Wednesday, 10 April 2019

Apakah yang dimaksudkan dengan haji dan umrah dan apakah perbezaan di antara dua perkara tersebut?

Haji dari segi bahasa ialah menuju atau mengunjungi ke sesuatu tempat. Manakala dari segi istilah bermaksud  mengunjungi Baitullah (Ka'bah) pada masa-masa tertentu (bulan haji, Zulhijah) serta melaksanakan perkara-perkara yang wajib bagi ibadah haji. (Rujuk al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 17 / 23)
Haji merupakan salah satu dari rukun Islam dan menjadi kewajiban kepada seluruh umat Islam lelaki mahupun wanita bagi yang berkemampuan untuk melaksanakannya dan melaksanakannya dikira wajib hanya sekali seumur hidup jika dilakukan lebih dari itu maka ia dikira sunat.
Antara dalil-dalil al-Quran dan al-Sunnah tentang kewajipan mengerjakan ibadah haji adalah seperti firman Allah SWT:
وَلِلَّـهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا
Maksudnya: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.”
 (Surah Ali-Imran: 97)
Istito’ah (berkemampuan) yang dimaksudkan pada firman Allah SWT di atas bukanlah pada kekuatan jasmani. Ini kerana jika yang dikehendaki oleh Allah SWT dengannya ialah kekuatan jasmani, maka ianya tidak perlu disebutkan kerana telah diketahui bahawa Allah SWT tidak pernah membebankan seseorang melainkan dia mampu untuk menggalasnya. (Rujuk Al-Muhalla, Ibn Hazm 7/54 dan Subul al-Salam, Al-Son’aani 2/180)
Imam Ibnu Kathir Rahimahullah berkata:" Adapun istato'ah (kemampuan) adalah kemampuan seseorang dari sudut (dia mengerjakan haji) untuk dirinya dan orang lain" (Rujuk Tafsir al-Quran  al-Azim, 1/364)
Allah SWT berfirman:
وَأَذِّنْ فِي النَّاسِ بِالْحَجِّ
               Maksudnya: “Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji”
(Surah al-Hajj: 27)
Firman Allah SWT:
الْحَجُّ أَشْهُرٌ مَّعْلُومَاتٌ فَمَن فَرَضَ فِيهِنَّ الْحَجَّ فَلَا رَفَثَ وَلَا فُسُوقَ وَلَا جِدَالَ فِي الْحَجِّ
Maksudnya: “(Masa untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat Haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat Haji.”
(Surah al-Baqarah: 197)
Manakala pengertian umrah pula adalah seperti berikut:
Umrah pada bahasa ialah ziarah, manakala dari segi istilah yang disepakati oleh kebanyakan ulama ialah tawaf di baitullah, dan saie di antara safa dan marwah dengan ihram. (Rujuk Al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah, 30/314)
Sebagian ulama berpendapat bahawa hukum melaksanakan umrah adalah wajib atau fardu bagi orang yang belum melaksanakan sementara dia mampu untuk melaksanakannya.
Firman Allah SWT:
وَأَتِمُّوا الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ لِلَّهِ
Maksudnya: “Dan sempurnkanlah ibadah haji dan umrah kerana Allah.”
(Surah al-Baqarah: 196)
Inilah pendapat yang  sahih dari mazhab Imam Al-Syafie, namun sebahagian ulama seperti Imam Malik dan Imam Abu Hanifah yang mengatakan bahawa ibadah umrah itu hukumnya sunat mu'akkad pada umrah yang pertama. (Rujuk al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah, 30/ 315).
Dapat kami ringkaskan di sini perbezaan di antara ibadah haji dan umrah adalah seperti berikut:
  1. Haji hanya dikerjakan pada bulan haji sahaja, iaitu bermula 1 Syawal sehingga terbit fajar 10 Zulhijjah. Manakala waktu umrah pula adalah pada bila-bila masa sepanjang tahun
  2. Haji adalah wajib bagi setiap individu, manakala umrah pula adalah sunat dilakukan jika berkemampuan (mengikut sebahagian pendapat).
  3. Haji memerlukan wukuf di Arafah pada hari 9 Zulhijjah, bermalam di Muzdalifah dan di Mina serta melontar jamrah manakala umrah tiada wukuf serta perkara-perkara yang disebutkan tadi.
  4. Rukun haji ada lima iaitu ihram, wukuf di Arafah, tawaf, sa’ie dan tahallul, manakala umrah hanya empat iaitu ihram, tawaf, sa’i dan tahallul.
PENUTUP
Semoga dengan sedikit penjelasan dari kami berkenaan haji dan umrah dapat memberikan sedikit sebanyak pengetahuan kepada pembaca serta bakal-bakal jemaah haji yang akan mengerjakan ibadah haji. Kami berharap supaya setiap amalan kita diterima oleh Allah SWT dan kami turut mendoakan bakal jemaah haji selamat mengerjakan ibadah haji dan dikurniakan haji yang mabrur.
Di antara tanda-tanda haji mabrur adalah sekembalinya dari ibadah haji, seseorang itu sentiasa dalam keadaan zuhud dan merendah diri dalam hal dunia serta sentiasa bersemangat dalam mengejar akhirat. Kami berharap agar kita juga termasuk dalam golongan tersebut.
Kami akhiri Bayan Li Al-Haaj kali ini dengan sepotong doa:
اللَّهُمَّ اجْعَلْ حَجًّا مَبْرُوْرًا وَسَعْيًا مَشْكُوْرًا وَذَنْبًا مَغْفُوْرًا
Maksudnya: “Semoga Allah menganugerahkan haji yang mabrur, usaha yang disyukuri dan dosa yang diampuni.”

Friday, 5 April 2019

Tempat-tempat bermiqat

MIQAT adalah ketentuan tempat atau masa untuk berniat Ihram Haji atau Umrah.
Miqat terbahagi kepada dua iaitu
  • ·         Miqat Zamani (masa)
  • ·         Miqat Makani (tempat)


Adapun Miqat Zamani ialah ketentuan masa untuk berniat,
Haji: Iaitu bermula 1 Syawal, Zulkaedah dan 10 hari pertama Zulhijjah. Keluar fajar pada hari Raya, maka tidak sah ihram haji selain masa ini. Jika dia ihram dengannya pada lainnya, maka tidak terangkat haji tetapi dikira umrah daripada Umrah Islam (wajib) mengikut pendapat yang asah.

Umrah: Sepanjang tahun kecuali bagi orang yang berniat haji, sehingga selesai semua pekerjaan hajinya.

adapun Miqat Makani terpecah kepada jemaah LUAR Makkah dan jemaah sekitar Makkah. 

Miqat Makani adalah ketentuan tempat untuk jemaah berniat mengerjakan haji atau umrah antaranya, Qarnul Manazil, ZulHulaifah atau Bir Ali, Yalamlam, Al-Juhfah dan Zatul Irqin untuk jemaah luar Makkah



Manakala jemaah (umrah) sekitar Makkah keluar ke tanah Halal seperti Jakranah, Tana'em, Hudaibiyah, Sumaisyi Tanah Halal.


lihat paparan Miqat dibawah

Miqat di Qarnul Manazil
Qarn al Manazil
Di namakan juga dengan Qarn al Tha’alib. Ianya adalah Miqat dari Asia. Miqat Makani bagi jemaah Haji Malaysia yang perjalanannya terus ke Makkah ialah melalui Qarnul Manazil ini.





Miqat Yalamlam
Miqat Yalamlam di namakan juga sebagai Alamlam. Ia adalah miqat yang menghala dari Tihamah, merupakan sebahagian dari negeri Yaman.


Al Juhfah
Al Juhfah. Miqat bagi mereka yang datang dari arah Syam melalui jalan Tabuk dan yang datang daripada Mesir dan Maghribi.







Miqat Zatul Irqin iaitu Miqat bagi mereka yang datang dari arah timur seperti Iraq.






masjid Bir Ali/ zulHulaifah
Miqat Zulhulaifah/ Bir Ali bagi mereka yang datang dari arah Madinah.


Antara TEMPAT MIQAT UMRAH KETIKA DI MAKKAH


 MIQAT UMRAH DI JARONAH


MIQAT UMRAH DI HUDAIBIYYAH



MIQAT UMRAH DI TANAEM

Khurafat di Makkah


                   Dapat menunaikan ibadah Haji di Makkah tentunya menjadi dambaan bagi setiap orang yang berpegang kepada ajaran Islam. Ianya adalah kemuncak pengabdian bagi umat Islam. 





Namun terdapat segelintir mengamalkan perbuatan khurafat dan syirik di sana.
Hendaklah kita memahami hakikat bahawa perbuatan dan amalan seperti ini mengundang dosa besar dan kemurkaan ALLAH SWT.


Firman Allah taala:

( وَمَنْ يُرِدْ فِيهِ بِإِلْحَادٍ بِظُلْمٍ نُذِقْهُ مِنْ عَذَابٍ أَلِيمٍ )


ertinya: " Dan sesiapa yang berniat (belum melakukannya) untuk ilhad (kezaliman, kerosakkan dan kejahatan) di Tanah Haram, nescaya Kami rasakan kepadaNya sebahagian daripada seksaan yang pedih" 
Surah al-Hajj:25

Allah akan menimpakan azab ke atas mereka yang berniat untuk melakukan kejahatan di Tanah haram.

Kata Ibnu Mas'ud r.a : tiada tempat yang seseorang itu dikira bersalah dengan hanya niat untuk melakukan sesuatu kejahatan sebelum melakukannya, kecuali di Makkah. 




Antaranya perkara Syirik dan khurafat

PERKARA
CARA DAN TUJUAN
Mengambil kain kelambu Kaabah
Untuk pelaris jualan
Kain putih sebagai alas
Dijadikan kain kapan unuk meringankan seksa kubur
Kerak nasi di Mina
Kerak nasi tersebut dikeringkan, kemudian dibawa balik ke tanah air untuk pelaris perniagaan
Peluk tiang Jin di Masjid Haram
Melanjutkan umur dan meminta kaya
Bergantung di kelambu kaabah
Memohon hajat di kaabah bukannya dari Allah
Letak duit di bawah kelambu kaabah
Selepas tawaf diambil semula untuk dijadikan ibu duit sebagai pelaris
Ketika berangkat ke Tanah suci ditulis kertas kalimah shahadat. Ditinggalakn LAILAHAILLAH kepada keluarga dan MUHAMMADARASULULLAH dibawa ke tanah suci
Supaya Jemaah haji tidak meninggal di tanah suci
Memakai tangkal dan azimat
Untuk menjauhi bala dan mengharapkan selamat
Memanggil bomoh untuk menolak bala di rumah
Percaya bomoh untuk memulakan perjalanan, membawa air 7 telaga untuk dibawa tawaf supaya menjadi ubat
Sijil
Mendapatkan sijil daripada syeikh di Makkah yang mengesahkan Hajinya dan menukar nama
Tanam 7 biji batu di bumi Arafah
Tutup 7 pintu neraka bersaksi dengan batu di hari kiamat
Mengerat tali di padang Arafah secara mencuri
Mengelakkan anak kecil daripada menangis, melariskan jualan dan perbanyakkan tangkapan ikan
Mengambil pasir Padang Arafah
Untuk dipijakkan tapak kaki bagi kanak-kanak yang mula mahu berjalan, dapat jejak ke Arafah, menjadi orang terkenal, menghindarkan daripada penyakit dan gagah berani.
Membawa kismis semasa tawaf/ menjemur nasi di Arafah
Apabila pulang, rendam nasi kering dengan air zam-zam dan dimakan nasi yang direndam dengan air zam-zam sekali diberi kepada sesiapa sahaja sebagai penerang hati.





CARA-CARA MENGHINDARINYA

Bakal Jemaah haji dan Umrah hendaklah mengikuti dan mempelajari hukum-hukum agama sebelum menunaikan haji.  Jangan mudah terikut-ikut dengan amalan jemaah haji lain yang tidak diketahui puncanya.
Ditekankan bahawa Tanah Suci Mekah bukanlah tempat berehat atau tempat melepaskan kemarahan atau komplen sewenang-wenangnya. Perlu ditekankan bahawa di dalam pekerjaan haji mesti akan ditemui berbagai-bagai dugaan Allah yang perlu diterima dengan sabar.

Sebarang amalan yang dipetuakan kepadanya oleh orang yang diragui keilmuannya hendaklah dipastikan terlebih dahulu dari orang lain yang lebih berwibawa. Bertawakal lah kepada Allah dengan sebenar-benar takwa.
Tunaikanlah haji semata-mata kerana Allah.

Seharusnya sebagai seorang mukmin, kita tidak meletakkan sesuatu yang selain daripada Allah S.W.T sebagai tempat bergantung sebaliknya hendaklah memperbanyakkan usaha dan berdoa ke hadrat Allah S.W.T agar memperkenankan segala apa yang dihajati atau mengelak dari segala kecelakaan yang mendatang.