Firman Allah yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman!
Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang
dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa (al-Baqarah, 2:183).
Terdapat
dua perkara yang disentuh di dalam ayat tersebut, pertamanya, puasa
adalah ibadat lama. Ia diwajibkan ke atas umat-umat lampau. Justeru,
jika merujuk kepada sejarah, kita akan dapati hampir setiap bangsa di
dunia ini mengamalkan puasa di dalam kehidupan mereka, walaupun mungkin
ianya berbeza dari segi tujuan dan niat masing-masing.
Dalam mentafsirkan maksud: orang-orang sebelum kamu, kita dapati ulamak telah berbeza pendapat, antaranya:
Ada yang mengatakan bahawa ia bermaksud: orang-orang Nasrani sahaja.
Ada pendapat mengatakan, mereka adalah Ahl al-Kitab (iaitu orang Nasrani dan Yahudi).
Ada
pendapat lain mengatakan bahawa ia bermaksud seluruh umat terdahulu
yang menjadikan puasa sebagai amalan dalam kehidupan mereka sama ada
kerana tuntutan keagamaan, kemasyarakatan atau kerana menolak sesuatu
bencana dan sebagainya.
Berdasarkan
pembacaan saya, didapati bahawa bangsa-bangsa lama seperti India,
China, Jepun, Parsi, Mesir Purba, Greek, Rom, Yahudi, Nasrani dan Arab
Jahiliyyah, masing-masing telah mengamalkan puasa pada hari atau bulan
tertentu dalam setahun.
Secara ringkasnya dapat kita lihat kepada beberapa fakta berikut:
India:
Dalam sejarah bangsa ini memang terdapat amalan puasa yang mempunyai pelbagai matlamat, antaranya sebagai persembahan kepada bulan yang mereka puja. Penganut
kepercayaan ini, selain mempersembahkan makanan, minuman dan susu,
mereka juga berpuasa selama setengah bulan dan berbuka ketika bulan
mengambang pada waktu malam. Mereka akan berhenti amalan ini apabila
muncul anak bulan baru (Dr. `Ali Al-Khatib, 62).
Puasa juga di kalangan bangsa India bertujuan melepaskan diri dari kesiksaan akidah tanasukh dan bercamtum dengan tuhan mereka yang disebut sebagai Brahma dan akhirnya mencapai
kebahagiaan sejati. Seseorang tidak akan sampai kepada Brahma kecuali
apabila dia sudah sampai kepada hakikat dan melepaskan diri dari segala
macam ikatan kebendaan. Dengan itu kehidupan secara zahid amat terkenal
di kalangan bangsa India. Dalam konteks ini mereka akan berpuasa selama
14 hari tanpa memakan sebarang makanan, kecuali dengan diselang-seli minuman air sahaja selama masa tersebut (Dr. A. Al-Khatib, h. 65).
Dalam pegangan kumpulan Sinata, ahli agama mereka dikehendaki berpuasa setiap
hari bermula sejak jatuh matahari sehingga ke waktu naik fajar merah,
tanpa makan dan minum sepanjang-panjang masa itu (Dr. A. Al-Khatib, 66)
Selain dari ahli agama kumpulan
Sanita, ahli agama secara umumnya dikehendaki berpuasa pada awal musim
gugur dan sejuk, dan permulaan musim bunga dan panas, dan pada waktu
berlaku gerhana matahari.
Puasa yang mereka amalkan ini kebiasaannya akan berpanjangan jika tujuannya untuk melepaskan diri dari kekuasaan tanasukh
atau menghapus akidah ini dari menguasai roh mereka. Berdasarkan kepada
akidah tanasukh ini, roh seseorang itu tidak akan mati selama-lamanya,
tetapi ia akan berpindah dari satu jasad ke jasad yang lain atau akan
berpindah ke jasad binatang, biasanya ia akan berpindah dari yang baik
kepada yang lebih buruk. Sepanjang-panjang perpindahan ini mereka akan
tersiksa, dengan itu mereka sanggup melepaskan diri mereka dari ikatan
keduniaan dan berpuasa sehingga mereka bercamtum dengan tuhan mereka
Brahma ataupun menamatkan hidup mereka supaya mereka terlepas dari
kekuasaan tanasukh. Kepercayaan ini menyebabkan ramai rakyat
India purba yang berpuasa atau mengkuburkan diri di bawah tanah semasa
mereka berpuasa (op. cit, 67).
Kepercayaan Budha yang lahir di
India tidak terlepas dari amalan ini. Kita lihat Budha sendiri
mengamalkan cara hidup berpuasa selama 6 tahun. Dalam pegangan salah
satu mazhab Budha, seorang ahli agamanya dikehendaki berpuasa sepanjang
masa selama hidupnya, tanpa mengambil apa-apa makanan kecuali sebiji
beras sahaja pada waktu duha setiap hari. Dalam peraturan
keagamaannya, para pengikut Budha dihendaki berpuasa 4 hari dalam masa
sebulan, iaitu pada hari pertama awal bulan, hari kesembilan, kelima belas dan hari kedua puluh dua (op.cit. 72-74)
Tujuan amalan ini ialah untuk sampai kepada hakikat atau mencapai kebahagiaan sejati atau navarna.
China dan Jepun:
Agama Budha kemudiannya berkembang
di China dan Jepun. Di negara China ia menjadi agama rasmi negara pada
masa pemerintahan Maharaja Fu Ti (58 - 71M.). Di negara Jepun, agama
Budha mula bertapak pada pertengahan kurun ke enam Masihi. Dan akhirnya
ia juga menjadi agama negara bagi negara itu. Di sini agama ini telah
berpecah kepada beberapa aliran yang drastik. Apa yang pentingnya bagi
kita ialah dengan berkembangnya agama Budha di kedua-dua negara itu,
maka amalan puasa turut diamalkan oleh rakyat kedua-duanya (op.cit, h.
79-81).
Parsi:
Dari bukti bahasa, budaya dan
acara keagamaan, dapat dipastikan bahawa orang-orang Parsi sebenarnya
adalah berketurunan campuran India-Eropah. Dikatakan sejak abad keempat
belas SM., Parsi merupakan sebuah negara yang menganut agama Hindu lama.
Dengan itu terdapat di kalangan mereka nama-nama pinjaman seperti
Andra, Matra, Faruna dan Vida yang kesemuanya merupakan nama-nama tuhan dalam
kepercayaan orang-ornag India. Dan dengan itu sekaligus terdapat di
kalangan mereka acara-acara keagamaan orang-orang India purba, seperti
pengorbanan, puasa dan lain-lain (op.cit, h. 82).
Kemudian pada abad kelima SM,
Parsi mula menerima pengaruh Yahudi. Ekoran kepada pengaruh ini terdapat
sebahagian penduduk negara ini yang mengamalkan beberapa acara
keagamaan orang-orang Yahudi seperti sembahyang dan puasa.
Hasil percampuran pelbagai kepercayaan di kalangan penduduk Parsi, kita dapati mereka mempunyai program puasa seperti berikut:
1. Berpuasa selama 7 hari pada tiap bulan.
2. Berpuasa selama 2 hari berturut-turut tanpa berbuka apabila bulan purnama.
3. Berpuasa selama 2 hari berturut-turut tanpa berbuka apabila terbit anak bulan.
4. Berpuasa selama 2 hari apabila bulan perpindah kepada garisan jaddi.
5. Berpuasa pula selama 30 hari dan berbuka pada ketika matahari jatuh apabila ia berpindah pada garisan dalwu.
6. Berpuasa pada hari Ahad dan Isnin kerana memberi penghormatan kepada matahari dan bulan (op.cit, h. 82-85).
Mesir Purba:
Puasa di kalangan orang-orang
Mesir purba dilakukan sebagai memberi khidmat kepada rumah ibadat dan
protokolnya. Seseorang pembantu rumah ibadat sebelum memulakan
khidmatnya dikehendaki berpuasa selama 2 hari tanpa memakan apa-apa
makanan kecuali air sahaja. Kadang-kadang puasa itu berlanjutan sehingga
42 hari.
Orang-orang awam akan berpuasa
pada beberapa waktu yang terdekat kerana berlaku mala petaka seperti
banjir besar, mereka akan berpuasa selama 4 hari dan mereka juga
berpuasa pada hari-hari berlaku peristiwa sedih yang lain, seperti hari
kematian lembu suci mereka dan lain-lain. Kesemuanya diatur oleh ahli-ahli agama mereka (op.cit, h. 104-105).
Greek dan Rom:
Penduduk kedua-dua negara ini tidak banyak berbeza dari segi cara berpuasa dan matlamatnya.
Di Greek, rakyatnya berpuasa dalam
pelbagai bentuk ketika berlaku mala petaka dan bala bencana agar segala
macam kesiksaan itu akan tamat segera. Ada juga mereka berpuasa kerana
mensyukuri tuhan mereka kerana terlepas dari bala atau kerana berlaku
perubahan kepada undang-undang negara.
Rakyat negara ini juga akan berpuasa selama 10 hari sebelum melakukan peperangan kerana bertujuan memohon kemenangan.
Di Rom, rakyat negara ini sangat
percaya dengan kekuatan puasa sehingga mereka mempercayai bahawa seorang
yang berpuasa mampu membunuh ular tedung dengan ludahnya sahaja.
Seorang tukang tilik perempuan biasanya berpuasa selama 3 hari disamping
beberapa amalan pelengkap yang lain sebelum melakukan apa-apa tilikan.
Rakyat terpaksa memberi upah kepadanya jika mereka memohon apa-apa
khidmat tilikannya (op.cit, h. 111-113).
Yahudi:
Bangsa Yahudi adalah pengikut
syari`at Musa. Sebelum menerima kitab Taurat, Musa AS. berpuasa selama
40 hari di Saina'. Tetapi orang-orang Yahudi menganggapnya sebagai puasa
khusus Nabi Musa. Ulamak Tafsir mengatakan bahawa Musa berpuasa 40 hari
ini tanpa diselangi sama sekali dengan berbuka.
Bagi orang-orang Yahudi, mereka berpuasa sehari sahaja, sebagai puasa wajib, iaitu pada hari ghufran (pengampunan). Mereka mendakwa hanya itu sahaja puasa wajib yang dikenakan ke atas mereka. Puasa-puasa lain adalah puasa sunat yang dilakukan beberapa kali yang tidak tersusun.
Puasa sehari ini mereka lakukan
pada satu perempat jam sebelum jatuh matahari hari ke 9, bulan Tashri,
iaitu awal tahun Ibri (tahun Yahudi) dan berterusan sehingga selepas
satu perempat jam jatuhnya matahari pada hari ke sepuluh.
Iaitu kira-kira selama 25 jam berturut. Sepanjang-panjang masa berpuasa
itu mereka dilarang memakan, meminum dan melakukan hubungan
perkelaminan. Puasa ini menjadi amalan mereka sehingga ke hari ini. Hari
kesembilan ini mereka namakan juga sebagai hari kabur, iaitu hari `asyura' mereka.
Tentang puasa-puasa sunat mereka,
kita dapati ada beberapa kali mereka berpuasa di sepanjang tahun kerana
beberapa perayaan atau peristiwa yang telah berlaku,
seperti perayaan kerana mengenangkan mereka terlepas dari gerakan
penghapusan atnik di negara Parsi yang dilakukan oleh seorang menteri di
negara itu bernama Haman. Untuk perayaan ini, mereka berpuasa selama 3
hari. Perayaan ini dinamakan sebagai Hari Raya Forim. Begitu juga mereka
berpuasa kerana peristiwa sebuah rumah ibadat mereka di negara Mesir yang
dibakar oleh ahli agama negara itu di bawah pengaruh Parsi. Terdapat 19
hari-hari perayaan mereka sepanjang tahun yang digandingkan dengan
amalan berpuasa. Sebahagiannya, mereka berpuasa selama sehari dan ada
juga mereka berpuasa selama 7 hari. Perayaan yang paling penting bagi
mereka ialah perayaan hari mereka dilepaskan dari buruan tentera Fir`aun
dibawah pimpinan Nabi Musa menyeberangi laut Merah yang mereka namakan
sebagai hari Fash (op.cit. h. 118-122).
Nasrani:
Orang-orang Nasrani sama seperti orang-orang Yahudi merupakan penganut agama Ahl Al-Kitab, mereka juga turut berpuasa sebagai salah satu amalan agama mereka.
Orang-orang Nasrani terbahagi
kepada tiga mazhab atau aliran, iaitu Katholik, Othordok dan Protestin.
Ketiga-tiga mazhab ini mempunyai cara amalan puasa yang sebahagiannya
berbeza di antara satu dengan yang lainnya.
Bagi pengikut mazhab Katholik, mereka mula berpuasa pada pertengahan malam sehingga ke waktu pertengahan
siang esoknya. Pada masa berpuasa, mereka dilarang mengambil makanan
dan minuman sahaja. Seseorang lelaki diwajibkan berpuasa sejak berumur
15 tahun sehingga ke umurnya 60 tahun dan seorang perempuan pula
diwajibkan memulakan puasanya pada umur yang sama dengan lelaki, tetapi
ia berakhir pada umur 55 tahun. Menurut mazhab ini, pengikutnya
dikehendaki berpuasa hanya pada Hari Puasa Besar sahaja. Gereja mazhab
ini membatalkan kesemua puasa-puasa yang lainnya. Hal ini dikatakan
kerana tiada nas di dalam Injil.
Mereka juga dilarang memakan
daging, susu dan telur pada hari Rabu dan Jumaat pada setiap minggu,
begitu juga pada hari-hari Puasa Besar. Larangan ini melibatkan kesemua
penganut mazhab ini sejak berumur 7 tahun sehingga ke akhir hayatnya
(op. cit., h. 151-152).
Pengikut mazhab Othordok pula,
mereka mempunyai program puasa yang tersendiri. Pada mereka, puasa
ialah menahan diri dari memakan makanan dalam masa yang tertentu. Masa
ini hanya ditentukan oleh padri mazhab mereka yang mempunyai hak berbuat
demikian.
Dalam mazhab ini, Puasa Besar
dianggap sebagai puasa yang paling penting, masanya selama 50 hari dan
berakhir pada kebiasaannya pada hari Raya Kiamat. Mereka juga berpuasa
selama 40 hari yang dinamakan Puasa Kelahiran, bermula dari 25hb. Nov.
sehingga 6 Januari, iaitu sebelum berlangsung Raya Kelahiran.
Pihak gereja mazhab ini juga turut
berpuasa pada hari Rabu dan Jumaat dan sehari puasa yang lain dinamakan
dengan Puasa Rasul-rasul.
Selain dari itu, pengikut mazhab
ini juga berpuasa selama 15 hari untuk Mariam yang bermula pada awal
Masri (bulan kiraan orang-orang Nasrani).
Mereka juga berpuasa tiga hari
seperti puasa Nabi Yunus AS., puasa Paramont di antara sehari sehingga
ke tiga hari (op.cit., h. 156-158).
Dalam mazhab Protestin pula, puasa menjadi amalan galakan sahaja kerana tiada nas Injil yang mewajibkannya. Dengan erti tiap pengikutnya
akan berpuasa mengikut selera masing-masing sahaja. Mazhab ini juga
tidak menentukan masa untuk berpuasa dan ia juga tidak menentukan umur
seseorang untuk berpuasa, malah segala-galanya diserahkan kepada pilihan
atau kemahuan pengikutnya, bila mereka ingin berpuasa dan bila pula
mereka ingin berbuka.
Sebahagian yang lain pula
menggantikan amalan puasa dengan sesuatu pekerjaan seperti
memberhentikan memakan makanan yang mereka suka disamping menyimpan
harganya untuk diberikan kepada fakir miskin.
Sebagai kesimpulannya:
1. Kesemua mazhab orang-orang Nasrani menganggap hubungan sex tidak ada kaitan dengan amalan puasa dan tidak membatalkannya.
2. Tidak ada persepakatan pendapat di antara mereka tentang menentukan puasa fardu/wajib.
3. Tidak ada persefahaman di antara mereka tentang masa permulaan puasa dan juga masa akhirnya. Tiap orang boleh menamatkan puasanya pada bila-bila masa yang dikehendakinya.
4. Puasa
hari Sabtu diakui oleh Katholik, tetapi tidak disetujui oleh Othordok
kecuali Sabtu yang jatuh sebelum hari Raya Kiamat (op. cit. h. 161-163).
Dengan itu
jelas kepada kita bahawa puasa orang-orang Yahudi adalah lebih tersusun
dari puasa-puasa yang diamalkan oleh orang-orang Nasrani.
Semenanjung Tanah Arab:
Sebelum
kedatangan Islam, negara itu sudahpun mengenali agama Hanif yang dibawa
oleh Nabi Ibrahim AS., agama Ahl Al-Kitab (Yahudi dan Nasrani), Brahma,
Sabi'ah, agama berhala, Majusi, penyembahahan cakrawala dan jembalang.
Dengan itu amalan puasa merupakan sesuatu yang tidak asing di kalangan
mereka. Sekurang-kurangnya mereka akan terpengaruh dengan orang-orang
Yahudi dan Nasrani yang hidup bersama-sama mereka di Semenanjung mereka.
Disebutkan
bahawa orang-orang Arab Quraish, khasnya Quraish Makkah, berpuasa pada
hari `Asyura' sebagai penebus dosa mereka pada masa Jahiliah. Ada
pendapat lain yang mengatakan bahawa puasa `Ashura' itu adalah mengambil
sempena hari dipasang kelambu pada Ka`bah. Mereka berpuasa pada 10hb.
Muharram. Puasa ini sama seperti puasa orang-orang Yahudi yang juga dinamakan sebagai puasa hari `Asyura' atau puasa hari Pengampunan (op. cit., h. 172).
Selain dari
itu, orang-orang Arab yang berada di bawah pengaruh orang-orang Nasrani,
ada di antara mereka yang mengamalkan amalan puasa fardu selama 30 hari
yang kemudiannya bertukar menjadi 50 hari pada waktu yang tertentu
setiap tahun (op. cit., h. 178).
Zaman Islam:
Dalam Islam, puasa terbahagi kepada tiga:
1. Puasa Ramadan.
2. Puasa Khas, seperti puasa nazar dan kaffarah.
3. Puasa Sunat.
Dari segi pusingannya pula, puasa terbahagi kepada dua peringkat, peringkat sebelum Ramadan dan kemudian hanya puasa Ramadan.
Puasa Sebelum Ramadan:
Puasa sebelum Ramadan, terbahagi kepada dua jenis, pertama: puasa `Ashura' dan kedua: puasa tiga hari pada setiap bulan.
Menurut pendapat yang terkuat, puasa `Ashura'
sebelum difardukan puasa Ramadan merupakan puasa wajib ke atas
orang-orang Islam. Terdapat beberapa buah Hadis yang menunjukkan hukum
berkenaan, antaranya Hadis riwayat `Aishah RA. yang menyebut bahawa
baginda telah mengarahkan supaya ditunaikan puasa `Ashura', tetapi selepas difardukan puasa Ramadan, seseorang itu bebas sama ada ingin berpuasa puasa `Ashura' ataupun tidak.
Demikian halnya dengan puasa tiga
hari setiap bulan, ia juga merupakan puasa wajib sebelum difardukan
puasa bulan Ramadan (op.cit., h. 181-186).
Beberapa Aspek Penting Dalam Puasa `Ashura':
1. Ia menunjukkan kaitan di antara Nabi Muhammad SAW. dengan umat-umat sebelumnya dalam ketaatan kepada Allah.
2. Mengagungkan
hari-hari bersejarah kerana pada hari itu Allah telah berkenan
memenangkan yang benar ke atas yang batil (dengan menyelamatkan Nabi
Musa AS. bersama-sama pengikutnya menyeberangi Laut Merah).
3. Merupakan
kesempatan untuk memberitahu kepada orang-orang Yahudi tentang adanya
hubungan agama di antara syari`at Nabi Musa AS. dengan syari`at yang
dibawa oleh Nabi Muhammad SAW., di samping adanya hubungan di antara
umat Muhammad dengan umat-umat yang sebelumnya, terutamanya setelah
adanya beberapa peristiwa yang menunjukkan mereka menolak ajaran Nabi
SAW.
4. Dan
yang utamanya ialah melatih kaum muslimin mengenai kewajipan berpuasa
pada masa-masa tertentu yang dilakukan secara bersama. Sebab, puasa yang
dijalankan oleh Nabi Muhammad SAW. pada hakikatnya adalah satu
penerusan kepada puasa yang telah lama berjalan di kalangan orang-orang
Makkah, tetapi tidak dalam bentuknya yang serentak dan bersama. Puasa
yang dilakukan baginda ini sebagai langkah awal untuk menerima puasa
Ramadan yang akan difardukan. Kerana itulah ketika puasa Ramadan
difardukan maka puasa `Ashura' tidak diwajibkan lagi (Atiyyah Muhammad
Salim, h. 13-14).
Puasa Ramadan:
Puasa Ramadan
difarjukan pada 2hb. Sya`ban, tehun ke 2H. menerusi 4 ayat dari surah
Al-Baqarah, iaitu ayat-ayat 183-187. Ayat-ayat ini tidak diturunkan
serentak, malah ia diturunkan satu demi satu yang dipisahkan dengan
jarak masa yang tertentu.
Keempat-empat ayat tersebut telah memberi penjelasan terperinci tentang masa, cara dan apa-apa tegahan semasa
berpuasa. Ia tidak membiarkan baginda menjelaskannya, tidak seperti
ibadat-ibadat lain yang memerlukan Hadis Amali dari baginda yang
menjelaskan cara perlaksanaannya dengan betul.
Sebagai contohnya, ayat pertama
menunjukkan hukum melakukan puasa yang difardukan ke atas orang-orang
Islam, ia juga ke atas umat-umat lampau.
Pada peringkat ini, puasa
orang-orang Islam tidak berbeza dengan cara berpuasa orang-orang Yahudi,
iaitu selama 23 jam, bermula selepas seseorang itu sembahyang isha`
atau selepas dia tidur sesudah waktu maghrib. Ia berterusan sehingga ka
waktu jatuh matahari pada hari berikutnya.
Cara berpuasa pula di dalam bentuk pilihan,
iaitu sesiapa yang tidak mahu berpuasa, maka dia boleh menggantikan
hari dia berbuka itu dengan memberi makanan kepada seorang miskin bagi
setip hari. Kedudukan ini berlanjutan sehingga turun ayat yang
merobahnya, iaitu firmanNya yang bermaksud: ...sesiapa yang melihat anak bulan, maka hendaklah dia berpuasa. Dengan
itu puasa Ramadan sudah bertukar corak, dari bentuk di mana orang-orang
Islam diberikan pilihan sama ada berpuasa atau memberi makanan kepada
orang miskin, kepada hukum berpuasa sahaja (tanpa pilihan)
sepanjang-panjang bulan itu. Walaupun begitu masa berpuasa tetap seperti
asalnya, iaitu bermula dari selepas sembahyang `Isha' atau selepas
tidur sesudah waktu maghrib sehingga ke waktu jatuhnya matahari pada
hari berikutnya. Kedudukan ini berlanjutan sehinggalah turunnya ayat
yang berikutnya: ...diharuskan bagi kamu melakukan persetubuhan dengan isteri-isteri kamu pada malam bulan Ramadan dan firmanNya: ... makanlah dan minumlah sehingga jelas kepada kamu benang putih dari benang hitam menerusi cahayat matahari. Kedua-duanya
menjelaskan kepada orang-orang Islam bahawa mereka diharuskan makan,
minum dan bertamattu` dengan isteri-isteri mereka pada malam Ramadan.
Mereka hanya dikehendaki menahan diri dari perkara-perkara tersebut dan
lainnya yang membatalkan puasa bermula dari sejak naik fajar sehinggalah
ke waktu jatuhnya matahari hari yang sama.
Dari pembentangan ini kita dapat melihat:
1. Puasa Ramadan berlangsung pada peringkat awalnya dalam kadar masa hampir sehari, iaitu selama hampir 23 jam.
2. Pada
permulaannya orang-orang Islam diberi pilihan, sama ada mereka berpuasa
atau berbuka, dan mereka dibenarkan menggantikannya dengan memberi
makan kepada seorang miskin bagi setiap hari puasa yang mereka
tinggalkan atau berbuka.
3. Kemudian, mereka diwajibkan berpuasa sahaja tanpa pilihan dengan kelamaan masa yang sama, seperti puasa Ahl Al-Kitab,
iaitu dari waktu sesudah sembahyang `Isha' atau sesudah tidur selepas
waktu maghrib sehingga ke waktu jatuhnya matahari pada hari berikutnya.
4. Kemudian,
mereka dibenarkan berbuka (makan, minum dan bertamattu` dengan isteri)
selepas waktu jatuhnya matahari sehinggalah ke waktu naik fajar
siangnya.
Dari pendedahan ini kita dapati
bahawa masa untuk berbuka puasa pada peringkat awalnya adalah sama
dengan apa yang telah diamalkan oleh Ahl Al-Kitab ketika mereka
berpuasa, iaitu bermula dengan jatuhnya matahari dan berakhir dengan:
sama ada selepas orang yang berpuasa itu sembahyang `Isha' atau dengan
berlangsungnya tidur sesudah jatuhnya matahari pada hari berkenaan
sekalipun sebelum melakukan sembahyang `Isha'. Dengan itu, seseorang
yang ingin melanjutkan masa berbukanya, dia akan melewatkan sembahynag
Isha' dan tidak tidur selepas jatuhnya matahari.
Kedudukan tersebut memberi gambaran jelas kepada kita bahawa puasa Ramadan juga telah difardukan ke atas pengikut Ahl Al-Kitab sebelum Islam. Inilah pendapat sebahagian ulamak seperti Qatadah, al-Tabari dan al-Sudi. Dengan itu maksud firmanNya: .... seperti ia difardukan ke atas mereka sebelum kamu (Ahl Al-Kitab) pada beberapa hari tertentu ialah bulan Ramdan.