Monday, 29 September 2014

HARI-HARI YANG DISUNATKAN MENGERJAKAN IBADAT PUASA

IBADAT PUASA

Puasa pada umumnya - sama ada yang fardhu dan yang sunat - membawa rahmat di dunia dan di akhirat. Puasa sunat pula secara khusus dapat menyempurnakan - jika ada - apa-apa kekurangan dalam puasa fardhu.
Hakikat ini diterangkan oleh Rasulullah s.a.w. dalam sebuah hadithnya.(1)
Menurut huraian ulama', rahimahullah "puasa sunat" itu banyak,  di antaranya ialah:
___________________________
1. Diriwayatkan oleh Abu Daud,  dari Abu Hurairah r.a., Hadith ini telah diterangkan nas dan terjemahannya dalam 'Mastika Hadith' jilid kedua, hlm. 197.
Puasa Enam hari Dalam Bulan Syawal
Ini diterangkan dalam hadith yang berikut:
48- عَنْ أَبِي أَيُّوبَ الْأَنْصَارِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ. (رواه مسلم)
48- Dari Abu Ayub al-Ansari r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Barangsiapa berpuasa Ramadhan, kemudian ia mengiringinya dengan puasa enam hari dari bulan Syawal,  adalah puasanya itu seperti puasa sepanjang masa. "(1)
(Hadith Sahih - Riwayat Muslim)
Menurut huraian ulama' rahimahullah, "puasa enam" ini lebih afdhal dilakukan berturut-turut, mulai dari 2 Syawal.
Dalam pada itu, boleh juga dilakukan dengan berselang, asalkan dapat disempurnakan dalam bulan Syawal. 
_______________________
1. Sahih Muslim bi Syarh al-Nawawi (8:56).
Puasa Hari Arafah
"Hari Arafah" (9 Zulhijah) ialah hari orang-orang yang mengerjakan ibadat haji berhimpun di padang Arafah.  Mereka tidak disunatkan berpuasa pada hari itu supaya mereka dapat "berwukuf" (yang dipenuhi dengan doa dan istighfar) dengan penuh bertenaga dan tidak letih lesu.
Sebaliknya umat Islam yang tidak mengerjakan ibadah haji dan sedang berada di negeri masing-masing, disunatkan berpuasa pada hari yang mulia itu seperti yang diterangkan dalam hadith yang berikut:
49- عَنْ أَبِي قَتَادَةَ الْأَنْصَارِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ سُئِلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ صَوْمِ يَوْمِ عَرَفَةَ فَقَالَ يُكَفِّرُ السَّنَةَ الْمَاضِيَةَ وَالْبَاقِيَةَ. (رواه مسلم)
49- Dari Abu Qatadah al-Ansari r.a., katanya: Rasulullah s.a.w telah ditanya mengenai puasa hari Arafah,  lalu Baginda menjawab:  "Puasa hari Arafah itu menghapuskan dosa yang dilakukan pada tahun yang sebelumnya dan tahun yang ada ini."(1)
(Hadith Sahih - Riwayat Muslim)
Menurut jumhur ulama', bahawa dosa yang dimaksudkan dalam hadith ini (dan juga hadith-hadith yang lain yang berhubung dengan penghapusan dosa) ialah "dosa-dosa kecil" sahaja, sedang "dosa-dosa besar" mestilah dengan jalan bertaubat.
Setengah ulama' pula berpegang kepada zahir lafaz hadith-hadith yang tersebut, bahawa dosa-dosa yang dimaksudkan itu adalah meliputi dosa kecil dan dosa besar,  kerana Allah Taala Maha Pengampun,  lagi Amat Melimpah Rahmat-Nya.(2)
_______________________________
1. Sahih Muslim - bi Syarh al-Nawawi (8:51). Yakni dari awal tahun yang sedang berjalan hingga ke hari Arafah yang tersebut dan dari hari itu hingga ke hari Arafah yang satu lagi.
2. Ittihaf Ahl al-Islam (hlm. 268).
Puasa Sepuluh Hari Yang Pertama Dari Bulan Zulhijah
Disunatkan juga berpuasa pada sepuluh hari yang pertama dari bulan Zulhijah, yakni dari hari yang pertama hingga hari yang ke sembilan - bagi orang-orang yang tidak mengerjakan haji. 
Manakala orang-orang yang sedang mengerjakan haji pula disunatkan berpuasa selama lapan hari sahaja, kerana hari ke sembilan ialah hari "wukuf" di Arafah dan mereka dilarang berpuasa pada hari yang menjadi "kemuncak ibadah haji" itu, supaya mereka dapat menghadapinya dengan keadaan segar dan tidak letih lesu.
Kelebihan sepuluh hari yang tersebut diterangkan di dalam hadith yang berikut:
50- عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا مِنْ أَيَّامٍ الْعَمَلُ الصَّالِحُ فِيهِنَّ أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ مِنْ هَذِهِ الْأَيَّامِ الْعَشْرِ فَقَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَلَا الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَلَا الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ إِلَّا رَجُلٌ خَرَجَ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ فَلَمْ يَرْجِعْ مِنْ ذَلِكَ بِشَيْءٍ. (رواه الترمذي)
50- Dari Ibn Abbas, r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Tiada hari yang lebih disukai Allah untuk (orang-orang yang beriman) mengerjakan amal-amal yang soleh di dalamnya selain daripada sepuluh hari yang pertama dari bulan Zulhijah yang termaklum".
Sahabat-sahabat Baginda bertanya dengan berkata:  "Ya Rasulullah dan tidak juga berjihad pada jalan Allah?"
Rasulullah s.a.w. menjawab:  "Dan tidak juga berjihad pada jalan Allah,  kecuali seseorang yang keluar berjuang dengan jiwa dan harta bendanya, lala (gugur di medan perang sabil) dan tidak kembali lagi."(1)
(Hadith Sahih - Riwayat Tirmizi)
Yakni berpuasa pada hari-hari yang tersebut amat besar pahalanya berbanding dengan jenis-jenis kebajikan yang lain, kecuali amal bakti orang yang berjuang pada jalan Allah dengan jiwa dan harta bendanya lalu gugur syahid di medan pertempuran dengan orang-orang kafir yang menyerang - maka orang yang demikian sudah tentu lebih besar lagi pahalanya.
__________________
1. Tuhfat al-Ahwadzi (3:463), Hadith ini juga diriwayatkan oleh imam-imam: Bukhari, Abu Daud dan Ibn Majah.
Puasa Hari Asyura
"Hari Asyura" ialah hari yang kesepuluh dari bulan Muharam. 
Umat Islam disunatkan berpuasa pada hari yang tersebut, seperti yang diterangkan dalam hadith yang berikut:
51- عَنْ مُعَاوِيَةَ بْنِ أَبِي سُفْيَانَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ هَذَا يَوْمُ عَاشُورَاءَ وَلَمْ يَكْتُبْ اللَّهُ عَلَيْكُمْ صِيَامَهُ وَأَنَا صَائِمٌ فَمَنْ شَاءَ فَلْيَصُمْ وَمَنْ شَاءَ فَلْيُفْطِرْ. (رواه البخاري)
51- Dari Mu'awiyah bin Abu Sufyan r.a., katanya: Aku ada mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Hari ini ialah hari Asyura,  sedang kamu tidak diwajibkan berpuasa padanya, sebaliknya aku sekarang sedang berpuasa.  Oleh itu, siapa suka berpuasa bolehlah ia berpuasa dan siapa suka berbuka maka bolehlah ia berbuka."(1)
(Hadith Sahih - Riwayat Bukhari)
____________________
1. Fath al-Bari (5:150).
Puasa hari Asyura,  sunat juga disertakan dengan berpuasa sehari sebelumnya iaitu hari yang ke sembilan dari bulan Muharam,  kerana Rasulullah s.a.w. pernah menganjurkannya seperti yang tersebut dalam hadith yang berikut:
52- عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ حِينَ صَامَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّهُ يَوْمٌ تُعَظِّمُهُ الْيَهُودُ وَالنَّصَارَى فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَإِذَا كَانَ الْعَامُ الْمُقْبِلُ إِنْ شَاءَ اللَّهُ صُمْنَا الْيَوْمَ التَّاسِعَ قَالَ فَلَمْ يَأْتِ الْعَامُ الْمُقْبِلُ حَتَّى تُوُفِّيَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ. (رواه مسلم وأبو داود)
52- Dari Ibn Abbas, r.a., katanya: Tatkala Rasulullah s.a.w. berpuasa pada hari Asyura dan menyuruh (orang ramai) berpuasa padanya, sahabat-sahabat Baginda berkata:  "Ya Rasulullah,  hari Asyura juga dimuliakan oleh kaum Yahudi dan Nasrani ..."(1)
Mendengar yang demikian, Baginda bersabda: "Apabila tiba tahun yang akan datang - Insya Allah kita akan berpuasa pula pada hari yang ke sembilan."
Rawi hadith ini berkata:  "Rasulullah s.a.w. (tidak sempat berpuasa pada hari itu) kerana Baginda telah wafat sebelum tiba tahun yang berikutnya."(2)
(Hadith Sahih - Riwayat Muslim dan Abu Daud)
Menurut huraian ulama' rahimahullah, bahawa puasa hari Asyura terbahagi kepada tiga peringkat:
Peringkat pertama: Berpuasa selama tiga hari, iaitu hari yang kesembilan, kesepuluh dan hari kesebelas.
Peringkat kedua: Berpuasa pada hari kesembilan dan kesepuluh.
Peringkat ketiga: Berpuasa pada hari yang kesepuluh sahaja.(3)
____________________________
1. Kerana pada hari itu Nabi Musa a.s. telah diselamatkan oleh Allah daripada angkara Fir'aun.
2. Fiqh al-Sunnah (1:451).
3. Kitab yang sama (1:451).

Bermurah Hati Pada hari Asyura
Umat Islam digalakkan bermurah hati pada "hari Asyura" terutama kepada diri sendiri dan anak isteri (disertakan dengan bersedekah kepada orang-orang miskin).
Ini diterangkan dalam hadith berikut:
53- عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ وَسَّعَ عَلَى نَفْسِهِ وَأَهْلِهِ يَوْمَ عَاشُورَاءَ وَسَّعَ اللَّهُ عَلَيْهِ سَائِرَ سَنَتِهِ. (رواه البيهقي)
53- Dan Jabir bin Abdullah r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Barangsiapa bermurah hati dengan berbelanja lebih untuk dirinya dan anak isterinya pada hari Asyura,  nescaya Allah akan memurahkan rezekinya di sepanjang tahun itu."(1)
(Riwayat Baihaqi)
Meskipun hadith ini dan beberapa riwayatnya yang lain dinilai sebagai hadith-hadith lemah, tetapi apabila disatukan setengahnya dengan yang lain, akan bertambah kuat,  seperti yang disebutkan oleh al-Alamah al-Sakhawi rahimahullah. (2)
______________________
1. Kitab yang sama (1:452).
2. Kitab yang sama (1:452).

Puasa Hari Isnin dan Khamis
Disunatkan juga berpuasa pada tiap-tiap hari Isnin dan Khamis, kerana Rasulullah s.a.w. mengambil berat puasa pada kedua-dua hari yang tersebut.
Ini diterangkan dalam hadith yang berikut:
54- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ تُعْرَضُ الْأَعْمَالُ يَوْمَ الِاثْنَيْنِ وَالْخَمِيسِ فَأُحِبُّ أَنْ يُعْرَضَ عَمَلِي وَأَنَا صَائِمٌ. (رواه الترمذي)
54- Dari Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Segala amal dibentangkan (oleh malaikat ke hadrat Allah Rabb al-'Alamin) pada tiap-tiap hari Isnin dan hari Khamis, oleh itu aku suka amalku dibentangkan semasa aku sedang berpuasa. "(1)
(Hadith Hasan Gharib - Riwayat Tirmizi)
Menurut Imam Nawawi, rahimahullah: Hadith ini juga diriwayatkan oleh Imam Muslim dengan tidak menyebutkan tentang puasa. (2)
Dengan ini dapat difaham bahawa hadith riwayat Muslim itu hanya menerangkan keistimewaan hari Isnin dan hari Khamis, manakala hadith riwayat Tirmizi yang lalu menerangkan;  Baginda berpuasa pada kedua-dua hari itu ialah disebabkan keistimewannya yang tersebut.
__________________________
1. Tuhfat al-Ahwazi (3:450).
2. Riyad al-Salihin (hlm. 454).

Keistimewaan Hari Isnin Secara Khusus
Hari Isnin pula mempunyai keistimewaan yang lain. Ini diterangkan dalam hadith yang berikut:
55- عَنْ أَبِي قَتَادَةَ الْأَنْصَارِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سُئِلَ عَنْ صَوْمِ يَوْمِ الِاثْنَيْنِ قَالَ ذَاكَ يَوْمٌ وُلِدْتُ فِيهِ وَيَوْمٌ بُعِثْتُ أَوْ أُنْزِلَ عَلَيَّ فِيهِ. (رواه مسلم)
55- Dari Abu Qatadah al-Ansari r.a., bahawa Rasulullah s.a.w telah ditanya tentang puasa hari Isnin.
Baginda menjawab:  "Hari itu (hari yang bersejarah, kerana) padanya aku dilahirkan dan padanya aku diutus menjadi Rasul - atau pada hari itulah (mula-mula) diturunkan al-Qur'an kepada aku."(1)
(Hadith Sahih - Riwayat Muslim)
Daripada hadith ini dapat difaham dengan jelas,  bahawa sebabnya Rasulullah s.a.w. mengambil berat berpuasa pada tiap-tiap hari Isnin ialah sebagai bersyukur kepada Allah s.w.t kerana pada hari inilah Baginda diputerakan (hari maulidnya) dan pada hari inilah juga al-Qur'an mula-mula diturunkan serta Baginda diutuskan menjadi Rasulullah sebagai rahmat bagi seluruh alam.
Hakikat inilah yang menjadikan umat Islam turun temurun, menyambut "Hari Maulid al-Rasul" dan "Malam Nuzul al-Qur'an" dengan penuh kesyukuran.
_________________________
1. Sahih Muslim - hi Syarh al-Nawawi (8:51).
Puasa Bulan Sya'ban
Disunatkan juga berpuasa pada kebanyakan hari bulan Sya'ban, seperti yang diterangkan dalam hadith yang berikut:
56- عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ مَا رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اسْتَكْمَلَ صِيَامَ شَهْرٍ قَطُّ إِلَّا رَمَضَانَ وَمَا رَأَيْتُهُ فِي شَهْرٍ أَكْثَرَ مِنْهُ صِيَامًا فِي شَعْبَانَ. (رواه البخاري ومسلم)
56- Dari `Aisyah r.a., katanya: " .. Aku tidak melihat Rasulullah s.a.w. berpuasa sebulan genap sesuatu bulan melainkan bulan Ramadhan dan aku tidak melihatnya mengerjakan puasa pada bulan yang lain lebih banyak daripada yang dikerjakan dalam bulan Sya'ban".(1)
(Hadith Sahih Riwayat Bukhari Dan Muslim)
Hadith ini menerangkan setakat mana mulianya bulan Sya'ban, kerana Rasulullah s.a.w. telah berpuasa pada hampir keseluruhan bulan ini berbanding dengan bulan-bulan yang lain.
_________________________
1. Fath al-Bari (5:116) dan Sahih Muslim - bi Syarh al-Nawawi (8:36) nas hadith ini menurut riwayat Muslim.

Dalam pada itu terdapat hadith yang melarang berpuasa selepas lima belas Sya'ban, seperti berikut:
57- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا بَقِيَ نِصْفٌ مِنْ شَعْبَانَ فَلَا تَصُومُوا. (رواه الترمذي)
57- Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Apabila tinggal setengah bulan dan bulan Sya'ban, maka janganlah kamu berpuasa. "(1)
(Hadith Hasan - Riwayat Tirmizi)
Menurut huraian ulama', rahimahullah puasa yang dilarang yang tersebut dalam hadith ini ialah puasa sunat yang tidak bersebab, tetapi kalau orang itu sudah lazim mengerjakan puasa-puasa sunat yang tertentu seperti puasa hari Isnin dan hari Khamis atau ia mengerjakan puasa yang wajib seperti puasa qadha atau puasa nazar,  atau puasa kifarah, maka ini tidak dilarang.
_______________________
1. Tuhfat al-Ahwazi (3:437) dan Riyadh al-Salihin (447).
Hakikat ini diterangkan dalam hadith yang berikut:
58- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا يَتَقَدَّمَنَّ أَحَدُكُمْ رَمَضَانَ بِصَوْمِ يَوْمٍ أَوْ يَوْمَيْنِ إِلَّا أَنْ يَكُونَ رَجُلٌ كَانَ يَصُومُ صَوْمَهُ فَلْيَصُمْ ذَلِكَ الْيَوْمَ. (رواه البخاري ومسلم)
58- Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi Muhammad s.a.w. sabdanya: "Janganlah seseorang dan kamu mendahului bulan Ramadhan dengan berpuasa sehari atau dua hari, kecuali ia orang yang lazim mengerjakan puasa yang dibiasakannya, maka hendaklah ia mengerjakan puasa hari itu."(1)
(Hadith Sahih - Riwayat Bukhari dan Muslim)
______________________________
1. Kitab yang sama (447).
Keistimewaan Bulan Sya'ban
Kelebihan bulan Sya'ban makin bertambah jelas apabila dikenang, bahawa banyak peristiwa yang besar berlaku di dalamnya.
Salah satunya yang menyebabkan baginda membanyakkan puasanya dalam bulan yang mulia itu, diterangkan dalam hadith yang berikut:
59- عَنْ أُسَامَةَ بْنِ زَيْدٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ لَمْ أَرَكَ تَصُومُ شَهْرًا مِنْ الشُّهُورِ مَا تَصُومُ مِنْ شَعْبَانَ قَالَ ذَلِكَ شَهْرٌ يَغْفُلُ النَّاسُ عَنْهُ بَيْنَ رَجَبٍ وَرَمَضَانَ وَهُوَ شَهْرٌ تُرْفَعُ فِيهِ الْأَعْمَالُ إِلَى رَبِّ الْعَالَمِينَ فَأُحِبُّ أَنْ يُرْفَعَ عَمَلِي وَأَنَا صَائِمٌ. (رواه النسائي)
59- Dari Usamah bin Zaid r.a., katanya: "Aku ada bertanya dengan berkata;  "Ya Rasulullah,  saya tidak melihat Tuan berpuasa pada mana-mana bulan, seperti puasa yang Tuan lakukan dalam bulan Sya'ban?"
Baginda menjawab:  "Bulan Sya'ban itu - yang letaknya di antara bulan Rejab dengan bulan Ramadhan - tidak begitu disedari oleh orang ramai,  pada hal ia satu bulan (yang mulia) kerana padanya segala amal diangkat kepada Allah Rabb al-'Alamin. Aku pula suka supaya amalanku diangkat (ke hadrat Ilahi) semasa aku sedang berpuasa. "(1)
(Riwayat Nasa`i)
___________________________
1. Al-Targhib (2:116). Hadith ini juga diriwayatkan oleh Abu Daud dan disahihkan oleh Ibn Khuzaimah. (Ittihaf Ahl al-Islam, 300).
Kemuliaan Malam Nisfu Sya'ban
Dalam bulan Sya'ban terdapat satu malam yang sangat mulia dan banyak kelebihannya, iaitu "Malam Nisfu Sya'aban."
Ini diterangkan dalam hadith berikut:
60- عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ هَلْ تَدْرِينَ مَا فِي هَذِهِ اللَّيْلَةَ؟ -يَعْنِي لَيْلَةَ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ- قَالَتْ مَا فِيهَا يَا رَسُولَ اللَّهِ، فَقَالَ فِيهَا أَنْ يُكْتَبَ كُلُّ مَوْلُودٍ مِنْ بَنِي آدَمَ فِي هَذِهِ السَّنَةِ، وَفِيهَا أَنْ يُكْتَبَ كُلُّ هَالِكٍ مِنْ بَنِي آدَمَ فِي هَذِهِ السَّنَةِ، وَفِيهَا تُرْفَعُ أَعْمَالُهُمْ، وَفِيهَا تَنْزِلُ أَرْزَاقُهُمْ، فَقَالَتْ يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا مِنْ أَحَدٍ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ إِلَّا بِرَحْمَةِ اللَّهِ تَعَالَى؟ فَقَالَ مَا مِنْ أَحَدٍ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ إِلَّا بِرَحْمَةِ اللَّهِ تَعَالَى -ثَلَاثًا- قُلْتُ وَلَا أَنْتَ يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ فَوَضَعَ يَدَهُ عَلَى هَامَتِهِ فَقَالَ وَلَا أَنَا إِلَّا أَنْ يَتَغَمَّدَنِيَ اللَّهُ مِنْهُ بِرَحْمَتِهِ، يَقُولُهَا ثَلَاثَ مَرَّاتٍ. (رواه البيهقي)
60- Dari `Aisyah r.a., dari Nabi Muhammad s.a.w., sabdanya: "Tahukah engkau (wahai `Aisyah)
apa yang berlaku pada malam ini?" - Malam Nisfu Sya'aban.
Saiyidatina `Aisyah pula bertanya; "Apa yang berlaku pada malam ini, Ya Rasulullah? " Baginda menjawab:  "Pada malam ini akan ditulis perihal tiap-tiap seorang anak Adam yang dilahirkan dalam tahun ini dan pada malam ini juga akan ditulis nama tiap-tiap seorang anak Adam yang akan mati pada tahun ini, demikian juga pada malam ini akan diangkat amal-amal mereka (ke hadrat Ilahi) dan pada malam ini juga akan ditentukan turunnya rezeki mereka."
Saiyidatina `Aisyah bertanya lagi: "Ya!Rasulullah S.A.W., tidak ada sesiapa pun yang akan masuk syurga melainkan dengan rahmat dan belas kasihan Allah Taala?"
Lalu Baginda menerangkan: 
"(Benar wahai `Aisyah), tidak ada siapa pun yang akan masuk syurga melainkan dengan rahmat dan belas kasihan Allah Taala" - (Baginda menegaskan) sebanyak tiga kali.
Saiyidatina `Aisyah berkata:  Aku pun bertanya lagi: "Dan tidak juga Tuan, Ya Rasulullah? "
Maka Baginda pun meletakkan tangannya di atas kepalanya lalu bersabda: "Dan aku juga tidak, kecuali dilimpahi Allah dengan rahmat dan belas kasihan-Nya" - (Baginda menegaskan pengakuan
nya itu sebanyak tiga kali).(1)
(Riwayat Baihaqi)
Yakni pada hakikatnya yang membawa masuk ke syurga bukan amal soleh semata-mata tetapi ialah disebabkan "Rahmat Allah" dan pertunjuk hidayah-Nya.
________________________
1. Misykat al-Masabih (1:408). Hadith ini tidak diterangkan darjatnya tetapi bahagian akhirnya yang menerangkan tentang (Rahmat Allah Taala) ada disebutkan dalam riwayat Muslim

No comments:

Post a Comment