Thursday 14 November 2013

Bertaubatlah sebelum terlambat

 

Sabda nabi s.a.w

"يا أيها الناس، توبوا إلى الله، فإني أتوب في اليوم إليه مائة مرة

Maksudnya
“Wahai manusia ! bertaubatlah kepada Allah s.w.t, sesungguhnya aku bertaubat kepada Allah 100 kali sehari”. (riwayat Muslim)
Maka taubat adalah wajib bagi setiap muslim.

Firman Allah s.w.t : an-Nur :31
"dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, Wahai orang-orang Yang beriman, supaya kamu berjaya”.
Firman Allah s.w.t : at-Tahrim :8
“Wahai orang-orang Yang beriman! bertaubatlah kamu kepada Allah Dengan " taubat Nasuha", Mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke Dalam syurga Yang mengalir di bawahnya beberapa sungai,”.

Semua manusia tidak lepas dari melakukan kesalahan dan tidak boleh merasakan dirinya selamat daripada melakukan dosa kepada Allah s.w.t.

Sabda nabi s.a.w
"كل بني آدم خطاء"

Maksudnya;
“ setiap anak Adam melakukan kesalahan”. (riwayat at-Tirmizi dan Ibnu Majjah)

Walaubagaimanapun tidak ada masalah kalau manusia melakukan kesalahan, sebab memang manusia tidak lepas dari melakukan kesalahan, tapi yang jadi masalah kalau manusia berterusan melakukan kesalahan.

Firman Allah s.w.t : ali-Imran :135
“dan juga orang-orang Yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka - dan sememangnya tidak ada Yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah -, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji Yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya)”.

Sesungguhnya Adam a.s. melakukan kesalahan dan lalai tetapi segera bertaubat kepada Allah s.w.t, sebagaimana doa nabi Adam dirakamkan dalam al-Quran dalam surah al-A’raf :23

“mereka berdua merayu: "Wahai Tuhan kami, Kami telah menganiaya diri Kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan Kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah Kami dari orang-orang Yang rugi".

Dan al-Baqarah :37
“kemudian Nabi Adam menerima dari Tuhannya beberapa kalimah (kata-kata pengakuan taubat Yang diamalkannya), lalu Allah menerima taubatnya; Sesungguhnya Allah, Dia lah Yang Maha Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha Mengasihani”.

Manusia melakukan kesalahan dan tergelincir ke lembah maksiat tapi dia mampu membersihkan diri dengan taubat. Taubat adalah penghapus dosa yang dianugerahkan oleh Allah kepada manusia untuk membasuh dan menyucikan dosa dan maksiat.

Firman Allah s.w.t :al-Baqarah :222
“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang Yang sentiasa mensucikan diri”.

Sabda nabi s.a.w
"التائب من الذنب كمن لا ذنب له"

Maksudnya;
“ Orang yang sentiasa bertaubat, seolah-olah tidak ada dosa baginya”.
(riwayat Ibnu Majjah, at-Tobrani dan al-Baihaqi)

Tapi apa makna taubat?

Taubat bukan sekadar ucapan lidah, sebagaimana yang sering kita sebut “Aku kembali bertaubat kepada Allah, aku kembali kepada Allah dan aku menyesal dengan apa yang aku lakukan”. Ini tidak dinamakan taubat.

Taubat yang sebenarnya merangkumi beberapa perkara;

1) Menyesal kerana melakukan dosa
Rasa bersalah dengan dosa yang telah dilakukan, rasa bumi ini sempit, rasa tidak ada jalan keluar lagi kecuali kembali kepada Allah s.w.t.

2) Berazam tidak akan melakukan dosa itu lagi
Berazam dengan ikhlas untuk memperbaiki diri dan tidak akan mengulangi kesalahan yang sama lagi,berazam untuk melakukan ketaatan kepada Allah dan tidak akan melakukan maksiat dan tidak akan kembali melakukannya sebagaimana susu tidak kembali lagi ke tempat keluarnya.

3) Melakukan amal soleh
Dengan cara menggantikan perbuatan buruk dengan perbuatan yang baik, kata-kata dusta kepada benar, suasana yang buruk kepada suasana yang baik dan sebagainya. Inilah yang perlu dilakukan kerana al-Quran mensyaratkan selepas taubat ialah iman dan amal soleh.

Firman Allah s.w.t:Maryam :60
“kecuali orang-orang Yang bertaubat dan beriman serta beramal soleh, maka mereka itu akan masuk syurga, dan mereka pula tidak dikurangkan pahala sedikitpun”.

Allah mengiringkan taubat dengan iman, kerana maksiat lebih- lebih lagi dosa besar boleh menghalau iman keluar dari hati.

Sabda nabi s.aw

لا يزنى الزاني حين يزني وهو مؤمن، ولا يشرب الخمر حين يشربها وهو مؤمن، ولا يسرق السارق حين يسرق وهو مؤمن

Maksudnya;
“ tidak akan berzina seseorang itu kalau dia ada iman, tidak akan minum arak seseorang itu kalau dia ada iman dan tidak akan mencuri seseorang itu kalau dia ada iman”.

Maksiat zina, minum arak dan mencuri menghalau iman keluar dari hati seorang manusia. Oleh itu mesti memperbaharui iman dengan taubat dan melakukan amalan soleh, inilah resepi taubat.

Penghalang taubat

Apakah yang menghalang manusia bertaubat? Apakah yang melambatkan manusia bertaubat, perkara ini perlu diberi perhatian oleh seorang muslim supaya taubatnya tidak terhalang dan dilambatkan.

Antara penghalang taubat ialah

1) Panjang angan-angan
Manusia merasakan dirinya masih muda dan masih kuat dan menyangka umurnya masih panjang maka dia menunggu umur pencen untuk bertaubat.

2) Meremehkan maksiat
Meremehkan maksiat, menganggap dosa itu kecil, menyangka itu perkara biasa sahaja, semua ini tidak perlu ada pada seorang mukmin.

Sabda nabi s.a.w;
"المؤمن يري ذنبه كالجبل، يخاف أن يقع عليه، والمنافق يري ذنبه كذباب وقع على أنفه فقال هكذا وهكذا

Maksudnya;
“ Seorang mukmin melihat dosa itu seperti gunung yang akan menghempapnya, seorang munafik melihat dosa hanya seperti seekor lalat yang bermain-main di hidungnya dan menghalaunya begitu sahaja.
(riwayat Bukhari, Ahmad dan at-Tirmizi)

Satu kisah untuk renungan, “Seorang hamba Allah yang soleh sakit tenat, sahabatnya datang menziarahinya dan orang soleh ini menangis, sahabatnya bertanya; “kenapa kamu menangis? Sedangkan kamu tak pernah melakukan dosa besar dan tak pernah meninggalkan suruhan Allah? Maka jawab hamba soleh ini, “ aku menangis bukan kerana itu, tapi aku menangis kerana aku takut kalau aku melakukan dosa dan aku menyangka ia kecil sahaja tapi sebenarnya di sisi Allah adalah besar”.

Kata ulama salaf
“ janganlah kamu melihat kepada kecilnya maksiat yang dilakukan, tapi lihatlah kepada besarnya zat yang kamu melakukan maksiat kepadanya”. Yakni Allah s.w.t.

3) Bertawakkal kepada pengampunan Allah
Manusia yang melakukan dosa kemudian bertawakkal kepada pengampunan Allah, seperti katanya; “tak apalah lakukan dosa, Allah kan maha pengampun dan penyayang,rahmat Allah kan luas?” dan macam-macam lagi. Ingat jangan kita tertipu dengan syaitan, jangan kita hanya melihat kepada keampunan Allah semata-mata, tapi lihat juga kepada azab Allah yang sangat pedih, memang rahmat Allah itu luas, tapi untuk siapa?untuk orang yang bertaqwa, untuk orang yang melakukan kebaikan.

Firman Allah s.w.t: al-A’raf :156
"Dan Tetapkanlah untuk Kami kebaikan Dalam dunia ini dan juga di akhirat, Sesungguhnya Kami kembali (bertaubat) kepadamu". Allah berfirman: "AzabKu akan Aku timpakan kepada sesiapa Yang Aku kehendaki, dan rahmatKu meliputi tiap-tiap sesuatu; maka Aku akan menentukannya bagi orang-orang Yang bertaqwa, dan Yang memberi zakat, serta orang-orang Yang beriman kepada ayat-ayat kami.

Firman Allah s.w.t: al-A’raf :56
“dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan Segala Yang membawa kebaikan padanya, dan berdoalah kepadanya Dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga Dengan perasaan terlalu mengharapkan (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang Yang memperbaiki amalannya”.

Akhir sekali orang mukmin perlu berada antara harap rahmat Allah dan takut azab Allah.

Firman Allah s.w.t:az-Zumar :9
“Engkaukah Yang lebih baik) atau orang Yang taat mengerjakan Ibadat pada waktu malam Dengan sujud dan berdiri sambil takutkan (azab) hari akhirat serta mengharapkan rahmat Tuhannya?

Firman Allah s.w.t: al-Isra’ :57
“orang-orang Yang mereka seru itu, masing-masing mencari jalan mendampingkan diri kepada Tuhannya (dengan berbuat ibadat), sekali pun orang Yang lebih dekat kepada Tuhannya, serta mereka pula mengharapkan rahmatNya dan gerun takut akan azabNya; Sesungguhnya azab Tuhanmu itu, adalah (perkara Yang semestinya) ditakuti”.

Marilah sama-sama kita menyegerakan taubat dan memperbaiki kesalahan kita, dan mudah-mudahan Allah s.w.t menerima taubat kita sebagai taubat yang nasuha.

KESALAHAN-KESALAHAN DAMAL SOLAT YANG TIDAK KITA SEDARI

Solat merupakan antara kewajipan paling penting dalam kehidupan umat Islam. Nabi SAW diisrakkan ke langit untuk menerima perintah solat. Solatlah amalan pertama yang akan dihisab di akhirat kelak. Oleh yang demikian, marilah kita sama-sama baiki mutu solat kita. Maksud hadis:

"Amal seorang hamba yang pertama kali dihisab kelak ialah solat, jika solatnya rosak, maka amal lainnya pun akan rosak." [HR Thobrani]

Berikut merupakan kesalahan-kesalahan solat yang tidak kita sedari, berdasarkan hasil pembelajaran dan kajian saya selama ini. Semoga post kali ini memberi manfaat kepada kita, insya Allah...

1. Tidak berdiri lurus. 


Berdiri lurus bagi yang berkemampuan merupakan salah satu rukun solat. Apa yang diperhatikan, seseorang yang sakit tidak berdiri lurus semasa solat. Mereka terus duduk, tanpa berdiri lurus. Sewajibnya, mereka berdiri lurus dahulu, kemudian, barulah mereka boleh duduk. Ini adalah kerana mereka masih boleh berdiri dan berjalan! Macam mana mereka ke masjid sekiranya mereka tidak boleh berjalan? Perkara ini terkecuali sekerinya seseorang itu memang betul-betul tidak mampu untuk berdiri

2. Takbiratul Ihram dilafazkan dengan salah. 

Contohnya, bertakbir dengan lafaz ﭐﷲ di mulut, dan ﺃﻛﺒﺮ di dalam hati. Walhal, lafaz takbiratul ihram adalah RUKUN QAULI, maka, ia WAJIB dilafazkan 100% di mulut tanpa meninggalkan satu hurufpun dalam kalimah ﭐﷲ ﺃﻛﺒﺮ . Selain itu, sekiranya makhraj lafaz takbiratul ihram ini salah, maka ia boleh juga membatalkan solat. Contohnya, melafazkan takbiratul ihram dengan suara angin (seperti suara orang berbisik).

3. Terdapat kesalahan dalam al-Fatihah. 

Al-Fatihah merupakan RUKUN QAULI yang wajib dilafazkan 100% oleh mulut dengan makhraj dan tajwid yang betul. Sekiranya membaca al-Fatihah dalam hati atau menggunakan suara angin, maka, ia boleh membatalkan solat.

4. Tidak thomakninah (berhenti seketika) dalam rukuk dan sujud. 

Kadar minimum untuk rukuk dan sujud adalah dengan kadar lafaz
"subhanallah". Maksud hadis:

"Seburuk-buruk pencuri adalah orang yang mencuri dalam solatnya." Sahabat bertanya, "Bagaimana caranya mencuri solat itu wahai Rasulullah?"

"Yaitu, yang tidak menyempurnakan rukuk, sujud dan bacaan di dalam solatnya" [HR Ahmad]

5. Sujud yang tidak sempurna, anggota sujud tidak dikenakan ke atas lantai. 

7 anggota sujud tersebut adalah: muka (termasuk dahi dan hidung); kedua tapak tangan; kedua lutut dan penghujung 2 tapak kaki (ibu jari), sebagaimana sabdanya yang bermaksud:

"Aku telah memerintahkan agar sujud keatas tujuh tulang: keatas dahi, dan beliau mengisyaratkan ke hidungnya, 2 tangan, 2 lutut dan pada penghujung 2 tapak kaki (ibu jari)." [Muttafaqun 'Alaih]

6. Lafaz tahiyyaat akhir yang salah. 

Perkara ini merupakan antara kesalahan yang amat biasa dilakukan tetapi ramai yang tidak menyedarinya. Lafaz tahiyyaat wajib disebut dengan makhraj yang betul kerana ia adalah rukun qauli. Sekiranya lafaz tahiyyat itu dilafazkan dengan suara angin juga, ia akan membatalkan solat. Namun begitu, amat sukar untuk diterangkan berkaitan lafaz tahiyyat akhir yang betul di dalam ruang yang terbatas ini. Sebaik-baiknya, rujuklah guru agama yang hak.

7. Lafaz salam dibaca dalam hati, dilafaz dengan suara angin, atau melafazkan salam dengan makhraj dan huruf yang salah juga boleh membatalkan solat.

 Lafaz yang tepat adalah ﭐﻟﺴﻼﻢﻋﻠﻴﻜﻢﻭﺭﺣﻤﺔﭐﷲ (assalaamu'alaikum warahmatullaah). Sekiranya menyebut "asalaamu'alaikum", "salaamu'alaikum", menukar huruf ﻉ kepada ﺃ, huruf ﺡkepada ﻫ, atau apa sahaja sebutan yang selain daripada ﭐﻟﺴﻼﻢﻋﻠﻴﻜﻢﻭﺭﺣﻤﺔﭐﷲ , ia akan membatalkan solat. Menyebut salam dalam hati juga boleh membatalkan solat, kerana lafaz salam pertama adalah rukun qauli, ia WAJIB dilafazkan 100% oleh mulut dengan makhraj dan tajwid yang betul.

8. Tangan berayun-ayun semasa i'tidal. 

Pergerakan anggota besar 3 kali berturut-turut boleh membatalkan solat. Tak tahulah kenapa orang suka sangat ayun tangan semasa i'tidal, yang macam buayan tu.

9. Tidak berhenti seketika, yakni i'tidal selepas rukuk.

10. Dada berpaling dari kiblat

Thursday 7 November 2013

12 AZAB BAGI MEREKA YANG MENINGGALKAN SOLAT (SEMBAHYANG)


12 AZAB BAGI MEREKA YANG MENINGGALKAN SEMBAHYANG
Dalam sebuah hadis menerangkan bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda : "Barang siapa yang mengabaikan solat secara berjemaah maka Allah S.W.T akan mengenakan 12 tindakan yang merbahaya ke atasnya. Tiga darinya akan dirasainya semasa di dunia ini antaranya :-
1. Allah S.W.T akan menghilangkan berkat dari usahanya dan begitu juga terhadap rezekinya.
2. Allah S.W.T mencabut nur orang-orang mukmin daripadanya.
3. Dia akan dibenci oleh orang-orang yang beriman.
Tiga macam bahaya adalah ketika dia hendak mati, antaranya :
4. Roh dicabut ketika dia di dalam keadaan yang sangat haus walaupun ia telah meminum seluRoh air laut.
5. Dia akan merasa yang amat pedih ketika Roh dicabut keluar.
6. Dia akan dirisaukan akan hilang imannya.
Tiga macam bahaya yang akan dihadapinya ketika berada di dalam kubur, antaranya :-
7. Dia akan merasa susah terhadap pertanyaan malaikat mungkar dan nakir yang sangat menggerunkan.
8. Kuburnya akan menjadi cukup gelap.
9. Kuburnya akan menghimpit sehingga semua tulang rusuknya berkumpul (seperti jari bertemu jari).
Tiga lagi azab nanti di hari kiamat, antaranya :
10. Hisab ke atasnya menjadi sangat berat.
11. Allah S.W.T sangat murka kepadanya.
12. Allah S.W.T akan menyeksanya dengan api neraka.

BALASAN MENINGGALKAN SOLAT
Diriwayatkan bahawa pada suatu hari Rasulullah S.A.W sedang duduk bersama para sahabat, kemudian datang pemuda Arab masuk ke dalam masjid dengan menangis.
Apabila Rasulullah S..A.W melihat pemuda itu menangis maka baginda pun berkata, "Wahai orang muda kenapa kamu menangis?"
Maka berkata orang muda itu, "Ya Rasulullah S.A.W, ayah saya telah meninggal dunia dan tidak ada kain kapan dan tidak ada orang yang hendak memandikannya."
Lalu Rasulullah S.A.W memerintahkan Abu Bakar r.a. dan Umar r.a. ikut orang muda itu untuk melihat masalahnya. Setelah mengikut orang itu, maka Abu Bakar r.a dan Umar r.a. mendapati ayah orang mudah itu telah bertukar rupa menjadi babi hitam, maka mereka pun kembali dan memberitahu kepada Rasulullah S.A.W, "Ya Rasulullah S.A.W, kami lihat mayat ayah orang ini bertukar menjadi babi hutan yang hitam."
Kemudian Rasulullah S.A.W dan para sahabat pun pergi ke rumah orang muda dan baginda pun berdoa kepada Allah S.W.T, kemudian mayat itu pun bertukar kepada bentuk manusia semula. Lalu Rasulullah S.A.W dan para sahabat menyembahyangkan mayat tersebut.

Apabila mayat itu hendak dikebumikan, maka sekali lagi mayat itu berubah menjadi seperti babi hutan yang hitam, maka Rasulullah S.A.W pun bertanya kepada pemuda itu, "Wahai orang muda, apakah yang telah dilakukan oleh ayahmu sewaktu dia di dunia dulu?"
Berkata orang muda itu, "Sebenarnya ayahku ini tidak mahu mengerjakan solat." Kemudian Rasulullah S.A.W bersabda, "Wahai para sahabatku, lihatlah keadaan orang yang meninggalkan sembahyang. Di hari kiamat nanti akan dibangkitkan oleh Allah S.W.T seperti babi hutan yang hitam."
Di zaman Abu Bakar r.a ada seorang lelaki yang meninggal dunia dan sewaktu mereka menyembahyanginya tiba-tiba kain kapan itu bergerak. Apabila mereka membuka kain kapan itu mereka melihat ada seekor ular sedang membelit leher mayat tersebut serta memakan daging dan menghisap darah mayat. Lalu mereka cuba membunuh ular itu.
Apabila mereka cuba untuk membunuh ular itu, maka berkata ular tersebut, "Laa ilaaha illallahu Muhammadu Rasulullah, mengapakah kamu semua hendak membunuh aku? Aku tidak berdosa dan aku tidak bersalah. Allah S.W.T yang memerintahkan kepadaku supaya menyeksanya sehingga sampai hari kiamat."
Lalu para sahabat bertanya, "Apakah kesalahan yang telah dilakukan oleh mayat ini?"
Berkata ular, "Dia telah melakukan tiga kesalahan, di antaranya :"
1. Apabila dia mendengar azan, dia tidak mahu datang untuk sembahyang berjemaah.
2. Dia tidak mahu keluarkan zakat hartanya.
3. Dia tidak mahu mendengar nasihat para ulama.
Maka inilah balasannya.

10 JENIS SOLAT YANG TIDAK DITERIMA OLEH ALLAH S.W.T
Rasulullah S.A.W. telah bersabda yang bermaksud : "Sesiapa yang memelihara solat, maka solat itu sebagai cahaya baginya, petunjuk dan jalan selamat dan barang siapa yang tidak memelihara solat, maka sesungguhnya solat itu tidak menjadi cahaya, dan tidak juga menjadi petunjuk dan jalan selamat baginya." (Tabyinul Mahaarim)

Rasulullah S.A.W telah bersabda bahawa : "10 orang solatnya tidak diterima oleh Allah S.W.T, antaranya :
1. Orang lelaki yang solat sendirian tanpa membaca sesuatu.
2. Orang lelaki yang mengerjakan solat tetapi tidak mengeluarkan zakat.
3. Orang lelaki yang menjadi imam, padahal orang yang menjadi makmum membencinya.
4. Orang lelaki yang melarikan diri.
5. Orang lelaki yang minum arak tanpa mahu meninggalkannya (Taubat).
6. Orang perempuan yang suaminya marah kepadanya.
7. Orang perempuan yang mengerjakan solat tanpa memakai tudung.
8. Imam atau pemimpin yang sombong dan zalim menganiaya.
9. Orang-orang yang suka makan riba'.
10. Orang yang solatnya tidak dapat menahannya dari melakukan perbuatan yang keji dan mungkar."
Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : "Barang siapa yang solatnya itu tidak dapat menahannya dari melakukan perbuatan keji dan mungkar, maka sesungguhnya solatnya itu hanya menambahkan kemurkaan Allah S.W.T dan jauh dari Allah."
Hassan r.a berkata : "Kalau solat kamu itu tidak dapat menahan kamu dari melakukan perbuatan mungkar dan keji, maka sesungguhnya kamu dianggap orang yang tidak mengerjakan solat. Dan pada hari kiamat nanti solatmu itu akan dilemparkan semula ke arah mukamu seperti satu bungkusan kain tebal yang buruk.