Wednesday, 15 August 2018

TIANG-TIANG BERSEJARAH DI MASJID AL-NABAWI

Monday, 13 August 2018

KELEBIHAN SEPULUH HARI AWAL BULAN ZULHIJJAH & KORBAN.

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على سيد المرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين. وبعد:

Di antara kelebihan dan kurniaan Allah untuk hamba-Nya ialah dijadikan bagi mereka beberapa musim untuk memperbanyakkan amal ibadat dengan dijanjikan pahala yang berganda banyaknya.
Sepuluh hari yang terawal pada bulan Zulhijjah. File PDF, pamplet boleh download di SINI (Kelebihan 10 Awal Zulhijjah)

Beberapa dalil daripada Al-Quran dan Hadis telah menyebut tentang kelebihannya:
1. Firman Allah SWT:

 [ وَالْفَجْرِ وَلَيَالٍ عَشْر]

[سورة الفجر: 1-2]
Maksudnya: {Demi fajar dan malam yang sepuluh.} [Al-Fajr: 1-2]
Kata Ibnu Kathir:  Yang dimaksudkan di sini ialah sepuluh malam yang pertama pada bulan Zulhijjah. Demikian juga tafsiran Ibnu Abbas, Ibnu Az-Zubair, Mujahid dan lainnya. [HR: Imam Bukhari].
2. Dari Ibnu Abbas RA, Rasulullah SAW telah bersabda:

((مَا مِنْ أَيَّامٍ، الْعَمَلُ الصَّالِحُ فِيهِنَّ أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ مِنْ هَذِهِ الأَيَّامِ  -يَعْنِي أَيَّامَ الْعَشْرِ- قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ وَلا الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ؟

قَالَ: وَلا الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ، إِلا رَجُلٌ خَرَجَ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ فَلَمْ يَرْجِعْ مِنْ ذَلِكَ بِشَيْءٍ)). [رواه اأحمد 1968، والترمذي 757، واللفظ له].

Maksudnya: “Tidak ada hari yang amal soleh padanya lebih dikasihi Allah selain dari hari-hari yang sepuluh ini.” Para sahabat bertanya: Walaupun berjihad di jalan Allah?Rasulullah bersabda: “Walaupun berjihad di jalan Allah, kecuali lelaki yang keluar (berjihad) membawa diri serta hartanya dan tidak kembali lagi selepas itu (syahid).” [HR: Ahmad, At-Tirmizi].
3. Firman Allah SWT:

 {وَيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ فِي أَيَّامٍ مَّعْلُومَاتٍ} [سورة الحج: 28]

Maksudnya: {Hendaklah kamu menyebut nama Allah pada hari-hari yang ditentukan.} [Surah Al-Haj: 28].
Kata Ibnu Abbas RA: Maksudnya ialah hari-hari yang sepuluh itu.
4. Dari Ibnu Umar RA, Rasulullah SAW bersabda:

((مَا مِنْ أَيَّامٍ أَعْظَمُ عِنْدَ اللهِ، وَلا أَحَبُّ إِلَيْهِ مِنْ الْعَمَلِ فِيهِنَّ مِنْ هَذِهِ الأَيَّامِ الْعَشْرِ، فَأَكْثِرُوا فِيهِنَّ مِنْ التَّهْلِيلِ وَالتَّكْبِيرِ وَالتَّحْمِيدِ))

[رواه أحمد 5446-صحيح]
Maksudnya: “Tidak ada hari yang lebih besar di sisi Allah SWT dan beramal padanya lebih dikasihi oleh Allah dari hari-hari yang sepuluh ini. Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil, bertakbir dan bertahmid.”
5. Adalah Said bin Jubir RA (perawi yang meriwayatkan Hadis Ibnu Abbas di atas) apabila tiba hari yang tersebut beliau beribadat bersungguh-sungguh sedaya-upayanya. [HR Ad-Darimi- Hasan].
6. Kata Al-Hafiz Ibnu Hajar: Yang jelasnya, di antara sebab keistimewaan sepuluh hari Zulhijjah ini ialah kerana terhimpun di dalamnya beberapa ibadat yang besar iaitu: Solat, puasa, sedekah dan Haji. Pada waktu lain, ibadat-ibadat ini tidak pernah terhimpun sebegitu.
AMALAN-AMALAN YANG BAIK DILAKUKAN PADA HARI-HARI TERSEBUT:
1. SOLAT. Disunatkan keluar cepat menuju ke tempat solat fardhu (berjemaah) dan memperbanyakkan solat sunat kerana ianya sebaik-baik amalan. Thauban RA berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda (maksudnya): “Hendaklah kamu memperbanyakkan sujud kepada Allah, kerana setiap kali kamu sujud kepada-Nya, Allah akan angkatkan darjatmu kepada-Nya dan dihapuskan kesalahanmu.” [HR Muslim]. Ini umum untuk semua waktu.
2. PUASA. Kerana ia juga termasuk di dalam amalan soleh. Dari Hunaidah bin Khalid, dari isterinya, dari setengah isteri-isteri Rasulullah SAW berkata: “Rasulullah SAW berpuasa pada hari sembilan Zulhijjah, pada hari Asyura (10 Muharram) dan tiga hari pada setiap bulan.” [HR Imam Ahmad, Abu Daud dan Nasa’ei]
Kata Imam An-Nawawi: Berpuasa pada hari-hari sepuluh adalah sunat yang sangat digalakkan.
3. TAKBIR, TAHLIL dan TAHMID. Ini kerana hadis Ibnu Umar yang di atas mengatakan: “Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil (mengucapkan La-ilaha-illaLlah), bertakbir (mengucapkan Allahu-Akbar) dan bertahmid (mengucapkan Alhamdulillah).”
Kata Imam Bukhari:  “Ibnu Umar dan Abu Hurairah RA menuju ke pasar pada hari-hari sepuluh dan bertakbir. Orang ramai yang mendengarnya kemudian turut bertakbir sama.”
Katanya lagi: “Ibnu Umar sewaktu berada di dalam khemahnya di Mina bertakbir, apabila orang ramai yang berada di masjid dan pasar mendengarnya, mereka turut bertakbir sama sehingga Mina riuh dengan suara takbir.”
Ibnu Umar RA bertakbir di Mina pada hari-hari tersebut selepas mengerjakan solat, pada waktu rehat, di dalam majlis dan di semua tempat. Maka sunat mengangkat suara sewaktu bertakbir berdasarkan perbuatan Sayyidina Umar, anaknya dan Abu Hurairah RA.
Adalah patut sekali para muslimin sekarang menghidupkan kembali sunnah yang telah dilupakan pada hari ini, sehinggakan orang-orang yang baik pun telah melupakannya, tidak seperti  orang-orang soleh yang terdahulu.
Antara lafaz-lafaz takbir yang diriwayatkan oleh para sahabat dan tabiin:

الله أَكْبَر. الله أكْبَر. الله أكْبَر كَبِيْراً.

الله أكْبَر. الله أكْبَر. لا إِلهَ إِلا الله وَالله أكْبَر.

الله أكْبَر. وَلِلّهِ الْحَمْد.

الله أكْبَر. الله أكْبَر. الله أكْبَر.

 لا إِلهَ إلا الله وَالله أكْبَر.

الله أكْبَر. الله أكْبَر . وَلله الْحَمْد.

Khutbah Segeralah Menunaikan Haji, Panduan Ibadah 10 Awal Zulhijjah dan Ibadah Korban
4. PUASA PADA HARI ARAFAH. Hendaklah berpuasa bagi sesiapa yang mampu pada hari Arafah (9 Zulhijjah) kerana amalan ini telah sabit dari Rasulullah SAW. Baginda telah bersabda mengenai kelebihannya.

 ((صِيَامُ يَوْمِ عَرَفَةَ أَحْتَسِبُ عَلَى اللهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ وَالسَّنَةَ الَّتِي بَعْدَهُ)) [رواه مسلم]

Maksudnya: “Aku mengharapkan Allah menghapuskan kesalahan setahun yang lalu dan setahun yang akan datang.” [HR Muslim].
PERINGATAN: Ini hanyalah disunatkan untuk orang  yang TIDAK mengerjakan haji sahaja. Tetapi bagi jemaah haji yang sedang berwukuf di Arafah tidak disunatkan berpuasa kerana Rasulullah SAW tidak berpuasa sewaktu Baginda wukuf di Arafah iaitu pada tahun Baginda mengerjakan haji.
5. KELEBIHAN HARI RAYA KORBAN (YAUM AN-NAHR), 10 ZULHIJJAH.
Kebanyakan orang Islam telah lupa akan kelebihan hari ini. Kebesaran dan kelebihan perhimpunan umat Islam yang begitu ramai dari seluruh pelusuk dunia. Sesetengah ulama’ berpendapat hari ini ialah hari yang paling afdhal didalam setahun sehingga melebihi hari Arafah.
Kata Ibnu Al-Qayyim: Sebaik-baik hari di sisi Allah ialah hari Nahr, iaitu hari Haji yang besar (Hajj Al-Akbar), seperti yang tersebut di dalam Sunan Abi Daud [No.1765], hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya hari yang paling besar di sisi Allah ialah hari Nahr, kemudian hari Qar”. (Hari Qar ialah hari yang para jamaah haji mabit (bermalam) di Mina iaitu hari kesebelas Zulhijjah).
Setengah ulama’ lain pula berpendapat hari Arafah lebih afdhal kerana berpuasa pada hari itu mengampunkan dua tahun kesalahan, tidak ada hari lain yang Allah merdekakan hamba-Nya lebih ramai daripada hari Arafah dan pada hari itu juga Allah SWT turun menghampiri hamba-Nya dan berbangga kepada malaikat dengan hamba-Nya yang berwukuf pada hari tersebut.
Yang lebih tepatnya ialah pendapat yang pertama (Hari Nahr), kerana hadis telah jelas menyebutkan kelebihannya dan tidak ada yang menyalahinya.
Samada hari Nahr  atau hari Arafah yang lebih utama, hendaklah setiap muslim, yang bermukim atau yang mengerjakan haji mengambil peluang ini dengan sepenuhnya untuk mendapatkan kelebihan beribadat pada keduanya.
CARA MENYAMBUT MUSIM KEBAJIKAN:
1. Setiap muslim hendaklah menyambut kedatangan musim kebajikan umumnya dengan bertaubat yang sebenar-benarnya, meninggalkan segala dosa dan maksiat kerana dosalah yang menyekat manusia dari kebaikan dan menjauhkannya dari Tuhannya.
2. Menanam semangat dan azam yang kuat untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud: {Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, nescaya Kami tunjukkan kepada mereka jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar bersama mereka yang berbuat baik.} [Al-Ankabut: 69].
Contohi Korban Nabi Ibrahim ( Hajar & Ismail)
Perhatian kepada mereka yang ingin melakukan Ibadat korban!
Sabda Rasulullah SAW: Maksudnya: “Apabila masuk sepuluh terawal bulan Zulhijjah dan seseorang itu telah berniat untuk menunaikan ibadat korban, maka janganlah dia membuang (memotong) bulu dan kukunya.” [HR Muslim].
Kata Imam Nawawi rhm: “Para ulama’ berbeza pendapat tentang hukum hadis ini, Imam Ahmad dan sebahagian ulama’ Syafei mengatakan haram perbuatan menghilangkan bulu tadi, tetapi Imam Syafei dan ulama’nya yang lain mengatakan ia adalah makruh tanzih (iaitu makruh yang tidak sampai kepada haram).” [Syarah Sahih Muslim].
Maka sebaik-baiknya bagi kita adalah mengelakkan perkara tersebut dan melakukan persediaan pada awalnya lagi untuk menghadapi larangan yang besar ini.
Akhirnya, sama-samalah kita berdoa semoga  kita dipilih oleh Allah untuk termasuk ke dalam golongan mereka yang berlumba-lumba untuk melakukan kebaikan. Sekian, wassalam.

Sunday, 12 August 2018

Rebutlah Kelebihan Puasa Sunat Hari ‘Arafah
بسم اهللا ، واحلمد هللا ، والصالة والسالم على رسول اهللا ، وعلى آله وصحبه ومن وااله
(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Umat Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam amat beruntung kerana dikurniakan banyak keistimewaan, antaranya dikurniakan dengan pengkhususan puasa sunat pada hari ‘Arafah yang mempunyai keistimewaan yang begitu besar bagi sesiapa yang mengerjakan puasa tersebut.
Puasa hari ‘Arafah ialah puasa sunat yang dilakukan pada hari ke 9 Dzulhijjah. Hukumnya sunat muakkadah bagi orang yang tidak mengerjakan haji, tidak musafir dan tidak sakit.
Manakala orang yang mengerjakan haji tidak disunatkan untuk berpuasa pada hari tersebut walaupun dia berkeupayaan untuk melaksanakan puasa, kerana Rasulullah Shallalahu ‘alaihi wasallam sendiri tidak berpuasa ketika Baginda wuquf.
Ummu al-Fadhl bin al-Harits Radhiallahu ‘anha meriwayatkan:
أَّMaksudnya: “Bahawa beberapa orang di sisinya (di sisi Ummu Fadhl Radhiallahu ‘anha) pada hari ‘Arafah membicarakan puasa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam (pada hari Arafah).
Sebahagian mereka mengatakan: “Baginda berpuasa” dan sebahagian mereka pula mengatakan: “Baginda tidak berpuasa”. Maka Ummu al-Fadhl menghantar kepada Baginda segelas susu dan Baginda (pada ketika itu) berada di atas untanya, lalu Baginda meminum susu tersebut.”.
(Hadits riwayat al-Bukhari)
Selain tidak berpuasa ketika wuquf kerana mengikut sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, orang yang wuquf juga tidak disunatkan berpuasa supaya membantunya agar lebih kuat dan untuk memperbanyakkan berdoa ketika wuquf di ‘Arafah kerana afdhal berdoa pada hari tersebut.
Begitu juga tidak disunatkan bagi orang yang musafir dan orang sakit untuk berpuasa pada hari ‘Arafah jika dengan berpuasa itu akan mendatangkan kepayahan kepada mereka.
Sunat Berpuasa Pada Hari Ke 8 Dzulhijjah
Di samping disunatkan berpuasa pada hari ‘Arafah (hari ke 9 Dzulhijjah), disunatkan juga berpuasa pada hari ke 8 Dzulhijjah, sebagai langkah berhati-hati kerana kemungkinan hari ke 8 Dzulhijjah itu adalah hari ke 9 Dzulhijjah.
Berbeza dengan 9 Zulhijjah, puasa pada hari ke 8 Dzulhijjah ini tidak hanya sunat dilakukan oleh orang-orang yang tidak mengerjakan haji sahaja, bahkan juga oleh orang-orang yang mengerjakan haji.
Kelebihan Berpuasa Sunat Hari ‘Arafah
Kelebihan berpuasa sunat hari ‘Arafah disebutkan di dalam hadits iaitu dapat menghapuskan dosa-dosa setahun sebelumnya dan dosa setahun selepas itu bagi sesiapa yang mengerjakannya.
Diriwayatkan daripada Abu Qatadah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Berpuasa pada hari ‘Arafah aku memohon kepada Allah (akan ganjaran kerana melakukan puasa hari ‘Arafah) supaya Allah menebus (dosa) setahun sebelumnya dan setahun selepasnya.”
(Hadits riwayat Muslim)
Apa yang dimaksudkan dengan menebus (dosa) setahun sebelum dan setahun selepasnya dalam hadits tersebut ialah diampunkan dosa-dosa setahun sebelum hari ‘Arafah yang lalu dan setahun selepas hari ‘Arafah yang akan datang.
Berkata Imam al-Mawardi Rahimahullah, bahawa ‘pengampunan’ di dalam hadits tersebut mempunyai dua tafsiran:
i. Allah Subhanahu wa Ta‘ala mengampunkan dosanya pada dua tahun tersebut.
ii. Allah Subhanahu wa Ta‘ala memeliharanya pada dua tahun tersebut, dan dia tidak akan berbuat maksiat pada dua tahun tersebut.
Adapun pengampunan dosa-dosa yang dimaksudkan itu adalah pengampunan bagi dosa-dosa kecil, kerana dosa-dosa besar hanya dapat diampunkan dengan taubat atau (pengampunan) melalui rahmat Allah. Manakala maksud pengampunan dosa-dosa kecil dalam hal ini pula ialah dosa-dosa kecil yang tidak bersangkut paut dengan dosa-dosa sesama manusia.
Puasa Sunat Hari ‘Arafah Yang Jatuh Pada Hari Jumaat
Pada dasarnya makruh mengerjakan puasa sunat semata-mata pada hari Jumaat sahaja, begitu juga berpuasa sunat semata-mata pada hari Sabtu sahaja atau pada hari Ahad sahaja berdasarkan hadits- hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Antaranya, sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Jangan sekali-kali seorang daripada kamu berpuasa sunat (semata-mata) pada hari Jumaat melainkan (dia berpuasa) sehari sebelumnya atau sehari selepasnya.
(Hadits riwayat al-Bukhari)
Berdasarkan hadits tersebut, jelas bahawa makruh hukumnya mengerjakan puasa sunat semata-mata pada hari Jumaat sahaja tanpa menggandingkannya dengan hari sebelumnya iaitu hari Khamis atau hari selepasnya iaitu hari Sabtu. Begitu juga makruh hukumnya berpuasa sunat semata-mata pada hari Sabtu sahaja tanpa digandingkannya dengan hari Ahad berdasarkan hadits- hadits yang melarang berbuat demikian.
Walau bagaimanapun jika puasa sunat hari ’Arafah jatuh pada hari Jumaat atau pada hari Sabtu atau pada hari Ahad, maka tidak makruh melakukan puasa sunat pada hari tersebut secara bersendirian (tidak digandingkan dengan hari sebelum atau hari selepasnya). Ini kerana hari tersebut memang sudah jelas dianjurkan oleh syara’ untuk berpuasa sunat, umpamanya jatuh puasa sunat hari ’Arafah atau puasa sunat hari ’Asyura bertepatan pada hari Jumaat atau bertepatan pada hari Sabtu.
Perselisihan Tarikh 9 Dzulhijjah Dengan Waktu Wuquf Di ‘Arafah
Persoalannya, -inilah yang terjadi- jika tarikh 9 Dzulhijjah di Negara Brunei Darussalam itu tidak bertepatan dengan hari wuquf di ‘Arafah, adakah bagi penduduk Negara Brunei Darussalam berpuasa pada hari ‘Arafah mengikut tarikh 9 Dzulhijjah di Negara Brunei Darussalam atau mengikut waktu wuquf jemaah haji di ‘Arafah?
Dalam hal ini, perlu diketahui bahawa ketetapan awal bulan Hijrah dalam perkara berhubung agama ialah mengikut anak bulan di ufuk setelah berlalu bulan yang terdahulu sebanyak dua puluh sembilan hari atau jika tidak nampak anak bulan pada malam dua puluh sembilan, maka bulan yang terdahulu digenapkan kepada tiga puluh hari. Dan hari berikutnya dianggap sebagai satu haribulan bagi bulan yang berikutnya menurut dalil-dalil dari hadis dan amalan umat Islam.
Oleh kerana itu, maka wajiblah diikut ketetapan yang dibuat oleh pihak berautoriti Negara Brunei Darussalam pada menetapkan awal bulan Dzulhijjah. Apabila telah disabitkan awal Dzulhijjah di Negara Brunei Darussalam, maka hari kesembilan Dzulhijah itulah hari ‘Arafah dan pada hari kesembilan Dzulhijjah itulah juga hari disunatkan berpuasa hari ‘Arafah. Dan tidak sah berpuasa hari ‘Arafah mengikut hari jemaah haji wuquf di ‘Arafah, kerana berlainan kedudukan ‘Arafah dan kedudukan Negara Brunei Darussalam pada awal anak bulan sebab berjauhan di antara dua buah negeri.
Jelaslah bahawa puasa sunat hari ’Arafah merupakan puasa yang bukan sahaja menjanjikan ganjaran pahala sunat bagi sesiapa yang melakukannya, bahkan kelebihannya menjadi penebus dosa-dosa kecil bagi setahun sebelum dan setahun selepas ia dikerjakan. Ia adalah peluang istimewa yang hanya datang setahun sekali. Janganlah kita lepaskan peluang ini. Jika para jemaah haji merebut peluang meraih pahala di bumi Makkah dengan melaksanakan ibadah dan dengan banyak kelebihan-kelebihannya, kita pula jangan lepaskan peluang meraih pahala dan kelebihan-kelebihan yang ada di bulan haji ini, antaranya dengan mengerjakan puasa sunat hari ’Arafah.

Bicara Keistimewaan dan Kelebihan Hari Arafah


Terlalu banyak keistimewaan dan kelebihan Hari Arafah di antara ialah: 

1. Hari Pembebasan
Hari Arafah adalah hari pembebasan. Rasulullah SAW telah bersabda:
“Tidak ada satu hari pun yang di hari itu Allah lebih banyak membebaskan hamba-Nya dari api neraka daripada hari ‘Arafah, sebab pada hari itu Dia turun kemudian membangga-banggakan mereka di depan para malaikat seraya berfirman: ‘Apa yang mereka inginkan? ‘  ( Sahih Muslim 3275).

Hari Arafah adalah hari yang utama di mana Allah Ta’ala membebaskan hamba-hambaNya dari api neraka dan Allah membangga-banggakan orang-orang di Arafah di depan para malaikat.

2.  Hari Disempurnakan Agama-Nya 
Hari Arafah adalah hari yang agung kerana hari ini Allah telah menyempurnakan agama-Nya, dan melengkapkan nikmat-Nya:
الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا ۚ
“Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agamamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.” (Al-Maidah: 3).

3. Hari Perayaan
Hari Arafah merupakan sambutan perayaan yang mulia bagi Hujjaj. Berkata Ibnu Qayyim :
( Hari Arafah adalah hari raya bagi ahli Arafah, kerana itulah ditegah bagi mereka yang berada di Arafah melaksanakan puasa sunat ) ( lihat : Zadul Maad )

4. Sebesar – besar rukun haji terletak di Arafah iaitu Wuquf
Wukuf di Arafah ialah rukun haji yang terpenting, tanpanya tidak sah ibadah haji. Sabda rasulullah s.a.w. maksudnya :
( Haji adalah Wuquf di Arafah ) – Riwayat Imam Ahmad, Termizi  Ibnu Majah
Berkata Imam Nawawi :  Maksudnya : Tiang dan sebesar rukun haji adalah Wuquf di Arafah

Antara amalan yang sunat dilakukan pada Hari Arafah:

1. Puasa
Hari Arafah merupakan hari yang mempunyai kelebihan tersendiri. Jika para jemaah haji diwajibkan berada di padang Arafah untuk wuquf di sana, kita yang tidak berkesempatan untuk menunaikan haji dianjurkan untuk berpuasa pada hari ini. 
Rasulullah S.A.W.  telah ditanya mengenai puasa hari Arafah? Maka jawab Rasulullah S.A.W yang artinya  :  Dikaffarah (ampun dosa) setahun lalu dan setahun akan datang. (Riwayat  Imam Muslim, Tarmizi, Ibnu Khuzaimah dan Baihaqi)

2. Berdoa
Rasulullah SAW menggesa supaya kita memperbanyakkan berdoa pada hari yang agung ini. Baginda SAW bersabda:
“Sebaik-baik doa ialah doa pada hari ‘Arafah. Sebaik-baik ucapan yang pernah aku dan rasul sebelumku ungkapkan ialah tiada tuhan melainkan Allah …” (Riwayat at-Timizi).

Marilah sama sama kita memohon agar Allah s.w.t. menjadikan kita pada hari Arafah tergolong orang-orang yang diterima amalnya, orang-orang yang diberikan kemenangan dan orang-orang yang Allah bebaskan dari api neraka. Aamein