HAJI adalah ibadat yang difardukan, salah satu Rukun Islam yang lima.
Ibadat haji merangkumi ibadat badaniah seperti sembahyang dan puasa,
ibadat maliyah seperti zakat dan merupakan jihad pada jalan Allah yang
memerlukan pengorbanan daripada bakal-bakal haji sama ada tubuh
badannya, hartanya dan jiwanya bahkan ia adalah sebaik-baik jihad.
Untuk kesempurnaan ibadat yang sangat besar erti dan faedahnya kepada
seorang hamba, Islam telah menggariskan beberapa adab yang perlu
dilakukan oleh hamba-Nya yang menunaikan fardu haji ke Baitullahi haram.
Perkara ini perlu diambil perhatian oleh setiap bakal jemaah haji bagi
tujuan menambah kesempurnaan ibadat haji.
ADAB-ADAB MENGERJAKAN HAJI
* Ikhlas di dalam niat adalah asas penerimaan segala ibadat ikhlas.
Maknanya, membersihkan jiwa yang hendak menghampiri Allah daripada
segala campuran yang terdorong oleh nafsu seperti riak atau lain-lain
sifat keji.
Al-Fudhoil bin Iyad pernah ditanya tentang amalan yang dimakbulkan
Allah. Beliau menjawab iaitu yang ikhlas dan yang betul. Ditanya lagi
apakah yang ikhlas dan betul itu. Beliau menjawab sesungguhnya amalan
itu bila adalah ia ikhlas dan tiada betul tiada diterima dan apabila
betul dan tidak ikhlas juga tiada terima sehinggalah ia ikhlas dan
betul. Yang ikhlas itu ialah semata-mata kerana Allah dan yang betul itu
ialah yang mengikut sunah.
* Bertaubat daripada segala dosa-dosa dan kezaliman
Apabila seseorang itu berazam hendak menunaikan haji, hendaklah dia
bersungguh-sungguh bertaubat daripada segala maksiat dan segala yang
dibenci oleh syarak dan berselaluan taubatnya serta disertai dengan
istighfar dan meninggalkan segala perbuatan zalim terhadap hamba-hamba
Allah, melangsaikan segala hutang, mengembalikan segala amanah yang ada
di dalam tangannya, meminta halal daripada orang yang ia berurusan
dengan mereka dan sahabat handainya, menulis wasiat sama ada yang
bersangkut dengan hak-hak Allah mahupun hak-hak hamba dan dipersaksikan
wasiat itu dengan mewakilkan untuk ditunaikan hutangnya dan memberikan
belanja untuk keluarga dan orang-orang yang di bawah tanggungannya yang
mencukupi sehingga masa kepulangannya.
* Mencari keredhaan
Berusaha mencapai keredhaan kedua-dua ibu bapa, kaum kerabat dan
guru-guru. Jika ia seorang isteri hendaklah ia mendapatkan keredhaan
suaminya dan kaum kerabatnya sendiri dan bagi suami disunatkan
mengerjakan haji bersama-sama isterinya.
Jika seseorang itu ditegah oleh salah seorang ibu bapanya daripada
mengerjakan haji, hendaklah dilihat jika ditegah daripada mengerjakan
haji fardu maka tegahannya itu tidak dihiraukan sekalipun tiada
diperkenankan kerana ibu atau bapanya yang menghalang itu sudah
melakukan maksiat dengan tegahannya itu. Apabila ia berihram, bapanya
tidak boleh memaksanya bertahallul daripada ihramnya tetapi jika haji
itu haji tatawwu (sunat), tiada harus baginya berihram, dan jika ia
berihram harus bagi bapanya memaksa bertahallul mengikut qaul yang
sahih.
Adapun isteri, serta suaminya berhak menghalangnya daripada
mengerjakan haji fardu mengikut qaul yang azhar kecuali di dalam
beberapa keadaan kerana hak suami terhadap isteri itu segera, menunaikan
haji fardu tiada dengan segera.
* Punca perbelanjaan
Perbelanjaan haji hendaklah daripada sumber halal yang tiada subahat
padanya. Jika seseorang mengerjakan haji dengan wang yang haram, sah
hajinya pada zahir tetapi ia tidak akan menjadi haji mabrur. Jauh
daripada diterima oleh Allah. Ini adalah menurut Mazhab Shafie, Malik
dan Abu Hanifah dan jumhur ulama salaf dan khalaf adapun di sisi Imam
Ahmad bin Hambal tiada sah haji dengan harta yang haram.
* Bekalan yang lebih
Disunatkan berbekal dengan bekalan dan perbelanjaan yang lebih bagi
tujuan membantu orang-orang yang berhajat kepada bantuan dan hendaklah
bekalan itu dari pada barang-barang yang bermutu baik dan halal. Firman
Allah yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman belanjakanlah (pada
jalan Allah) sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik, dan
sebahagian daripada apa yang kami keluarkan dari bumi untuk kamu dan
janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu
dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat).
* Menjauhi tawar-menawar
Sunat menjauhi tawar-menawar yang berlebih-lebihan ketika membeli
barang-barang untuk keperluan haji bagi dirinya demikian juga
barang-barang yang hendak dibuat kebajikan dengannya untuk mendekatkan
diri kepada Allah.
* Tidak bercampur bekalan dan perbelanjaan
Tidak digalakkan bercampur di dalam bekalan dan perbelanjaan kerana
bersekutu itu boleh menghalang seseorang itu melakukan berbagai-bagai
kebajikan sekalipun diizinkan oleh rakan sekutunya tetapi tiada dapat
dipercayai penerusan keredhaannya.
Jika kedua-duanya bersetuju membuat kebajikan, maka disunatkan
masing-masing menggunakannya di bawah kadar haknya adapun berhimpun
makan beramai-ramai, bergilir-gilir belanja adalah lebih baik dan elok.
Tiada mengapa bagi seseorang itu memakan lebih banyak daripada
rakan-rakannya, jika ia percaya atau rakan-rakannya tiada menghalang.
Jika tidak hendaklah dia makan mengikut keadaan habuannya.
* Mencari rakan dan teman
Hendaklah mendapatkan rakan-rakan, teman yang sesuai yang cenderung
kepada kebajikan dan bencikan kejahatan. Sabda Rasulullah s.a.w kepada
seorang sahabat (Khafaf bin Nudbah) diriwayatkan oleh Ibnu Abdul Bar dan
lain-lainnya yang bermaksud: Rakan-rakan yang bila kita lupa ia
mengingatkan dan bila kita ingat ia membantu.
Telah diriwayatkan oleh Ibnu Abiddunya hadis yang bermaksud: Amatlah
baik sekiranya rakan-rakan itu daripada golongan orang-orang yang
berilmu (ulama) kerana ia sangat membantu ke arah melakukan
berbagai-bagai kebajikan dan berakhlak mulia dan dengan ilmu dan
amalannya, ia dapat mencegah rakannya daripada keburukan yang boleh
berlaku daripada seseorang musafir iaitu perangai-perangai yang tidak
baik seperti tidak sabar, keluh kesah dan sebagainya.
Hendaklah seseorang itu memelihara keredhaan rakannya, bersabar di
atas kesilapan yang berlaku dan masing-masing memandang yang lainnya
lebih baik dan lebih hormat daripada dirinya. Sekiranya berlaku
pergeseran yang berlarutan di antara kedua-duanya dan tiada harapan
untuk diperbetulkan maka hendaklah disegerakan perpisahan dengan cara
yang baik kerana perpisahan yang demikian itu lebih menyelamatkan
kedua-dua pihak daripada melakukan perkara-perkara yang meletakkan
amalan haji jauh daripada dapat diterima oleh Allah.
* Sembahyang sunat musafir
Disunatkan apabila hendak meninggalkan rumah dan bermusafir,
menunaikan sembahyang sunat musafir dua rakaat dengan berniat di hatinya
sunat keluar dari rumah untuk musafir. Dibaca pada rakaat pertama
selepas Fatihah surah Al-Kafirun dan rakaat kedua dibaca surah
Al-Ikhlas.
Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud: Tidak ada yang lebih
baik yang ditinggalkan oleh seseorang kepada keluarganya selain daripada
dua rakaat sembahyang yang dilakukan di sisi mereka ketika hendak
bermusafir, dan disunatkan membaca selepas salam ayat Qursi dan
Al-Kafirun.
Sesiapa yang membaca ayat Qursi ketika keluar dari rumahnya tiada
menimpa ke atasnya sesuatu yang tidak disukainya sehingga ia pulang
daripada ibadat hajinya. Dan terdapat juga perkataan Assalafusoleh
berkenaan dengan membaca surah Al-Kafirun mafhumnya: Sesiapa yang hendak
bermusafir dan ia merasai takut kepada seteru atau binatang buas, maka
bacalah surah ini sesungguhnya ia mengamankan daripada sebarang
keburukan. Kemudian berdoa memohon kebaikan dunia dan akhirat.
Pertolongan dan taufik di dalam perjalanannya.
* Mengucap selamat tinggal
Sunat mengucapkan selamat tinggal kepada keluarga, jiran dan
kawan-kawan dengan ia pergi kepada mereka kerana telah sabit bahawa
Rasulullah s.a.w apabila hendak musafir, baginda pergi menemui
sahabatnya dan memberi salam kepada mereka dan apabila baginda pulang
mereka (sahabat-sahabat) pula datang menemuinya dengan mengucapkan salam
kepada Baginda. Orang hendak musafir mendatangi kerana ia yang hendak
berpisah dan orang yang pulang didatangi untuk diucap tahniah dan
selamat pulang. Yang hendak bermusafir dan yang mengucapkan selamat
berangkat, masing-masing saling berdoa di antara mereka.
* Tidak berlebih-lebihan dalam sebarang keadaan
Menjauhi kekenyangan yang berlebihan dan berhias-hiasan, tiada
mempelbagai makan minum, berurusan dengan lemah lembut sekalipun dengan
khadam dan orang suruhan. Tiada bersikap kasar lebih-lebih lagi terhadap
peminta bantuan sedekah atau seumpamanya. Menjauhi perkelahian,
pertengkaran dan berpusu-pusu dengan manusia yang ramai di mana juga.
Memelihara diri dari pada percakapan-percakapan yang kotor, maki hamun,
mengumpat, mengata. Sentiasa mengingati sabda Rasulullah s.a.w yang
bermaksud: Tiada mengeji orang yang berjalan tanpa bekalan bahkan
bersimpati dengannya dan membantunya sekadar yang boleh atau menolaknya
dengan baik dan berdoa untuknya.
* Berdoa dalam perjalanan
Sunat membanyakkan berdoa dalam sepanjang perjalanan untuk dirinya,
kedua-dua ibu bapanya, kaum kerabat dan sekelian orang muslimin.
* Sentiasa dalam kebersihan
Berkekalan dalam keadaan yang bersih, memelihara sembahyang di dalam
waktunya. Harus menqasar dan menjamak. Harus menqasar sahaja tanpa jamak
dan sebaliknya tetapi yang afdal menqasar dan tiada menjamak. Imam Abu
Hanafiah dan lainnya berkata: Qasar itu wajib apabila perjalanan itu
dua marhalah ke atas dan jamak haram kecuali di Arafah dan Muzdalifah
dan disunatkan mengerjakan sunat-sunat rawatib dengan fardu.
* Mempelajari kaifiat mengerjakan haji
Akhirnya apabila seseorang itu berkehendak menunaikan fardu haji,
hendaklah ia mempelajari kaifiatnya iaitu segala rukun-rukun,
syarat-syarat, wajib-wajib dan yang haram di dalam ihram dan yang
membatalkan. Ini adalah fardu ain. Tidak sah ibadah mereka yang tiada
mengetahuinya. Sunat dibawa bersama-samanya kitab yang menerangkan
amalan haji dan selalu membacanya kerana dibimbangkan berlaku kesilapan
atau ketinggalan syarat atau rukun atau umpamanya yang boleh merosakkan
ibadat haji dan umrahnya.
Terdapat mereka yang terikut-ikut di dalam mengerjakan ibadat haji
ini dengan amalan orang-orang yang disangka mengerti dalam perkara
ibadat haji seperti sebahagian penduduk Mekah, padahal mereka juga tidak
memahami tentang ibadat haji. Orang yang terikut-ikut itu terpedaya dan
akibatnya haji mereka tidak diterima.
No comments:
Post a Comment