Adakah sah sa’ie dan umrah saya tanpa berundur beberapa langkah ke belakang selepas berhenti minum air zamzam ketika melakukan sa’ie?
Saya amat berharap akan penjelasan daripada Tuan Mufti.
Jawapan :
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT :
وَأَتِمُّوا الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ لِلَّـهِ
Maksudnya : “Dan sempurnakanlah Ibadah Haji dan Umrah kerana Allah.”
(Surah al-Baqarah: 196)
Begitu juga, berdasarkan sebuah hadis daripada Aisyah R.Anha, katanya : “Wahai Rasulullah, adakah jihad bagi kaum wanita?” Baginda bersabda :
نَعَمْ: جِهَادٌ لاَ قِتَالَ فِيهِ : الْحَجُّ وَالْعُمْرَةُ
Maksudnya : “Ya, jihad tanpa peperangan, iaitu haji dan umrah.”
[HR Ibn Majah (3013)]
Para ulama’ telah bersepakat memutuskan bahawa haji adalah fardhu, tanpa seorang pun di kalangan mereka berpendapat sebaliknya. Oleh itu, mereka menghukumkan kafir kepada sesiapa yang mengingkari sesuatu yang yang telah thabit dengan al-Quran, al-Sunnah dan ijma’. Begitu juga, berdasarkan pendapat yang lebih jelas daripada Imam al-Syafie, umrah juga adalah fardhu, sebagaimana haji. Dan ayat dia atas adalah merupakan dalil bagi mereka yang berpendapat bahawa umrah adalah fardhu. Selain itu, mereka juga telah bersepakat mengatakan bahawa haji dan umrah wajib dilakukan oleh mereka yang mampu, hanya sekali seumur hidup. [Lihat : al-Fiqh al-Manhaji (2/115-116) dan al-Idhoh fi Manasik al-Haj wa al-Umrah, hal. 378-379]
Rukun-rukun umrah
Sepertimana yang kita ketahui, rukun ialah bahagian-bahagian yang asas bagi sesuatu ibadah. Maka, amalan (rukun) umrah adalah seperti berikut :
- Ihram umrah adalah sebagaimana ihram haji.
- Melakukan tawaf umrah.
- Sa’ie di antara Bukit Safa dan Marwah
- Bercukur atau bergunting rambut.
Syeikh Abd al-Fattah Husein menyatakan difahami daripada perkataan penulis iaitu Imam al-Nawawi bahawa rukun yang kelima bagi ibadah umrah ialah Tertib.
[Lihat : al-Fiqh al-Manhaji (2/144) dan al-Idhoh fi Manasik al-Haj wa al-Umrah, hal. 386]
Berhenti seketika minum air zamzam ketika sedang sa’ie
Berbalik kepada soalan yang ditanyakan, secara asasnya kita mengetahu bahawa sa’ie di antara Bukit Safa dan Marwah adalah merupakan antara rukun-rukun umrah. Seseorang yang mengerjakan ibadah umrah dan haji hendaklah melakukan pusingan sebanyak 7 kali, iaitu berjalan daripada Bukit Safa dan Marwah dikira satu pusingan, kemudian daripada Marwah ke Safa dikira lagi satu pusingan dan begitulah seterusnya, sehinggalah cukup 7 kali pusingan dengan berakhir di Marwah. [Lihat : al-Idhoh fi Manasik al-Haj wa al-Umrah, hal. 257]
Selain daripada itu, sekiranya seseorang yang sedang sa’ie itu berhenti untuk berehat atau pulang ke hotel. Perkara tersebut tidak membatalkan atau merosakkan ibadah sa’ienya, dan dia hanya perlu menyambung dan menyempurnakan baki bilangan sa’ienya sahaja kerana muwalah antara bilangan sa’ie hukumnya adalah sunat. [Lihat : al-Idhoh fi Manasik al-Haj wa al-Umrah, hal. 259]
Begitulah juga, sekiranya seseorang itu minum air zamzam di tempat yang disediakan sepanjang laluan sa’ie. Selesai minum dia hanya perlu meneruskan sahaja perjalanan sa’ie tersebut tanpa perlu berpatah balik beberapa langkah. Hal ini kerana setiap langkah yang dilaluinya itu adalah dikira, dengan syarat dia masih di dalam kawasan mas’a (tempat sa’ie) serta di laluan yang betul.
Akan tetapi berbeza sekiranya dia telah keluar daripada kawasan mas’a, kemudian masuk semula bagi menyambung dan menyempurnakannya. Kami berikan dua contoh agar lebih mudah untuk faham berdasarkan kepada dua situasi :
Situasi pertama : Seseorang itu telah melakukan sa’ie di tingkat bawah dan selesai satu pusingan sa’ienya (daripada Bukit Safa ke Marwah). Kemudian, dia ingin meneruskan baki pusingan di tingkat atas, maka dalam hal ini dia hanya perlu memulakan sa’ienya di Marwah.
Situasi kedua : Seseorang itu telah melakukan sa’ie di tingkat bawah dan selesai satu pusingan sa’ienya (daripada Bukit Safa ke Marwah). Kemudian, meneruskan pula perjalanan bagi pusingan kedua. Ketika di pertengahan jalan dan belum sampai pun lagi di Safa, dia mahu melakukannya di tingkat atas. Maka dalam hal ini, dia perlu memulakannya di tempat yang dia berhenti (mengikut jarak pada sangkaannya yang kuat) dan kami syorkan sekiranya dapat berundur beberapa langkah ke belakang, adalah lebih baik sebagai langkah berhati-hati (ihtiyatan).
Kesimpulannya
Berdasarkan kepada persoalan di atas, setelas diteliti pandangan para ulama mengenainya, kami berpendapat bahawa seseorang yang minum air zamzam di tempat yang disediakan sepanjang laluan mas’a, tidak perlu berundur dua tiga langkah ketika mahu menyambung dan meneruskan ibadah sa’ienya. Hal ini kerana setiap langkah yang dilaluinya itu (di kawasan mas’a) adalah dikira sa’ie, sekalipun berhenti berehat sebentar, atau pergi ke arah tempat air zamzam untuk minum (yang di dalam mas’a) yang sehala dengan laluan sa’ienya. Hukum sa’ie yang dikerjakan olehnya itu sah dan tidak perlu mengulanginya.