Tuesday, 24 June 2014

WUKUF DI ARAFAH



Wukuf di Arafah
Wukuf di Arafah adalah rukun haji yang kedua tetapi yang utama dari rukun-rukun haji itu. Itu adalah berdasarkan kepada sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : "Dari Abdul Rahman bin Ya'mur r.a katanya: Bahawa Rasulullah s.a.w menyuruh seorang penyeru menyerukan : "Haji itu ialah "Arafah". Barang siapa datang pada malam tanggal sepuluh, sebelum terbit fajar, bererti dia telah mendapatkan Arafah" (Riwayat - Ahmad dan Ashabus Sunan)
WAKTU WUKUF
Apabila tiba 8 atau 9 Zulhijjah, setelah berihram (bagi mengerjakan haji secara tamattu') maka berangkatlah untuk berwukuf di Padang Arafah. Arafah letaknya di luar Tanah Haram dan jauhnya dari Mekah lebih kurang 12 batu atau 18 kilometer.

Masa yang wajib berada atau berwukuf di Arafah ialah di awal waktu Zuhur pada 9 Zulhijjah, hingga sebelum fajar pada hari Nahar, iaitu 10 Zulhijjah, tetapi tidak semestinya berada di Padang Arafah itu sepanjang masa yang tersebut kerana sahlah berhenti disitu walaupun sebentar sahaja pada masa di antara Zuhur 9 Zulhijjah hingga sebelum fajar 10 Zulhijjah.
Masa yang sebaik-baiknya ialah sebahagian dari kesembilan dan sebahagian malam kesepuluh. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: Rasulullah s.a.w berrsabda "Barangsiapa dapat berada di Arafah sebelum terbit fajar (pada hari yang kesepuluh Zulhijjah maka dapatlah haji itu"
 Wukuf bermaksud berhenti dan berada di bumi Arafah sebentar atau seketika (sekalipun satu saat dalam apa juga keadaan).
Masanya bermula dari tergelincir matahari (masuk waktu Zuhur/waktu di Arab Saudi) hari ke 9 Zulhijah sehingga seketika sebelum terbit fajar (masuk waktu Subuh/waktu Arab Saudi) pada hari ke 10 Zulhijjah.
Waktu afdalnya adalah berwuquf sebahagian dari siang hari 9 Zulhijjah dan sebahagian dari malam 10 Zulhijjah.
Rasulullah SAW bersabda: “Tiada hari yang lebih disukai Allah dalam melaksanakan amalan soleh daripada hari-hari ini, iaitu 10 hari pada Zulhijah.”
.

ARAFAH

..
Di Arafah terdapat Jabal Rahmah (Bukit Kasih Sayang) di Gunung Arafat yang menjadi tumpuan umat berdoa. Di bukit ini didirikan sebuah tugu putih bagi mengenang pertemuan antara Nabi Adam a.s dan Hawa setelah mereka dikeluarkan dari syurga dan dipisahkan di dua daratan.
Jabal Rahmah juga merupakan tempat wahyu terakhir kepada Nabi Muhammad SAW ketika baginda melakukan wukuf. Wahyu tersebut bermula dalam surah al-Maidah.
.
Pada Hari Arafah, di sekitar Masjid Namirah iaitu lokasi bersejarah yang menjadi tempat perkhemahan Rasulullah SAW dan sahabat Baginda sebelum tiba waktu untuk Wukuf, akan kelihatan ribuan manusia.
Situasi sama juga kelihatan di lokasi bersejarah lain seperti (Bukit) Jabal Rahmah dan di kaki bukit inilah terdapat batu tempat Rasulullah SAW berwukuf.
Selain ada yang berjalan, terdapat juga jemaah yang duduk di dalam ratusan ribu khemah yang didirikan di seluruh Padang Arafah yang berkeluasan 10 kilometer persegi tersebut.
 .
.

Hari Arafah

Hari Arafah adalah antara hari-hari yang paling afdal di sisi Allah SWT. Daripada Jabir bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Seutama-utama hari adalah hari Arafah.”

Berwukuf di Padang Arafah adalah kemuncak Ibadah Haji dan ia merupakan Rukun Haji yang utama kerana ianya membezakan Haji dan Umrah. Pada Umrah, tiada Wukuf di Arafah. Rasulullah SAW bersabda: “Haji itu adalah wukuf di Arafah.”
Hari Arafah juga adalah hari Allah SWT akan membebaskan sesiapa yang menghadiri Padang Arafah dan memuliakannya, daripada api neraka. Keesokannya adalah hari kesyukuran dan perayaan bagi umat Islam bagi menzahirkan kegembiraan serta kesyukuran ke hadrat Ilahi. 
.
.

Haji Akbar

Sekiranya Wukuf jatuh pada hari Jumaat, ia digelar Haji Akbar dan para jemaah harus memanafaatkannya kerana ia mempunyai kelebihan menunaikan 70 kali haji.
Ketika Nabi Muhammad SAW Wukuf di Arafah pada hari Jumaat, 9 Zulhijjah Tahun 9 Hijrah, turunnya wahyu ayat terakhir al-Quran: “Pada hari ini telah Aku sempurnakan bagimu akan agamamu dan Aku sempurnakan pula nikmat-Ku kepadamu.”  Surah Al-Ma’idah, ayat 3.  Menurut sejarah, 81 hari setelah ayat ini diturunkan baginda pun wafat.
.
.

Syarat Berwuquf

  1. Telah berihram dengan niat haji
  2. Seorang yang beribadat (tidak gila / tidak mabuk / tidak hilang akal sepanjang masa)
  3. Berada di bumi Arafah walau seketika di dalam waktu wuquf.
.

Amalan-Amalan Berwuquf Di Arafah

 Dalam usaha untuk lebih mendekati diri kepada Allah SWT sepanjang berada di Arafah, jemaah haji digalakkan melakukan ibadah dan amalan-amalan sunat berwukuf, antaranya:
  1. Mandi sunat wukuf.
  2. Bertaubat
  3. Solat berjemaah
  4. Solat Jamak dan Qasar Zuhur dan Asar.
  5. Membaca Al-Quran
  6. Memperbanyakkan ucapan:
    • Bertalbiah diselangi dengan doa.
    • Bertasbih, bertahmid, bertahlil.
    • Berdoa bersungguh-sungguh.
    • Berzikir dan pujian kepada Allah SWT.
  7. Kuliah fadilat Arafah.
  8. Solat-solat sunat
  9. Qiyamulail.
 .
.

Hikmah Wukuf

  1. Menimbulkan rasa kekerdilan diri lantaran mengingati dan menyaksikan kebesaran Allah.
  2. Membentuk diri menjadi Muslim yang berjiwa ikhlas dan berakhlak mulia.
  3. Menjadi hamba Allah yang bersyukur terhadap segala Anugerah-Nya.
  4. Melahirkan sifat kemanusiaan dan kesetiakawnan tinggi.
  5. Melahirkan rasa kerelaan untuk melakukan pengorbanan pada insan lain.
  6. Meningkatkan tahap keimanan dan ktakwaan kepada Allah.
 .
.

Amalan Bagi Yang Tidak Menunaikan Haji

Bagi umat Islam yang tidak mengerjakan ibadat haji, mereka boleh memanfaatkan kemuliaan hari Arafah dengan berpuasa sunat, berzikir dan melakukan amalan sunat lain pada hari itu.
Berpuasa Sunat Arafah dapat menghasilkan ganjaran pahala yang sangat besar, sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Berpuasa pada Hari Arafah dinilai di sisi Allah sebagai penghapus dosa bagi setahun yang sebelumnya dan yang selepasnya.” (Hadis riwayat Muslim).
Rasulullah SAW juga bersabda: “Orang yang berpuasa pada Hari Arafah (9 Zulhijjah), Allah akan menuliskan baginya puasa 60 tahun dan Allah menuliskannya sebagai orang yang taat.”
.
.
Niat Puasa Hari Arafah;

نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ مِنْ يَوْمِ الْعَرْفَةَ سُنَّةً لِلَّهِ تَعَالَى

Daku berniat puasa hari Arafah, sunat  kerana Allah Ta’ala.
.
Rasulullah SAW. bersabda lagi: “Tiada hari yang paling ramai Allah SWT melepaskan hamba-Nya dari api neraka melainkan pada Hari Arafah. Dan sesungguhnya Allah Azzawajalla menghampiri (hamba-hamba-Nya) dan berbangga dengan mereka di kalangan para malaikat serta bertanya; Apa yang dikehendaki oleh mereka?”
.
Jadi marilah kita di tanah air merebut peluang ini dengan melakukan puasa 1-9 Zulhijjah, atau setidak-tidaknya diusahakan berpuasa pada Hari Arafah iaitu pada 9 Zulhijah yang amat besar pahala dan manfaatnya itu.

No comments:

Post a Comment