Satu cara paling berkesan untuk berhubung dengan Allah ialah dengan bangun mengerjakan ibadah, khususnya sembahyang tahajud atau sembahyang di tengah malam. Tetapi, satu persoalan boleh ditimbulkan berhubung perkara ini ialah kenapa Allah meletakkan masa untuk sembahyang tahajud pada tengah malam ketika suasana sunyi, sejuk dan penuh keheningan. Jawapannya ialah kerana Allah mahu menguji sejauh mana taatnya seseorang mahluk yang mengaku bertuhankan Allah SWT. "Sesungguhnya, bukan satu perkara mudah untuk bangun daripada tidur nyenyak pada waktu dinihari ketika orang lain sedang dibuai mimpi". Juga bukan satu perkara mudah untuk berwudhu’ dalam suasana dingin malam yang mencengkam dan juga bukan perkara mudah untuk mengangkat takbir menghadap Allah dalam keadaan mata yang masih terkebil-kebil kepedihan menahan nikmat tidur yang masih belum dipenuhi.
Dengan kata lain, amalan bangun bertahajud adalah perbuatan amat berat untuk dikerjakan. Keadaan tubuh yang letih dan lesu kerana sehari suntuk bekerja pada siang hari, ditambah pula sekiranya seseorang itu masih belajar seperti seorang mahasiswa IPG, maka sudah tentu banyak tenaga telah digunakan pada waktu pagi dan petang dek kerana riadahnya dan mentelaah ilmu pelajaran. Justeru, keadaan tubuh yang letih dan lesu sememangnya memerlukan rehat yang mencukupi dan hal ini menyebabkan ramai yang mengalami kesukaran untuk bangun seketika daripada tidurnya lantaran kerana lenanya diulit mimpi yang indah serta fikiran yang bebas daripada belenggu masalah kerana nikmatnya tidur kurniaan Allah SWT. Mata akan bertambah mengantuk dan tubuhnya akan menjadi bertambah penat apabila seseorang tidur lewat malam kerana asyik menonton tayangan gambar khususnya bagi pihak muslimin yang gemarkan menonton sukan bola sepak pada larut malam di kaca komputer riba atau televisyen serta melakukan kerja tambahan-tambahan yang lain. Keadaan sejuk dan suasana sunyi sepi di tengah malam juga menjadi faktor untuk membuatkan seseorang nyenyak tidur dan berasa ‘keberatan’ untuk berhubung dengan Allah SWT di tengah malam. Namun, pada kesukaran inilah tersembunyi suatu rahsia Allah yang hanya sedikit sekali diketahui oleh hamba-hamba-Nya. Sekalipun sembahyang tahajud sekadar sunat, tetapi kelebihannya amat besar di sisi Allah dan tinggi niainya. Firman Allah SWT dalam surah al-Isra’ : 79 :
Maksudnya : “Dan pada sebahagian malam, lakukanlah solat tahajud (sebagai satu ibadah) tambahan bagimu, mudah-mudahan Tuhanmu mengangkatmu ke suatu darjat yang terpuji)"
Ayat ini menjelaskan kepada kita betapa pentingnya sembahyang tahajud. Ia peluang keemasan yang ditawarkan Allah kepada manusia untuk mengukuhkan hubungan manusia dengan Penciptanya. Sesungguhnya segala kesusahan dan kepayahan itu hanya dirasai mereka yang jarang atau tidak pernah melakukannya., namun bagi mereka yang biasa, ia akan menjadi satu kenikmatan pula. Bagi yang dapat menghayatinya, mereka akan berasa satu kerugian besar jika meninggalkan sembahyang tahajud. Pada waktu sepertiga malam inilah, pintu langit akan terbuka luas untuk menerima taubat hamba Allah dan Malaikat akan membawa kendi emas untuk mengumpul air mata taubat bagi menyiram api neraka yang sedia menanti mahu membakar tubuh manusia di akhirat nanti.
Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud :
“Allah SWT sayang kepada lelaki yang bangun malam kemudian mengerjakan sembahyang dan akan membangunkan isterinya dan kalau isterinya enggan, dipercikkan air di wajahnya. Dan Allah sayangkan perempuan yang bangun malam kemudian mengerjakan sembahyang dan membangunkan suaminta dan jika suaminya enggan, dipercikkan air ke wajahnya “ (Hadis riwayat Abu Daud)
Sesungguhnya untuk mendapat kasih sayang daripada Allah bukan sesuatu yang mudah. Allah mengasihi orang yang beriman dengan melaksanakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangannya. Sembahyang tahajud satu suruhan Allah dan oleh ituAllah menyanyangi mereka yang mengerjakan sembahyang ini. Bagi manusia yang benar-benar yakin dan patuh kepada Allah tidak akan keberatan untuk bangun melakukan tahajud di tengah malam. Sesungguhnya, sembahyang tahajud ialah satu daripada sembahyang sunat yang mempunyai nilai dan kedudukan tinggi berbanding sembahyang sunat yang lain. Sembahyang tahajud adalah amalan orang soleh yang sentiasa mahu mendekatkan diri kepada Allah SWT. Amalan sembahyang tahajud bukannya hanya diamalkan umat Nabi Muhammad S.A.W sahaja malah turut diamalkan oleh umat nabi sebelumnya. Ini bererti perintah tahajud bukan dikhususkan kepada umat Nabi Muhammad S.A.W sahaja.
Saidina Umar Al-Khatab menyatakan fadhilat atau kelebihan sembahyang malam dengan berkata : “Sesiapa yang mengerjakan sembahyang malam (tahajud) dengan khusyu’ nescaya dianugerahkan Allah sembilan perkara, lima di dunia dan empat di akhirat.
Kurniaan di dunia ialah :
2) Lahir kesan takwa pada wajahnya
3) Dikasihi sekalian mukmin dan seluruh manusia
4) Percakapannya mengandungi hikmah
5) Dikurniakan kekuatan dan diberi rezeki dalam agama (halal dan diberkati)
Sementara empat kurniaan di akhirat ialah :
2) Dipermudahkan hisab
3) Cepat melalui Sirat al-Mustaqim- seperti kilat
4) Diserahkan suratan amalan pada hari akhirat dengan tangan kanan
Walaupun manusia sedar ketinggian kedudukan sembahyang tahajud, namun sedikit sekali manusia yang mengakui beragama islam sanggup dan bersedia melakukan sembahyang ini. Bagi mereka, tidur lebih seronok dan lebih utama daripada sembahyang ini. Sesungguhnya manusia akan berlumba-lumba untuk bersembahyang tahajud sekiranya mereka dapat merasai betapa nikmatnya melakukan amalan ini.
Keheningan dan kedinginan malam seolah-olah memberi kesempatan kepada seseorang untuk merapatkan lagi jurang hubungan antara mahluk dan pencipta-Nya. Apa yang dibaca seseorang ketika bersembahyang itu seolah-olah didengar dan mendapat layanan daripada Allah Yang Maha Berkuasa.
Orang yang khusyu’ dalam sembahyang akan merasa hubungannya dengan Allah begitu hampir. Biasanya, permohonan seseorang untuk mendapat sesuatu itu cepat mendapat layanan apabila tidak ramai orang memohonnya. Anologinya cukup mudah, sebagai contohnya di IPG saya ada sebuah kedai burger yang menjadi tumpuan pelajar-pelajar di sini. Justeru itu, sekiranya pada ketika itu bilangan orang yang ingin membeli burger teramat kecil bilangannya, maka sudah tentu permintaannya akan menjadi mudah, cepat dan senang diperolehi.
Oleh itu, mohonlah keampunan dan limpahan rahmat ketika orang lain sedang tidur nyenyak. Berhubunglah dengan Allah ketika peluang masih ada, umur masih muda dan pintu taubat masih terbuka. Insya-Allah kita akan mendapat limpahan rahmat dan nikmat daripada-Nya Sebaik-baik permohonan dan masa untuk berhubung denganAllah ialah pada waktu malam. Sebab itu kurangkanlah tidur dan perbanyakkanlah bersembahyang dan beribadah bagi menambahkan saham atau bekalan di akhirat pada waktu malam hari. Insya-Allah pesanan buat rakan serta diri ini khususnya selaku hamba yang sering tidak terlepas daripada elakukan dosa terhadap Allah dan sesama mahluk.
No comments:
Post a Comment