Monday, 23 June 2014

DOA KETIKA MEMASUKI MEKAH


 
اللَّهُمَّ إِنَّ هَذَا الْحَرَمَ حَرَمُكَ ، وَالْبَلَدَ بَلَدُكَ ، وَاْلأَمْنَ أَمَنُكَ ، ،وَالْعَبْدَ عَبْدُكَ ، جِئْتُكَ مِنْ بِلاَدٍ بَعِيْدَةٍ بِذُنُوْبٍ كثِيْرَةٍ ، وَأَعْمَالٍ سَيِّئَةٍ ، أَسْأَلُكَ مَسْأَلَةَ الْمُضْطَرِيْنَ إِلَيْكَ ، الْمُشْفِقِيْنَ مِنْ عَذَابِكَ ، أَنْ تَسْتَقْبِلَنِيْ بِمَحْضِ عَفْوِكَ وَأَنْ تُدْخِلَنِيْ فَسِيْحَ جَنَّتِكَ ، جَنَّةِ النَّعِيْمِ .
اللَّهُمَّ إِنَّ هَذَا حَرَمُكَ وَحَرَمُ رَسُوْلِكَ ، فَحَرِّمْ لَحْمِيْ وَدَمِي وَعظْمِيْ عَلَى النَّارِ .
 اللَّهُمَّ آمِنِّي مِنْ عَذَابِكَ يَوْمَ تَبْعَثُ عِبَادَكَ أَسْأَلُكَ بِأَنَّكَ أَنْتَ اللهُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ الرَّحْمَنُ الرَّحِيْمُ ، أَنْ تُصَلِّىَ وَتُسَلِّمَ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَ عَلَى آلِهِ تَسْلِيْمًا كثِيْرًا أَبَدًا
 
Maksudnya ;
Ya Allah sesungguhnya Tanah Haram ini, negeri ini, ketenteraman yang ada di dalamnya dan hamba yang ada padanya semuanya kepunyaanMu, hambaMu ini telah datang menyahut panggilanMu dari negeri yang jauh dengan membawa dosa yang banyak dan amalan-amalan yang buruk, daku pohonkan kepadaMu sebagai permohonan orang yang sangat berhajat kepadaMu dan takut kepada azabMu supaya Engkau terima daku dengan limpahan kemaafanMu dan masukkanlah daku ke dalam kawasan syurgaMu, Jannatun Naim, 
Ya Allah sesungguhnya ini adalah Tanah HaramMu maka haramkanlah dagingku, darahku dan tulangku dari api neraka . 
Ya Allah amankan daku dari azab Engkau di hari Engkau membangkitkan hamba Engkau. Aku memohon dengan Engkau kerana Engkaulah Allah yang tiada tuhan melainkan Engkau Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani, kerana Engkau berselawat dan mengucapkan selamat sejahtera ke atas junjungan besar kami Nabi Muhammad dan ke atas keluarga baginda sebanyak-banyak, selama-lamanya.

DOA SOLAT MUSAFIR


 
اللَّهُمَّ أَنْتَ الصَّاحِبُ فِي السَّفَرِ ، وَالْخَلِيفَةُ فِي الأَهْلِ وَالْمَالِ وَالْوَلَدِ وَالأَصْحَابِ ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا وَإِيَّاهُمْ مِنْ آفَاتِ الدُّنْيَا وَعَاهَاتِهَا ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ فِي سَفَرِنَا هَذَا بِرًا وَتَقْوَى وَمِنَ الْعَمَلِ مَا تَرضَى ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ أَنْ تَطْوِىَ لَنَا الأَرْضَ وَتُهَوِّنَ عَلَيْنَا السَّفَرَ وَأَنْ تَرْزُقَنَا فِي سَفَرِنَا هَذَا سَلاَمَةً فِي الْبَدَنِ وَالدِّيْنِ وَالْمَالِ ، وَتُبَلِّغَنَا حَجَّ بَيْتِكَ وَزِيَارَةِ قَبْرِ نَبِيِّكَ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ وَعْثَاءِ السَّفَرِ وَكآبَةِ الْمُنْقَلَبِ وَسُوْءِ الْمَنْظَرِ فِي الأَهْلِ وَالْمَالِ وَالْوَلَدِ وَالأَصْحَابِ ، اللَّهُمَّ اجْعَلْنَا وَإِيَّاهُمْ فِي جِوَارِكَ وَلاَ تَسْلُبْنَا وَإِيَّاهُم نِعْمَتَكَ وَلاَ تُغَيِّر مَابِنَا وَبِهِم مِنْ عَافِيَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ .
 
Maksudnya ;
Ya Allah! Engkaulah teman dalam perjalanan dan Engkaulah penjaga keselamatan kaum keluarga, harta benda, anak cucu dan sahabat handai, ya Allah, peliharalah kami dan mereka dari keburukan dunia dan kerosakannya, ya Allah sesungguhnya kami bermohon kebaikan dan takwa dalam perjalanan ini dan juga amalan-amalan yang Engkau redhai, ya Allah kami bermohon supaya didekatkan dan dimudahkan perjalanan kami dan kurniakanlah kami di sepanjang perjalanan ini keselamatan tubuh badan, agama dan harta benda, sampaikanlah maksud kami mengerjakan haji dan mengunjungi maqam nabiMu Muhammad s.a.w . Ya Allah! sesungguhnya kami berlindung denganMu daripada segala mara bahaya di dalam perjalanan dan perkara- perkara yang mendukacitakan, jauhilah buruk pandangan pada kaum keluarga, harta benda, anak cucu dan sahabat handai kami. Ya Allah! letakkanlah kami dan mereka sekalian di dalam peliharaanMu, janganlah Engkau lucutkan nikmatMu dari kami dan mereka, janganlah Engkau mengubahkan kesihatan yang ada pada kami dan pada mereka, wahai Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Mabit (Bermalam) Di Mudzalifah

Mengakhiri tempoh wukuf, jemaah haji akan berangkat ke Mudzalifah yang terletak 8 km di antara Arafah dan Mina. Mereka perlu sama ada berada sepanjang malam 10 Zulhijjah hingga ke pagi atau berada seketika selepas tengah malam.
.Amalan-Amalan Sunat
  1. Berdoa
  2. Berzikir
  3. Solat Sunat
  4. Mengutip anak-anak batu untuk ibadah melontar di Mina nanti..

Pengecualian Mabit Jika Uzur

  1. Takut terancam keselamatan diri atau harta
  2. Menjaga atau menemani orang sakit
  3. Mencari pekerja atau keluarga yang hilang
  4. Berpenyakit dan sukar bermalam
  5. Terpaksa
 .
 .

Dua Tempat Mabit

Mabit adalah berhenti sejenak atau bermalam beberapa hari untuk mempersiapkan segala sesuatu dalam pelaksanaan melontar Jamrah yang merupakan salah satu wajib ibadah haji. Mabit dilakukan 2 tahap di 2 tempat iaitu di Muzdalifah dan di Mina.
 .

a.  Tahap Pertama

Mabit di Muzdalifah dilakukan pada tarikh 10 Zulhijah, iaitu selepas tengah malam sehabis Wukuf di Padang Arafah. Mabit tahap pertama ini biasanya hanya beberapa ketika saja, iaitu secukup waktu untuk mengumpul atau mengambilkan 7 biji kerikil guna melontar Jamrah Aqabah.
 .

b.  Tahap Kedua

Mabit (bermalam) dilakukan di Mina dalam 2 hari  (11 dan 12 Zulhijah) bagi yang akan mengambil ‘Nafar Awal’, dan bagi yang akan mengambil ‘Nafar Akhir’ mereka bermalam di Mina selama 3 hari (11,12,13 Zulhijah) . Dari hari pertama sampai terakhir dari mabit di Mina ini adalah melontar ketiga Jamrah Ula, Wusta dan Aqabah.
 .
.
 .

Dua Jenis Nafar

Nafar Awal

Nafar Awal bermaksud jemaah hanya melontar Jamrah selama 3 (tiga) hari sahaja, bukan 4 hari seperti Nafar Thani/Akhir. Disebut Awal kerana jemaah lebih awal meninggalkan Mina kembali ke Makkah. Jemaah haji yang melakukan Nafar Awal hanya menginap 2 malam di Mina dan meninggalkan Mina pada tarikh 12 Zulhijah sebelum matahari terbenam.
Jemaah Nafar Awal hanya melontar pada 3 hari dengan jumlah kerikil yang dilontar  sebanyak 49 butir.
 .
Jadual Jumlah Kerikil
NAFAR AWAL       Aqabah      Ula         Wusta             Kerikil
10 Zulhijah                          7 x                 -                      -                             7 Butir
11 Zulhijah                          7 x                7 x                  7 x                       21 Butir
12 Zulhijah                          7 x                7 x                  7 x                       21 Butir
Jumlah Kerikil                                                                 49 Butir
.
.

Nafar Thani/Akhir

Disebut Nafar Thani atau Nafar Akhir apabila Jemaah melontar Jamrah selama 4 (empat) hari pada tarikh 10, 11, 12 dan 13 Zulhijah. Iaitu jemaah haji, bermalam / menginap di Mina selama 3 (tiga) malam dan meninggalkan Mina pada tarikh 13 Zulhijah.
Jumlah batu yang dilontar oleh jemaah Nafar Thani/Akhir adalah sebanyak 70 butir.
.
NAFAR SANI         Aqabah      Ula          Wusta             Kerikil
10 Zulhijah                          7 x                 -                       -                              7 Butir
11 Zulhijah                          7 x                7 x                  7 x                           21 Butir
12 Zulhijah                          7 x                7 x                  7 x                           21 Butir
13 Zulhijah                          7 x                7 x                  7 x                           21 Butir
Jumlah Kerikil                                                                    70 Butir

DOA DI MUZDALIFAH


 
اللَّهُمَّ كَمَا أَوْقَفْتَنَا وَأَوْرَيْتَنَا إِيَّاهُ ، فَوَقِّفْنَا لِذِكْرِكَ كَمَا هَدَيْتَنَا وَاغْفِرْلَنَا وَارْحَمْنَا كَمَا وعدتنا بِقَوْلِكَ ، وَقَوْلُكَ الْحَقُّ : (فَإِذَا أَفَضْتُمْ مِنْ عَرَفَاتٍ فَاذْكُرُوا اللَّهَ عِنْدَ الْمَشْعَرِ الْحَرَامِ وَاذْكُرُوهُ كَمَا هَدَاكُمْ وَإِنْ كُنْتُمْ مِنْ قَبْلِهِ لَمِنَ الضَّالِّينَ , ثُمَّ أَفِيضُوا مِنْ حَيْثُ أَفَاضَ النَّاسُ وَاسْتَغْفِرُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ )
 
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ يَا غَفُورُ يَا رَحِيمُ أَنْ تَفْتَحَ ِلأَدْعِيَتِنَا أَبْوَابَ اْلإِجَابَةِ ، يَا مَنْ سَأَلَهُ الْمُضْطَرُّ أَجَابَهُ ، يَا مَنْ يَقُولُ لِلشَّىءٍ كُنْ فَيَكُونُ .
 
اللَّهُمَّ إِنَّا جِئْنَاكَ بِجَمِعِنَا مُتَشَفِّعِينَ إِلَيْكَ فِي غُفْرَانِكَ ذُنُوبَنَا ، فَلاَ تَرُدَّنَا خَائِبِينَ , وَآتِنَا أَفْضَلَ مَا تُؤْتِي عِبَادَكَ الصَّالِحِينَ وَلاَ تَصْرِفْنَا مِنْ هَذَا الْمَشْعَرِ الْعَظِيمِ إِلاَّ فَائِزِيْنَ غَيْرَ خَزَايَا وَلاَ نَادِمِيْنَ وَلاَ ضَالَينَ وَلاَ مُضِلِّينَ ، يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ .
 
اللَّهُمَّ وَفِّقْنَا لِلْهُدَى وَاعْصِمْنَا مِنْ أَسْبَابِ الْجَهْلِ وَالرَّدَى وَسَلِّمْنَا مِنْ آفَاتِ النُّفُوْسِ فَإِنَّهَا شَرُّ الْعَدْوَى ، وَاجْعَلْنَا مِمَّنْ أَقْبَلْتَ عَلَيْهِ فَأَعْرَضَ عَمَّنْ سِوَاكَ وَخُذْ بِأَيْدِيْنَا إِلَيْكَ ، وَارْحَمْ تَضَرُّعَنَا بَيْنَ يَدَيْكَ ، إِلَهَنَا قَوِّمْنَا إِذَا اعْوَجَجْنَا ، وَأَعِنَّا إِذَا اسْتَقَمْنَا ، وَكُنْ لَنَا وَلاَ تَكُنْ عَلَيْنَا وَأَحْيِنَا فِي الدُّنْيَا مُؤْنِينَ طَائِعِينَ وَتَوَفَّنَا مُسْلِمِيْنَ تَائِبِينَ ، وَاجْعَلْنَا عِنْدَ السُّؤَالِ تَائِبِينَ ، وَاجْعَلْنَا مِمَّن يَأْخُذُوْنَ كِتَابَهُم بِيَمِيْنِهِمْ ، وَاجْعَلْنَا يَوْمَ الْفَزَعِ الأَكْبَرَ مِنَ الآمِنِينَ ، وَمَتِّعْنَا اللَّهُمَّ بِالنَّظَرِ إِلَى وَجْهِكَ الْكَرِيْمِ بِرَحْمَتِكَ يَاأَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ .
 
Maksudnya ;
Ya Allah ya Tuhan, sebagaimana Engkau himpunkan kami dan Engkau perlihatkan kami pada hari ini, berilah taufik kepada kami untuk mengingati dan memujiMu dengan  kebesaran Engkau sepertimana yang telah Engkau tunjukkan kepada kami, ampunilah kami serta kasihkanlah kepada kami sebagaimana yang telah Engkau janjikan kepada kami di dalam kitab Engkau al-Quran ( apabila kamu telah selesai menunaikan rukun haji kamu, iaitu berwukuf di Padang Arafah maka hendaklah kamu mengingati Allah banyak- banyak dengan menyebut-nyebutNya di Al-Masy'ar Al-Haram (Muzdalifah) sebagaimana yang telah diberi pertunjuk kepada kamu, sesungguhnya kamu sebelum daripada mendapat hidayat pertunjuk daripada Allah adalah di dalam keadaan sesat yang amat nyata. Setelah selesai kamu berzikir di sini turunlah kamu ke Mina sepertimana yang dilakukan oleh semua manusia dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Allah, bahawasanya Allah itu Amat Mengampuni dan Amat Mengasihani).
 
Ya Allah, kami memohon kepadaMu Tuhan Yang Maha Pengampun dan Maha Belas Kasihan, terimalah segala permintaan kami! wahai Tuhan yang menerima segala permintaan mereka yang di dalam kecemasan, wahai Tuhan yang apabila menghendaki sesuatu berlakulah perkara itu dengan tidak dapat dirintangi lagi,
 
Ya Allah ya Tuhanku, kami ini datang beramai-ramai untuk mendapat keampunan daripada Engkau di atas segala dosa kami. Janganlah Engkau kecewakan kami, berilah kepada kami sepertimana yang Engkau berikan kepada hamba-hamba Engkau yang salih-salih, janganlah Engkau palingkan kami daripada tempat suci ini melainkan kami mendapat kemenangan dan tidak kecewa, tidak menyesal dan tidak pula kami daripada golongan orang yang sesat dan menyesatkan wahai Tuhan Yang Maha Mengasihani.
 
Ya Allah ya Tuhan, berilah pertunjuk dan taufik kepada kami, peliharakanlah kami daripada terjerumus di dalam lembah kejahilan dan kemusnahan, selamatkan kami daripada segala penyakit jiwa, jadikanlah kami daripada golongan orang yang menjauhkan diri dari runtunan hawa nafsu yang buas kerana itulah sejahat-jahat musuh yang berjangkit. Ya Allah, jadikanlah kami daripada golongan mereka yang sentiasa menghadapi Engkau tidak kepada yang lain. Bawalah kami ke jalan Engkau, kasihan belaslah ketika kami bertadharuk bersemadi terhadap Engkau.
 
Ya Allah, perbetulkan kami kiranya kami telah menyeleweng, perkuatkanlah kami di dalam pendirian kami, hidupkanlah kami dalam iman dan taat kepada Engkau, matikanlah kami di dalam Islam, dari golongan mereka yang bertaubat, begitu juga semasa soal di akhirat. Jadikanlah kami daripada mereka yang menerima suratan amalannya dengan tangan kanan, jadikanlah kami daripada golongan mereka yang beroleh keamanan pada hari kiamat, berilah kesukaan kepada kami ya Allah dengan dapat memandang kepada wajah Engkau Yang Mulia dengan berkat rahmat Engkau wahai Tuhan Yang Maha Mengasihi.

Wednesday, 18 June 2014

Kenangan Talbiah yang dijadikan Lagu disepanjang perjalana dari Madinah menuju ke Mekah. Tampa disedari air jernih mengalir...



Labbaika Allahomma Labbaik. Labbaik La Shareeka Laka Labbaik. Innal-Hamdah, Wan-Nematah, Laka wal Mulk, La Shareeka Laka.
Duhai allah selamatkan lah kami, Juga kepada ibu bapa kami, Juga kepada anak-anak kami, Juga kepada semua keluarga kami,
Labbaika Allahomma Labbaik. Labbaik La Shareeka Laka Labbaik. Innal-Hamdah, Wan-Nematah, Laka wal Mulk, La Shareeka Laka.
Duhai allah berikan kami,nikmat syurga diakhirat nanti, Dihimpunkan bersama nabi, Dalam Syurga Kekal abadi,
Labbaika Allahomma Labbaik. Labbaik La Shareeka Laka Labbaik. Innal-Hamdah, Wan-Nematah, Laka wal Mulk, La Shareeka Laka.
Duhai allah berikan kami nikmat yang tinggi disyurga nanti, Menatap wajahmu ya ilahi bersama insane yang kami sayangi,
Labbaika Allahomma Labbaik. Labbaik La Shareeka Laka Labbaik. Innal-Hamdah, Wan-Nematah Laka ,wal Mulk,la Shareeka Laka.
Wahai allah kami datang memenuhi panggilan mu,Tiadalah sekutu untukmu, Segala puji untukmu,
Labbaika Allahomma Labbaik. Labbaik La Shareeka Laka Labbaik. Innal-Hamdah, Wan-Nematah, Laka wal Mulk, La Shareeka Laka.
Kami meraba tampa cahaya, Kami yang lupa hina dan alpa, ihadapan mu  yang maha indah, Dihadapanmu yang maha mulia.
Labbaika Allahomma Labbaik. Labbaik La Shareeka Laka Labbaik. Innal-Hamdah, Wan-Nematah, Laka wal Mulk ,kaLa Shareeka Laka.
Duhai allah sayangi kami, duhai allah terangi  kami, duhai allah kasihani kami, duhai allah muliakan kami.
Labbaika Allahomma Labbaik. Labbaik La Shareeka Laka Labbaik. Innal-Hamdah, Wan-Nematah, Laka wal Mulk, La Shareeka Laka.
Duhai allah selamatkan kami, juga kepada ibu bapa kami, juga kepada anak-anak kami, juga kepada semua keluarga kami.
Labbaika Allahomma Labbaik. Labbaik La Shareeka Laka Labbaik. Innal-Hamdah, Wan-Nematah, Laka wal Mulk, La Shareeka Laka.
Duhai allah berikan kami, nikamt yang tinggi diakhirat nanti, metanap wajahmu ya ilahi bersama insane yang kami sayangi.
Labbaika Allahomma Labbaik. Labbaik La Shareeka Laka Labbaik. Innal-Hamdah, Wan-Nematah, Laka wal Mulk, La Shareeka Laka.
Duhai allah berikan kami nikmat syurga yang tinggi diakhirat nanti. Menatap wajahmu ya ilahi, Bersama insane yang kami sayangi..
Labbaika Allahomma Labbaik. Labbaik kaLa Shareeka Laka Labbaik. Innal-Hamdah, Wan-Nematah, Laka wal Mulk, La Shareeka Laka.

Sunday, 1 June 2014

Sejarah Ibadat Haji


Haji adalah merupakan salah satu dari hukum Islam yang lima yang wajib ditunaikan oleh setiap Muslim, lelaki dan perempuan apabila cukup syarat-syaratnya. Menurut jumhur ulama', fardhu haji mula diwajibkan pada tahun ke enam Hijrah kerana pada tahun itulah turunnya wahyu Allah yang bermaksud:
"Dan tunai atau sempurnakanlah ibadat haji dan umrah kerana Allah"
(Surah Al- Baqarah ayat 196)

Dalam pada itu Ibnul Qaiyim menguatkan pendapat bahawa mulai diwajibkan haji itu ialah pada tahun ke sembilan atau ke sepuluh Hijrah. Sesiapa yang menafikan hukum wajib haji itu maka bererti kufur dan murtadlah ia dan terkeluar dari Agama Islam.
Sebagaimana firman Allah yang bermaksud:-
"Dan menjadi kewajipanlah bagi manusia terhadap Allah untuk mengunjungi rumah itu bagi yang sanggup berjalan diantara mereka. Dan barang siapa yang mengingkarinya, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) dari sekalian alam"
(Surah Ali Imran ayat 97)

Dari segi sejarah, ibadah haji ialah syariat yang dibawa oleh junjungan Nabi kita Muhammad S.A.W. sebagai membaharui dan menyambung ajaran Nabi Allah Ibrahim A.S. Ibadat haji mula diwajibkan ke atas umat Islam pada tahun ke-6 Hijrah, mengikut haul yang mashur iaitu dengan turunnya ayat 97 surah Al-Imran yang bermaksud :
" Dan Allah Taala mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu dan berkuasa sampai kepada-Nya dan sesiapa yang kufur dan ingkar kewajipan haji itu, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya dan tidak berhajatkan sesuatu pun daripada sekelian makhluk".
Pada tahun tersebut Rasulullah S.A.W. bersama-sama lebih kurang 1500 orang telah berangkat ke Makkah untuk menunaikan fardhu haji tetapi tidak dapat mengerjakannya kerana telah dihalang oleh kaum Quraisy sehinggalah mewujudkan satu perjanjian yang dinamakan perjanjian Hudaibiah.
Perjanjian itu membuka jalan bagi perkembangan Islam di mana pada tahun berikutnya ( Tahun ke-7 Hijrah ), Rasulullah telah mengerjakan Umrah bersama-sama 2000 orang umat Islam. Pada tahun ke-9 Hijrah barulah ibadat Haji dapat dikerjakan di mana Rasulullah S.A.W. mengarahkan Saidina Abu Bakar Al-Siddiq mengetuai 300 orang umat Islam mengerjakan haji.
RASULLULLAH S.A.W MENUNAIKAN HAJI
Nabi kita Muhammad S.A.W telah menunaikan fardhu haji sekali sahaja semasa hayatnya. Haji itu dinamakan "Hijjatul Wada'/ Hijjatul Balagh/ Hijjatul Islam atau Hijjatuttamam Wal Kamal kerana selepas haji itu tidak berapa lama kemudian baginda pun wafat. Baginda telah berangkat ke Madinatul Munawwarah pada hari Sabtu, 25 Zulkaedah tahun 10 Hijrah bersama isteri dan sahabat-sahabatnya seramai lebih 90,000 orang Islam.
Baginda telah menyempurnakan amalan-amalan sunat Ihram, memakai ihram dan berniat ihram di Zulhulaifah, sekarang dikenali dengan nama Bir Ali, 10 km daripada Madinah dan baginda sampai di Makkah pada 04 Zulhijjah setelah mengambil masa 9 hari dalam perjalanan. Baginda berangkat ke Mina pada 08 Zulhijjah dan bermalam di situ.
Kemudian ke Arafah untuk berwukuf pada 09 Zulhijjah yang jatuhnya pada hari Jumaat. Rasulullah S.A.W telah menyempurnakan semua rukun dan wajib haji hingga 13 Zulhijjah. Dan pada 14 Zulhijjah, Rasulullah S.A.W telah berangkat meninggalkan Makkah Al-Mukarramah menuju balik ke Madinah Al-Munawwarah.
PERISTIWA SEMASA HIJJATUL WADA'
Di masa wukuf terdapat beberapa peristiwa penting yang boleh dijadikan pegangan dan panduan umat Islam telah berlaku, di antara ialah seperti berikut :
  1. Rasulullah S.A.W minum susu di atas unta supaya dilihat oleh orang ramai bahawa hari itu tiada puasa atau tidak sunat berpuasa pada hari wukuf.
  2. Seorang Sahabat jatuh dari binatang tunganggannya lalu mati, Rasulullah S.A.W. menyuruh supaya mayat itu dikafankan dengan 2 kain ihram dan tidak membenarkan kepalanya ditutup atau diwangikan jasad dan kafannya. Sabda Baginda pada ketika itu bahawa " Sahabat itu akan dibangkitkan pada hari kiamat di dalam keadaan berihram dan bertalbiah".
  3. Rasulullah S.A.W. menjawab soalan seorang ahli Najdi yang bertanyakan " Apakah itu Haji ?". Sabdanya yang bermaksud " Haji itu berhenti di Arafah". Siapa tiba di Arafah sebelum naik fajar 10 Zulhijjah maka ia telah melaksanakan haji.
  4. Turunnya ayat suci Al-Quranul Karim surah Al-Maidah yang bermaksud :
" Pada hari ini aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan aku telah cukupkan nikmatku ke atas kamu dan aku telah redha Islam itu menjadi agama untuk kami"
Daripada sejarah dan peristiwa ringkas itu cubalah kita teliti betapa Rasulullah S.A.W telah menyempurnakan haji dengan pengorbanan Baginda bersama sahabat-sahabat yang berjalan dari Madinah Al-Munawwarah ke Makkah Al-Mukarramah selama 9 hari berbanding pada hari ini kita menaiki kapal terbang yang boleh sampai ke Tanah Suci kurang daripada 9 jam. Ini perkara yang perlu direnungkan apabila kita menghadapi sebarang kesusahan di tanah Suci kelak.

Friday, 30 May 2014

Khutbah terakhir Nabi Muhamad sws

Wahai manusia dengarlah baik-baik apa yang hendak ku katakan !!! Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari ini.
Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak.
Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu pula. Ingatlah bahwa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti akan membuat perhitungan atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba', oleh itu segala urusan yang melibatkan riba' hendaklah dibatalkan mulai sekarang.
Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.
Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak atas para isteri kamu, mereka juga mempunyai atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan mereka ke atas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang.
Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik! dan berlemah lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu ke atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.
Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini. Sembahlah Allah, dirikanlah solat lima kali sehari, berpuasalah di Bulan Ramadhan, tunaikanlah zakat dan harta kekayaan kamu dan kerjakanlah ibadah haji sekiranya mampu.
Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak ada seorangpun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam taqwa dan amal soleh.
Ingatlah bahawa kamu akan mengadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan atas segala apa yang telah kamu lakukan. Oleh itu, awasilah tindak-tanduk kamu agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.
Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah disampaikan kepada kamu.
Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku.
Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku ini menyampaikannya pula kepada orang lain dan hendaklah orang yang lain itu menyampaikannya pula kepada orang lain dan begitu seterusnya.
Semoga orang yang terakhir yang menerimanya lebih memahami kata-kataku ini dari mereka yang mendengar terus dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya aku telah sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba- Mu. "