Thursday, 6 March 2014

SOLAT SUNAT TAUBAT

ALLAH SWT sentiasa memerintahkan kita supaya bertaubat, sebagaimana firman-Nya sebagaimana di dalam Al-Quraanulkarim:


                                                                                             (Surah At-Tahrim: Ayat 8)
Maksudnya:
"Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan 'Taubat Nasuha' (taubat yang sebenar), mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersama-sama dengannya; cahaya (iman dan amal soleh) mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan); mereka berkata (ketika orang-orang munafik meraba-raba dalam gelap-gelita): "Wahai Tuhan kami! Sempurnakanlah bagi kami cahaya kami, dan limpahkanlah keampunan kepada kami; sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu".


Allah telah membuka pintu harapan kepada hamba-hambaNya dengan firmanNya:

                                                                                                    
                                                                                              
                                                                                (Surah Az-Zumar: Ayat 53)
Maksudnya:
Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.


Selanjutnya Allah Ta'ala berfirman:


                                                                                          
                                                                                                     (Surah Az-Zumar: Ayat 54)
 Maksudnya:
"Dan kembalilah kamu kepada Tuhan kamu dengan bertaubat, serta berserah bulat-bulat kepadaNya, sebelum kamu didatangi azab; kerana sesudah itu kamu tidak akan diberikan pertolongan".
Syarat-syarat taubat :
  1. Ikhlas ingin bertaubat;
  2. Tidak akan mengulangi perbuatan dosa itu lagi;
  3. Menyesal atas perbuatan yang telah dilakukan;
  4. Harus mempunyai tekad di dalam hati tidak akan melakukan dosa itu untuk selama-lamanya; dan
  5. Dikerjakan sebelum ajal tiba.
Jika salah satu syarat tidak dipenuhi, maka taubat yang dilakukan itu tidaklah sah. Jika dosa berkaitan dengan manusia yang lain, maka syaratnya ditambah lagi, iaitu harus dapat membebaskan diri dari hak orang yang berkaitan. Contohnya jika hal itu berbentuk harta, harus dikembalikan. Jika berbentuk hukuman, ia harus menyerahkan diri mohon dimaafkan. Jika hal berupa cacian dan sebagainya, maka ia harus memohon keredhaannya.
Masa (waktu) Melaksanakan Taubat :
Taubat tidak boleh diundur-undur atau ditunda. Kerana jika demikian ia sangat berbahaya bagi hati manusia. Jika tidak segera menyucikan diri sedikit demi sedikit, maka pengaruh dosa itu akan bertompok-tompok, dan akhirnya akan merosakkan hati sehingga tertutup dari cahaya kebenaran. Oleh itu adalah menjadi kewajipan kepada setiap mukmin untuk segera bertaubat pada bila-bila masa sahaja.  Ini kerana kita tidak tahu bila kita akan kembali (mati) ke hadrat Allah SWT, mungkin seminit lagi, 2 minit lagi .... Mudah-mudahan Allah SWT akan menerima taubat yang dilakukan.

Mengambil satu contoh kepada kes anak-anak yang susah hendak belajar. Sebab-musabab anak susah untuk menerima pelajaran  itu berkemungkinan bukan sahaja kesilapan telah dilakukan oleh anak itu sendiri bahkan mungkin ada kesalahan yang dilakukan oleh kita sebagai ibu atau ayah. Ibu ayah bertanggungjawab dan pemikul amanah Allah SWT terhadap anak-anaknya. Suami pula bertanggungjawab terhadap isterinya. Oleh sebab itu marilah kita segera bertaubat supaya kesilapan yang tidak disangka-sangka atau tidak diketahui yang menjadi penyebab kepada susahnya ilmu yang ingin difahami oleh anak-anak. Selepas bersolat taubat marilah kita bermunajat ke hadrat Allah SWT agar kesilapan kita (sebagai ibu atau ayah) tidak menjadi punca atau berterusan kepada kesusahan dan kepayahan untuk anak menimba ilmu dan mohonlah kepada Allah SWT banyak-banyak mudah-mudahan segala kesalahan diampunkan. Semoga anak-anak diberi hidayah dan mudah memahami atau menghafal perkara-perkara yang dipelajari.  Begitulah hal-hal dengan perkara-perkara yang lain di dalam kehidupan berkeluarga. 
Amat paling penting ialah kita perlu membangkitkan jiwa  untuk segera bertaubat tanpa berlengah-lengah lagi dengan sentiasa mengingati hari kematian dan hidup bersendirian di dalam kubur yang merupakan perkara yang amat pasti tanpa mengira umur, sama ada muda atau sudah tua. Bila? Tak usahlah dibicarakan, yang pastinya kita perlu berusaha bersungguh-sungguh mengerjakan amalan yang disuruh dan meninggalkan segala perkara yang dilarang-Nya. Mungkin kita telah banyak kali melakukan pelbagai perkara yang salah seperti tidak menutup  Aurat dan sebagai-sabagainya. Persoalan dan perkataan mengenai "mati" adalah sesuatu yang sangat menakutkan kebanyakan manusia. Mati bererti berpisah dengan segala yang disayangi atau dicintai bermula terputusnya segala nikmat dunia. Sedangkan berpisah sebentar sahaja dengan anak-anak atau isteri atau suami, sempat juga kita mengalirkan air mata kesedihan, apatah lagi berpisah untuk selamanya. Tetapi perkataan 'mati' itulah nasihat yang terbaik bagi kita ummat muslimin (ummat Rasulullah SAW). Begitu juga apabila diberikan sakit oleh Allah SWT, maka ianya berkait rapat dengan kematian. Walau bagaimana keadaan pun sakitnya sama ada kritikal atau tidak, marilah bertaubat kepada Allah SWT, jika tidak mampu berdiri maka boleh dikerjakan dengan duduk, atau baring atau dengan isyarat selagi kita masih sempurna akal. Mudah-mudahan segala kesalahan yang telah dilakukan (sama ada secara sedar atau tidak)  diterima oleh Allah SWT. Itulah harapan hamba yang beriman.

Begitu jugalah kepada muslimin dan muslimat serta sahabat-sahabat yang akan mengerjakan ibadah Haji atau Umrah yang amat  Mengharapkan Haji Yang Mabrur, maka selalu-selalulah bersolat taubat tanpa mengira waktu untuk menyesali kesalahan atau kesilapan yang telah dilakukan mudah-mudahan akan dipermudahkan pekerjaan Haji dan Umrah yang akan dilakukan, Insyaallah. 
Lihatlah dan bacalah Firman Allah SWT: 

                                                                                                    
                                                                                                      (Surah Az-Zumar: Ayat 30)

Maksudnya:

"Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan mati, dan sesungguhnya mereka juga akan mati".


Ingatlah dan ketahuilah mengenai azab penderitaan yang bakal dihadapi oleh orang-orang yang berdosa akibat daripada kufur dan ingkar akan amaran Allah SWT sebagaimana Firman-Nya:


                                                                                                      
                                                                                                   (Surah Az-Zumar: Ayat 16)
Maksudnya
"Bagi mereka (yang kufur dan ingkar - kafir, disediakan lapisan-lapisan dari api menyerkup di atas mereka, dan lapisan-lapisan (dari api) di bawah mereka; dengan (azab) yang demikian, Allah menakutkan hamba-hambaNya: "Oleh itu, bertaqwalah kepadaKu wahai hamba-hambaKu!"



Dengan mengingati  syurga yang akan menjadi tempat tinggal yang kekal bagi orang-orang yang soleh, maka marilah kita membangkitkan keinginan jiwa kita untuk melakukan taubat dengan segera. Firman Allah SWT:


                                                                                                      (Surah Az-Zumar: Ayat 73)
Maksudnya:
Dan orang-orang yang bertaqwa kepada Tuhan mereka akan dibawa ke Syurga dengan berpasuk-pasukan, sehingga apabila mereka sampai ke Syurga yang pintu-pintunya sedia terbuka dan penjaga-penjaganya mengalu-alukan mereka dengan kata-kata:" Salam sejahtera kepada kamu, berbahagialah kamu, maka silalah masuk ke dalam Syurga ini dengan keadaan tinggal kekal di dalamnya" (mereka pun masuk) .
Oleh itu bersegeralah kita melakukan Solat Sunnat Taubat tanpa melengah-lengahkan masa.

Cara melaksanakan solat taubat :
Cara melaksanakan solat taubat ini sama dengan solat biasa, iaitu setelah berwuduk dengan sempurna, lalu berdiri di tempat yang suci dengan menghadap kiblat;
  • Waktu melakukan Solat Taubat – Pada bila-bila masa sahaja   (sama ada malam atau pun di siang hari) sebaik-baik sahaja merasakan diri telah mengengkari suruhan Allah SWT atau telah membuat kesalahan kepada Allah SWT (sebagai contoh ialah tidak menutup aurat, melakukan dosa-dosa kecil lain mahu pun dosa besar), kecuali pada waktu makruh tahrim untuk melakukan solat *. Sebaik-baiknya ialah pada 2/3 malam (kira-kira jam 2.00 pagi ke atas), semasa Qiyamullail.

  • Lafaz NIAT


    أصَلِّي سُنَّةَ التَوبَةِ رَكَعَتَيْنِ لِلهِ تَعالىَ
    Ertinya "Sahaja Aku Solat Sunat Taubat 2 rakaat kerana Allah Ta'ala"

  • Rakaat PERTAMA - Dengan membaca (disunatkan membaca doa Iftitah) kemudian Surah Al-Fatihah. Selepas itu bacalah Surah Al-Kafirun:    .

:     atau mana2 ayat atau surah dalam Al-Quran.

  • Rakaat KEDUA-  Membaca surah Al-Fatihah. Selepas itu bacalah Surah Al-Ikhlas sebanyak 3 kali. Kedua-dua Surah  (Surah Al-Kafirun dan Surah Al-Ikhlas) adalah bacaan sunnah Rasulullah SAW: 

:   atau mana2 ayat atau surah dalam Al-Quran.

(Terdapat juga para guru dan orang-orang 'alim mengajarkan di Rakaat Pertama selepas membaca Surah Al-Fatihah maka baca ayat Al-Kursi sebanyak 11 kali, manakala di Rakaat Kedua selepas membaca Surah Al-Fatihah maka bacalah ayat Surah Al-Ikhlas sebanyak 11 kali).

  • Semasa sujud akhir rakaat kedua, jika mampu, ucapkanlah Doa Nabi Yunus sebanyak 40 kali (bersungguh-sungguh di dalam hati memohon keampunan dari Allah Ta’ala):
  • لَّا إِلَٰهَ إِلَّا أَنتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنتُ مِنَ الظَّالِمِينَ
    Ertinya:
    Tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau (daripada   melakukan aniaya, tolongkanlah daku)!  Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menzalimi   diri sendiri
  • Selepas salam, perbanyakkan Istighfar  sebanyak 100 kali, atau yang semampunya,
أسْتَغْفِرُ اللّهَ الْعَظِيمَ الَّذِي لا إلَهَ إلَّا هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومُ

وَ أتُوبُ إلَيْكَ
Ertinya:
Aku mohon keampunan ya Allah, yang tiada Tuhan melainkan Dia Yang Maha Hidup Lagi Maha Mengurus, Aku bertaubat kepada-Nya.
  • Selepas itu, jika mampu lagi bacalah tasbih memuji Allah SWT 100 kali, atau yang semampunya,
الْعَظِيمَ  سبحان الله
Ertinya:
Maha Suci Allah Yang Maha Agong.
  • Selepas itu, jika mampu lagi ucapkanlah (seberapa yang mampu):
لاَ إِلَـهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ،

لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ يُحيـي وَيُمـيتُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرُ
Ertinya:
Tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Allah Yang Maha Esa, 
tiada sekutu bagi-Nya, bagi-Nya kerajaan, bagi-Nya segala puja. 
Dialah yang menghidupkan 
(orang yang sudah mati atau memberi roh janin yang akan dilahirkan) 
dan yang mematikan. Dialah Yang Maha Kuasa atas segala sesuatu.
- Atau Istighfar sebagaimana berikut (Tiada had);


 الْعَظِيمِ  بِاللَّهِ   إِلَّا   قُوَّةَ   وَلَا  حَوْلَ لَا
Ertinya
 "Tiada keupayaan (untuk mentaati perintahMu) dan tiada kekuatan (untuk menjauhi laranganMu) melainkan dengan keizinan Allah yang Maha Agong".



- Ataupun dengan istighfar dan taubat yang ringkas ini (mengikut kemampuan):


اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي وَتُبْ عَلَيَّ 

Ertinya:
"Ya Allah, ampunilah aku dan terimalah taubatku"





  • Akhir sekali berdoalah dengan cara yang mudah mengikut kemampuan dengan bahasa yang paling mudah atau dengan Penghulu Istighfar sebagaimana berikut:
اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي لّا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبْدُكَ،


وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتَ،


أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتَ،


أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ،


 وَأَبُوءُ بِذَنْبِي فَاغْفِر لِي فَإِنَّهُ لَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ
Ertinya
“Ya, Allah Engkaulah Tuhanku, Tidak ada Tuhan selain Engkau, Engkaulah yang menjadikan aku. Sedang aku adalah hamba-Mu dan aku di dalam genggaman-Mu dan di dalam perjanjian setia ( beriman dan taat ) kepada-Mu sekuat mampuku. Aku berlindung kepada-Mu dari kejahatan yang telah ku lakukan. Aku mengakui atas segala nikmat yang telah Engkau berikan kepada ku dan aku mengaku segala dosaku. Maka ampunilah aku. Sesungguhnya tidak ada yang dapat mengampuni segala dosa kecuali Engkau.”
Cara mengerjakan Solat Sunat Taubat di atas adalah sekadar panduan dan maklumat kepada yang memerlukan. Namun rujuklah kepada para ustaz mahu pun ustazah yang berdekatan agar dapat mengerjakan Solat Sunat Taubat dengan sesempurnanya. Ilmu yang perlu dipelajari hendaklah diperolehi secara berguru. Bukan berguru dengan ustaz-ustazah Google. Mudah-mudahan Solat Taubat yang dikerjakan akan diterima oleh Allah SWT, Insyallah.  Tidak ada solat sunat taubat ringkas atau panjang sebagaimana yang didakwa oleh sesetengah pihak.


No comments:

Post a Comment