Monday, 25 August 2014

Muhasabah Diri Sebelum Ke Tanah Suci



Bersih Hati, Perbanyak Amalan Untuk Dapat Haji Mabrur

Labbaik Allahumma Labbaik, Hambamu datang menyahut panggilan-Mu, ya Allah. Musim haji kembali lagi, sejumlah 28,000 bakal haji Malaysia berangkat ke Tanah Suci Makkah secara berperingkat mulai minggu ini. Debaran menanti jemaah haji, bermula ketika meninggalkan rumah ke Kompleks Tabung Haji, sehinggalah menjejak kaki ke Tanah Suci, semuanya penuh dengan kebimbangan dan pengharapan kepada Allah untuk mengerjakan haji dengan sempurna.
Selama tiga hari di Mina untuk melontar di Jamrah, pelbagai kerenah jemaah boleh dilihat dan boleh dijadikan iktibar. Kesabaran kita diuji, begitu juga rasa tolak ansur, keimanan kepada Allah dan hubungan sesama manusia
Persiapan Awal
Pelbagai persiapan awal dilakukan termasuk mengikuti kursus haji atau melalui pembacaan bagi membolehkan ibadat Rukun Islam terakhir itu dilakukan untuk mendapatkan haji mabrur.
Bagi mereka yang pertama kali mengerjakan haji, pelbagai persoalan timbul di dalam fikiran. Adakah ilmu mencukupi bagi melakukan ibadat yang cukup panjang melebihi sebulan itu.
Bagaimana berdepan dengan jutaan jemaah lain ketika tawaf di Baitullah atau berdepan dengan suasana di Arafah, Mudzalifah, Mina dan melontar di Jamrah , selain refleksi diri terhadap balasan Allah yang bakal diterima di Tanah Suci, semuanya mengisi ruangan minda.
Persediaan Mental, Fizikal
Semua ini terutama cerita negatif yang menggerunkan yang didengar di tanah air, turut mempengaruhi pelaksanaan ibadat khusus mereka yang kurang bersedia dari segi ilmu, persediaan fizikal dan mental sebelum berangkat.
Paling penting selain berguru dalam mengerjakan amalan haji, sebelum ke Tanah Suci, jemaah perlu membetulkan niat termasuk membersihkan hati daripada sebarang perasaan riak dan takbur.
Banyakkan solat sunat terutama solat hajat, tahajud dan taubat memohon kepada Allah supaya kita dapat melakukan ibadat dengan baik, diberikan kesihatan dan kesejahteraan sepanjang pelaksanaan ibadat. Pada masa sama, pohonkan doa supaya mereka yang ditinggalkan di tanah air juga dalam keadaan selamat.
Apapun, sedikit pengalaman penulis ketika melakukan ibadat haji tahun lalu, mungkin boleh dijadikan panduan bagi jemaah haji yang dijemput Allah tahun ini.
Sebenarnya apa yang dipelajari di tanah air secara teori, namun praktiknya di lokasi agak berbeza, kerana di Makkah pelbagai bentuk amalan yang boleh dilihat yang membuatkan minda ligat berfikir, amalan aku betul atau mereka yang diterima Allah.
Ibadat haji sebenarnya memerlukan kekuatan fizikal dan mental. Ini kerana setiap hari jemaah terpaksa berjalan kaki sekurang-kurangnya lima kilometer dari hotel ke Masjidilharam. Jarak ini menyebabkan ramai jemaah terutama yang berumur atau uzur lebih suka beribadat di hotel.
Sebenarnya kalau melihat jemaah haji lain, walaupun cukup tua mereka sanggup berebut menaiki bas atau berjalan kaki berkilometer jauhnya hanya untuk beribadat di Masjidilharam.
Bagi mereka, jemputan Allah bukan mudah dan terpaksa membayar dengan kos cukup tinggi, sebab itu mereka menggunakan segenap peluang untuk beribadat kepada Allah.
Malangnya, segelintir jemaah Malaysia bertindak sebaliknya, ia berpunca daripada rasa takut melihat kesesakan ketika beribadat dan kononnya sikap kasar jemaah negara lain. Jika persediaan mental dan bimbingan di tanah air mencukupi untuk memberi keyakinan kepada mereka, semua itu boleh diatasi.
Selain itu, bimbingan yang tidak tepat terutama meminta jemaah mengurangkan ibadat terutama umrah sunat dengan alasan menyebabkan mereka letih ketika wukuf dan melontar, sepatutnya tidak timbul.
Arafah Bukan Tempat Berehat
Bagi jemaah haji yang datang awal, rebutlah peluang melakukan ibadat sunat berkenaan kerana pada tempoh itu jemaah tidak begitu ramai.
Ketika wukuf di Arafah, masalah sama timbul, ramai yang menghabiskan masa berbual dan tidur sementara menunggu khutbah Arafah selepas Zuhur. Kekeliruan timbul kerana di Arafah ibadat lebih bersifat individu, iaitu berdoa memohon pengampunan Allah, membaca al-Quran dan berzikir.
Di sini perlunya pembimbing haji memberi maklumat yang lengkap kepada jemaah supaya kunjungan ke Arafah yang menjadi rukun haji tidak dipersia-siakan begitu saja.
Masalah mungkin tidak timbul ketika bermalam di Mudzalifah kecuali jemaah yang kurang bernasib baik berdepan dengan kemelut bas rosak atau terperangkap dalam kesesakan sebelum ke Mina.
Selama tiga hari di Mina untuk melontar di Jamrah, pelbagai kerenah jemaah boleh dilihat dan boleh dijadikan iktibar. Kesabaran kita diuji, begitu juga rasa tolak ansur, keimanan kepada Allah dan hubungan sesama manusia. Di sinilah himpunan segala amalan yang baik dan buruk selama kita hidup di dunia dipamerkan Allah.
Tidak hairan kalau kita lihat jemaah yang marah-marah, tamak, riak dan ego ketika berada dalam khemah yang sempit. Merungut ketika beratur untuk mandi atau rasa bangga di kalangan jemaah pakej (bayaran mahal) bila melihat jemaah muassasah Tabung Haji bersesak di dalam khemah. Apa yang dipamerkan di Mina adalah hasil amalan yang kita lakukan selama ini di tanah air.
Kesempatan Muhasabah
Masih ada kesempatan untuk kita bermuhasabah diri dengan memohon keampunan kepada Allah sebelum kita berangkat ke Tanah Suci. Lakukanlah amalan dengan memfokuskan diri kerana Allah dan sentiasa memohon keampunan setiap kali minda berkecamuk melihat gelagat manusia yang beragam.
Sekiranya niat kita bersih dan sering melakukan kebaikan serta merapatkan hubungan sesama manusia dan pada masa yang sama bertawakal kepada Allah. Insya-Allah, haji kita akan sempurna.

 melibatkan penyatuan antara kegiatan ibadah mental dan fizikal. Maka persiapan dan kesediaan fizikal amat diperlukan sebelum berangkat agar dapat bertahan terhadap keadaan persekitaran yang sangat berbeza dengan situasi di tanah air.

Pada setiap musim haji, keadaan di tanah suci padat dengan para jemaah yang menunaikan ibadah haji dari seluruh dunia sehingga mencapai 3 juta orang dan ianya sentiasa meningkat setiap tahun, sedangkan tempatnya terhad. 

Apabila seseorang telah cukup syarat-syarat yang mewajibkannya untuk menunaikan ibadat Haji dan Umrah adalah dinasihatkan supaya melakukan Solat Istikharah apabila seseorang itu bemiat pergi ke sana. Langkah ini bukanlah meminta pertolongan Allah سبحانه وتعالى supaya memutuskan sama ada hendak pergi atau pun tidak, tetapi untuk menunjukkan kepada kita beberapa perkara iaitu:
a)    Adakah hendak pergi haji dahulu atau menunggu pada masa akan datang untuk pergi bersama isteri, suami atau ahli keluarga lainnya.
b)    Agensi, muasasah atau pakej haji yang hendak dipilih, selepas mengutama dan mendahulukan kesempurnaan ibadah daripada kepentingan kemewahan.
.
.
PERSEDIAAN SEBELUM PERGI MENUNAIKAN HAJI DAN UMRAH

Apabila seseorang telah dipanggil atau namanya sudah ada dalam senarai menunggu, maka hendaklah dia membuat beberapa persiapan dan adalah lebih baik jika persediaan tersebut dapat dilakukan sekurang-kurangnya 3 bulan sebelum tarikh keberangkatan ke tanah suci. Walau bagaimanapun masih belum terlambat jika ianya dilakukan mulai sekarang.

Oleh kerana ibadah haji dan umrah selain memerlukan kefahaman mendalam dan penghayatan rohani, ia banyak melibatkan aktiviti fizikal seperti berjalan kaki seperti Tawaf dan bersaie dan melontar Jamrah.

Antara perkara-perkara yang perlu dibuat persediaan ialah:
.
1.  Pemeriksaan Kesihatan

Kepada bakal haji/hajah, eloklah lakukan dahulu pemeriksaan menyeluruh tubuh (General Check Up) di makmal untuk mengesan sebarang penyakit yang mungkin ada tanpa disedari dan bagi mengetahui keadaan kesihatan secara jelas dan lengkap supaya doktor boleh mengambil tindakan ‘preventif’ (pencegahan) lebih awal..
.
2.  Nasihat Doktor Perunding

Bagi yang mempunyai masalah kesihatan seperti sakit jantung, darah tinggi, kencing manis, asama dan sebagainya, mintalah nasihat doktor tentang apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan. Sediakan segala ubat yang diperlukan kerana walaupun banyak farmasi dan klinik-klinik di Makkah dan Madinah, tetapi harga ubat-ubatan di sana agak mahal. .
.
3.  Latihan Kecergasan

Bagi mencapai keadaan yang sihat dan segar, lakukan senaman secara teratur. Latihan bersenam, berlari atau beraerobik yang sesuai dengan keadaan kesihatan dan usia bakal jemaah, amat perlu untuk menjaga kesihatan jantung kerana kesediaan fizikal yang baik dan jantung yang sihat diperlukan bagi menjalankan ibadah haji seperti Tawaf, Saie dan Melontar Jamrah. Begitu juga kegiatan biasa seperti ulang alik ke Masjid, ke pasar dan lainnya dilakukan dengan berjalan kaki.

Maka ketahanan jasmani dan kesihatan harus dipersiapkan agar sentiasa cergas, bersedia, berstamina dan lebih tahan terhadap penyakit mahupun cengkaman hawa berbeza. Contohilah bagaimana Uwais al-Qarni mempersiapkan dirinya untuk ke Makkah .
 4.  Latihan Berjalan Kaki

Lakukanlah latihan fizikal untuk membiasakan diri kita yang bakal menggunakan tenaga semasa pergi dan balik ke Masjid di tanah suci nanti, seperti berjalan kaki sejauh purata 3 hingga 4 kilometer, sekurang-kurangnya 2 kali seminggu. Ini adalah persediaan yang terbaik kerana rata-rata kedudukan hotel penginapan terletak agak jauh jaraknya iaitu :

1.      Jarak ke Masjidil Haram antara 800 – 1,500 meter
2.      Jarak untuk Tawaf mengelilingi Kaabah sejauh 500 meter – 1 kilometer
3.      Jarak Bukit Safa ke Marwah lebih kurang 420 meter dan apabila mengerjakan ibadah Saie, akan berulang alik 7 kali sejauh 2, 940 meter (hampir 3 kilometer)
4.  Melontar Jamrah, terpaksa melalui terowong sepanjang 3.5 kilometer. Jika duduk di Mina Mu’assir, dalam 5 – 7 kilometer ke jamrah. Ada 3 jamrah yang perlu dilalui 4 hari berturut-turut:
a.      Jarak antara Jamrah Ula dengan Jamrah Wusta adalah 247 meter.
b.      Jarak antara Jamrah Wusta dan Kubra kira-kira 200 meter.

Latihan fizikal ini adalah sebagai suatu ikhtiar kita sahaja kerana yang menentukan kekuatan dan tenaga itu adalah Allah سبحانه وتعالى. Latihan ini elok dimulakan 3 atau sebulan lagi keberangkatan kita ke sana..
.
5.  Membiasakan Diri Berada Di Cuaca Panas Terik

Bekerja, berkebun atau beraktiviti di tengah terik panas matahari perlu dilakukan untuk melatih fizikal agar bakal jamaah membiasakan diri dengan sengatan matahari dan keadaan di Tanah Suci yang lebih panas.
Pada musim panas, suhu siang hari di Arab Saudi boleh mencapai 40-50 darjah Celsius, kepanasannya menyengat di samping angin kering membahang hingga menyebabkan ramai jemaah meninggal dunia akibat ‘Heat Stroke’ (kekurangan cecair dalam badan). .
.
6.  Membiasakan Diri Dengan Suhu Dingin

Latihlah diri untuk bangun malam berqiamullail bagi menzalimi ibadah di samping membiasakan diri dengan air dan cuaca dingin. Ini tujuannya mempersiapkan fizikal dan mental sebagai persediaan menghadapi keadaan di Makkah kerana terpaksa bangun awal untuk ke Baitullah bagi solat Subuh.
Di samping cabaran bermalam di Mina dan Padang Arafah kerana suhu waktu malam dan musim sejuknya boleh turun sehingga 10ºC yang disertai angin kering dan dingin menusuk tulang..
.
7.  Manasik Haji
Manasik adalah latihan atau tata cara ibadah haji menjelang keberangkatan ke tanah suci. Pergi melaksanakan haji merupakan rangkaian ibadah yang terikat dengan masa dan tempat disertai dengan peraturan dan larangan tertentu serta dilihat dari sifat dan aspek hukumnya:

1)   Rukun: Jika ditinggalkan boleh membatalkan haji atau tidak sah
2)   Wajib: Sekiranya ditinggalkan wajib ditebus dengan membayar Dam
3)   Sunat: Jika dilaksanakan akan mendapat pahala dan sekiranya ditinggalkan tidak berdosa.
4)   Makruh: Jika ditinggalkan akan mendapat pahala.
5)   Haram: Dilarang sama sekali melakukannya. Sekiranya mahu dilaksanakan juga akan mendapat dosa..
.
8.  Menambah Ilmu

Berusaha belajar dengan orang yang arif sehingga mantap akan cara atau kaifiat mengerjakan Haji dan Umrah, kerana ibadat haji yang tidak mengikut cara-cara yang telah ditetapkan akan rosak, cacat dan tidak diterima sebagai ibadat haji yang sempurna.
Amat rugi jika setelah berpeluang ke sana dan berkorban masa, harta dan wang ringgit, ibadah Haji dan Umrah kita menjadi sia-sia begitu saja disebabkan ketidakperhatinan dan kecuaian sendiri..
.
9.  Bacalah Buku-Buku Berkaitan
Pembacaan buku-buku berkaitan ibadah Haji dan Umrah, sejarah Madinah dan Mekah akan dapat membantu apabila kita menjalani ibadah tersebut. Membaca buku-buku seperti cara-cara mengerjakan ibadah umrah dan Haji akan membuka minda dan naluri kita sebelum kita berada ditanah suci.

Selain untuk menunaikan ibadat Haji dan Umrah, tujuan ke Tanah suci sudah pasti untuk ziarah ke tempat-tempat yang bersejarah di sekitar Mekah dan Madinah. Dengan mengetahui riwayat dari tempat-tempat bersejarah tersebut terlebih dahulu, maka ketika berziarah ke tempat tersebut nanti, akan dapat lebih memahami dan menyelami makna tempat-tempat yang kita kunjungi.

Firman Allah سبحانه وتعالى: “Di Baitullah terdapat bukti-bukti sejarah yang meyakinkan, antaranya tempat peribadahan Ibrahim; Sesiapa yang masuk ke sana, maka ia selamat.” (Surah Al-Imran; Ayat 97)
.
.
10.  Perbanyakkan Membaca Al-Quran
Berguru dan lancarkanlah pembacaan Al-Quran kita kerana selain daripada pahala yang kita perolehi dari membacanya, ia amat bermnnfaat apabila kita berada di tanah suci. Iaitu selain daripada ibadah Haji dan Umrah, pembacaan Al-Quran adalah sesuatu yang amat digalakkan dan sekiranya dapat kita mengkhatam Al-Quran dalam masa ibadah tersebut adalah menjadi satu kebaikan kepada kita..
.
11.  Belajar Berdoa
Di Tanah suci perbanyakkanlah beristighfar, berzikir dan berdoa kerana banyak tempat-tempat mustajab untuk memanjatkan doa. Pelajari pelbagai doa sebagaimana Rasulullah  ajarkan atau doa-doa yang ada di dalam Al-Quran, hafalkan dan lebih menghayati makna doa tersebut. Sehingga kita boleh berdoa dengan fasih, khusuk dan tawaduk di hadapan Allah سبحانه وتعالى, kebiasaannya intipati doa adalah ingin mendapatkan kejahteraan di dunia dan di akhirat.
Banyakkan berdoa terutama pada tengah malam dan dinihari, memohon supaya ibadah Haji dan Umrah yang akan dilaksanakan diterima dan mendapat ganjaran daripada Allah سبحانه وتعالى. Juga berdoa agar selamat perjalanan pergi balik, kesejahteraan orang yang ditinggalkan, selamat harta benda, sihat tubuh badan, doa agar Allah سبحانه وتعالى memberi petunjuk, dikurniakan kita hati yang ikhlas dan sebagainya..
.
12. Latih Diri Mendekati Masjid
Sekiranya dahulu kita sering solat di rumah, latihlah diri kita mendekati masjid dan biasa-biasakanlah solat berjemaah di masjid tempat tinggal kita. Sekiranya terdapatnya majlis-majlis ilmu, rajin-rajinkanlah langkah kaki kita hadir di majlis yang dihadiri para malaikat ini kerana majlis-majlis ini akan melembutkan hati kita.

Ia juga adalah tempat terbaik untuk kita menyendiri (beriktikaf) memohon perlindungan agar dipermudahkan perjalanan pergi dan balik mengerjakan ibadah malah memohon keselamatan kepada ahli keluarga yang bakal kita tinggalkan sepanjang perjalanan..
.
13.  Perbanyakkanlah Solat Sunat.
Solat sunat seperti Solat Sunat Hajat, Solat Sunat Taubat dan Solat Sunat Tahajud adalah bertujuan untuk membantu kita bermunajat kepada Allah سبحانه وتعالى dan membersihkan diri kita dari dosa-dosa dan segala perbuatan lampau yang telah banyak kita lakukan. Dengan memohon keampunan dan taubat ini semoga Allah سبحانه وتعالى mengampuni kita..
.
14.  Belajar Solat Jenazah.
Pada musim haji, sama ada di Masjid Nabawi di Madinah mahupun di Masjdil Haram, Makkah, hampir setiap solat wajib diiringi dengan Solat Jenazah. Mungkin kerana suhu udaranya yang sangat panas dan kadang-kadang terlalu sejuk, ditambah keadaan jemaah yang lemah maka hampir setiap solat ada saja permintaan untuk Solat Jenazah bagi jemaah haji yang meninggal dunia di dua kota suci tersebut. Oleh kerana itu, bagi jemaah yang belum mengetahuinya atau belum hafal bacaannya dianjurkan untuk mempelajari serta diingat sebelum berangkat ke Tanah Suci..
.
15. Tunaikan Amanah Dan Nafkah

Mengembalikan semua amanah orang yang ada pada kita. Jika belum berkesempatan, maka perlu diwakilkan kepada seseorang agar menguruskannya jika terjadi sesuatu kepada diri kita. Di samping itu mohonlah dihalalkan daripada mereka yang pernah berurusan dengan kita.

Para jemaah yang berstatus ketua keluarga hendaklah menyediakan nafkah yang secukupnya untuk kehidupan dan keperluan keluarga serta mereka yang di bawah tanggungan mereka sepanjang berada di Tanah Suci sehingga kepulangan para jemaah ke tanah air. Pastikan juga nafkah orang yang kita tinggalkan di rumah, daripada sumber yang baik, suci dan bersih.
.
.
16.  Selesaikan Hutang Piutang. 

Hutang boleh mengganggu ketenangan dalam menunaikan ibadah haji. Sebelum berangkat selesaikan dulu segala hutang piutang yang telah sampai tempoh masa perjanjiannya.  Di samping itu mohonlah dihalalkan daripada mereka yang pernah berurusan dengan kita.

Beritahu kepada keluarga yang ditinggalkan sekiranya ada sebarang hutang yang tertangguh sehingga jika terjadi apa-apa terhadap diri kita, maka mereka yang ditinggalkan dapat menyelesaikannya.
.
.
17. Sumber Wang Halal. 

Sumber wang yang diperolehi untuk menunaikan ibadah Haji dan Umrah haruslah jelas kehalalannya, bukan dari hasil subahat dan tidak juga dari wang haram. Wang untuk menunaikan Haji dan Umrah bukanlah berasal dari hasil wang rasuah, penyelewengan, penipuan dan sebagainya kerana sumber nafkah yang haram, hajinya tidak diterima oleh Allah سبحانه وتعالى.

Segala kos mengerjakan ibadah itu hendaklah yang halal lagi diredhai Allah سبحانه وتعالى. Ini juga berdasarkan kepada hadis Rasulullah :
“Apabila seseorang pergi menunaikan haji dengan perbelanjaan yang baik (halal) dan meletakkan langkah kakinya, kemudian dia melaungkan: “Labaik Allahumma Labaik.” (Ya Allah! Inilah aku datang menyahut pangillanMu). Maka menyeru ia oleh seorang penyeru dari langit: “Allah sambut kedatanganmu semoga kamu akan bahagia (kerana) bekalanmu halal dan kenderaanmu (dari hasil yang) halal, maka haji engkau mabrur (diterima) tidak dicampuri dosa (tidak ditolak).” Sebaliknya apabila seseorang pergi haji dengan perbelanjaan yang haram, lalu dia melangkah kaki sambil menyeru: “Labaik Allahumma Labaik!” (Ya Allah! Daku sahut panggilanMu). Maka menyeru seorang penyeru dari langit: “Tidak diterima kunjunganmu, dan tidak berbahagia keadaanmu! (Kerana) bekalanmu haram, perbelanjaanmu (dari harta yang) haram, maka hajimu dicampuri dosa (tidak diterima), tidak mendapat pahala.” (Hadith Riwayat Tabrani dari Abu Hurairah r.a)

No comments:

Post a Comment