab Budha, seorang ahli agamanya dikehendaki berpuasa sepanjang masa selama hidupnya, tanpa mengambil apa-apa makanan kecuali sebiji beras sahaja pada waktu duha setiap hari. Dalam peraturan keagamaannya, para pengikut Budha dihendaki berpuasa 4 hari dalam masa sebulan, iaitu pada hari pertama awal bulan, hari kesembilan,  kelima belas dan hari kedua puluh dua (op.cit. 72-74)
Tujuan amalan ini ialah untuk sampai kepada hakikat atau mencapai kebahagiaan sejati atau navarna.
China dan Jepun:
Agama Budha kemudiannya berkembang di China dan Jepun. Di negara China ia menjadi agama rasmi negara pada masa pemerintahan Maharaja Fu Ti (58 - 71M.). Di negara Jepun, agama Budha mula bertapak pada pertengahan kurun ke enam Masihi. Dan akhirnya ia juga menjadi agama negara bagi negara itu. Di sini agama ini telah berpecah kepada beberapa aliran yang drastik. Apa yang pentingnya bagi kita ialah dengan berkembangnya agama Budha di kedua-dua negara itu, maka amalan puasa turut diamalkan oleh rakyat kedua-duanya (op.cit, h. 79-81).
Parsi:
Dari bukti bahasa, budaya dan acara keagamaan, dapat dipastikan bahawa orang-orang Parsi sebenarnya adalah berketurunan campuran India-Eropah. Dikatakan sejak abad keempat belas SM., Parsi merupakan sebuah negara yang menganut agama Hindu lama. Dengan itu terdapat di kalangan mereka nama-nama pinjaman seperti Andra, Matra, Faruna dan Vida yang kesemuanya merupakan nama-nama tuhan  dalam kepercayaan orang-ornag India. Dan dengan itu sekaligus terdapat di kalangan mereka acara-acara keagamaan orang-orang India purba, seperti pengorbanan, puasa dan lain-lain (op.cit, h. 82).
Kemudian pada abad kelima SM, Parsi mula menerima pengaruh Yahudi. Ekoran kepada pengaruh ini terdapat sebahagian penduduk negara ini yang mengamalkan beberapa acara keagamaan orang-orang Yahudi seperti sembahyang dan puasa.
Hasil percampuran pelbagai kepercayaan di kalangan penduduk Parsi, kita dapati mereka mempunyai program puasa seperti berikut:
1.      Berpuasa selama 7 hari pada tiap bulan.
2.      Berpuasa selama 2 hari berturut-turut tanpa berbuka apabila bulan purnama.
3.      Berpuasa selama 2 hari  berturut-turut tanpa berbuka apabila terbit anak bulan.
4.      Berpuasa selama 2 hari apabila bulan perpindah kepada garisan jaddi.
5.      Berpuasa pula selama 30 hari dan berbuka pada ketika matahari jatuh apabila ia berpindah pada garisan dalwu.
6.      Berpuasa pada hari Ahad dan Isnin kerana memberi penghormatan kepada matahari dan bulan (op.cit, h. 82-85).
Mesir Purba:
Puasa di kalangan orang-orang Mesir purba dilakukan sebagai memberi khidmat kepada rumah ibadat dan protokolnya. Seseorang pembantu rumah ibadat sebelum memulakan khidmatnya dikehendaki berpuasa selama 2 hari tanpa memakan apa-apa makanan kecuali air sahaja. Kadang-kadang puasa itu berlanjutan sehingga 42 hari.
Orang-orang awam akan berpuasa pada beberapa waktu yang terdekat kerana berlaku mala petaka seperti banjir besar, mereka akan berpuasa selama 4 hari dan mereka juga berpuasa pada hari-hari berlaku peristiwa sedih yang lain, seperti hari kematian lembu suci mereka dan lain-lain.  Kesemuanya diatur oleh ahli-ahli agama mereka (op.cit, h. 104-105).
Greek dan Rom:
Penduduk kedua-dua negara ini tidak banyak berbeza dari segi cara berpuasa dan matlamatnya.
Di Greek, rakyatnya berpuasa dalam pelbagai bentuk ketika berlaku mala petaka dan bala bencana agar segala macam kesiksaan itu akan tamat segera. Ada juga mereka berpuasa kerana mensyukuri tuhan mereka kerana terlepas dari bala atau kerana berlaku perubahan kepada undang-undang negara.
Rakyat negara ini juga akan berpuasa selama 10 hari sebelum melakukan  peperangan kerana bertujuan memohon kemenangan.
Di Rom, rakyat negara ini sangat percaya dengan kekuatan puasa sehingga mereka mempercayai bahawa seorang yang berpuasa mampu membunuh ular tedung dengan ludahnya sahaja. Seorang tukang tilik perempuan biasanya berpuasa selama 3 hari disamping beberapa amalan pelengkap yang lain sebelum melakukan apa-apa tilikan. Rakyat terpaksa memberi upah kepadanya jika mereka memohon apa-apa khidmat tilikannya (op.cit, h. 111-113).
Yahudi:
Bangsa Yahudi adalah pengikut syari`at Musa. Sebelum menerima kitab Taurat, Musa AS. berpuasa selama 40 hari di Saina'. Tetapi orang-orang Yahudi menganggapnya sebagai puasa khusus Nabi Musa. Ulamak Tafsir mengatakan bahawa Musa berpuasa 40 hari ini tanpa diselangi sama sekali  dengan berbuka.
Bagi orang-orang Yahudi, mereka berpuasa sehari sahaja, sebagai puasa wajib, iaitu pada hari ghufran (pengampunan).  Mereka mendakwa hanya itu sahaja puasa wajib yang dikenakan ke atas mereka. Puasa-puasa lain adalah puasa sunat  yang dilakukan beberapa kali yang tidak tersusun.
Puasa sehari ini mereka lakukan pada satu perempat jam sebelum jatuh matahari hari ke 9, bulan Tashri, iaitu awal tahun Ibri (tahun Yahudi) dan berterusan sehingga selepas satu perempat jam  jatuhnya matahari pada hari ke sepuluh. Iaitu kira-kira selama 25 jam berturut. Sepanjang-panjang masa berpuasa itu mereka dilarang memakan, meminum dan melakukan hubungan perkelaminan. Puasa ini menjadi amalan mereka sehingga ke hari ini. Hari kesembilan ini mereka namakan juga sebagai hari kabur, iaitu hari `asyura' mereka.
Tentang puasa-puasa sunat mereka, kita dapati ada beberapa kali mereka berpuasa di sepanjang tahun kerana beberapa perayaan atau peristiwa  yang telah berlaku, seperti perayaan kerana mengenangkan mereka terlepas dari gerakan penghapusan atnik di negara Parsi yang dilakukan oleh seorang menteri di negara itu bernama Haman. Untuk perayaan ini, mereka berpuasa selama 3 hari. Perayaan ini dinamakan sebagai Hari Raya Forim. Begitu juga mereka berpuasa kerana peristiwa sebuah rumah ibadat mereka di negara Mesir  yang dibakar oleh ahli agama negara itu di bawah pengaruh Parsi. Terdapat 19 hari-hari perayaan mereka sepanjang tahun yang digandingkan dengan amalan berpuasa. Sebahagiannya, mereka berpuasa selama sehari dan ada juga mereka berpuasa selama 7 hari. Perayaan yang paling penting bagi mereka ialah perayaan hari mereka dilepaskan dari buruan tentera Fir`aun dibawah pimpinan Nabi Musa menyeberangi laut Merah yang mereka namakan sebagai hari Fash (op.cit. h. 118-122).
Nasrani:
Orang-orang Nasrani sama seperti orang-orang Yahudi merupakan penganut agama Ahl Al-Kitab, mereka juga turut berpuasa sebagai salah satu amalan agama mereka.
Orang-orang Nasrani terbahagi kepada tiga mazhab atau aliran, iaitu Katholik, Othordok dan Protestin. Ketiga-tiga mazhab ini mempunyai cara amalan puasa yang sebahagiannya berbeza di antara satu dengan yang lainnya.
Bagi pengikut mazhab Katholik, mereka mula berpuasa pada pertengahan malam sehingga ke waktu  pertengahan siang esoknya. Pada masa berpuasa, mereka dilarang mengambil makanan dan minuman sahaja. Seseorang lelaki diwajibkan berpuasa sejak berumur 15 tahun sehingga ke umurnya 60 tahun dan seorang perempuan pula diwajibkan memulakan puasanya pada umur yang sama dengan lelaki, tetapi ia berakhir pada umur 55 tahun. Menurut mazhab ini, pengikutnya dikehendaki berpuasa hanya pada Hari Puasa Besar sahaja. Gereja mazhab ini membatalkan kesemua puasa-puasa yang lainnya. Hal ini dikatakan kerana tiada nas di dalam Injil.
Mereka juga dilarang memakan daging, susu dan telur pada hari Rabu dan Jumaat pada setiap minggu, begitu juga pada hari-hari Puasa Besar. Larangan ini melibatkan kesemua penganut mazhab ini sejak berumur 7 tahun sehingga ke akhir hayatnya (op. cit., h. 151-152).
Pengikut mazhab Othordok pula, mereka mempunyai program puasa yang tersendiri. Pada mereka, puasa ialah menahan diri dari memakan makanan dalam masa yang tertentu. Masa ini hanya ditentukan oleh padri mazhab mereka yang mempunyai hak berbuat demikian.
Dalam mazhab ini, Puasa Besar dianggap sebagai puasa yang paling penting, masanya selama 50 hari dan berakhir pada kebiasaannya pada hari Raya Kiamat. Mereka juga berpuasa selama 40 hari yang dinamakan Puasa Kelahiran, bermula dari 25hb. Nov. sehingga 6 Januari, iaitu sebelum berlangsung Raya Kelahiran.
Pihak gereja mazhab ini juga turut berpuasa pada hari Rabu dan Jumaat dan sehari puasa yang lain dinamakan dengan Puasa Rasul-rasul.
Selain dari itu, pengikut mazhab ini juga berpuasa selama 15 hari untuk Mariam yang bermula pada awal Masri (bulan kiraan orang-orang Nasrani).
Mereka juga berpuasa tiga hari seperti puasa Nabi Yunus AS., puasa Paramont di antara sehari sehingga ke tiga hari (op.cit., h. 156-158).
Dalam mazhab Protestin pula, puasa menjadi amalan galakan sahaja kerana tiada nas Injil yang mewajibkannya. Dengan erti tiap  pengikutnya akan berpuasa mengikut selera masing-masing sahaja. Mazhab ini juga tidak menentukan masa untuk berpuasa dan ia juga tidak menentukan umur seseorang untuk berpuasa, malah segala-galanya diserahkan kepada pilihan atau kemahuan pengikutnya, bila mereka ingin berpuasa dan bila pula mereka ingin berbuka.
Sebahagian yang lain pula menggantikan amalan puasa dengan sesuatu pekerjaan seperti memberhentikan memakan makanan yang mereka suka disamping menyimpan harganya untuk diberikan kepada fakir miskin.
Sebagai kesimpulannya:
1.      Kesemua mazhab orang-orang Nasrani menganggap hubungan sex tidak  ada kaitan dengan amalan puasa dan tidak membatalkannya.
2.      Tidak ada persepakatan pendapat di antara mereka tentang menentukan puasa fardu/wajib.
3.      Tidak ada persefahaman di antara mereka tentang masa permulaan  puasa dan juga masa akhirnya. Tiap orang boleh menamatkan puasanya pada bila-bila masa yang dikehendakinya.
4.      Puasa hari Sabtu diakui oleh Katholik, tetapi tidak disetujui oleh Othordok kecuali Sabtu yang jatuh sebelum hari Raya Kiamat (op. cit. h. 161-163).
Dengan itu jelas kepada kita bahawa puasa orang-orang Yahudi adalah lebih tersusun dari puasa-puasa yang diamalkan oleh orang-orang Nasrani.
Semenanjung Tanah Arab:
Sebelum kedatangan Islam, negara itu sudahpun mengenali agama Hanif yang dibawa oleh Nabi Ibrahim AS., agama Ahl Al-Kitab (Yahudi dan Nasrani), Brahma, Sabi'ah, agama berhala, Majusi, penyembahahan cakrawala dan jembalang. Dengan itu amalan puasa merupakan sesuatu yang tidak asing di kalangan mereka. Sekurang-kurangnya mereka akan terpengaruh dengan orang-orang Yahudi dan Nasrani yang hidup bersama-sama mereka di Semenanjung mereka.
Disebutkan bahawa orang-orang Arab Quraish, khasnya Quraish Makkah, berpuasa pada hari `Asyura' sebagai penebus dosa mereka pada masa Jahiliah. Ada pendapat lain yang mengatakan bahawa puasa `Ashura' itu adalah mengambil sempena hari dipasang kelambu pada Ka`bah. Mereka berpuasa pada 10hb. Muharram.  Puasa ini sama seperti puasa orang-orang Yahudi yang juga dinamakan sebagai puasa hari  `Asyura' atau puasa hari Pengampunan (op. cit., h. 172).
Selain dari itu, orang-orang Arab yang berada di bawah pengaruh orang-orang Nasrani, ada di antara mereka yang mengamalkan amalan puasa fardu selama 30 hari yang kemudiannya bertukar menjadi 50 hari pada waktu yang tertentu setiap tahun (op. cit., h. 178).
Zaman Islam:
Dalam Islam, puasa terbahagi kepada tiga:
1.      Puasa Ramadan.
2.      Puasa Khas, seperti puasa nazar dan kaffarah.
3.      Puasa Sunat.
Dari segi pusingannya pula, puasa terbahagi kepada dua peringkat, peringkat sebelum Ramadan dan kemudian hanya puasa Ramadan.
Puasa Sebelum Ramadan:
Puasa sebelum Ramadan, terbahagi kepada dua jenis, pertama: puasa `Ashura' dan kedua: puasa tiga hari pada setiap bulan.
Menurut pendapat yang terkuat, puasa `Ashura' sebelum difardukan puasa Ramadan merupakan puasa wajib ke atas orang-orang Islam. Terdapat beberapa buah Hadis yang menunjukkan hukum berkenaan, antaranya Hadis riwayat `Aishah RA. yang menyebut bahawa baginda telah mengarahkan supaya ditunaikan puasa `Ashura', tetapi selepas difardukan puasa Ramadan, seseorang itu bebas sama ada ingin berpuasa puasa `Ashura' ataupun tidak.
Demikian halnya dengan puasa tiga hari setiap bulan, ia juga merupakan puasa wajib sebelum difardukan puasa bulan Ramadan (op.cit., h. 181-186).
Beberapa Aspek Penting Dalam Puasa `Ashura':
1.      Ia menunjukkan kaitan di antara Nabi Muhammad SAW. dengan umat-umat sebelumnya dalam ketaatan kepada Allah.
2.      Mengagungkan hari-hari bersejarah kerana pada hari itu Allah telah berkenan memenangkan yang benar ke atas yang batil (dengan menyelamatkan Nabi Musa AS. bersama-sama pengikutnya menyeberangi Laut Merah).
3.      Merupakan kesempatan untuk memberitahu kepada orang-orang Yahudi tentang adanya hubungan agama di antara syari`at Nabi Musa AS. dengan syari`at yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW., di samping adanya hubungan di antara umat Muhammad dengan umat-umat yang sebelumnya, terutamanya setelah adanya beberapa peristiwa yang menunjukkan mereka menolak ajaran Nabi SAW.
4.      Dan yang utamanya ialah melatih kaum muslimin mengenai kewajipan berpuasa pada masa-masa tertentu yang dilakukan secara bersama. Sebab, puasa yang dijalankan oleh Nabi Muhammad SAW. pada hakikatnya adalah satu penerusan kepada puasa yang telah lama berjalan di kalangan orang-orang Makkah, tetapi tidak dalam bentuknya yang serentak dan bersama. Puasa yang dilakukan baginda ini sebagai langkah awal untuk menerima puasa Ramadan yang akan difardukan. Kerana itulah ketika puasa Ramadan difardukan maka puasa `Ashura' tidak diwajibkan lagi (Atiyyah Muhammad Salim, h. 13-14).
Puasa Ramadan:
Puasa Ramadan difarjukan pada 2hb. Sya`ban, tehun ke 2H. menerusi 4 ayat dari surah Al-Baqarah, iaitu ayat-ayat 183-187. Ayat-ayat ini tidak diturunkan serentak, malah ia diturunkan satu demi satu yang dipisahkan dengan jarak masa yang tertentu.
Keempat-empat ayat tersebut telah memberi penjelasan terperinci tentang masa, cara dan apa-apa tegahan  semasa berpuasa. Ia tidak membiarkan baginda menjelaskannya, tidak seperti ibadat-ibadat lain yang memerlukan Hadis Amali dari baginda yang menjelaskan cara perlaksanaannya dengan betul.
Sebagai contohnya, ayat pertama menunjukkan hukum melakukan puasa yang difardukan ke atas orang-orang Islam, ia juga ke atas umat-umat lampau.
Pada peringkat ini, puasa orang-orang Islam tidak berbeza dengan cara berpuasa orang-orang Yahudi, iaitu selama 23 jam, bermula selepas seseorang itu sembahyang isha` atau selepas dia tidur sesudah waktu maghrib. Ia berterusan sehingga ka waktu jatuh matahari pada hari berikutnya.
Cara berpuasa pula di dalam bentuk  pilihan, iaitu sesiapa yang tidak mahu berpuasa, maka dia boleh menggantikan hari dia berbuka itu dengan memberi makanan kepada seorang miskin bagi setip hari. Kedudukan ini berlanjutan sehingga turun ayat yang merobahnya, iaitu firmanNya yang bermaksud: ...sesiapa yang melihat anak bulan, maka hendaklah dia berpuasa. Dengan itu puasa Ramadan sudah bertukar corak, dari bentuk di mana orang-orang Islam diberikan pilihan sama ada berpuasa atau memberi makanan kepada orang miskin, kepada hukum berpuasa sahaja (tanpa pilihan) sepanjang-panjang bulan itu. Walaupun begitu masa berpuasa tetap seperti asalnya, iaitu bermula dari selepas sembahyang `Isha' atau selepas tidur sesudah waktu maghrib sehingga ke waktu jatuhnya matahari pada hari berikutnya. Kedudukan ini berlanjutan sehinggalah turunnya ayat yang berikutnya: ...diharuskan bagi kamu melakukan persetubuhan dengan isteri-isteri kamu pada malam bulan Ramadan dan firmanNya: ... makanlah dan minumlah sehingga jelas kepada kamu benang putih dari benang hitam  menerusi cahayat matahari. Kedua-duanya menjelaskan kepada orang-orang Islam bahawa mereka diharuskan makan, minum dan bertamattu` dengan isteri-isteri mereka pada malam Ramadan. Mereka hanya dikehendaki menahan diri dari perkara-perkara tersebut dan lainnya yang membatalkan puasa bermula dari sejak naik fajar sehinggalah ke waktu jatuhnya matahari hari yang sama.
Dari pembentangan ini kita dapat melihat:
1.      Puasa Ramadan berlangsung pada peringkat awalnya dalam kadar masa hampir sehari, iaitu selama hampir 23 jam.
2.      Pada permulaannya orang-orang Islam diberi pilihan, sama ada mereka berpuasa atau berbuka, dan mereka dibenarkan menggantikannya dengan memberi makan kepada seorang miskin bagi setiap hari puasa yang mereka tinggalkan atau berbuka.
3.      Kemudian, mereka diwajibkan berpuasa sahaja tanpa pilihan dengan kelamaan masa yang sama, seperti puasa Ahl Al-Kitab, iaitu dari waktu sesudah sembahyang `Isha' atau sesudah tidur selepas waktu maghrib sehingga ke waktu jatuhnya matahari pada hari berikutnya.
4.      Kemudian, mereka dibenarkan berbuka (makan, minum dan bertamattu` dengan isteri) selepas waktu jatuhnya matahari sehinggalah ke waktu naik fajar siangnya.
Dari pendedahan ini kita dapati bahawa masa untuk berbuka puasa pada peringkat awalnya adalah sama dengan apa yang telah diamalkan oleh Ahl Al-Kitab ketika mereka berpuasa, iaitu bermula dengan jatuhnya matahari dan berakhir dengan: sama ada selepas orang yang berpuasa itu sembahyang `Isha' atau dengan berlangsungnya tidur sesudah jatuhnya matahari pada hari berkenaan sekalipun sebelum melakukan sembahyang `Isha'. Dengan itu, seseorang yang ingin melanjutkan masa berbukanya, dia akan melewatkan sembahynag Isha' dan tidak tidur selepas jatuhnya matahari.
Kedudukan tersebut memberi gambaran jelas kepada kita bahawa puasa Ramadan juga telah difardukan ke atas pengikut Ahl Al-Kitab sebelum Islam. Inilah pendapat sebahagian ulamak seperti Qatadah, al-Tabari dan al-Sudi. Dengan itu maksud firmanNya: .... seperti ia difardukan ke atas mereka sebelum kamu (Ahl Al-Kitab) pada beberapa hari tertentu ialah bulan Ramdan.
 
1. Syariat  amalan ibadat puasa dalam Islam adalah lanjutan  tradisi puasa seluruh agama samawi (Agama Wahyu dari langit) yang ada sebelum munculnya agama Islam. Dengan kata lain, penganut agama Yahudi, Kristian dan penganut agama Ardhi seperti agama Budha, Hindu, Congfucius dan sebagainya telah melakukan puasa mengikut ritual agama mereka. Pada peringkat awal mulanya perintah berpuasa, kaum Muslimin dan muslimat diajar berpuasa sekitar 22 jam, iaitu berbuka puasa apabila masuknya waktu maghrib. Setelah menjamah juadah berbuka puasa atau berjimak dengan isteri, mereka langsung berpuasa kembali setelah menunaikan solat Isyak. Dalam kes-kes tertentu, mereka yang keletihan dan tertidur sehingga masuk waktu Isyak, setelah terjaga, mereka tidak dibenarkan makan (berbuka dan bersahur) lagi, yakni mereka mesti meneruskan puasa. Mereka tertakluk kepada syarat-syarat wajib puasa atau pantang larang yang dikenakan kepada orang berpuasa, iaitu  mereka dilarang makan, minum dan melakukan jimak dengan isteri hingga hari berikutnya. Namun, setelah sahabat Nabi s.a.w, Umar bin Khathab r.a mengungkapkan kejadian mempergauli isterinya pada satu malam Ramadhan kepada Rasulullah s.a.w, maka Malaikat Jibrail turun membawa Wahyu dari Allah s.w.t.  seperti yang terdapat dalam surah  Al-Baqarah: 187:

“Dihalalkan bagi kamu pada malam hari bulan puasa bercampur dengan isteri-isteri kamu; mereka adalah pakaian bagimu, dan kamu pun adalah pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawasanya kamu tidak dapat menahan nafsumu, karena itu Allah mengampuni kamu dan memberi maaf kepadamu. Maka sekarang campurilah mereka dan ikutilah apa yang telah ditetapkan Allah untukmu, dan makan minumlah hingga terang bagimu benang putih dari benang hitam, iaitu fajar. kemudian sempurnakanlah puasa itu sampai (datang) malam, (tetapi) janganlah kamu campuri mereka itu, sedang kamu beri'tikaf dalam masjid. Itulah larangan Allah, Maka janganlah kamu mendekatinya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepada manusia, supaya mereka bertakwa.”
Dengan turunnya ayat tersebut, dengan tersendirinya terbatallah segala larangan dan pantang larang yang dikenakan kepada mereka yang berpuasa. Jelas, dari ayat di atas,  Allah s.w.t menghalalkan hubungan suami-isteri pada malam sepanjang bulan Ramadhan  Al-Kareem dan ketegasan batas waktu puasa yang dimulai dari terbitnya fajar hingga terbenam matahari. 

2. Supaya kita mendapat keberkatan dari ibadat puasa, berikut adalah antara beberapa amalan yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. ketika menjalankan ibadat puasa pada sepanjang Ramadhan 

  • Rasulullah s.a.w bangun bersahur.
Rasulullah s.a.w bersahur awal pagi, iaitu waktu yang sangat hampir dengan waktu solat subuh. Dari segi biologi bersahur pada waktu tersebut  memberi kesegaran untuk kita menghabiskan hari siang kita dengan berpuasa. Rasulullah s.a.w bersabda yang diriwayatkan oleh Iman Bukhari:
Dari Anas Bin Malik r.a: Rasulullah s.a.w bersabda:

"Bersahurlah kerana pada sahur itu terdapat keberkatan."
Rasulullah s.a.w juga menekankan kepada kita untuk bangun bersahur kerana ia adalah salah satu dari ciri-ciri bersahur orang Islam. Menurut satu hadis yang diriwayatkan Imam Muslim r.a;
"Perbezaan antara puasa kami dengan puasa ahlu al-Kitab adalah makan sahur"

  • Menyegerakan Berbuka Puasa
Amalan menyegerakan berpuaka puasa apabila telah tiba waktu berbuka ada diterangkan dalam hadisnya seperti yang dilaporkan oleh Imam Bukhari dan  Muslim:
عَنْ سَهْلِ بْنِ سَعْدٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : " لا يَزَالُ النَّاسُ بِخَيْرٍ مَا عَجَّلُوا الْفِطْرَ "
"Manusia itu akan terus berada dalam kebaikan selagi mana dia menyegerakan berbuka puasa".
Perbuatan melambat-lambatkan berbuka puasa adalah salah satu perbuatan yang dilarang oleh Rasulullah s.a.w.  Bagi penganut Yahudi dan Nasrani, mereka sering memlewatkan waktu berbuka. Ajaran syiah juga menuntut pengamal ajaran tersebut melewatkan berbuka puasa.  Menurut Imam Abu Daud & Ibn Majah yang sanadnya berstatus hasan seperti yang dinilai oleh al-Albani r.h,
قال النبي صلى الله عليه وسلم : " لا يزال الدين ظاهراً ما عجل الناس الفطر لأن اليهود والنصارى يؤخرون "
"Agama ini akan sentiasa zahir (jelas) selagi mana umatnya menyegerakan berbuka puasa, ini kerana orang-orang Yahudi dan Kristian, mereka melewat-lewatkannya."
Dikeluarkan dari Musannaf Abdul Razzak dan Fathul Bari (kitab syarah sahih al-Bukhari) ‘Amr Bin Maimun r.h berkata:
وقال عمرو بن ميمون الأودي رحمه الله : " كان أصحاب محمد صلى الله عليه وسلم أسرع الناس إفطارا ًوأبطأهم سحوراً "
"Sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w adalah manusia yang paling cepat (ketika) berbuka puasa dan yang paling lewat (ketika) bersahur".
وعَنْ عُمَارَةَ بْنِ عُمَيْرٍ عَنْ أَبِي عَطِيَّةَ قَالَ :
دَخَلْتُ أَنَا وَمَسْرُوقٌ عَلَى عَائِشَةَ فَقُلْنَا يَا أُمَّ الْمُؤْمِنِينَ : رَجُلانِ مِنْ أَصْحَابِ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَحَدُهُمَا يُعَجِّلُ الإِفْطَارَ وَيُعَجِّلُ الصَّلاةَ ، وَالآخَرُ يُؤَخِّرُ الإِفْطَارَ وَيُؤَخِّرُ الصَّلاةَ ..
قَالَتْ : أَيُّهُمَا الَّذِي يُعَجِّلُ الإِفْطَارَ وَيُعَجِّلُ الصَّلاةَ ؟
قَالَ قُلْنَا عَبْدُ اللَّهِ يَعْنِي ابْنَ مَسْعُودٍ .
قَالَتْ كَذَلِكَ كَانَ يَصْنَعُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ .
Dari Abi ‘Atiyyah katanya: "Aku dan Masruq telah bertemu Ummu al-Mu’minin r.anha dan kami berkata kepadanya: “Dua orang lelaki dari sahabat Muhammad s.a.w, salah seorang darinya mempercepatkan berbuka dan mempercepatkan solat, manakala seorang lagi melewatkan berbuka dan melewatkan bersolat...” Ummu al-Mu’minin berkata: “Siapakah di antara mereka berdua yang mempercepatkan berbuka dan menyegerakan bersolat?” Kami berkata: “Abullah iaitu Ibn Mas’ud.” Kata (Ummu al-Mu’minin): “Perbuatan (menyegerakan berbuka) Itulah yang telah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w”.
  • Doa Ketika Berbuka Puasa
Rasulullah s.a.w menuntut kita bahawa berdoa apa sahaja  ketika berbuka puasa kerana ketika itu adalah waktu mustajab berdoa. Berdasarkan hadis sahih Rasulullah s.a.w bersabda seperti yang diriwayatkan Tirmidzi, Ibn Majah dan Ibn Hibban:
إبي هريرة قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم :ثلاثه لاترد دعوتهم : الأمام العادل , والصائم حتى يفطر , ودعوة المظلوم...
"Tiga golongan yang tidak ditolak doa mereka: Pemimpin yang adil, Orang yang berpuasa sehingga dia berbuka, dan doa mereka yang dizalimi..."
Di antara doa yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w ketika waktu tersebut adalah:
ذهب الظماء وابتلت العروق وثبت الأجر إن شاء الله تعالى

Telah hilang kehausan, telah basah urat-urat dan telah ditetapkan pahala-pahala insyaAllah.
  • Berbuka Dengan Beberapa Biji Kurma
Rasulullah s.a.w adalah memulakan memakan beberapa biji kurma basah ketika berbuka puasa. Perbuatan tersebut sangat baik dan tidak menganggu sistem peghazaman tubuh kerana buah kurma kaya dengan berbagai zat mineral yang baik untuk proses penghazaman. Dengan itu, memudahkan baginda melakukan solat Maghrib.
Menurut  Anas Bin Malik, seperti yang dilaporkan oleh Ahmad, Abu Daud dan Tirmidzi :
"Rasulullah s.a.w apabila baginda berbuka puasa, baginda berbuka dengan beberapa biji kurma basah sebelum solat. Jika tiada kurma basah, baginda berbuka dgn kurma kering. Jika tiada kurma kering, baginda berbuka dengan beberapa teguk air."
  • Menjaga Lidah

Ramai yang berpuasa, tetapi tidak mendapat pahala dari amalan tersebut. Sebaliknya mereka hanya mendapat lapar dan dahaga sahaja. Antara faktor berlaku kerugian rohani tersebut adalah kerana mereka tidak menjaga lidah. Sepatutnya pada bulan puasa, kita dituntut membasahkan bibir dengan zikrullah atau bertadarus, sebaliknya kita lebih gemar mengumpat, mencaci, mengeluarkan kata-kata kesat dan lucah, mengadu domba, banyak bercakap, berbohong, menyanyi lagu-lagu yang lagha.
 Rasulullah s.a.w bersabda dalam sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan al-Tabarani:
رُبَّ صَائِمٍ حَظُّهُ مِنْ صِيَامِهِ الْجُوعُ وَالْعَطَشُ , وَرُبَّ قَائِمٍ حَظُّهُ مِنْ قِيَامِهِ السَّهَرُ

"Ramai orang puasa, tetapi balasannya hanya lapar dan dahaga (tiada pahala) dan ramai orang berjaga malam (beribadah) balasannya hanyalah mengantuk (tiada pahala)".
Rasulullah s.a.w bersabda lagi dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari:
وَإِذَا كَانَ يَوْمُ صَوْمِ أَحَدِكُمْ فَلَا يَرْفُثْ وَلَا يَصْخَبْ فَإِنْ سَابَّهُ أَحَدٌ أَوْ قَاتَلَهُ فَلْيَقُلْ إِنِّي امْرُؤٌ صَائِمٌ

"Apabila seseorang daripada kamu berada dalam hari puasa, maka janganlah ia memaki dan mengherdik orang lain. Andainya ia dicela oleh seseorang atau dimusuhi, hendaklah ia berkata "Saya berpuasa".
Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda lagi sepertimana yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Abu Daud, Tirmidzi, Nasaie dan Ibn Majah:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّورِ وَالْعَمَلَ بِهِ فَلَيْسَ لِلَّهِ حَاجَةٌ فِي أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ

Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah saw bersabda : "Sesiapa yang tidak menghentikan percakapan dusta dan terus melakukannya, Maka Allah s.w.t tidak mempunyai hajat pada orang tersebut untuk dia meninggalkan makan minumnya."
  • Tidur Qailulah
Supaya umat Islam sentiasa cergas ketika berpuasa di siang hari dan bersemangat melakukan amal ibadat di malamnya, Rasulullah s.a.w mengajar kita dengan tidur sebentar sebelum masuk waktu solat zohor. Perbuatan tersebut  dinamakan dengan Qailulah. 
Rasulullah s.a.w bersabda dalam sebuah hadis yang dilaporkan oleh Ibn Majah:
عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ” اسْتَعِينُوا بِطَعَامِ السَّحَرِ عَلَى صِيَامِ النَّهَارِ وَبِالْقَيْلُولَةِ عَلَى قِيَامِ اللَّيْلِ “
Dari Ibnu Abbas r.a bahawa Nabi s.a.w telah bersabda; "Carilah kekuatan melalui sahur untuk puasa keesokan hari dan melalui Qailulah (tidur sekejap sebelum Zohor) untuk mendirikan ibadah malam".
Tetapi awas. qailulah hanya tidur sekejap sahaja yakni bukan berpuasa tetapi tidur dari pagi sehingga masuk waktu maghrib tanpa mendirikan solat Zohor dan Asar, bertadarus, berzikir dan melaku amalan baik yang lain. Puasa Ramadhan adalah bulan untuk melakukan seberapa banyak amalan sunnah kerana ganjaran pahalanya sangat lumayan.
  • Memberi Makan Kepada Orang Berbuka Puasa 
Satu hadis yang diriwayatkan oleh Iman  Tirmidzi dan Ibn Majah, Rasulullah s.a.w bersabda;
"Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa (untuk berbuka puasa), dia akan mendapat balasan pahala yang sama seperti pahala orang yang berpuasa itu tanpa dikurangkan sedikitpun daripadanya"

No comments:

Post a Comment