Wahai Allah ,Aku bersyukur kepadaMu ,Kerana Engkau telah menjemputku,Menjadi tetamu AgungMu, Walaupun aku sebenarnya tidak layak. Wahai Allah, Dalam ramainya manusia di rumahMu, Akulah yang paling berdosa,Akulah yang paling hina, Akulah yang paling tiada apa, Akulah yang paling banyak melakukan maksiat. Wahai Allah, Ampunkan segala dosaku Walaupun sebanyak buih dilautan, Walaupun sebanyak pasir dipantai, Walaupun sebesar Gunung Uhud, Walaupun memenuhi antara langit dan bumi
Tuesday, 19 August 2014
SUDAHKAH KITA BERSEDIA?
Kematian suatu yang sering mahu dihindari oleh manusia, namun kematian tetap akan datang dan kematian tidak pernah melupakan diri kita. Persoalannya sekarang adakah kita telah bersedia untuk mati atau kita masih lagi belum menyediakan sebarang perancangan untuk kematian yang begitu pasti akan kehadirannya bagi diri kita. Tidakkah kita sedar bahawa kita telah dijatuhkan hukuman MATI. Kita sendiri tidak mahu untuk terus hidup sehingga seribu tahun.
Kematian akan berlaku dimana sahaja, ada orang yang dimakan oleh ular, ada yang terlibat didalam kemalangan, ada yang sedang tidur, ada yang sedang bermain , ada yang sedang memandu, ada yang sedang memberikan ceramah dan banyak lagi suasana yang mungkin akan menyebabkan kematian itu boleh berlaku. Yang pasti apabila telah tiba masa untuk kematian tersebut tiada siapa yang boleh mempercepetkan atau melambatkannya.
Kematian akan memisahkan segala kenikmatan yang kita ada sekarang, kematian akan menyebabkan segala harta yang kita ada sudah tidak bererti kepada diri kita, kematian menyebabkan segala yang kita kejar tidak memberikan kebaikan, segala-gala yang kita ada seperti isteri, anak, harta, kebanggan, pangkat, kereta, dan apa sahaja tidak boleh membantu kita dan apa yang dapat membantu kita adalah segala amal yang telah kita lakukan dengan penuh keikhlasan semasa kita hidup dan hanya tiga perkara yang mungkin akan berterusan iaitu anak yang soleh, harta yang di sedekahkan dan juga ilmu yang di sampaikan.
Kematian yang begitu pasti, namun kita seolah-olah tidak meyakini ia akan datang juga, kita sentiasa bercita-cita besar, masih tidak memikirkan kematian dengan serious, kita boleh menghantar jenazah ke tanah perkuburan, namun hati kita tidak tersentuh bahawa kita akan juga datang kekuburan tersebut suatu hari nanti. Kita mungkin menghantar jenazah orang-orang yang begitu kita kasihi, begitu kita sayangi, namun kita tidak merasakan kematian itu juga akan menyebabkan orang yang mengasihi diri kita akan menghantar kita ketanah pekuburan. Kematian akan memisahkan segala kesempatan yang kita ada. Dunia kita telah berbeza dimana sebelum kematian adalah dunia untuk menyediakan persiapan untuk perjalanan menuju Allah swt, namun selepas kematian adalah dunia untuk menerima balasan atas apa yang telah kita lakukan dimasa kehidupan kita di dunia.
Sekarang adalah masa untuk kita menyediakan sebab untuk mendapatkan balasan yang baik semasa kehidupan diakhirat, sekiranya baik persediaan kita maka baiklah balasan yang akan diperolehi, namun sekiranya jahat maka balasan yang mungkin akan diterima mungkin tidak dapat digambarkan didalam kehidupan kita di akhirat nanti. Marilah kita menjadi orang-orang yang bijak dengan menyediakan yang terbaik buat kehidupan selepas kematian kerana masa hidup berbanding masa selepas kematian adalah suatu masa yang begitu lama yang kita tidak tahu berapa lamakah masa tersebut akan kita tempuhi. Yang pasti kehidupan yang mungkin kita lalui tidak lebih rasanya seratus tahun dan sekiranya lebih pun hanya mereka-mereka yang terpilih sahaja. Semuga kita menjadi manusia yang berfikir. Allah hu alam
No comments:
Post a Comment