Jika berlaku khilaf di antara dua masalah dalam Islam perlu dijadikan
al-Quran dan sunnah sebagai pemutus dalam menentukan kesahihan dalam
sesuatu masalah. Umpama dalam masalah khilaf jumlah rakaat terawih yang
sahih samada 11 rakaat atau 20 rakaat, maka perlu diselesaikan masalah
khilaf ini dengan panduan sunnah Nabi saw.
Jika diteliti masalah jumlah rakaat solat terawih maka telah jelas
banyak daripada hadis Nabi saw yang menunjukkan Nabi saw mendirikan
solat terawih pada bulan Ramadhan sebanyak 11 rakaat. Aisyah RA isteri
Nabi saw telah mengatakan bahawa Nabi tidak pernah solat malam melebihi
11 rakaat samada di dalam bulan Ramadan atau di luar bulan Ramadhan
iaitu bulan-bulan yang lain.
Kata Aisyah RA : “Rasulullah SAW tidak pernah menambah jumlah rakaat
dalam solat malam di bulan Ramadhan dan tidak pula dalam solat lainnya
lebih dari 11 rakaat”. (HR. Bukhari, hadis no. 1147 dan HR Muslim, Hadis no. 738)
Hal ini juga telah disokong dengan hadis daripada Jabir bin Abdullah,
kata Jabir : “ Rasulullah saw mengimami solat kami pada malam bulan
Ramnadhan sebanyak lapan Rakaat diikuti dengan solat Witir.. “.( Hadis
Hasan, Hadis Riwayat at-Tabarani).
DALIL 20 RAKAAT LEMAH
Adapun Hadis dan dalil yang menunjukkan solat tarawih berjumlah 20
rakaat semuanya boleh dikatakan dhaif dan lemah. Ibnu Hajar al-Asqalani
mengatakan : “Adapun riwayat Abi Syaibah daripada hadis Ibnu Abbas yang
mengatakan Rasulullah saw solat pada bulan Ramadhan sebanyak 20 rakaat
dan solat witir, sanadnya lemah. Ia bercanggah dengan hadis Aisyah dalam
riwayat Bukhari dan Muslim yang mana Aisyah lebih tahu tentang amalan
Rasulullah saw pada waktu malam berbanding orang lain”. (lihat Fathul
Bari, jilid ke 4, ms 205-206))
Walaupun hakikat rakaat terawih yang sahih itu 11 rakaat, namun
realitinya di negara kita masih terdapat sebahagian masjid dan surau
mendirikan solat terawih dengan 20 rakaat.
Tetapi para jemaah yang hadir ke masjid sebahagian mereka hanya
mendirikan solat terawih sebanyak 8 rakaat bersama imam kemudian terus
pulang ke rumah tanpa menghabiskan solat terawih seterusnya atau witir
bersama imam.
Mungkin kita mengetahui bahawa mereka ingin menambah dengan solat
malam bersendirian di rumah atau melaksanakan solat witir tersebut
sendirian di rumah. Persoalanya Apakah perbuatan seperti ini menepati
sunnah?
AFDAL BERJEMAAH BERSAMA IMAM
Telah sahih daripada Nabi saw mengatakan: “ Siapa yang solat bersama
imam sampai dia (imam) selesai, maka ditulis untuknya pahala qiyam satu
malam penuh.” (HR. an-Nasa i , hadis no. 1605,dan HR at-Tirmidzi,
hadis no. 806, Imam Tirmidzi mensahihkan hadis ini. Syeikh al-Albani
dalam al-Irwa’ hadis no. 447 mengatakan bahawa hadis ini sahih)
Perkataan Nabi saw “solat bersama imam sampai ia selesai” jelas
menunjukkan bahawa yang menjadi anjuran dan sunnah Nabi adalah solat
terawih bersama imam dari awal sehingga imam selesai solat witir yang
terakhir. Hadis ini datang bersama fadilat yang besar dengan memberi
khabar gembira kepada makmum yang solat bersama imam sehingga selesai
dengan mendapat pahala sepanjang malam.
Adapun mereka yang yakin dan cerdik dalam meraih pahala yang Allah
mahu berikan pasti akan solat terawih berjemaah bersama imam sehingga
rakaat yang terakhir. Hadis ini juga memberi kefahaman, seandainya imam
mendirikan solat 20 rakaat maka makmum juga perlu menyelesaikan kesemua
rakaat tersebut bersama imam sekiranya ingin mendapat fadilat pahala
solat sepanjang malam.
AFDAL BERJEMAAH AWAL MALAM
Mungkin ada yang berhujah bahawa solat terawih secara bersendirian di
akhir malam itu lebih afdal. Ya, secara umum begitulah hakikat untuk
mendirikan solat terawih sekiranya didirikan pada akhir malam secara
sendirian. Hal ini kerana di zaman pemerintahan khalifah Abu Bakar, para
sahabat masing-masing mendirikan solat terawih secara sendirian.
Namun, apabila tiba zaman pemerintahan khalifah Umar al-Khattab,
beliau melihat solat terawih dilakukan secara sendirian dan
berpecah-pecah maka beliau mengambil keputusan di atas sunnah yang mana
Nabi saw pernah menjadikan solat terawih secara berjemaah, maka bermula
dalam sejarah Islam solat terawih itu dilakukan secara berjemaah dengan
satu imam di awal malam.
Jadi, mana satukah waktu yang terbaik untuk mendirikan solat terawih ini? Apakah pada awal malam atau pada akhir malam?
Imam Ahmad bin Hanbal apabila ditanya soalan : “Adakah lebih baik
dilewatkan solat terawih sehingga hujung malam?, maka Imam Ahmad
menjawab : “ Tidak, amalan kaum muslimin (diawalkan jemaah diawal
malam) lebih aku sukai”. ( Masaa’il Imam Ahmad oleh Imam Abu Daud)
Jadi yang terbaik dalam kita mengikut sunnah Nabi dan sahabat, adalah
dengan memilih mendirikan solat terawih 11 rakaat bersama imam kerana
ianya paling rajih, kemudian dilakukan berjemaah di awal malam
disebabkan ianya lebih afdal dan seterusnya menyelesaikan solat tersebut
bersama- sama dengan imam untuk mendapat pahala sepanjang malam.
Jika ini yang kita pilih mudah-mudahan kita telah menghimpunkan
sunnah Nabi dan sahabat dalam kita bersolat terawih di bulan Ramadan
ini.
No comments:
Post a Comment