Friday, 2 February 2018

15 TIPS PENGALAMAN UMRAH RAMADAN YANG KITA KENA TAHU

Ramai yang bertanya dan nak tahu bagaimana suasana dan pengalaman yang bakal kita lalui sepanjang berada di musim panas dalam masa yang sama sedang menahan diri dari lapar dan dahaga. Apa bezanya? Ini tips  mudah khusus bagi jemaah yang pertama kali ingin menjejakkan kaki di Tanah Suci di dalam bulan Ramadan.
Share dan tag keluarga, sahabat dan kawan-kawan yang sedang merancang nak pergi umrah bulan May nanti. Bagi yang berkira-kira tu dah boleh buat keputusan nak pergi ke tidak. Baca dulu perkongsian saya ini untuk kita dapat gambaran beribadah di sana nanti.
1. PENGALAMAN PUASA SELAMA 15 JAM
Sebelum berangkat antara persediaan diri yang kita kena tahu ialah jadual waktu solat. Subuh di Tanah Suci tahun ini lebih kurang pukul 4.18 pagi. Manakala waktu Maghrib dan Isyak lebih kurang waktu di Malaysia, dalam pukul  7.00 malam di Madinah dan Makkah. Maknanya kita akan berpuasa lebih kurang 15 jam.
2. SUHU YANG DIJAMIN PANAS
Kebanyakan rakyat Malaysia suka pergi umrah pada hujung tahun sebab cuacanya lebih sejuk dan tentunya lebih selesa. Selalunya yang pergi umrah bulan Ramadan kerana mahu mencari kelainan merasai suasana ibadah umrah ketika berpuasa.
Sepanjang Ramadhan, suhu di tanah suci dalam lingkungan 40 darjah Celcius. Penagalaman saya paling tinggi pernah capai sehingga 46 darjah Celcius. Lagi panas dari Malaysia. Sudah namanya pun bulan Ramadhan, memang akan jatuh dalam musim panas.
Ramadhan dalam bahasa arab bermakna PANAS YANG MEMBAKAR. Kalimah Bahasa Arab Ro Mim Dhal itu bermaksud ketajaman atau kepedihan pada sesuatu kerana kesan kepanasan dan lainnya. Jadi, jemaah semua memang kena banyak buat persediaan diri sebelum datang ke sini.
Tapi jangan risau. Di sini, cuacanya PANAS DAN KERING. Tak sempat nak bepeluh lencun seperti di Malaysia. Peluh akan cepat kering dan badan memang tidak akan berbau. Sampaikan kita boleh pakai baju yang sama seharian tanpa rasa ‘melekit’. 
Tipsnya, bawa pakaian nipis dan tak perlu bawa banyak stok baju.
3.  SUASANA BERBUKA PUASA YANG DIJAMIN RARE
Suasana berbuka di Madinah SANGAT MERIAH berbanding di Mekah. Waktu inilah kita akan saksikan banyak syarikat-syarikat dan perniagaan berlumba-lumba ‘cop’ tempat untuk menaja makanan berbuka puasa. 
Di Mekah pun ada majlis iftar tetapi kemungkinan kerana faktor rekabentuk di luar masjid yang agak luas dan , menyukarkan penyediaan makanan yang teratur. Tetapi masih lagi satu pengalaman yang unik untuk kita rasai. 
Berbanding Madinah, kawasan dataran di luar masjidnya yang luas dan berbentuk segi empat tepat di dalam kawasan berpagar. Menjadikan proses penyediaan makanan berbuka dan pembersihan lepas solat Maghrib lebih teratur. Jangan lepaskan peluang lihat bagaimana meriahnya suasan selepas majlis berbuka.
Datang awal sejam atau lebih untuk dapatkan lokasi berbuka yang ‘STRAREGIK’. Biasanya sekitar sejam sebelum berbuka puasa, payung akan ditutup. Waktu inilah jemaah ambil peluang merakam momen indah seluruh kawasan dataran masjid Nabawi yang redup dibelah cahaya matahari petang.
Memang indah dan sangat rare! Hanya di Madinah.
4. DI MANA PORT BERBUKA PUASA TERBAIK?
Selain dari berbuka puasa di hotel, kita ada pilihan untuk turun ke dataran masjid dan berbuka puasa berjemaah. Boleh pilih nak berbuka di luar atau di dalam masjid. Menu juga berbeza. 
Di Madinah, sama ada kita duduk di dalam atau luar masjid, kita PASTI akan dapat makanan.  Biasanya di luar masjid, makanan yang berat dan sedap sikit macam nasi mandi, shawarma, roti, buah-buahan, air laban dan lain-lain. 
TIPS – Kalau rajin ajaklah mutawif berbuka dengan mencari daging kambing atau kibas, biasanya pihak penaja akan bawa lauk pauk dalam periuk besar. Jumpa periuk besar tu, duduklah di atas tikar sebelahnya. Nak cari ayam mandi, kena cari peti besi makanan warna silver. Ada banyak di sekitar kawasan dataran. Sahih ada nasi mandi ayam.
Semasa dalam perjalanan ke masjid lepas Asar pun, kita akan jumpa orang dah mula edar makanan dan minuman.  Tipsnya, hulur sajalah tangan juga ambil makanan tu. Jangan malu-malu. Barulah rare. Memang semuanya diniatkan untuk sedeqah kepada orang ramai.
Lain pula di Mekah di mana tidak semua tempat ada orang edar makanan di dalam masjid. Kalau nak merasa berbuka di dalam masjid, pergi ke tingkat 2 di mana setiap tempat yang ada karpet, memang akan ada satu kumpulan penaja yang akan edar makanan dan air. Kita boleh boleh iktikaf situ. Siap ada aircond. Banyak-banyak tempat, port tu saya perasan, orang asyik tawar nak bagi makanan sampaikan boleh bungkus bawa balik.
5. KENALI JENIS-JENIS MINUMAN KETIKA BERBUKA
Air paling femes tidak lain dan tidak bukan, air zam-zam yang memang ada merata-rata dalam masjid di Mekah dan Madinah. KIta boleh bawa botol siap-siap sebab senang. Tak perlu ulang alik nak tadah banyak kali untuk ambil air zam-zam.  
Duduk di Madinah memang dijamin murah rezeki. Kalau nak rasa air selain air zam-zam, Boleh belajar cuba 4 jenis air biasanya disedeqahkan sebelum waktu berbuka;
1. Shai – teh yang ada rasa pudina. Ini memang susah nak jumpa. Kena pandai cari.
2. Laban – susu masam. Kadang dapat susu segar. Sekali minum, boleh jadi ketagihan.
3. Qohwah – kopi. Ini paling rare. Kalau boleh minum saya tabik spring!
4. Jus buah-buahan – Air manisan dalam botol seperti jus nenas, jus oren, jus manga dan lain-lain. 
Kebanyakkannya orang akan tawar minuman shai (teh) dan qohwah (kopi). Kalau kita dengar dua perkataan ni, saya sarankan korang pilih shai sahaja. Sebab  qohwah (kopi) Arab original ini bukan macam kat Malaysia. Kopi dia macam air herba siap ada rasa bunga lawang, cengkih dan kayu manis dan lain-lain. 
Saya sendiri pengalaman rasanya sekali saja, memang melekat dalam ingatan. Tak boleh nak telan masuk. Siapa tak biasa boleh hilang terus deria rasa dan selera sebaik sahaja berbuka.
Bagi yang pertama kali mengerjakan umrah, inilah pengalaman yang patut kita semua merasa. Ambil peluang rasai sendiri keunikan berbuka puasa di sana, kalau sedap boleh ‘mentong’ kata orang jawa. 
6. TEKNIK MINUM AIR ZAM-ZAM SEMASA BERBUKA PUASA
Tips berbuka puasa di Mekah dan Madinah yang rare ini, saya syorkan supaya jemaah tidak minum air zam-zam atau sebarang air sejuk sebagai ‘muqaddimah’ ketika berbuka puasa. Katanya ini tips nak elakkan batuk terutamanya sepanjang berada di Tanah Suci. Pilih air zam-zam yang ditulis NOT COLD sebagai keutamaan ketika berbuka. Ini untuk yang nak jaga kesihatan. Tahan sekejap nafsu minum air sejuk tu ya. Lepas solat bolehlah qodho balik.
7. SOLAT BERJEMAAH DI MASJID
Waktu berbuka puasa hanya sekitar 10-15 minit. Bukan lama sangat pun. Tips dari saya, kalau boleh makanan yang berbungkus, jangan makan lagi. Simpan dulu makan lepas solat Maghrib nanti. Kalau tidak takut tak sempat habis. Dia sudah bungkus SAPRAH. Takut kita rasa macam kena halau pula nanti.
Selepas berbuka yang ‘ringan-ringan’, terus siap-siapkan diri untuk solat berjemaah. Jangan bimbang. Lepas solat maghrib semua orang macam ‘berkelah’ di kawasan dataran.
Kawasan dataran juga nak dibersihkan. Jadi kena cepat-cepat cari tempat di dalam Masjid. Dalam bulan ramadhan, susah sangat nak dapat solat dalam masjid. Bukan sahaja selepas waktu berbuka, boleh dikatakan setiap waktu.  Kalau 15 minit sebelum azan kita tak bertolak lagi ke masjid, memang jawabnya kita akan solat di luar masjid atau di tepi jalan.
Kalau di Madinah, penjaga pintu muslimat akan benarkan masuk selagi ada tempat solat. Hatta di kawasan pejalan kaki ruang solat. Selagi tak penuh sampai ke pintu, selagi itu kita boleh masuk.
Berbeza di Mekah, pihak pengawal akan menghadang pintu lebih awal walaupun kita nampak masih ada ruang solat lagi di dalamnya. Kadang-kadang mereka bukan tutup pintu sahaja, tapi tutup jalan siap pasang dengan penghadang.  
Kalau jemaah nampak dia tutup jalan atau pintu, jangan cepat sangat putus harapan terus solat tepi jalan sahaja.  Sebenarnya dia tak tutup semuanya, ada trick dia. Mereka akan tutup jalan/pintu secara beransur sikit demi sikit. So kita kena cepat beralih cari pintu lain pula sampai jumpa kalau mahu juga solat di dalam.
Seeloknya pada bulan Ramadhan, biasakan diri kita keluar ke masjid 1 jam sebelum azan dan kita sudah berada di dalam masjid menunggu waktu solat. Kan banyak faedahnya dapat iktikaf di dalam masjid. Bulan puasa lagi.
8. MACAM MANA NAK CARI PINTU YANG MASIH DIBUKA?
Bila kita berada di Mekah, memang kena cepat pergi ke masjid terutamanya kalau waktu Subuh dan lepas waktu Asar. Dalam pukul 5.30 petang tu sudah kena turun dari hotel. Sebab waktu inilah orang tengah berpusu ke masjid nak solat Subuh dan Maghrib kemudian terus bersedia untuk solat tarawikh dalam masjid.
Tipsnya kita kena pandai cari pintu mana yang masih dibuka. Sebenarnya dari jauh pun kita boleh nampak. Di atas setiap pintu ada papan elektronik LED berwarna merah atau hijau. Kalau hijau, cepat-cepat berjalan menuju ke pintu tu. Kalau dari jauh dah nampak merah, cepat-cepat cari sign yang berwarna hijau. Jangan pula ikut arus orang ramai yang sedang masuk ke sign pintu warna merah.
Bagi yang tidak tak faham, mereka akan tunggu dan merayu pada pak guard yang jaga tu untuk benarkan masuk ke dalam. DIJAMIN pak guard tu memang tak akan buka sekali pintu tu ditutup. Jadilah tetamu Allah yang bijak mencari pintu ya!.
9. BAWA SEJADAH BESAR
Ketika mengerjakan umrah di bulan Ramadhan, kita digalakkan bawa sejadah besar. Ini kerana peratusan untuk solat di luar tu agak tinggi kalau kita lambat ke masjid. Ini tips bagi yang selalu bangun lambat atau tak sempat nak masuk masjid. 
Ini juga tips untuk elak solat di atas lantai yang kotor terutamanya kalau kita terpaksa solat di jalan atau solat lepas habis watu berbuka puasa. Sebab lepas habis berbuka, lantai di luar masjid memang agak kotor, melekit sebab banyak nasi, air, dan kuah yang tumpah.  Cleaner start bersihkan kawasan luar masjid lepas habis solat Maghrib. 
Buat persiapan yang bijak. Sekurang-kurangnya kita boleh solat atas sejadah yang bersih. Ini pun untuk keselesaan kita sendiri.
10. TUKANG SPRAY AIR
Kalau bulan biasa, setiap kali kita penat atau duduk sahaja dalam masjid, boleh santai-santai lepak  sambil minum air zam-zam yang diletakkan di mana-mana dalam masjid.  Masa balik solat, boleh pula pekena aiskrim Mekah. Ini macam rutin harian orang sana.
Tapi bulan Ramadhan memang sah kita kena puasa. Antara cara nak segarkan diri, selalulah spray air zam-zam ke muka dan mana-mana anggota badan. Bagi sejuk dan segar sikit muka tu.
Dan nanti kita akan nampak ada orang main spray je air kat korang ketika tawaf atau di ruang yang sesak. Jangan dimarah pula kena sembur. Sebenarnya niat mereka hanyalah mahu segarkan diri kita.  Itu antara keunikan orang sana membuat amal sedeqah. Ramadhan kan musim panas. Siap spray pakai tong racun pun ada. Jangan terkejut dan melatah pula ya.
11. SADAQAH DI HARAMAIN
Kita sangat tahu sedekah bulan Ramadhan di sini luar biasa kerana masing-masing yakin dan mahu mendapatkan ganjaran yang Allah berikan pada sesiapa menyediakan makanan kepada mereka yang berbuka.
Dan kita akan jumpa ada orang yang sediakan hanyalah tisu. Ya, tisu sahaja! Mereka ni akan duduk sahaja sambil pegang kotak tisu sambil menunggu di tempat tawaf atau tempat solat. Ada yang sedeqahkan buah kurma dan ada juga edarkan makanan ringan untuk jemaah yang lalu lalang.
Semua orang mencari jalan bagaimana nak bersedeqah. Tanya mutawif nanti. Macamana nak bersedeqah di Tanah Suci. Ada banyak cara. Tak susah pun nak buat pahala di bulan Ramadan.
12. WAKTU LAWATAN KE RAUDAH
Kalau bulan biasa, waktu lawatan Raudhah bagi jemaah wanita ialah selepas selesai Solat Subuh kira-kira jam 7 pagi sehingga kira-kira 1 jam sebelum masuk waktu Zohor. Di sebelah petang pula, masanya agak singkat iaitu selepas selesai solat Zuhur hingga sebelum masuk waktu Asar. Manakala sebelah malam pula, selepas selesai solat Isyak hingga jam 12 tengah malam.
Bagi bulan Ramadhan pula, sedikit berbeza dan lebih singkat masa lawatannya untuk jemaah wanita.
Pagi: Selepas Subuh (lebih kurang 7 pagi – 9.30 pagi)
Tengahari: 10-15 minit sahaja
Malam: Sebelum 10 Ramadhan terakhir, dibuka sekejap selepas tarawikh. Tapi sebaik sahaja masuk 10 Ramadhan terakhir, raudhah memang tidak dibuka pada sesi malam. Ini kerana ramai orang mula beriktikaf di masjid pada tempoh tersebut.
Bagi jemaah wanita, hanya ada masa waktu sebelah pagi sahaja waktu paling sesuai untuk ziarah Raudhah. Tips pintu nak masuk Raudhah adalah pintu nombor dan gate 25. Jemaah Rarecation untungnya duduk di hotel Fayroz Syattah. Memang betul-betul depan gate 25. 50 meter sahaja dah sampai.
13. MACAM MANA NAK SPONSOR MAKANAN BUKA PUASA DI HARAMAIN?
Kalau jemaah nak juga merebut pahala memberi makanan orang di tanah suci, kita boleh beli makanan dan distribute sendiri. Cara lain kita boleh bagi duit pada kedai dan pihak kedai tersebut akan uruskan semuanya.
Sebagai contoh jika di Madinah, boleh beli kurma ajwa di pasar kurma dan air jus di Supermarket Bin Dawood. Kemudian letak dalam satu plastik jadi senang nak agih di perkarangan dataran masjid semasa orang lalu lalang nak pergi masjid atau agih kepada jemaah di dalam masjid.
Ketika di Makkah pula, kita boleh bagi duit kat kiosk makanan tepi jalan yang buat pakej begini.  Pilih sahaja pakej makanan yang kita nak sedeqahkan.  Semasa proses pengedaran makanan tu, kedai yang akan agihkan. Kerja kita bagi duit sahaja dan minta pihak mereka uruskan.
14. SUASANA WAKTU MALAM 
Di tanah suci suasana malamnya sangat meriah dengan ibadah yang mana kebanyakkan orang tidak tidur pada waktu malam di bulan Ramadhan.  Sebab kat sini, selesai solat tarawikh 20 rakaat  lebih kurang pukul 11 malam. Dan imam masjid di Makkah dan Madinah akan mulakan qiamullai bermula pukul 12-12.30 malam. Jadi masa rehat sini sangatlah sekejap. Paling kurang 1 jam sahaja. 
Kebiasaannya bermula maghrib, orang ramai tak akan keluar dari masjid lagi sampai waktu Subuh sebab nanti memang kita tahu susah dah nak dapat masuk kawasan masjid lepas tu. Lepas waktu subuh, memang ramai yang bergelimpangan tidur di dalam masjid. Jangan pelik. Itu normal.
Jika jemaah memang nak tunggu sampai waktu qiam, kita memang dah kena bersedia dengan kelengkapan dan mula masuk masjid bermula 1 jam lepas Asar paling lewat. Kalau tidak, kita dah susah nak dapat tempat solat yang selesa terutamanya di Mekah. 
15. WAKTU BILA ORANG TIDAK RAMAI?
Kebanyakan waktu tak ramai jemaah di dalam masjid adalah ketika waktu dhuha. Antara sebabnya kerana kebanyakkan sudah kembali pulang ke hotel selepas berjaga sepanjang malam dalam masjid,. Mereka balik untuk berehat dan siapkan kelengkapan lain untuk malam seterusnya.
Bagi jemaah saya, waktu Dhuha atau selepas solat Subuh adalah waktu pendidikan jiwa. Kuliah ini yang penting untuk memahamkan kita matlamat dan tujuan kita tunaikan ibadah umrah. Banyak fadilat umrah yang kita kongsikan untuk jemaah faham APA HASIL IBADAH YANG MAHU KITA BAWA PULANG NANTI.
KESIMPULAN
Menunaikan ibadah umrah dan juga berpuasa Ramadhan di Tanah Suci amat besar ganjaran pahalanya. Malah ada hadis Nabi s.a.w yang menyatakan “sesiapa yang melakukan Umrah dalam bulan Ramadhan seolah-olah mereka mengerjakan Haji bersama-sama denganku.” Subhanallah. 
Buat Umrah menyamai ganjaran pahala Haji. Tetapi harus diingat melakukan Umrah 7 kali menyamai pahala Haji memang tidak ada dalil dari Al-quran mahupun hadis. Apa yang penting kita nak ambil ialah hikmah dan pelajaran berpuasa dan melaksanakan umrah di bulan istimewa ini.
Kenangan menunaikan ibadah puasa dan umrah di bulan Ramadhan di Tanah Suci Mekah memang amat mengujakan dan sangat RARE!. Tanyalah pada mereka yang sudah ke sampai di sana pada bulan Ramadhan, pasti jawapannya senada dengan saya.

Perihal Dam dalam ibadat Umrah

Dam ialah denda yang dikenakan kepada Jemaah yang mengerjakan umrah kerana meninggalkan perkara-perkara yang wajib, melakukan perkara-perkara yang dilarang, sama ada dilakukan secara sengaja, tidak sengaja atau kerana tidak tahu.
Mengikut pendapat ulama Mahzab Syafie, satu dam bersamaan dengan seekor kambing dan hendaklah disedekahkan dagingnya atau berpuasa selama 3 hari ataupun memberi makanan kepada 6 orang miskin, setiap seorang diberikan sebanyak setengah gantang.
Terdapat tiga bentuk hukuman mengikut tahap-tahap pelanggaran:
Sekiranya melanggar larangan secara sengaja, tanpa keuzuran atau bukan di bawah paksaan, hukumnya berdosa dan Jemaah diwajibkan membayar dam.
Sekiranya melanggar larangan kerana terpaksa, hukumnya tidak berdosa dan Jemaah wajib membayar dam.
Sekiranya melanggar larangan kerana sebab jahil, uzur, lupa atau semasa tidur, maka hukumnya tidak berdosa dan tidak wajib membayar dam.
Jenis-jenis Dam
Terdapat empat jenis dam, iaitu:
1. Dam Tertib Takdir
Maksud tertib iaitu melakukan satu dam yang ditetapkan dan jika tidak mampu, lakukan dam berikutnya yang ditetapkan. Manakala takdir pula iaitu kadar dam yang telah ditetapkan oleh syarak. Contohnya, seseorang yang tidak berihram di Miqat, hendaklah ia melaksanakan dam iaitu menyembelih seekor kambing. Jika tidak mampu hendaklah berpuasa 10 hari (iaitu 3 hari di masa haji dan 7 hari apabila ia pulang ke tempatnya), sekiranya tidak mampu juga disebabkan tua, hendaklah dikeluarkan satu cupak tiap-tiap satu hari (sebanyak 10 cupak). Jika tidak berdaya juga, maka tertanggunglah zimmah ke atasnya.
2. Dam Tertib dan Takdil
Maksud takdil apabila seseorang tidak berkuasa mengeluarkan makanan, hendaklah ia ganti dengan berpuasa. Contohnya, seseorang yang melakukan persetubuhan, maka si suami dikenakan dam iaitu menyembelih seekor unta, jika tidak mampu hendaklah ia menyembelih seekor lembu, jika tidak mampu hendaklah digantikan dengan tujuh ekor kambing. Jika tidak mampu hendaklah membeli makanan dengan nilai seekor unta dan dibahagikan kepada fakir miskin di Tanah Haram. Jika tidak mampu, hendaklah ia berpuasa beberapa hari sebanyak bilangan cupak makanan yang dapat dibeli dengan nilai seekor unta.
3. Dam Takhyir dan Taqdir
Maksudnya ketetapan kepada barang yang boleh diganti. Contohnya seseorang yang memakai pakaian yang dilarang dalam ihram atau memotong kuku, maka dam yang dikenakan menyembelih seekor kibas (atau kambing atau 1/7 unta). Sekiranya tidak mampu, bersedekah kepada 6 orang fakir miskin sebanyak 2 cupak makanan tiap-tiap seorang. Sekiranya tidak mampu, berpuasa tiga hari.
4. Dam Takhyir dan Takdil
Takhyir ertinya boleh memilih satu daripada perkara-perkara yang ditetapkan. Contohnya, memburu binatang yang halal dimakan atau mencabut pokok dan dam yang dikenakan iaitu menyembelih binatang mengikut binatang yang diburu. Jika rusa, bandingannya ialah lembu, jika kijang, bandingannya ialah kambing dan seumpamanya. Jika tidak mampu, hendaklah membeli makanan dengan nilai harga binatang sebagai bandingan dan dibahagikan kepada fakir miskin di Makkah. Sekiranya tidak mampu hendaklah berpuasa beberapa hari sebanyak bilangan cupak makanan yang dapat dibeli dengan harga nilainya iaitu satu cupak satu hari. Wallahua’lam
Cara Membayar Dam
Bagi membayar dam, Jemaah bolehlah berbincang dengan mutawwif tentang cara bayaran dam. Bayaran dam dan fidyah adalah urusan sendiri dan Jemaah bolehlah membayarnya kepada fakir miskin Makkah pada kadar 5 rial.
Bayaran dam ini bergantung kepada jenis-jenis kesalahan larangan dan ianya tidak sama antara satu kesalahan dengan kesalahan yang lain.
Perlu diingat yang dam hanya boleh dibayar di Makkah sahaja kecuali dam ihsar bagi Jemaah yang gagal meneruskan umrah.