v
APA ITU SOLAT
TAHAJJUD DAN DALIL YANG MENSYARI’ATKANNYA
Amalan solat sunat yang paling utama
di sisi Islam adalah solat Tahajjud. Ini sebagaimana sabda
Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam:
أَفْضَلُ الصِّيَامِ بَعْدَ رَمَضَانَ شَهْرُ اللَّهِ الْمُحَرَّمُ.
وَأَفْضَلُ الصَّلاَةِ بَعْدَ الْفَرِيضَةِ صَلاَةُ اللَّيْلِ.
Maksudnya:
Puasa yang paling utama setelah puasa Ramadan adalah puasa (sunat)
pada bulan Allah iaitu bulan Muharram. Sedangkan solat yang paling
utama setelah solat wajib adalah solat malam (Tahajjud).
- Hadis riwayat Imam Muslim
dalam Shahihnya, Kitab al-Shiyam, no: 1163.
Tahajjud terbentuk dari
kata dasar hajjada yang bererti tidur dan tahajjada
bererti berjaga. Maka kata tahajjadtu bermaksud saya telah
membuang jauh perasaan ingin tidur dari diri saya.
Menurut al-Hafidz Ibnu Hajar al-’Asqalani
rahimahullah:
Imam al-Thabari berkata: “Tahajjud
adalah berjaga setelah tidur terlebih dahulu.”… Ibnu Faris berkata:
“Al-Mutahajjid bermaksud orang yang solat di malam hari.”
Sedangkan al-Kurra’ menyatakan: “Tahajjud adalah solat malam
secara khusus.”
– Rujuk kitab al-Hafidz Ibnu
Hajar al-’Asqalani, Fathul Baari, jilid 6, ms. 203.
Oleh itu
solat Tahajjud adalah solat sunat yang dikerjakan pada waktu
malam iaitu setelah mengerjakan solat Isyak dan sebelum masuk waktu
solat Subuh. Namun begitu waktu yang paling utama untuk dilaksanakan
solat Tahajjud itu adalah sepertiga malam yang terakhir
(iaitu dari pukul 3.00 pagi sehingga masuk waktu subuh). Solat sunat
Tahajjud ini kebiasaannya digandingkan dengan solat sunat
Witir sebagai penutupnya.
Dalil
disyariatkan solat Tahajjud ini adalah sebagaimana Firman
Allah Subhanahu wa Ta’ala:
وَمِنَ
اللَّيْلِ فَتَهَجَّدْ بِهِ نَافِلَةً لَكَ عَسَىٰ أَنْ يَبْعَثَكَ
رَبُّكَ مَقَامًا مَحْمُودًا
Maksudnya:
Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta
kerjakanlah "solat Tahajjud" padanya, sebagai solat tambahan bagimu;
semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di
tempat yang terpuji.
- al-Israa’ (17) : 79
Di dalam
kitab al-Majaz oleh Abu Ubaidah disebutkan:
“Firman-Nya “kerjakanlah
solat Tahajjud padanya” bermaksud berjagalah pada malam hari
untuk melakukan solat.” – Rujuk kitab al-Hafidz Ibnu Hajar
al-’Asqalani, Fathul Baari, jilid 6, ms. 202.
Dalil
solat Tahajjud lebih utama dilakukan pada sepertiga malam
terakhir disandarkan kepada sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi
wasallam:
يَنْزِلُ رَبُّنَا تَبَارَكَ وَتَعَالَى كُلَّ لَيْلَةٍ إِلَى
السَّمَاءِ الدُّنْيَا حِينَ يَبْقَى ثُلُثُ اللَّيْلِ الآخِرُ.
يَقُولُ: مَنْ يَدْعُونِي فَأَسْتَجِيبَ لَهُ مَنْ يَسْأَلُنِي
فَأُعْطِيَهُ مَنْ يَسْتَغْفِرُنِي فَأَغْفِرَ لَهُ.
Maksudnya:
Rabb kita Tabaraka wa Ta’ala turun pada setiap malam ke langit
dunia ketika tersisa sepertiga malam yang akhir. Allah berfirman:
Siapa yang berdoa kepada-Ku, nescaya Aku akan mengabulkannya; siapa
yang meminta kepada-Ku, nescaya Aku akan memberinya; siapa yang
memohon ampun kepada-Ku, nescaya Aku akan mengampunnya.
- Hadis riwayat Imam
al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab at-Tahajjud, no:
1145.
Selanjutnya Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam juga bersabda:
أَقْرَبُ مَا يَكُونُ الرَّبُّ مِنْ الْعَبْدِ فِي جَوْفِ اللَّيْلِ
الآخِرِ فَإِنْ اسْتَطَعْتَ
أَنْ تَكُونَ مِمَّنْ يَذْكُرُ اللَّهَ فِي
تِلْكَ السَّاعَةِ فَكُنْ.
Maksudnya:
Saat yang paling dekat di antara Allah dan hamba-Nya adalah
pada tengah malam terakhir, apabila kamu boleh menjadi sebahagian
daripada mereka yang mengingati Allah pada saat itu maka lakukanlah. – Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi
dalam Sunannya, Kitab al-Da’waat, no: 3503.
Ternyata
ibadah yang di dalamnya terdapat doa-doa, zikir-zikir,
permintaan-permintaan dan permohonan ampun adalah solat. Maka
selayaknya solat yang paling utama setelah solat fardu ini
dilaksanakan pada sepertiga malam yang akhir.
v
JUMLAH RAKAAT SOLAT
TAHAJJUD
Secara umumnya solat Tahajjud ini boleh dilakukan
dengan dua rakaat-dua rakaat dan ianya tidak mempunyai batasan
jumlah rakaat yang maksimum. Malah ianya juga boleh dilaksanakan
dengan hanya satu rakaat solat sunat witir.
Daripada
‘Abdullah bin ‘Umar radhiallahu’ anhuma, dia berkata:
إِنَّ رَجُلاً قَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ كَيْفَ صَلاَةُ اللَّيْلِ.
قَالَ: مَثْنَى مَثْنَى فَإِذَا خِفْتَ الصُّبْحَ فَأَوْتِرْ
بِوَاحِدَةٍ.
Maksudnya:
Sesungguhnya seorang lelaki berkata: Wahai Rasulullah,
bagaimanakah solat malam? Baginda bersabda: Dua-dua (rakaat),
apabila engkau khuatir (masuk waktu subuh), maka laksanakan solat
witir satu rakaat.
- Hadis riwayat Imam
al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab at-Tahajjud, no:
1137.
Namun begitu jumlah rakaat yang paling utama adalah
dengan tidak melebihkannya dari sebelas atau tiga belas rakaat
kerana jumlah ini adalah sebagaimana yang kebiasaannya dikerjakan
oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.
Daripada ‘Aishah radhiallahu’ anha, dia berkata:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ
يُصَلِّي بِاللَّيْلِ إِحْدَى عَشْرَةَ رَكْعَةً يُوتِرُ مِنْهَا
بِوَاحِدَةٍ.
Maksudnya:
Bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam solat malam
pada waktu setelah selesai Isyak sampai terbit fajar sebanyak
sebelas rakaat dengan salam setiap selesai dua rakaat, lalu berwitir
dengan satu rakaat.
- Hadis riwayat Imam Muslim
dalam Shahihnya, Kitab Sholaatil Musaafiriin wa Qashruhaa,
no: 736.
Daripada ‘Aishah radhiallahu’ anha, dia berkata:
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي مِنْ
اللَّيْلِ ثَلاَثَ عَشْرَةَ رَكْعَةً مِنْهَا الْوِتْرُ وَرَكْعَتَا
الْفَجْرِ.
Maksudnya:
Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam biasa solat pada malam hari
tiga belas rakaat termasuk witir, dan dua rakaat solat fajar (sunat
Qabliyah Subuh).
- Hadis riwayat Imam
al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab at-Tahajjud, no:
1140.
Abu Salamah radhiallahu’ anh pernah bertanya
kepada ‘Aishah radhiallahu’ anha tentang solat malam
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pada bulan Ramadan.
Maka ‘Aishah menjawab:
مَا كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَزِيدُ
فِي رَمَضَانَ وَلاَ فِي غَيْرِهِ عَلَى إِحْدَى عَشْرَةَ رَكْعَةً
يُصَلِّي أَرْبَعًا فَلاَ تَسَلْ عَنْ حُسْنِهِنَّ وَطُولِهِنَّ. ثُمَّ
يُصَلِّي أَرْبَعًا فَلاَ تَسَلْ عَنْ حُسْنِهِنَّ وَطُولِهِنَّ.
ثُمَّ
يُصَلِّي ثَلاَثًا.
Maksudnya:
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam tidak menambah pada
bulan Ramadan dan tidak pula pada bulan-bulan lainnya, melebihi
sebelas rakaat; baginda solat empat rakaat, jangan kamu persoalkan
akan kebagusan dan panjangnya. Kemudian baginda solat empat rakaat
lagi, jangan kamu persoalkan akan kebagusan dan panjangnya. Kemudian
baginda solat tiga rakaat (witir).
- Hadis riwayat Imam
al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab at-Tahajjud,
no: 1147.
Hadis di atas ini menunjukkan bahawa solat Tahajjud
ini juga boleh dikerjakan secara empat rakaat-empat rakaat. Ianya
boleh dikerjakan sebagaimana tatacara solat fardu yang empat rakaat
iaitu dengan dua tahiyyat serta satu salam
Sekiranya Nabi s.a.w mengerjakan solat Tahajjud dengan tidak
melebihkannya dari sebelas atau tiga belas rakaat, adakah
diperbolehkan bagi kita semua mengerjakannya dengan jumlah rakaat
yang mengatasi jumlah rakaat yang dilakukan oleh Nabi shallallahu
‘alaihi wasallam? Menurut Syaikh Kamal bin al-Sayyid Salim:
Majoriti ulamak –baik
daripada kalangan salaf mahupun khalaf- justeru berpendapat
diperbolehkan untuk menambah bilangan rakaat Qiyam al-Lail
melebihi sebelas rakaat walaupun mereka tetap menyatakan bilangan
sebelas rakaat adalah bilangan yang disunnahkan. Al-Qadhi Iyadh
berkata:
Tidak ada perbezaan di
kalangan para ulamak bahawa tidak ada batasan yang dilarang, baik
untuk menambah atau mengurangkan dalam masalah ini (jumlah bilangan
rakaat Qiyam al-lail). Solat adalah satu bentuk ketaatan yang
setiap kali bertambah jumlah bilangannya, maka pahalanya pun
bertambah. Isu yang menjadi perselisihan adalah hal yang berkenaan
dengan perbuatan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam dan apa
yang telah baginda pilih untuk dirinya. Wallahu a’lam.
Ibnu ‘Abdul Barr dalam
kitab al-Tamhid berkata:
Tidak ada perbezaan
pendapat di kalangan umat Islam bahawa tidak ada batasan tertentu
untuk solat malam. Solat ini adalah salah satu perbuatan sunnah dan
kebajikan, sesiapapun boleh melakukannya sedikit dan boleh
memperbanyakannya.
Aku (iaitu Syaikh Kamal)
katakan: Hal ini menunjukkan bahawa pendapat inilah yang kuat.
- Abu Malik Kamal bin As-Sayyid Salim
bertajuk Shahih Fiqh as-Sunnah wa Adillatuhu wa Taudhih Madzahib
al-A’immah, jilid 1, ms. 653.
v
TATACARA RINGKAS MENGERJAKAN SOLAT TAHAJJUD
A) Tatacara Solat Tahajjud Dua Rakaat
Rakaat Pertama
1)
Berniat di dalam hati
untuk mengerjakan solat Tahajjud
2)
Takbiratul Ihram
3)
Doa Iftitah
4)
Membaca surah
al-Fatihah
5)
Membaca Surah
al-Qur’an
6)
Rukuk
7)
Iktidal
8)
Sujud
9)
Duduk antara dua sujud
10)
Sujud kali kedua
11)
Bangun untuk rakaat
kedua
Rakaat Kedua
1)
Ulang seperti rakaat
pertama dari nombor (4) hingga (10)
2)
Duduk untuk tahiyyat akhir
3)
Memberi salam ke kanan dan ke kiri
Ulangilah solat dua rakaat ini sebanyak mana yang disukai dan
diakhirkan dengan solat Witir. Hanya sahaja yang afdal adalah
mencontohi Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang
mengerjakan solat Qiyam al-Lail ini (yakni solat Tahajjud
dan Witir) tidak melebihi sebelas atau tiga belas rakaat.
B) Tatacara Solat Tahajjud Empat Rakaat
Rakaat Pertama
1)
Berniat di dalam hati
untuk mengerjakan solat Tahajjud
2)
Takbiratul Ihram
3)
Doa Iftitah
4)
Membaca surah
al-Fatihah
5)
Membaca Surah
al-Qur’an
6)
Rukuk
7)
Iktidal
8)
Sujud
9)
Duduk antara dua sujud
10)
Sujud kali kedua
11)
Bangun untuk rakaat
kedua
Rakaat Kedua
1)
Ulang seperti rakaat
pertama dari nombor (4) hingga (10)
2)
Duduk untuk
tahiyyat awal
3)
Bangun untuk rakaat
ketiga
Rakaat Ketiga
1)
Ulang seperti rakaat
pertama dari nombor (4) hingga (10)
2)
Bangun untuk rakaat keempat
Rakaat Keempat
1)
Ulang seperti rakaat
pertama dari nombor (4) hingga (10)
2)
Duduk untuk tahiyyat akhir
3)
Memberi salam ke kanan dan ke kiri
Ulangilah solat empat rakaat ini sebanyak mana yang disukai dan
diakhirkan dengan solat Witir. Hanya sahaja yang afdal adalah mencontohi Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang
mengerjakan solat Qiyam al-Lail ini (yakni solat Tahajjud
dan Witir) tidak melebihi sebelas atau tiga belas rakaat.
v
BEBERAPA SUNNAH DALAM MELAKSANAKAN SOLAT
TAHAJJUD
q
Niat Untuk Mengerjakan Solat Tahajjud
Sebelum Tidur
Adalah disunatkan untuk tidur terlebih dahulu sebelum mengerjakan
solat Tahajjud. Oleh itu bagi mereka yang hendak melaksanakan
solat Tahajjud, hendaklah dia berniat sebelum tidur bahawa
dia akan melaksanakan solat tersebut. Sekiranya seseorang itu telah
berniat namun dia gagal untuk terjaga dari tidurnya bagi mengerjakan
solat Tahajjud, maka Allah Subhanahu wa Ta’ala tetap
akan mengurniakan pahala solat Tahajjud tersebut. Sabda
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:
مَا مِنْ امْرِئٍ تَكُونُ لَهُ صَلاَةٌ بِلَيْلٍ فَغَلَبَهُ عَلَيْهَا
نَوْمٌ إِلاَّ كَتَبَ اللَّهُ لَهُ أَجْرَ صَلاَتِهِ
وَكَانَ نَوْمُهُ
صَدَقَةً عَلَيْهِ.
Maksudnya:
Sesiapa yang (berniat) akan mengerjakan solat malam, lalu
tertidur, Allah pasti menulis untuknya pahala solat malam dan
tidurnya merupakan sedekah untuknya.
- Hadis riwayat Imam al-Nasa’i
dalam Sunannya, Kitab Qiyam al-Lail, no: 1763.
q
Cara Untuk Menghilangkan Mengantuk
Apabila terjaga dari tidur untuk melaksanakan solat Tahajjud
hendaklah berusaha untuk menghilangkan perasaan mengantuk dari wajah
dengan bersugi atau menggosok gigi dan setelah itu mengucapkan zikir
La ilaha illallahu wahdahu la syarikalahu lahul mulku walahul
hamdu wahuwa ‘ala kulli shayin qadir alhamdulillah wa subhanallah wa
la ilaha illallah wallahu akbar wa la haulawala quwwata illa
billahi. Allahummaghfirli. Nabi shallallahu
‘alaihi wasallam bersabda:
مَنْ تَعَارَّ مِنْ اللَّيْلِ فَقَالَ: لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ
وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ.
لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ
عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ.
الْحَمْدُ لِلَّهِ وَسُبْحَانَ اللَّهِ
وَلاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ وَلاَ حَوْلَ وَلاَ
قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ.
ثُمَّ قَالَ: "اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي" أَوْ
دَعَا اسْتُجِيبَ لَهُ فَإِنْ تَوَضَّأَ وَصَلَّى قُبِلَتْ صَلاَتُهُ.
Maksudnya:
Barangsiapa terbangun pada malam hari lalu mengucapkan: Tidak
ada Tuhan yang disembah kecuali Allah semata, tiada sekutu bagi-Nya.
Bagi-Nya kerajaan dan untuk-Nya segala pujian, dan Dia berkuasa atas
segala sesuatu. Segala puji bagi Allah, Maha Suci Allah, Tiada Tuhan
yang berhak disembah selain Allah, Allah Maha Besar. Dan tidak ada
daya serta kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah. Kemudian diucapkan: “Ya Allah ampunilah aku” atau dia berdoa
nescaya akan dimakbulkan untuknya. Apabila dia berwuduk
nescaya diterima solatnya.
- Hadis riwayat Imam
al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab at-Tahajjud, no:
1154.
Satu cara lagi untuk menghilangkan perasaan mengantuk adalah sebaik
sahaja bangun dari tidur hendaklah kita mengusap wajah kita lalu
membaca sepuluh ayat terakhir dari surah ‘Ali Imran.
Dari Ibnu ‘Abbas radhiallahu’ anh, dia berkata:
اسْتَيْقَظَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
فَجَعَلَ يَمْسَحُ النَّوْمَ عَنْ وَجْهِهِ بِيَدِهِ
ثُمَّ قَرَأَ
الْعَشْرَ الآيَاتِ الْخَوَاتِمَ مِنْ سُورَةِ آلِ عِمْرَانَ.
Maksudnya:
Pernah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bangun tidur,
lalu menghilangkan rasa mengantuk dengan cara mengusapkan tapak
tangannya pada wajahnya. Baginda kemudiannya membaca sepuluh ayat
terakhir surah ‘Ali Imran.
- Hadis riwayat Imam Muslim
dalam Shahihnya, Kitab Sholaatil Musaafiriin wa Qashruhaa,
no:
763.
q
Solat Sunat Dua Rakaat Sebelum Megerjakan Solat
Tahajjud
Hendaklah dikerjakan solat dua rakaat yang ringan sebelum memulakan
solat Tahajjud. Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam
bersabda:
إِذَا قَامَ أَحَدُكُمْ مِنْ اللَّيْلِ فَلْيَفْتَتِحْ صَلاَتَهُ
بِرَكْعَتَيْنِ
خَفِيفَتَيْنِ.
Maksudnya:
Jika salah seorang dari kalian ingin melaksanakan solat malam,
maka hendaklah dia memulai solat malamnya dengan mengerjakan (solat)
dua rakaat dengan agak cepat.
- Hadis riwayat Imam Muslim
dalam Shahihnya, Kitab Sholaatil Musaafiriin wa Qashruhaa,
no: 768.
Al-Hafidz Ibnu Hajar rahimahullah berkata:
Al-Hafidz Abu al-Fadhl bin
al-Husain menyebutkan dalam kitab Syarah al-Tirmidzi bahawa
rahsia solat malam dimulai dengan dua rakaat yang ringan adalah
untuk segera melepaskan ikatan syaitan.
– Rujuk kitab al-Hafidz Ibnu
Hajar al-’Asqalani, Fathul Baari jilid 6, ms. 273.
Pendapat di atas ini ada hubung-kaitnya dengan sabda Nabi
shallallahu ‘alaihi wasallam:
يَعْقِدُ الشَّيْطَانُ عَلَى قَافِيَةِ رَأْسِ أَحَدِكُمْ إِذَا هُوَ
نَامَ ثَلاَثَ عُقَدٍ.
يَضْرِبُ كُلَّ عُقْدَةٍ عَلَيْكَ لَيْلٌ
طَوِيلٌ فَارْقُدْ. فَإِنْ اسْتَيْقَظَ فَذَكَرَ اللَّهَ انْحَلَّتْ
عُقْدَةٌ.
فَإِنْ تَوَضَّأَ انْحَلَّتْ عُقْدَةٌ. فَإِنْ صَلَّى
انْحَلَّتْ عُقْدَةٌ.
فَأَصْبَحَ نَشِيطًا طَيِّبَ النَّفْسِ وَإِلاَّ
أَصْبَحَ خَبِيثَ النَّفْسِ كَسْلاَنَ.
Maksudnya:
Syaitan akan mengikat tengkuk salah seorang di antara kamu
apabila kamu tidur dengan tiga ikatan. Ia menepukkan pada setiap
ikatan; bagimu malam yang panjang maka tidurlah. Apabila kamu bangun
dan berzikir kepada Allah maka terbukalah satu ikatan. Apabila kamu
berwuduk maka terbuka pula satu ikatan. Apabila kamu bersolat
terbukalah satu ikatan. Maka di pagi hari kamu akan bersemangat dan
merasa segar. Jika tidak nescaya di pagi hari perasaannya buruk dan
malas.
- Hadis riwayat Imam
al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab at-Tahajjud,
no: 1142.
Dari hadis ini dapat kita simpulkan bahawa ikatan ketiga itu hanya
dapat dilepaskan setelah kita melakukan solat yang sempurna. Oleh
itu solat dua rakaat sebelum solat Tahajjud memainkan peranan
tersebut. Setelah itu dapatlah kita mengerjakan solat Tahhajud
dengan penuh semangat dan kesegaran. Wallahu’alam.
q
Mengerjakannya Di Rumah
Adalah lebih utama sekiranya solat Tahajjud tersebut
dilakukan di rumah sendiri dan bukan di masjid. Ini adalah kerana
Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam biasa melakukan solat
Tahajjud di rumahnya sendiri. Nabi shallallahu ‘alaihi
wasallam bersabda:
فَعَلَيْكُمْ بِالصَّلاَةِ فِي بُيُوتِكُمْ! فَإِنَّ خَيْرَ صَلاَةِ
الْمَرْءِ فِي بَيْتِهِ إِلاَّ الصَّلاَةَ الْمَكْتُوبَةَ.
Maksudnya:
Hendaklah kalian solat di rumah kalian! Kerana sebaik-baik
solat seseorang itu adalah di rumahnya kecuali solat wajib.
- Hadis riwayat Imam Muslim
dalam Shahihnya, Kitab Sholaatil Musaafiriin wa
Qashruhaa, no: 781.
q
Doa Solat
Tahajjud
Di dalam Shahih al-Bukhari terdapat satu doa khusus untuk
solat Tahajjud. Namun begitu terdapat perbezaan pendapat
tentang di mana hendak membaca doa tersebut. Ada yang menyatakan
ianya dibaca ketika berdiri hendak memulakan solat tahajjud
dan ada pula yang beranggapan ianya diucapkan setelah takbiratul
ihram sebagai doa iftitah. Doa tersebut adalah
sebagaimana diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas radhiallahu’ anh,
dia berkata: Biasanya Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam
apabila solat di malam hari untuk tahajjud maka baginda
mengucapkan:
اللَّهُمَّ لَكَ الْحَمْدُ أَنْتَ قَيِّمُ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضِ
وَمَنْ فِيهِنَّ
وَلَكَ الْحَمْدُ لَكَ مُلْكُ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضِ
وَمَنْ فِيهِنَّ
وَلَكَ الْحَمْدُ أَنْتَ نُورُ السَّمَوَاتِ
وَالأَرْضِ وَمَنْ فِيهِنَّ
وَلَكَ الْحَمْدُ أَنْتَ مَلِكُ
السَّمَوَاتِ وَالأَرْضِ
وَلَكَ الْحَمْدُ أَنْتَ الْحَقُّ وَوَعْدُكَ
الْحَقُّ وَلِقَاؤُكَ حَقٌّ وَقَوْلُكَ حَقٌّ وَالْجَنَّةُ حَقٌّ
وَالنَّارُ حَقٌّ
وَالنَّبِيُّونَ حَقٌّ وَمُحَمَّدٌ صَلَّى اللَّهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَقٌّ وَالسَّاعَةُ حَقٌّ
اللَّهُمَّ لَكَ
أَسْلَمْتُ وَبِكَ آمَنْتُ وَعَلَيْكَ تَوَكَّلْتُ وَإِلَيْكَ أَنَبْتُ
وَبِكَ خَاصَمْتُ وَإِلَيْكَ حَاكَمْتُ
فَاغْفِرْ لِي مَا قَدَّمْتُ
وَمَا أَخَّرْتُ وَمَا أَسْرَرْتُ وَمَا أَعْلَنْتُ
أَنْتَ
الْمُقَدِّمُ وَأَنْتَ الْمُؤَخِّرُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ أَوْ لاَ
إِلَهَ غَيْرُكَ.
Ya Allah, bagi Mu segala puji. Engkau pencipta dan pemelihara
(pengatur) langit dan bumi serta segala isinya. Bagi Mu segala puji,
kepunyaan Mu kerajaan langit dan bumi serta segala isinya. Bagi Mu
segala puji, Engkau adalah nur (cahaya) langit dan bumi. Bagi Mu
segala puji, Engkau lah penguasa langit dan bumi. Bagi Mu segala
puji, Engkau adalah haq (Maha Benar), janji Mu adalah benar,
pertemuan dengan Mu adalah benar, firman Mu adalah benar, syurga
adalah benar, neraka adalah benar, para nabi adalah benar, Muhammad
shallallahu ‘alaihi wasallam adalah benar, dan hari kiamat adalah
benar. Ya Allah, hanya kepada Mu aku berserah diri, kepada Mu aku
beriman, kepada Mu aku bertawakal dan hanya kepada Mu aku kembali.
Kerana Engkau aku memusuhi dan hanya kepada Mu aku mengambil
keputusan. Ampunilah aku atas segala yang telah aku lakukan dan apa
yang akan aku lakukan, apa yang aku rahsiakan dan apa yang aku
nyatakan. Engkau lah zat yang Maha Awal dan Maha Terakhir, tidak ada
sembahan kecuali Engkau.
Sufyan berkata: ‘Abdul Karim Abu Umayyah menambahkan:
وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ.
Dan tidak ada daya serta kekuatan kecuali dari Allah. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam
Shahihnya, Kitab al-Tahajjud, no: 1120.
q
Membangunkan Ahli Keluarga Untuk Mengerjakan Solat
Tahajjud
Hendaklah membangunkan ahli keluarga untuk mengerjakan solat
Tahajjud. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam
bersabda:
رَحِمَ اللَّهُ رَجُلاً قَامَ مِنْ اللَّيْلِ فَصَلَّى ثُمَّ أَيْقَظَ
امْرَأَتَهُ فَصَلَّتْ.
فَإِنْ أَبَتْ نَضَحَ فِي وَجْهِهَا الْمَاءَ.
وَرَحِمَ اللَّهُ امْرَأَةً قَامَتْ مِنْ اللَّيْلِ فَصَلَّتْ
ثُمَّ
أَيْقَظَتْ زَوْجَهَا فَصَلَّى. فَإِنْ أَبَى نَضَحَتْ فِي وَجْهِهِ
الْمَاءَ.
Maksudnya:
Semoga Allah merahmati seorang suami yang bangun pada waktu
malam lalu solat; kemudian dia membangunkan isterinya lalu isterinya
juga solat. Jika isterinya enggan maka si suaminya memercik wajah
isteri dengan air. Semoga Allah merahmati seorang isteri yang bangun
pada waktu malam lalu solat; kemudian dia membangunkan suaminya.
Jika suaminya enggan maka si isterinya memercik wajah suami dengan
air.
- Hadis riwayat Imam al-Nasa’i
dalam Sunannya, Kitab Qiyam al-Lail, no: 1592.
q
Boleh Mengeraskan atau Memperlahankan Bacaan
Diperbolehkan untuk mengeraskan (jahr) dan memperlahankan (sirr)
bacaan ketika solat Tahajjud kerana Rasulullah shallallahu
‘alaihi wasallam pernah membaca dengan kedua-dua cara tersebut.
Daripada ‘Abdullah bin Abi Qais, dia berkata:
سَأَلْتُ عَائِشَةَ عَنْ وِتْرِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَتْ ...
كَيْفَ كَانَتْ قِرَاءَتُهُ أَكَانَ
يُسِرُّ بِالْقِرَاءَةِ أَمْ يَجْهَرُ.
قَالَتْ: كُلَّ ذَلِكَ كَانَ يَفْعَلُ رُبَّمَا أَسَرَّ وَرُبَّمَا
جَهَرَ...
Aku pernah bertanya kepada ‘Aisyah tentang solat Witir
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam …: Bagaimanakah bacaan
Baginda ketika solat, adakah dengan suara keras atau suara yang
perlahan?
Dia menjawab: Kesemua cara tersebut baginda amalkan,
kadang-kadang dengan suara perlahan dan kadang-kadang dengan suara
keras. – Hadis riwayat Imam
Abu Dawud dalam Sunannya, Kitab al-Sholaah, no: 1225.
Berkaitan dengan hal ini Imam al-Nawawi rahimahullah berkata:
Telah banyak dibawakan
hadis-hadis yang menerangkan keutamaan mengeraskan suara dan
hadis-hadis yang menjelaskan keutamaan merendahkan suara. Para
ulamak berkata: Untuk menggabungkan antara keduanya boleh dikatakan
bahawa suara perlahan lebih jauh dari perasaan riyak dan ini lebih
utama bagi orang yang khuatir akan memiliki perasaan riyak, namun
apabila dia tidak takut riyak maka suara keras itu lebih utama
baginya dengan syarat tidak mengganggu orang lain yang sedang solat,
tidur atau selainnya.
–
Dinukil dari Shahih Fiqh
as-Sunnah wa Adillatuhu wa Taudhih Madzahib al-A’immah,
jilid 1, ms. 647.
q
Memanjangkan Kadar Waktu Mengerjakan Solat
Tahajjud
Hendaklah memanjangkan berdiri ketika solat iaitu dengan membaca
surah yang panjang dan melamakan sujud tatkala solat Tahajjud.
Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
أَفْضَلُ الصَّلاَةِ طُولُ الْقُنُوتِ.
Maksudnya:
Solat yang paling utama adalah solat yang paling lama
berdirinya. Hadis riwayat
Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab Sholaatil
Musaafiriin wa Qashruhaa, no: 756.
Daripada ‘Abdullah ibnu Mas’ud radhiallahu’ anh, dia berkata:
صَلَّيْتُ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيْلَةً
فَلَمْ يَزَلْ قَائِمًا حَتَّى هَمَمْتُ بِأَمْرِ سَوْءٍ.
قُلْنَا:
وَمَا هَمَمْتَ. قَالَ: هَمَمْتُ أَنْ أَقْعُدَ وَأَذَرَ النَّبِيَّ
صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.
Maksudnya:
Aku pernah solat bersama Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam
pada suatu malam, baginda tetap sahaja berdiri hingga aku ingin
melakukan perbuatan yang buruk. Kami bertanya: Apakah yang ingin
kamu lakukan? Dia menjawab: Aku ingin duduk dan membiarkan Nabi
shallallahu ‘alaihi wasallam bersolat sendirian. - Hadis riwayat Imam
al-Bukhari dalam Sahihnya, Kitab at-Tahajjud,
no: 1135.
Menurut al-Hafidz Ibnu Hajar rahimahullah:
Dalam hadis di atas
terdapat keterangan bahawa Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam
memilih untuk memperpanjangkan solat malam. Ibnu Mas’ud adalah
seorang yang kuat dan senantiasa mengikuti Nabi shallallahu
‘alaihi wasallam. Tidak terdetik di dalam dirinya keinginan
untuk duduk, melainkan kerana panjangnya solat tersebut melebihi
kebiasaan yang beliau lakukan.
– Rujuk kitab karya Al-Hafidz Ibnu Hajar al-’Asqalani, Fathul
Baari, jilid 6, ms. 248.
Hendaklah juga membaca ayat-ayat al-Qur’an tersebut secara tartil
dan suara yang bagus. Ini sebagaimana firman Allah Subhanahu wa
Ta’ala:
وَرَتِّلِ
الْقُرْآنَ تَرْتِيلًا
…dan bacalah Al-Quran dengan "Tartil" (secara perlahan-lahan). – al-Muzammil (73) : 4
Daripada Hafshah radhiallahu’ anha, dia berkata:
وَكَانَ يَقْرَأُ بِالسُّورَةِ فَيُرَتِّلُهَا حَتَّى تَكُونَ أَطْوَلَ
مِنْ أَطْوَلَ مِنْهَا.
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam ketika membaca surah
(al-Qur’an) baginda membacanya dengan tartil hingga seakan-akan
surah itu lebih panjang dari biasanya. - Hadis riwayat Imam Muslim dalam
Shahihnya, Kitab Sholaatil Musaafiriin wa Qashruhaa, no:
736.
Disunnahkan juga membacanya dengan
suara yang baik serta berlagu.
Al-Bara’ bin ‘Azib
radhiallahu’ anh berkata:
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ زَيِّنُوا
الْقُرْآنَ بِأَصْوَاتِكُمْ
Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Hiasilah (bacaan) al-Qur’an
dengan suaramu. -
Hadis riwayat Imam al-Nasa’i dalam Sunannya, Kitab
al-Iftitah, no: 1005.
Menurut Abu Hurairah radhiallahu’
anh:
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيْسَ
مِنَّا مَنْ لَمْ يَتَغَنَّ بِالْقُرْآنِ وَزَادَ غَيْرُهُ يَجْهَرُ
بِهِ
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Tidaklah termasuk golongan kami orang yang tidak melagukan (bacaan)
al-Qur’an. - Hadis riwayat
Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Tawhid, no.
7527.
Ingin penulis ingatkan bahawa mereka
yang membaca surah atau ayat dari al-Qur’an dengan laju dan
tergesa-gesa adalah termasuk dalam golongan yang mengambil sikap
sambil lewa dalam beribadah. Menurut Syaikh Sayyid Sabiq
rahimahullah:
Bacaan
Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam itu ialah secara panjang
(perlahan-lahan). Baginda berhenti pada setiap ayat dan memanjangkan
suaranya.”
– Syaikh Sayyid Sabiq, Fikih
Sunnah, jilid 1, ms 338.
Namun demikian janganlah kita keterlaluan dalam melagukan bacaan
al-Qur’an sehingga bertentangan dengan peraturan-peratutan (tajwid –
pen) dalam membacanya. Syaikh Kamal al-Sayyid Salim berkata:
Maksud
melagukan bacaan al-Qur’an adalah dengan membaguskan suaranya secara
keras dan melantunkannya dengan nada yang lembut sehingga
mempengaruhi jiwa dan dapat mengalirkan air mata dengan syarat tidak
keluar dari aturan membaca yang benar menurut ahli Qira’at.
Adapun bacaan yang meliuk-liuk dengan nyanyian yang di luar batasan
sehingga menyebabkan keluar dari semestinya, maka jumhur ulamak
tidak menyukainya (makruh). Wallahu a’lam.
- rujuk Abu Malik Kamal bin As-Sayyid Salim, Shahih Fiqh
as-Sunnah wa Adillatuhu wa Taudhih Madzahib al-A’immah, jilid 1,
ms. 645.
Hanya sahaja pendek atau panjangnya bacaan ketika solat bergantung
kepada kemampuan masing-masing kerana Nabi shallallahu ‘alaihi
wasallam tidak pernah menetapkan bacaan tertentu untuk solat
Tahajjud ini. Sekiranya tidak mampu menghafal surah yang
panjang, memadailah dengan apa yang termampu untuk dibacakan. Dari
Abi Sa’id radhiallahu’ anh, dia berkata:
أُمِرْنَا أَنْ نَقْرَأَ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ وَمَا تَيَسَّرَ.
Maksudnya:
Kami telah diperintah (oleh
Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam) supaya kami membaca al-Fatihah
dan apa-apa (ayat/surah) yang mudah (bagi kami). - Hadis riwayat Imam Abu Dawud
dalam Sunannya, Kitab al-Sholaah, no: 695.
Dalil tentang memanjangkan
sujud pula adalah sebagaimana yang telah diperjelaskan oleh ‘Aishah
radhiallahu’ anha:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ
يُصَلِّي إِحْدَى عَشْرَةَ رَكْعَةً.
كَانَتْ
تِلْكَ صَلاَتَهُ يَسْجُدُ السَّجْدَةَ مِنْ ذَلِكَ قَدْرَ مَا
يَقْرَأُ أَحَدُكُمْ خَمْسِينَ آيَةً
قَبْلَ أَنْ يَرْفَعَ رَأْسَهُ.
Maksudnya:
Sesungguhnya Rasulullah
shallallahu
‘alaihi wasallam biasa solat (malam) sebelas rakaat,
demikianlah solat yang baginda lakukan. Baginda melakukan satu kali
sujud dari sebelas rakaat itu seperti lamanya seperti salah seorang
dari kalian membaca lima puluh ayat sebelum baginda mengangkat
kepalanya. - Hadis riwayat Imam
al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab at-Tahajjud,
no: 1123.
Sujud tersebut
dipanjangkan kerana baginda
shallallahu ‘alaihi wasallam
memperbanyakan doa ketika sujud.
Ini sebagaimana sabda Nabi
shallallahu ‘alaihi wasallam:
أَقْرَبُ مَا يَكُونُ الْعَبْدُ مِنْ رَبِّهِ وَهُوَ سَاجِدٌ فَأَكْثِرُوا الدُّعَاءَ.
Maksudnya:
Saat yang paling dekat bagi
seorang hamba untuk berada di samping Tuhannya, ialah ketika dia
sujud. Dari itu hendaklah kamu memperbanyakan doa ketika sujud itu. - Hadis riwayat Imam Muslim dalam
Shahihnya, Kitab al-Sholaah, no: 482.
Demikianlah beberapa amalan yang sabit datangnya
daripada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang
sepatutnya kita berusaha untuk mencontohinya demi untuk mencapai
kesempurnaan ketika mendirikan solat Tahajjud.
v
KESUNGGUHAN RASULULLAH DALAM
MELAKSANAKAN SOLAT TAHAJJUD
Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam adalah seorang insan yang telah
dijamin oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala akan masuk ke syurga.
Baginda shallallahu ‘alaihi wasallam juga merupakan
sebaik-baik manusia malah digelar Sayyid al-Mursalin iaitu
penghulu segala Rasul. Baginda merupakan seorang insan yang maksum
dan bebas dari sebarang bentuk dosa. Firman Allah Subhanahu wa
Ta’ala:
لِيَغْفِرَ
لَكَ اللَّهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِكَ وَمَا تَأَخَّرَ وَيُتِمَّ
نِعْمَتَهُ عَلَيْكَ وَيَهْدِيَكَ صِرَاطًا مُسْتَقِيمًا
Kemenangan yang dengan
sebabnya Allah mengampunkan salah dan silapmu yang telah lalu dan
yang terkemudian, dan menyempurnakan nikmatNya kepadamu, serta
menambahkanmu hidayah ke jalan yang lurus (dalam mengembangkan Islam
dan melaksanakan hukum-hukumnya).
– al-Fath (48) : 2
Walaupun dengan kedudukan baginda
shallallahu ‘alaihi wasallam yang sebegini sempurna tetapi
baginda tetap bersungguh-sungguh dalam mengerjakan solat Tahajjud
sehingga bengkak-bengkak kakinya. Isterinya ‘Aishah radhiallahu’
anha melihat sendiri kesungguhan luar biasa baginda ini dan
beliau hairan kenapa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam
masih ingin bersusah payah melakukan ibadah tersebut sedangkan dia
adalah seorang yang maksum. Kisah ini telah disampaikan oleh ‘Aishah
radhiallahu’ anha sendiri di dalam sebuah hadis:
أَنَّ نَبِيَّ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ
يَقُومُ مِنْ اللَّيْلِ حَتَّى تَتَفَطَّرَ قَدَمَاهُ.
فَقَالَتْ
عَائِشَةُ: لِمَ تَصْنَعُ هَذَا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَقَدْ غَفَرَ
اللَّهُ لَكَ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِكَ وَمَا تَأَخَّرَ.
قَالَ:
أَفَلاَ أُحِبُّ أَنْ أَكُونَ عَبْدًا شَكُورًا.
Maksudnya:
Sungguh Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam solat malam hingga kedua
tapak kakinya merekah. ‘Aishah berkata kepada baginda: Mengapa
engkau melakukan hal ini wahai Rasulullah, padahal Allah telah
mengampuni dosa-dosamu yang telah lalu dan yang akan datang. Baginda
bersabda: Apakah aku tidak ingin menjadi hamba yang sangat
bersyukur?
- Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam
Shahihnya,
Kitab Tafsir al-Qur’an,
no: 4837.
Peristiwa yang sama juga telah dikhabarkan dari al-Mughirah
radhiallahu’ anh,
dia berkata:
إِنْ كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيَقُومُ
لِيُصَلِّيَ حَتَّى تَرِمُ قَدَمَاهُ أَوْ سَاقَاهُ.
فَيُقَالُ لَهُ
فَيَقُولُ: أَفَلاَ أَكُونُ عَبْدًا شَكُورًا.
Maksudnya:
Sesungguhnya Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam biasa berdiri (untuk
solat malam) hingga kedua kakinya atau kedua betisnya bengkak.
Dikatakan kepadanya maka baginda bersabda: Apakah aku tidak ingin
menjadi hamba yang bersyukur?
-
Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam
Shahihnya,
Kitab at-Tahajjud,
no: 1130.
Sekarang kita bandingkan amalan Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam
ini dengan diri kita sendiri yang bergelumang dengan dosa dan untung
nasib kita di Hari Pengadilan juga belum dipastikan sama ada syurga
atau neraka. Kenapa kita tidak mahu bersungguh-sungguh dalam
melaksanakan solat
Tahajjud
ini? Adakah kita menganggap diri kita sebanding atau lebih baik
daripada Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam?
Renungilah akan hal ini dengan mendalam wahai pembaca yang budiman.
v
KEUTAMAAN SOLAT
TAHAJJUD
Allah
Subhanahu wa Ta’ala
mengurniakan pelbagai keutamaan yang besar bagi mereka yang
melaksanakan solat
Tahajjud
ini sebagaimana yang akan penulis paparkan di sini.
q
Dikurniakan Kedudukan Yang Terpuji.
Mereka yang mengerjakan ibadah pada malam hari akan dikurniakan
kedudukan yang terpuji lagi mulia di sisi Allah
Subhanahu wa Ta’ala
pada hari akhirat kelak yakni dengan menjadi
ahlul jannah
(ahli syurga). Ini sebagaimana Firman-Nya:
وَمِنَ
اللَّيْلِ فَتَهَجَّدْ بِهِ نَافِلَةً لَكَ عَسَىٰ أَنْ يَبْعَثَكَ
رَبُّكَ مَقَامًا مَحْمُودًا
Maksudnya:
Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah
"solat Tahajjud" padanya, sebagai solat tambahan bagimu; semoga
Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat
yang terpuji.
- al-Israa’ (17) : 79
إِنَّ
الْمُتَّقِينَ فِي جَنَّاتٍ وَعُيُونٍ
آخِذِينَ مَا
آتَاهُمْ رَبُّهُمْ إِنَّهُمْ كَانُوا قَبْلَ ذَٰلِكَ مُحْسِنِينَ
كَانُوا
قَلِيلًا مِنَ اللَّيْلِ مَا يَهْجَعُونَ
وَبِالْأَسْحَارِ هُمْ يَسْتَغْفِرُونَ
Maksudnya:
Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa adalah ditempatkan di dalam
beberapa taman Syurga, dengan matair-matair terpancar padanya.
(Keadaan mereka di sana) sentiasa menerima nikmat dan rahmat yang
diberikan kepadanya oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka di dunia
dahulu adalah orang-orang yang berbuat kebaikan. Mereka sentiasa
mengambil sedikit sahaja masa dari waktu malam, untuk mereka tidur.
Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu
beristighfar kepada Allah (memohon ampun).
- al-Dzaariyaat (51) : 15-18
q
Memudahkan Seseorang Untuk Menjadi Ahli Syurga
Bagi mereka yang mendirikan solat Tahajjud akan memudahkan baginya
untuk menjadi ahli syurga.
Daripada ‘Abdullah Ibnu Salam bahawa Nabi
shallallahu ‘alaihi wasallam
pernah bersabda:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ أَفْشُوا السَّلاَمَ وَأَطْعِمُوا الطَّعَامَ
وَصَلُّوا بِاللَّيْلِ وَالنَّاسُ نِيَامٌ تَدْخُلُوا الْجَنَّةَ
بِسَلاَمٍ.
Maksudnya:
Wahai manusia, tebarkan salam di antara kalian, berilah makan
(kepada mereka yang memerlukannya, sambunglah silaturrahin, dan
solatlah pada malam hari pada ketika manusia terlelap dalam tidur,
maka kalian akan masuk Syurga dengan damai.
–
Hadis riwayat Imam Ibnu Majah dalam
Sunnannya,
Kitab Iqaamah al-Sholaah,
no. 1334.
q
Dikurniakan Bilik Khas Di syurga Nanti
Di dalam syurga juga terdapat bilik yang khusus bagi mereka yang
mengerjakan solat
Tahajjud.
Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam
bersabda:
إِنَّ فِي الْجَنَّةِ غُرَفًا تُرَى ظُهُورُهَا مِنْ بُطُونِهَا
وَبُطُونُهَا مِنْ ظُهُورِهَا فَقَامَ أَعْرَابِيٌّ.
فَقَالَ: لِمَنْ
هِيَ يَا رَسُولَ اللَّهِ.
قَالَ: لِمَنْ أَطَابَ الْكَلاَمَ
وَأَطْعَمَ الطَّعَامَ وَأَدَامَ الصِّيَامَ وَصَلَّى لِلَّهِ
بِاللَّيْلِ وَالنَّاسُ نِيَامٌ.
Maksudnya:
Sesungguhnya di dalam syurga terdapat bilik-bilik yang bahagian
luarnya terlihat dari dalam dan bahagian dalamnya terlihat dari
luarnya. Kami bertanya: “Untuk siapakah (bilik-bilik itu) ya
Rasulullah?” Sabda baginda: “Kamar-kamar itu Allah sediakan untuk
orang yang bercakap dengan lemah lembut, memberikan makanan,
senantiasa melakukan ibadah puasa dan mendirikan solat semata-mata
kerana Allah pada waktu malam di saat manusia lain sedang tidur.”
- Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi dalam
Sunannya,
Kitab al-Bir wa al-Sholaah,
no: 1907.
q
Membentuk Keperibadian Yang Mulia
Mendirikan solat
Tahajjud
dapat membentuk keperibadian mulia seperti
tawadhu’
(merendah diri), bertakwa, menghindari sikap sombong dan pemurah
dengan sedekah jariah.
وَعِبَادُ
الرَّحْمَٰنِ الَّذِينَ يَمْشُونَ عَلَى الْأَرْضِ هَوْنًا وَإِذَا
خَاطَبَهُمُ الْجَاهِلُونَ قَالُوا سَلَامًا
وَالَّذِينَ
يَبِيتُونَ لِرَبِّهِمْ سُجَّدًا وَقِيَامًا
Maksudnya:
Dan hamba-hamba (Allah) al-Rahman (yang diredhai-Nya), ialah mereka
yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang
yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka,
mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang
tidak diingini; dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang
tekun mengerjakan ibadat kepada Tuhan mereka pada malam hari dengan
sujud dan berdiri.
- al-Furqaan (25) : 63-64
إِنَّمَا
يُؤْمِنُ بِآيَاتِنَا الَّذِينَ إِذَا ذُكِّرُوا بِهَا خَرُّوا
سُجَّدًا وَسَبَّحُوا بِحَمْدِ رَبِّهِمْ وَهُمْ لَا يَسْتَكْبِرُونَ
تَتَجَافَىٰ
جُنُوبُهُمْ عَنِ الْمَضَاجِعِ يَدْعُونَ رَبَّهُمْ خَوْفًا وَطَمَعًا
وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنْفِقُونَ
فَلَا
تَعْلَمُ نَفْسٌ مَا أُخْفِيَ لَهُمْ مِنْ قُرَّةِ أَعْيُنٍ جَزَاءً
بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ
Maksudnya:
Sesungguhnya yang sebenar-benar beriman kepada ayat-ayat keterangan
Kami hanyalah orang-orang yang apabila diberi peringatan dan
pengajaran dengan ayat-ayat itu, mereka segera merebahkan diri
sambil sujud (menandakan taat patuh), dan menggerakkan lidah dengan
bertasbih serta memuji Tuhan mereka, dan mereka pula tidak bersikap
sombong takbur. Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur,
(sedikit sangat tidur, kerana mengerjakan solat Tahajjud dan
amal-amal soleh); mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan
perasaan takut (akan kemurkaan-Nya) serta dengan perasaan ingin
memperolehi lagi (keredhaan-Nya); dan mereka selalu pula mendermakan
sebahagian dari apa yang Kami beri kepada mereka. Maka tidak ada
seseorang pun yang mengetahui satu persatu persediaan yang telah
dirahsiakan untuk mereka (dari segala jenis nikmat) yang amat indah
dipandang dan mengembirakan, sebagai balasan bagi amal-amal soleh
yang mereka telah kerjakan.
- al-Sajda (32) : 15-17
q
Ditinggikan Darjat Bagi Mereka Yang Solat
Tahajjud.
Darjat mereka yang mengerjakan solat
Tahajjud
ini adalah lebih tinggi dari mereka yang tidak mengerjakannya di
sisi Allah
Subhanahu wa Ta’ala.
أَمَّنْ هُوَ
قَانِتٌ آنَاءَ اللَّيْلِ سَاجِدًا وَقَائِمًا يَحْذَرُ الْآخِرَةَ
وَيَرْجُو رَحْمَةَ رَبِّهِ
قُلْ هَلْ
يَسْتَوِي الَّذِينَ يَعْلَمُونَ وَالَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ
إِنَّمَا
يَتَذَكَّرُ أُولُو الْأَلْبَابِ
Maksudnya:
Adakah orang yang berbakti kepada Allah pada waktu malam, bersujud
serta berdiri dan takut pada siksa hari akhirat dan mengharap rahmat
Tuhannya itu akan sama dengan orang yang tidak sedemikian.
Katakanlah lagi (kepadanya): Adakah sama orang-orang yang mengetahui
dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang-orang
yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang
yang berakal sempurna.
- al-Z’Umar (39) : 9
q
Termasuk Dalam Golongan Yang Dicintai Allah
Bagi mereka yang bangun pada malam hari untuk mengerjakan solat
Tahajjud,
mereka termasuk dalam golongan yang dicintai oleh Allah
Subhanahu wa Ta’ala
Daripada Abu Dzar, daripada Nabi
shallallahu ‘alaihi wasallam,
baginda bersabda: Ada tiga golongan orang yang dicintai Allah… (yang
di antaranya adalah)
رَجَلٌ سَافَرَ مَعَ قَوْمِ فَارْتَحَلُوْا حَتَّى إِذَا كَانَ مِنْ
آخِرِ اللَّيْلِ وَقَعَ عَلَيْهِمْ الْكَرَى أَوِ النُّعَاسُ
فَنَزَلُوْا فَضَرَبُوْا بِرُؤُوسِهِمْ ثُمَ قَامَ فَتَطَهَّرَ
وَصَلَّى رَغْبَةً للهِ عَزَّ وَجَلَّ وَرَغْبَةً فِيْمَا عِنْدَهُ.
Maksudnya:
Seorang yang bermusafir bersama sekelompok orang lalu mereka
berangkat hingga apabila tiba waktu akhir malam, mereka mengantuk
lalu mereka turun (dari kenderaan) dan tertidur, sementara lelaki
itu bangkit lalu berwuduk dan solat kerana cinta kepada Allah, dan
cinta pada apa yang berada di sisi-Nya.
– Hadis riwayat Imam al-Thabrani dalam
al-Sunan al-Kubra
q
Mudah Untuk Khusyuk.
Pada malam yang hening lagi damai menyebabkan minda seseorang itu
merasa tenang. Lantaran itu solat pada waktu malam sebegini
terutamanya ketika sepertiga malam yang akhir memudahkan kita untuk
mengerjakannya dengan penuh khusyuk dan bacaan yang lebih baik.
Firman Allah
Subhanahu wa Ta'ala:
إِنَّ
نَاشِئَةَ اللَّيْلِ هِيَ أَشَدُّ وَطْئًا وَأَقْوَمُ قِيلًا
Maksudnya:
Sebenarnya solat dan ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa),
dan lebih tetap betul bacaannya.
– al-Muzzammil (73) : 6
q
Mendekatkan Diri Kepada Allah
Subhanahu wa Ta’ala
Solat
Tahajjud
dapat mendekatkan diri kita kepada Allah
Subhanahu wa Ta’ala,
menutup kesalahan kita yang lalu serta menghapuskan dosa-dosa kita.
Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam
bersabda:
عَلَيْكُمْ بِقِيَامِ اللَّيْلِ فَإِنَّهُ دَأَبُ الصَّالِحِينَ
قَبْلَكُمْ وَإِنَّ قِيَامَ اللَّيْلِ قُرْبَةٌ إِلَى اللَّهِ
وَمَنْهَاةٌ عَنْ الْإِثْمِ وَتَكْفِيرٌ لِلسَّيِّئَاتِ.
Maksudnya:
Hendaklah kalian melaksanakan solat malam kerana solat malam itu
merupakan kebiasaan orang-orang soleh sebelum kalian, ibadah yang
mendekatkan diri kepada Tuhan kalian, serta penutup kesalahan dan
penghapus dosa.
- Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi dalam
Sunannya,
Kitab al-Da’waat,
no: 3472.
Demikianlah beberapa keutamaan yang
dapat diperolehi bagi mereka yang mengerjakan solat Tahajjud.
Jelaslah bagi kita bahawa untuk mereka yang mengerjakan solat
Tahajjud, mereka akan mendapat limpah kurnia daripada Allah
Subhanahu wa Ta’ala yang tidak ada tolok bandingnya sedangkan
bagi mereka yang meninggalkan ibadah yang mulia ini, mereka
mengalami kerugian yang amat besar. Sekiranya seseorang itu sedang
menghadapi keadaan yang sukar ataupun ditimpa kesusahan maka
pohonlah pertolongan Allah Subhanahu wa Ta’ala melalui solat
Tahajjud ini. Sesungguhnya Rasulullah shallallahu ‘alaihi
wasallam ketika hendak menghadapi perang Badar dan Tabuk yang
merupakan satu ujian yang besar bagi umat Islam, baginda telah
melakukan solat Tahajjud ini untuk memohon pertolongan serta
perlindungan daripada Allah Subhanahu wa Ta’ala. Daripada
‘Abdullah bin ‘Amru bin al-‘As:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَامَ
غَزْوَةِ تَبُوكَ قَامَ مِنْ اللَّيْلِ يُصَلِّي
فَاجْتَمَعَ وَرَاءَهُ
رِجَالٌ مِنْ أَصْحَابِهِ
Bahawasanya Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam melakukan solat malam (Tahajjud) pada
saat perang Tabuk, maka para sahabat berkumpul di belakang baginda
untuk menjaganya sampai baginda menyelesaikan solatnya dan berpaling
menghadapi mereka.
– Hadis riwayat Imam Ahmad
dalam Musnadnya, no: 6771.
No comments:
Post a Comment