Masa pantas berlalu, Ramadan yang penuh keberkatan akhirnya akan
meninggalkan kita. Segala puji bagi ALLAH yang telah memberi kesempatan
kepada kita untuk melalui bulan penuh berkat dan membuka peluang
seluas-luasnya untuk kita meraih ampunan ALLAH dengan amalan soleh yang
dikerjakan. Semoga kita dijauhkan dari tergolong di kalangan orang yang
celaka setelah melalui Ramadan seperti sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam, “Celakalah seorang hamba yang mendapati bulan Ramadan kemudian Ramadan berlalu dalam keadaan dosa-dosanya belum diampuni.” (Riwayat Al-Bukhari)
Maka dituntut ke atas kita untuk bersungguh-sungguh berdoa kepada
ALLAH agar menerima amal soleh yang telah dikerjakan dan memberikan
pengampunan kepada kita. Ini adalah amalan para Salaf, di mana Imam
Mu’alla bin al-Fadhl berkata: “Mereka (para salaf) berdoa kepada Allah
selama enam bulan agar ditemukan dengan bulan Ramadan, kemudian mereka
berdoa selama enam bulan selanjutnya agar amalan mereka pada bulan
Ramadan diterima.” (Latha-if Al-Ma’aarif)
AMAL YANG DICINTAI ADALAH YANG BERTERUSAN
Sepanjang Ramadan, dapat kita saksikan bagaimana umat Islam yang
melalaikan solat di masjid berpusu-pusu mendatangi masjid untuk
mengerjakan kewajipan solat fardu berjemaah. Orang yang jarang solat
malam telah bersemangat mengerjakan solat malam (tarawih) pada setiap
malam, orang yang sekali sekala membaca Al-Quran alhamdulillah telah
berjaya mengkhatamkannya pada bulan yang penuh rahmat ini. Inilah
keistimewaan Ramadan di mana pintu-pintu Syurga dibuka dan ditutup
pintu-pintu neraka dan dirantai Syaitan sehingga dimudahkan manusia
kembali mentaati ALLAH.
Apa yang pasti, amalan-amalan ini tidak seharusnya berhenti dengan berakhirnya Ramadan. Ini kerana Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda, “Amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah amalan yang berterusan walaupun sedikit.”(Riwayat Muslim)
Imam Ibnu Rajab Al-Hanbali rahimahullah ketika menjelaskan hadis ini berkata, “Amalan yang dilakukan oleh Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam adalah
amalan yang dilakukan terus menerus. Baginda turut melarang memutuskan
amalan dan meninggalkannya sebagaimana Baginda pernah melarang Abdullah
bin Omar.” (Fathulbaari, Ibnu Rajab) iaitu Ibnu Omar dicela kerana meninggalkan amalan solat malam.
Beliau rh. juga mengatakan, “Jika syaitan melihatmu berterusan dalam
melakukan amal ketaatan, dia akan menjauhimu. Namun jika syaitan
melihatmu beramal kemudian kamu meninggalkannya setelah itu, atau
melakukannya sesekali sahaja, maka syaitan akan semakin tamak untuk
menggodamu.” (Tajrid al-Ittiba’ fi Bayan Asbab Tafadhul al-A’mal, Dr. Ibrahim b. Amir Al-Ruhaili)
Amal soleh seorang Muslim yang benar keimanannya kepada ALLAH hanya
akan berakhir ketika ajalnya datang menjemput. Ini sebagaimana firman
ALLAH SWT, “Dan sembahlah Tuhanmu sampai datang kepadamu al-yaqin
(ajal).” (Surah Al-Hijr: 99)
Ibnu Abbas, Mujahid dan jumhur ulama mengatakan bahawa yang
dimaksudkan dengan “al-yaqin” dalam ayat ini adalah kematian, kerana
kematian adalahsuatu yang diyakini pasti terjadi.
Ibnu Katsir rh. pula mengatakan, “Ayat ini menunjukkan bahawa ibadah
seperti solat dan seumpamanya wajib dilakukan selamanya, selama mana
akalnya masih ada. Dia melakukannya sesuai dengan keadaan yang dia
mampu.” (Tafsir Ibnu Katsir)
Pernah ditanya kepada Imam Bisyr bin al-Haris tentang orang yang
(hanya) rajin dan bersungguh-sungguh beribadah di bulan Ramadan, beliau
menjawab: “Mereka adalah orang-orang yang sangat buruk, mereka tidak
mengenal Allah kecuali pada bulan Ramadan, (orang) yang soleh adalah
orang yang rajin dan bersungguh-sungguh beribadah dalam setahun penuh.” (Latha-if Al-Ma’aarif)
Ka’ab bin Malik ra. juga berkata, “Barangsiapa berpuasa di bulan
Ramadan kemudian terdetik dalam hatinya bahawa setelah berlalu Ramadhan
akan berbuat maksiat pada Tuhannya, maka sesungguhnya puasanya itu
tertolak (tidak bernilai).” (Latha-if Al-Ma’arif)
AMALAN SUNNAH MENYEMPURNAKAN YANG WAJIB
Setelah mengetahui besarnya tuntutan untuk terus mengerjakan amal
soleh setelah Ramadan, maka di samping kita terus istiqamah dalam amalan
wajib seperti solat berjemaah, mengganti puasa yang tinggal, membaca
Al-Quran, menyambung silaturrahim, menahan marah, menjaga lisan dari
perkataan dusta dan buruk dan bersedekah, sewajarnya ia disusuli dengan
amalan-amalan sunat yang akan mendekatkan kita kepada ALLAH sehingga
kita menjadi hamba yang dicintai oleh ALLAH. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda
dalam hadis Qudsi (Allah berfirman): “Dan sentiasa hambaKu mendekatkan
diri kepadaKu dengan amalan-amalan sunnah sehingga Aku mencintainya.” (Riwayat Bukhari)
Amalan sunnah menyempurnakan amalan wajib. Jika ada kekurangan pada
amalan wajib, kekurangan itu dapat ditampal oleh amalan sunnah. Ini
sebagaimana sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam,“Sesungguhnya
amalan yang pertama dihisab pada Hari Kiamat adalah solat. Allah SWT
berkata kepada malaikatNya dan Dia Maha Mengetahui, “Lihatlah solat
hambaKu, adakah solatnya sempurna atau tidak? Jika solatnya sempurna
maka dicatat baginya pahala yang sempurna. Jika solatnya ada kekurangan,
Allah berfirman: Lihatlah adakah hambaKu memiliki amalan sunat. Jika
hambaKu memiliki amalan sunat, Allah berfirman: “Sempurnakanlah
kekurangan pada amalan wajib dengan amalan sunatnya.” Kemudian amalan
lain juga dilakukan seperti ini.”(Sahih. Riwayat Abu Daud)
Oleh kerana itu juga Allah SWT mensyariatkan puasa enam hari di bulan
Syawal, di mana keutamaannya sangat besar iaitu di samping
menyempurnakan kekurangan pada puasa wajib, pahalanya pula menyamai
puasa setahun penuh. Sabda Rasululah sallallahu ‘alaihi wasallam, “Barangsiapa berpuasa Ramadan kemudian berpuasa enam hari pada bulan Syawal, maka dia berpuasa seperti setahun penuh.” (Riwayat Muslim)
Hendaklah kita bersungguh-sungguh menyempurnakan puasa yang wajib
terlebih dahulu dan kemudian menyusulinya dengan enam hari berpuasa
sunnah di bulan Syawal, mudah-mudahan kita beroleh ganjaran pahala yang
dijanjikan iaitu seperti berpuasa setahun penuh.
Begitu juga solat malam. Solat Tarawih adalah istilah yang
dimaksudkan untuk solat malam di bulan Ramadan secara khususnya. Jika
ketika Ramadan kita telah biasa mengerjakannya, hendaklah ia diteruskan
kerana solat malam bukanlah ibadah bermusim, dan ibadah yang baik adalah
yang berterusan.
Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam mencela orang yang selalu mengerjakan solat malam namun kemudian dia tinggalkan. Dari Abdullah bin Amr bin Al-‘As radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam berkata padaku: “Wahai Abdullah, janganlah engkau jadi seperti si fulan. Dulu dia biasa mengerjakan solat malam, namun sekarang dia tidak mengerjakannya lagi.”(Riwayat Bukhari)
TANDA DITERIMA AMAL SOLEH SEPANJANG RAMADAN
Meneruskan amal soleh setelah Ramadan adalah petanda bahawa amalan
yang dikerjakan sepanjang Ramadan itu diterima. Amalan soleh jangan
ditunda kerana waktu inilah kesempatan yang ALLAH berikan kepada kita
untuk beramal sebelum ajal datang tanpa disangka-sangka. Sikap
menunda-nunda adalah dari Syaitan yang membisikkan supaya kita akhirnya
tidak sempat melaksanakan kebaikan. Diceritakan dalam Al-Quran bagaimana
manusia apabila sampai ajalnya dia merayu pada Tuhannya, “Ya Rabb,
kembalikanlah aku ke dunia agar aku mengerjakan amal soleh yang aku
tinggalkan.” (Allah berfirman) Sekali-kali tidak! Sesungguhnya itu
sekadar ucapan sahaja.” (Al-Mukminun: 99-100)
Ingatlah juga sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bahawa
dua nikmat yang sering dilalaikan oleh manusia adalah nikmat masa sihat
dan masa lapang, agar ia sentiasa menjadi motivasi dan peringatan kepada
kita untuk tetap rajin dan sabar dalam melaksanakan kebaikan yang
hasilnya akan dituai setelah kematian.
Daripada Ibnu Rajab rh. beliau menukilkan, “Antara tanda diterima
amalan seseorang adalah dimudahkan untuknya melakukan amal ketaatan yang
lain. Dan antara tanda tertolaknya amalan adalah melakukan kemaksiatan
setelah melakukan ketaatan. Jika seseorang melakukan ketaatan setelah
sebelumnya dia melakukan kejelekan, kebaikan itu menghapuskan kejelekan
tersebut. Yang baik adalah dia melakukan ketaatan lagi setelah melakukan
ketaatan sebelumnya. Sedangkan yang paling buruk adalah dia melakukan
kejelekan setelah melakukan ketaatan. Ingatlah bahawa satu dosa yang
dilakukan setelah bertaubat lebih jelek dari 70 dosa yang dilakukan
sebelum bertaubat. Mintalah daripada Allah agar diteguhkan dalam
ketaatan hingga kematian menjemput. Dan mintalah perlindungan dengan
Allah dari hati yang terumbang-ambing.” (Latha-if Al-Ma’aarif)
Badan Pembesar Ulama dan Jawatankuasa Tetap Kajian Ilmiah dan Fatwa,
Arab Saudi mengatakan, “Adapun orang yang berpuasa Ramadan dan solat
hanya di bulan Ramadan, maka orang seperti ini telah melecehkan agama
Allah. (Salaf mengatakan) “Sejelek-jelek kaum adalah yang mengenal Allah
hanya di bulan Ramadan sahaja.” Oleh itu, tidak sah puasa seseorang
yang tidak melaksanakan solat di luar bulan Ramadan.” (Soalan ke-3, Fatwa no. 102, 10/139-141)
Maka bersegeralah kepada keampunan dan Syurga ALLAH yang luasnya
seluas langit dan bumi. Hendaklah kita sentiasa bermuhasabah menilai
diri sendiri, adakah kita termasuk orang yang beruntung dan diterima
amal kebaikannya. Ini kerana sekiranya ALLAH mengkehendaki kebaikan bagi
hambaNya, ALLAH akan menjadikannya mengerjakan amalansoleh. Semoga
ALLAH menjauhkan kita dari termasuk di kalangan orang-orang yang rugi.
No comments:
Post a Comment