Tawaf merupakan salah satu daripada
rukun-rukun haji dan umrah. Dalam bab Haji dan Umrah, istilah rukun
merujuk kepada amalan yang wajib dilakukan ketika mengerjakan haji dan
umrah. Jika ia tidak dilakukan, haji dan umrah menjadi tidak sah. Tawaf
merupakan salah satu daripada kerja-kerja haji dan umrah yang wajib
dilakukan sendiri oleh jemaah. Tidak sah mewakilkan orang lain melakukan
tawaf bagi pihak dirinya. Jika uzur, jemaah boleh tawaf dengan menaiki
kereta sorong. Bakal haji hendaklah mengetahui dengan baik
perkara-perkara yang berkaitan dengan syarat-syarat tawaf dan
sunat-sunatnya supaya mereka dapat melakukan tawaf dengan sempurna.
Jenis-jenis tawaf
Terdapat lapan jenis tawaf :
1- Tawaf Haji (Ifadah),
2- Tawaf Umrah,
3- Tawaf Qudum,
4- Tawaf Tahiyyatul Bait,
5- Tawaf Tahallul,
6- Tawaf Wadak,
7- Tawaf Nazar,
8- Tawaf Sunat.
Syarat-syarat tawaf
1- Suci daripada hadas besar dan kecil.
Sebelum melakukan tawaf, jemaah
hendaklah mengambil wuduk dengan sempurna. Jika berlaku persentuhan
kulit ketika tawaf dengan lelaki/wanita ajnabi (asing), jemaah hendaklah
berpegang dengan satu pendapat dalam Mazhab Syafie yang mengatakan
tidak batal wuduk jika berlaku persentuhan kulit dengan lelaki/wanita
ajnabi melainkan jika ia berlaku dengan sengaja dan timbulnya syahwat.
Bagi pasangan suami isteri yang tawaf bersama sambil berpegangan tangan
dengan berlapik adalah sah tawaf mereka. Jika timbulnya syahwat, tawaf
tersebut masih lagi sah melainkan apabila keluar air mazi kerana ianya
membatalkan wuduk. Bagi wanita yang berada dalam keadaan haid, dia
hendaklah menunggu sehingga haidnya kering. Apabila haidnya kering,
hendaklah dia mandi wajib dan mengambil wuduk, maka bolehlah dia
melakukan tawaf. Bagi jemaah yang selalu berhadath atau sentiasa berada
dalam keadaan kotor seperti mengidap penyakit kencing yang sentiasa
menitis atau istihadah, sebelum melakukan tawaf hendaklah membersihkan
kotoran. Kemudian membalut tempat berkenaan dengan kemas, seterusnya
berwuduk dan segera melakukan tawaf. Kadar segera yang dimaksudkan ini
tidak termasuk persediaan untuk menutup aurat dan perjalanan ke masjid.
Tetapi bukan kerana makan, berbual dan seumpamanya. Cara berniat ketika
mengambil wuduk bagi kes sebegini adalah seperti berikut : "Sahaja aku berwuduk untuk mengharuskan tawaf".
2- Suci daripada najis pada pakaian, badan dan tempat tawaf.
Jemaah hendaklah mempastikan, pakaian
dan badannya suci daripada najis. Jika jemaah terpijak tahi burung yang
terdapat di kawasan tawaf, maka ianya dimaafkan dengan syarat tahi
burung itu kering dan ianya berlaku tanpa disengajakan.
3- Menutup aurat sebagaimana di dalam solat.
Semasa tawaf, aurat hendaklah sentiasa
ditutup. Bagi lelaki, sekurang-kurangnya antara pusat dan lutut. Bagi
wanita pula seluruh tubuh badannya kecuali muka dan tapak tangan. Jika
aurat terbuka semasa tawaf, jemaah hendaklah menutupnya dengan segera.
Tawaf tidak batal kerana ianya tidak disengajakan dan segera ditutup.
Bagi wanita yang tawaf dengan menaiki kereta sorong, hendaklah
berhati-hati supaya kainya tidak terselak sehingga menampakkan betisnya.
4- Tawaf hendaklah dimulakan dan disudahi pada sudut Hajarul Aswad.
Jemaah hendaklah memulakan tawafnya pada
sudut Hajarul Aswad. Apabila jemaah menghampiri untuk memasuki ke dalam
kawasan penjuru Hajarul Aswad, maka hendaklah berniat tawaf jika tawaf
tersebut selain tawaf haji (ifadah), umrah dan qudum. Bagi tiga jenis
tawaf ini, hukum berniat sebelum memulakan tawaf adalah sunat.
5- Sewaktu berjalan melakukan tawaf, bangunan Kaabah hendaklah sentiasa berada di sebelah kiri bahu.
Jika jemaah ditolak akibat kesesakan
ketika tawaf sehingga bahunya terpesong sedikit daripada bangunan
Kaabah, maka hendaklah segera membetulkan bahunya itu menghala ke arah
bangunan Kaabah. Bagi jemaah uzur yang tawaf di tingkat atas Masjidil
Haram dengan berkereta sorong secara berupah, waris jemaah tersebut
dinasihatkan hadir bersama-samanya untuk mempastikan syarat mengirikan
Kaabah ini dilaksanakan dengan sempurna oleh orang yang mengambil upah
menyorong itu.
6- Berjalan itu dengan tujuan tawaf.
Sepanjang berjalan melakukan tawaf,
jemaah hendaklah mengekalkan niat perjalanannya itu adalah semata-mata
kerana tawaf. Terdapat kes jemaah yang terpisah daripada kumpulannya
atau pasangannya, lalu dia berjalan selepas itu bertujuan semata-mata
untuk mencari kumpulannya atau pasangannya, maka batallah pusingan itu
sahaja bukannya semua pusingan. Jika niat tawafnya masih ada tetapi
dalam masa yang sama dia tawaf sambil mencari rakan-rakan sekumpulannya
atau pasangannya, maka pusingan tawaf tersebut tidak batal.
7- Cukup tujuh keliling dengan yakin.
Jika jemaah ragu-ragu ketika tawaf pada
menentukan bilangan pusingan tawaf, maka hendaklah mengambil jumlah yang
terkecil. Contohnya, jika jemaah ragu-ragu antara 6 atau 7 pusingan,
maka dikira masih 6 pusingan. Jemaah tersebut hendaklah mencukupkan satu
lagi pusingan. Jikalau tawaf dilakukan secara berkumpulan, jemaah
hendaklah memakai keyakinan pada diri sendiri dalam menentukan jumlah
pusingan tawaf, walaupun bercanggah dengan pendapat rakan sekumpulan.
Jikalau ragu-ragu berlaku selepas selesai tawaf, maka ianya tidak
memberi mudarat.
8- Tawaf itu hendaklah dilakukan di
dalam Masjidil Haram dan di luar daripada bahagian Kaabah seperti Hijir
Ismail dan Syazarawan.
Semasa tawaf, jemaah tidak boleh
menyentuh bangunan Kaabah, kelambunya, Hijir Ismail dan Syazarawan.
Begitu juga jemaah tidak boleh memasuki ke dalam Hijir Ismail ketika
tawaf. Bagi jemaah yang tersentuh perkara-perkara tersebut hendaklah
mengulangi pusingan tawaf yang terbatal itu sahaja. Tetapi tidak mengapa
tawaf melalui ruangan antara Maqam Ibrahim dan bangunan Kaabah.
Sunat-sunat tawaf
1- Tawaf dengan berjalan kaki tanpa memakai alas kaki serta memendekkan langkah.
Bagi jemaah yang sihat, harus tawaf dengan berkereta sorong tetapi makruh hukumnya.
2- Beridtiba’, iaitu memakai kain ihram
dalam keadaan menutup bahu kiri dan membuka bahu sebelah kanan bagi
lelaki sepanjang tujuh pusingan tawaf.
Beridtiba' ini sunat dilakukan pada
tawaf yang diiringi selepas itu dengan saie seperti pada tawaf umrah,
tawaf qudum bagi jemaah haji ifrad atau qiran yang berhasrat melakukan
saie haji selepas melakukan tawaf qudum itu, dan pada tawaf haji
(ifadah) bagi yang akan melakukan saie haji selepas itu (terutamanya
jemaah haji tamattu') dan dia ketika itu dalam keadaan memakai pakaian
ihram.
3- Berlari-lari anak bagi lelaki pada
pusingan 1, 2 dan 3. Manakala pada pusingan ke 4 hingga 7, jemaah lelaki
hendaklah berjalan macam biasa.
Berlari-lari anak ini juga dilakukan
pada tawaf yang diiringi selepas itu dengan saie seperti pada tawaf
umrah, tawaf qudum bagi jemaah haji ifrad atau qiran yang berhasrat
melakukan saie haji selepas melakukan tawaf qudum itu, dan pada tawaf
haji (ifadah) bagi yang akan melakukan saie haji selepas itu
(terutamanya jemaah haji tamattu').
4- Tawaf berhampiran dengan bangunan
Kaabah bagi lelaki, melainkan jika tidak dapat melakukan perbuatan
berlari-lari anak. Maka dalam keadaan ini, hendaklah tawaf berjauhan
sedikit daripada bangunan Kaabah. Bagi wanita adalah afdal bagi mereka
tawaf berjauhan daripada bangunan Kaabah.
5- Melakukan istilam (sentuh) Hajarul
Aswad kemudian mengucupnya, meletakkan dahi atasnya dan mengucup
tangannya selepas itu. Jika tak mampu berbuat demikian terutamanya
ketika kesesakan pada tempat tawaf, jemaah hanya disunatkan
mengisyaratkan dengan tangan kanan dari jauh sambil menyebut "Bismillah Allahu Akbar"
kemudian mengucup tapak tangan tersebut tanpa membunyikan suara. Begitu
juga sunat istilam (sentuh) Rukun Yamani dan mengucup tangannya selepas
itu. Jika tidak mampu, disunatkan isyarat dengan tangan kanan dari jauh
sambil menyebut "Bismillah Allahu Akbar" dan mengucup kucup
tapak tangan tersebut tanpa membunyikan suara. Namun begitu, pada
kedua-dua tempat ini, jemaah hanya dinasihatkan melakukan isyarat sahaja
dan mengucup tapak tangannya itu. Jika jemaah tetap mahu mengucup
Hajarul Aswad, dinasihatkan melakukannya di luar masa tawaf. Ini kerana
cara yang betul untuk mengucup Hajarul Aswad dan istilam Rukun Yamani
tanpa membatalkan pusingan tawaf tidak dapat dilaksanakan terutamanya
apabila berlaku kesesakan pada kawasan tawaf. Jikalau Hajarul Aswad
dilumur dengan minyak wangi, maka haram mengucupnya dan menyentuhnya
bagi jemaah yang berada di dalam ihram.
6- Membaca doa dan wirid serta menghadirkan hati.
Jika tidak dapat membaca atau menghafal
doa-doa atau wirid-wirid yang tertentu semasa tawaf, maka bacalah
ayat-ayat al-Quran, zikir-zikir atau doa-doa yang lain. Jika semua
perkara tersebut tidak dapat dilakukan, maka tawaflah tanpa apa-apa doa
dan wirid. Doa dan wirid ini sunat dibaca dengan perlahan kerana cara
bacaan sebegini sangat membantu menghadirkan kekhusyukan semasa tawaf.
7- Berturut-turut (muawalat) pada tujuh pusingan tawaf tersebut.
Jikalau batal wuduk semasa tawaf, jemaah
hendaklah berwuduk semula dan menyambung semula pusingan tawaf tersebut
pada tempat dia berhenti tadi. Namun begitu, yang afdalnya dia
menyambung semula pusingan tersebut pada penjuru Hajarul Aswad. Cara ini
juga hendaklah digunapakai bagi jemaah yang berhenti rehat semasa tawaf
kerana kepenatan.
8- Tawaf dengan tawaduk dan khusyuk.
Jangan bercakap-cakap ketika tawaf
melainkan dalam keadaan yang sangat memerlukan. Elakkan daripada
menyakiti orang lain dengan tolak-menolak ketika tawaf. Makan dan minum
ketika tawaf makruh hukumnya.
9- Melakukan solat sunat dua rakaat
setelah selesai tawaf di belakang Maqam Ibrahim. Pada rakaat pertama,
selepas membaca al-Fatihah, baca surah al-Kafirun. Pada rakaat kedua,
selepas membaca al-Fatihah, baca surah al-Ikhlas. Semasa melakukan solat
sunat tawaf, jemaah lelaki hendaklah menutup semula bahu kanannya
kerana idtiba’ ketika menunaikan solat sunat tawaf adalah makruh
hukumnya. Pada musim haji, jemaah tidak dapat melakukan solat ini
berhampiran dengan Maqam Ibrahim kerana kawasan belakangnya dilalui oleh
orang-orang yang sedang bertawaf. Oleh itu, jemaah hendaklah mengundur
ke belakang walaupun sampai ke pinggir kawasan tawaf. Jika kawasan tawaf
dipenuhi dengan orang-orang yang bertawaf, maka naiklah ke dalam
masjid. Selepas menunaikan solat sunat ihram, berdoalah di belakang
Maqam Ibrahim dan juga di Multazam iaitu satu kawasan antara Hajarul
Aswad dan Pintu Kaabah. Seterusnya sunat minum air zamzam sepuas-puasnya
dan membaca doanya.
Pelbagai isu tawaf
1- Melakukan tawaf qudum bagi jemaah
yang melakukan haji ifrad atau qiran adalah sunat. Mereka diharuskan
melakukan tawaf qudum selama mana mereka masih belum lagi berwukuf.
Selepas melakukan tawaf qudum, diharuskan bagi mereka melakukan saie
haji. Jika tawaf qudum tidak dilakukan sehinggalah mereka berwukuf, maka
saie haji tersebut wajib dilakukan selepas mereka melakukan tawaf haji
(ifadah).
2- Sah tawaf bagi jemaah yang uzur
dengan menaiki kereta sorong dengan mengikuti syarat-syarat tawaf.
Begitu juga sah tawaf bagi yang menyorong kereta sorong tersebut dalam
masa yang sama. Tetapi tidak sah tawaf bagi jemaah yang bertawaf
serentak dengan anak kecil yang didukungnya. Maka dia hendaklah
melakukan tawaf secara berasingan seperti meniatkan tawaf untuk anaknya
terlebih dahulu. Lalu dilakukan tawaf untuk anaknya dengan didukung.
Kemudiannya dia melakukan tawaf untuk dirinya sendiri pula.
3- Terdapat jemaah uzur yang mengerjakan
haji dalam keadaan gangguan fikiran. Kadang-kadang sedar dan dalam masa
yang lain tidak sedar pula. Maka hukum tawaf bagi jemaah ini dikira sah
jika ia dilakukan dalam keadaan sedar.
4- Dalam keadaan yang lain pula,
terdapat jemaah yang tawaf secara bersorong tertidur semasa tawaf.
Berhubung dengan wuduk jemaah ini, ia dikira tidak batal jika ia tidur
dalam keadaan tetap papan punggung. Bagi bilangan tawaf pula, orang yang
menyorong disyorkan memaklumkan kepada jemaah yang disorongnya itu
setiap kali sampai ke kawasan penamat tawaf. Ini adalah untuk memastikan
dia menyakini tawafnya cukup tujuh pusingan walaupun semasa dalam
perjalanan menuju ke tempat tamat pusingan tawaf dia dalam keadaan
tertidur.
5- Bagi jemaah yang berulang alik antara
penginapannya dengan Masjid Haram Makkah, mereka mempunyai pilihan sama
ada melakukan solat tahiyyatul masjid atau tawaf tahiyyatul bait ketika
masuk ke dalamnya. Jika dia mahu melakukan tawaf tahiyyatul bait, maka
afdalnya dia berbuat demikian. Sekiranya dia melakukan solat sunat tawaf
selepas itu, dia turut mendapat pahala sunat solat tahiyyatul masjid.
Jika dia tidak mahu melakukan tawaf tahiyyatul bait, maka lakukanlah
solat sunat tahiyyatul masjid.
6- Kadang-kadang ketika melakukan tawaf,
muazzin menyeru untuk ditunaikan solat jenazah. Maka dalam masalah ini,
adalah afdal jemaah meneruskan tawaf jika tawafnya itu tawaf wajib.
Jika tawafnya itu tawaf sunat, adalah afdal dia turut sama menunaikan
solat jenazah.
7- Dalam keadaan tertentu, terdapat
jemaah wanita yang melaksanakan tawaf sunat. Belum cukup tujuh pusingan,
beliau kedatangan haid dan tidak sempat melengkapkan tujuh pusingan
kerana pulang ke Malaysia. Bagi kes ini, jemaah tersebut tidak perlu
melengkapkan pusingan tawaf dan boleh pulang ke tanah air tanpa terikat
dengan apa-apa hukum kerana ia adalah tawaf sunat. Ini juga terpakai
bagi jemaah haji lelaki yang mengerjakan tawaf sunat dan tidak sempat
menyempurnakan pusingan kerana terpaksa pulang ke Malaysia.
8- Pada masa kini, terdapat program
ziarah ke bandar Jeddah termasuk Masjid Terapung di tepi Laut Merah.
Bagi jemaah yang mahu mengikuti program ziarah ini, diwajibkan ke atas
mereka melakukan tawaf wadak sebelum memulakan program ziarah ini kerana
jarak perjalanan adalah lebih daripada dua marhalah iaitu 104km.
9- Sebelum jemaah keluar dari Tanah
Haram Makkah selepas selesai kerja-kerja haji, wajib mereka melakukan
tawaf wadak melainkan bagi orang-orang yang dikecualikan seperti wanita
yang sedang berhaid. Tawaf wadak ini dilakukan setelah semua urusan
sudah diselesaikan. Waktu melakukan tawaf wadak adalah seperti berikut :
i- Hari Jumaat (bagi bas yg akan bertolak antara pukul 2 hingga 3 petang)
Uruf selepas tawaf wadak ialah 4-5 jam.
Contohnya, jadual bertolak keluar dari Makkah pada pukul 2 atau 3
petang, maka jemaah dibolehkan melakukan tawaf wadak pada pukul 10 pagi.
ii- Hari Sabtu hingga Khamis dan Jumaat (bagi bas yg bertolak selain waktu di atas)
Uruf selepas tawaf wadak ialah 2-3 jam.
Contohnya, jadual bertolak keluar dari Makkah pada pukul 6 petang, maka
jemaah dibolehkan melakukan tawaf wadak pukul 3 petang.
Sebaik sahaja melakukan tawaf wadak,
jemaah terus meninggalkan Makkah kecuali jika ada hajat-hajat yang
tertentu. Antara hajat-hajat yang boleh dilakukan selepas tawaf wadak
adalah seperti berikut :
a- Sejurus selepas tawaf wadak :
i- Menunaikan solat sunat tawaf dan berdoa selepasnya.
ii- Berdoa di Multazam.
iii- Minum air zamzam dan berdoa.
iv- Mengucup Hajarul Aswad jika berkesempatan dan suasana mengizinkan.
v- Menunaikan solat jika bilal telah
melaungkan iqamat, atau bilal sedang melaungkan azan sedangkan ia telah
berusaha untuk keluar setelah melaksanakan tawaf wadak tetapi tidak
sempat juga keluar dari Masjidil Haram dan kawasan sekitarnya yang
bersambung saf kerana kesesakan yang amat ketara lalu iqamat dilaungkan.
b- Selepas tawaf (di maktab/penginapan)
i- Makan dan minum sekadar keperluan dalam bilik penginapan di hotel (maktab).
ii- Qada hajat dalam tandas bilik penginapan.
iii- mengambil beg atau barang yang diletakkan/ditinggalkan dalam bilik penginapan
iv- Mencari isteri, saudara, waris, rakan yang hilang
v- Mengangkat barang-barang yang hendak dibawa bersama.
vi- Melawat isteri, saudara, waris, rakan yang sakit di hospital/klinik/maktab (bagi kes kecemasan dan hajat)
vii- Sebarang urusan yg berkaitan dengan
perjalanan sama ada ke Jeddah atau Madinah seperti membeli makanan atau
minuman untuk kegunaan dalam perjalanan dan sebagainya.
viii- Menunggu kenderaan yang lewat tiba kerana kesesakan dan sebagainya.
Bagi wanita yang kedatangan haid, sunat
baginya untuk meninggalkan kota Makkah pergi ke hadapan pintu Masjidil
Haram, memandang Kaabah dan melambai-lambai tangan dengan perasaan yang
sayu.
No comments:
Post a Comment