Friday, 2 August 2019

Ini ada satu gambar rajah perjalanan haji mengikut tertibnya.


Ini ada satu gambar rajah perjalanan haji mengikut tertibnya. Bila ada gambar begini, sesetengah orang lagi mudah untuk nampak dan faham bagaimana kerja buat haji itu sebenarnya.
Baiklah, kita pergi satu persatu mengikut nombornya ya:
1. Berihram.
Mestilah berniat di beberapa buat Miqat yang telah disebutkan oleh Nabi SAW. Ada 5 semuanya dan ianya terletak di sempadan Tanah Haram Mekah. Bagi penduduk Mekah, mereka akan berniat di pintu rumah masing-masing. Niat di sini terpulang kepada jemaah sama ada nak buat Ifrad, Tamattu' ataupun Qiran.
Bermula saat ini, mereka kena jaga 13 pantang larang semuanya.
2. Tawaf di Kaabah.
Mereka yang buat Haji Ifrad dan Qiran akan melakukan tawaf Qudum terlebih dahulu. Manakala mereka yang buat Haji Tamattu' akan melakukan tawaf umrah.
Kesemua tawaf berkenaan mestilah 7 kali pusingan dengan melawan arah jam.
3. Sai di antara Safa dan Marwah.
Mereka yang buat Haji Ifrad dan Qiran, sudah boleh buat sai haji di sini. Jika nak tunda nanti pun tiada masalah.
Bagi mereka yang buat Haji Tamattu', mereka akan melakukan sai umrah. Siap saja sai, dah boleh bertahallul dengan memotong rambut atau mencukurnya. Ini bagi Haji Tamattu' saja ya.
Kesemua sai di sini mestilah 7 kali lalu. Safa ke Marwah dikira satu, Marwah ke Safa dikira dua. Sehinggalah tujuh. Pastikan bermula di Safa dan berakhir di Marwah.
4. Mabit di Mina pada 8 Zulhijjah, malamnya.
Nabi SAW di sini solat zohor, asar, maghrib, isyak dan subuh pada waktunya. Solat yang 4 rakaat diqasarkan menjadi 2 rakaat.
5. Wukuf di Arafah pada 9 Zulhijjah.
Acara wukuf ini bermula waktu zohor sehinggalah terbenam matahari. Para jemaah disunatkan untuk memadah tangan, berdoa kepada Tuhan.
Menurut kisah, Baginda SAW duduk atas unta tunggangannya lalu menadah kedua-dua tangan, berdoa bermula zohor sehingga maghrib. Jika untanya bergerak, sebelah tangannya diturunkan untuk memegang tali unta sementara sebelah lagi masih tetap menadah. Nak cerita betapa bersungguhnya Nabi SAW di sini.
Di sini juga akan disampaikan khutbah Arafah. Kemudian setelah masuknya waktu zohor, azan dikumandangkan. Solat zohor dan asar akan dijamak taqdimkan dan dilakukan secara qasar. Begitu yang ditunjukkan oleh Baginda SAW. Boleh jadi nak beri ruang buat para jemaah fokus berdoa.
6. Mabit di Muzdalifah pada 9 Zulhijjah, malamnya.
Di sini pula, para jemaah akan solat maghrib dan isyak secara jamak takhir dan dilakukan secara qasar juga. Setelah solat subuh keesokan paginya, Nabi SAW memadah tangan berdoa di sini sehingga matahari terbit.
Mereka juga dah boleh mula mencari dan mengutip anak batu di sini.
7. Melontar Jamrah Aqobah di Mina pada 10 Zulhijjah.
Kembali ke Mina dan melontar anak batu sebanyak 7 biji di Jamrah Aqobah.
Mereka yang melakukan Haji Tamattu' dan Qiran diwajibkan untuk menyembelih seekor kambing sebagai dam hadyu, juga dipanggil dam syukran sebagai tanda syukur kepada Tuhan.
Setelah itu, para jemaah sudah dibolehkan untuk mencukur kepala. Mereka yang sudah sudah selesai melontar, mencukur kepala dan tawaf sudah pun tahallul awal. Jadi dah boleh melepaskan ihram dan memakai pakaian biasa.
13 pantang larang tadi sudah terlerai kecuali yang melibatkan hubungan suami isteri.
8. Tawaf Ifadah ataupun Tawaf Haji.
Melakukan Tawaf Haji di Kaabah sebanyak 7 pusingan.
Setelah selesai, mereka yang belum melaksanakan Sai Haji, bolehlah melakukannya ketika ini.
Tawaf Ifadah ini boleh ditangguhkan sehingga 13 Zulhijjah. Boleh juga digabungkan sekali dengan Tawaf Wada'
9. Mabit di Mina sehingga 13 Zulhijjah.
Bermalam di Mina pada 10, 11 dan 12 Zulhijjah (malamnya). Dan melakukan lontaran ke ketiga-tiga jamrah pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah selepas zohor. Setiap jamrah dilontar 7 biji anak batu.
Bagi mereka yang ingin Nafar Awal (beransur keluar awal daripada Mina), hendaklah berbuat demikian pada 12 Zulhijjah, sebelum matahari terbenam.
Manakala Nafar Thani tunggu sehingga habis 13 Zulhijjah.
Sementara berada di Mina, para jemaah akan melakukan solat fardu pada waktunya. Cuma solat yang 4 rakaat akan ditunaikam secara qasar iaitu 2 rakaat.
Alhamdulillah, selesai sudah perjalanan haji kita semua melalui beberapa tempat seperti mana yang dilalui oleh Baginda SAW.
Mudah-mudahan tulisan ringkas ini mampu untuk memberikan bayangan bahawa perjalanan haji ini tidaklah sesukar yang disangka.

No comments:

Post a Comment